| Nyanyian Cinta dari Hujung Rimba | |
16 Ogos 2010/ 5 Ramadhan 1431 Semalam sekitar jam 3 lebih, ketika mentari petang mulai condong menginjak dari zohor, aku menerima panggilan talifon dari Abang Ujang Tanjung. Berita yang telah kuduga. Udo Abeh telah dijemput Ilahi. Jenazah akan dibawa pulang ke Tanah Datar untuk disemadikan disisi arwah ibunda dan arwah isterinya yang telah lebih awal dijemput Ilahi. Kuberitahu mak dengan berhati-hati. Aku lihat mak tenang. Tetapi dalam masa yang sama, aku tahu jiwa mak bergejolak dengan seribu perasaan yang hanya dia dan Tuhan yang tahu. Kami sememangnya telah redha, kerana setelah melihat keadaannya lima hari lalu kami telah maklum apa yang bakal terjadi, cuma menunggu masanya sahaja. Selepas berbuka, aku, mak dan ongah menuju kampung Tanah Datar. Sampai di rumah perangguhan jenazah, jasad arwah telah pun dibawa kekuburan dan selesai tidak sampai sejam kemudian. Aku dan mak tinggal di rumah Acu Limah, kesempatan begini membolehkan kami bertemu sanak saudara yang jarang-jarang kami temui. Ada cerita-cerita lama yang jadi baru. Kehilangan sebegini sememangnya sukar bagi anggota keluarga terapat. Namun inilah hukum Tuhan dan aturan kehidupan sejak azali. Aku melihat para ibu dan bapa saudaraku sudah pun berada di baris pertama, yang menjadikan aku di baris kedua. Hidup yang teramat singkat ini, dengan pengakhirnya bisa tiba bila-bila masa membuatkan aku berazam untuk terus berusaha berjalan di jalan yang lurus. Ada yang diberi sakit berupa peringatan sebelum masa benar-benar berakhir, dan ada juga tanpa sebarang tanda nyawa dipisahkan dari jasad dalam sekelip mata. Bagaimana pun keadaan yang tertakdir buat kita, tidaklah kita ketahui. Tetapi sesuatu yang pasti, kita hendaklah bersedia setiap masa. Untuk alasan-alasan yang kita taburi untuk menyenangkan hati sendiri, mati tidak menunggu kita terbuka hati. Mati tidak menunggu kita bersedia. Mati tidak menunggu kita bertaubat. Mati tidak menunggu kita sempat bersedekah. Mati tidak menunggu kita puas berjalan serata alam. Mati tidak menunggu kita jadi tua. Mati tidak menunggu segala apa yang pernah terlintas difikiran kita. Dan aku masih jua alpa.... * Seperti yang kuduga pertemuan lima hari lalu mungkin yang terakhir, kurakamkan gambar mak dan arwah. Malangnya sebelum sempat kusalin ke komputer talifon bimbit telah dicuri lagi di dalam komuter ke tempat kerja. Mungkin Tuhan tidak izinkan aku menyimpan kenangan sedemikian... Komen Anda [ Enter Erikas ] 12 Ogos 2010 / 2 Ramadhan 1431 Semalam aku, along, ongah dan mak ke Kulai melawat Udo Abeh di Hospital Kulai. Dia adalah bapa saudara. Sepupu pada mak. Setelah arwah abah meninggal Udo Abeh banyak membantu mak dalam meladeni sepak terajang sebagai ibu tunggal dalam mengatur kehidupan dan mendidik kami adik-beradik. Udo Abeh bawa mak mengaji ilmu agama, dan dia juga yang bawa mak menunaikan haji di Mekah. Tapi sekarang, di usia 76 tahun, masa telah menelan kehidupannya. Aku melihat sisa-sia yang semakin amat tipis. Bersusah payah benar dia membuka mata bila kupanggil namanya. Entah apalah alamnya sekarang. Sakit yang sampai meragut seluruh kudratnya lenyap terlarut ke dalam udara tanpa sebarang kesan. Hampir dua jam kami adik beradik dan mak berada di sisi katilnya sehingga waktu melawat tamat. Hatiku sayu, mentelah dia seperti seorang bapa bagiku. Walaupun keadaannya kritikal dan seperti menunggu saat dijemput pergi sahaja, aku tetap berdoa agar Udo Abeh kembali sihat dan kami sempat beraya di aidil fitri nanti. Kami berbuka di rumah along. Suasana yang cukup sempurna. Aku berlebih-lebih lagi gembira seluruh adik beradik berhimpun bersama berbuka puasa hari pertama. Aku harap mak juga gembira dapat berkumpul dan berbuka dengan anak-anaknya, walaupun menantu perempuan dan anak-anak cucunya tidak dapat sama. InsyaAllah nanti kuaturkan kita berbuka sekeluarga seluruhnya ya mak... :) Komen Anda [ Enter Erikas ] 4 Ogos 2010 Seringkali bila semangat diri kelayuhan, secara tidak sengaja insan-insan berhati mulia di sekeliling memberi semangat berupa nasihat dan dorongan. Mereka melihat aku dari luar. Aku melihat aku dari dalam. Menilai diri dan kemampuan, aku sering kecundang. Sebenarnya aku tidak arif tentang diriku sendiri. Benar aku kenal. Benar aku sedar. Tetapi selalu pula keyakinan itu terbang disergah asa yang mudah saja longlai diterjah angin perubahan. Demikian, fikiran tidak terpusat dan jadi bolak balik. Kalau kalian mengugah keyakinan, bagaimana untuk memastikan ianya terpatri menjadi satu tugu ukuran kejayaan? Bagaimana kalian membiarkan api semangat itu terus makantar-kantar sehingga segalanya membuahkan hasil? Komen Anda [ Enter Erikas ] 2 Ogos 2010 Setiap tahun Ramadhan menjadi bertambah indah. Tanpa berfikir berlebihan aku selalu meneka-neka mengapa begitu adanya. Selang beberapa hari Ramadhan bakal muncul lagi. Hati sudah mula melonjak-lonjak mengenangkannya. Berbagai perancangan sudah mula terlakar di minda. Ramadhan adalah bulan di mana kehidupan harianku benar-benar teratur dan setiap masa termanfaat dengan begitu bermakna. Marhaban ya Ramadhan. Tak sabar juga menunggu hujung minggu ini untuk acara MGH88 & friends Lomang Day (Hari Mantai) dan juga kenduri tahlil pada hari ahadnya. Komen Anda [ Enter Erikas ] 19 July 2010 Dadaku beku bila Ijot memberitahu di YM Kak Dalilah telah pulang ke rahmatullah pagi tadi. Memang lama sungguh aku tidak berhubungan dengan beliau, sedar tak sedah kali terakhir di YM adalah pada 1 Disember tahun lalu. Bergegas ke blognya, membaca catatan terakhirnya... hati benar-benar dibaluti pilu. Demikian berakhir perjalanan hidupnya setelah bertahun-tahun menderita dan berperang menghadapi kanser. Al Fatihah buat kak Dalilah Tamrin. Semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan di sisi roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Sampai masaku nanti.... diri ini akan menyusul jua daerah itu. Komen Anda [ Enter Erikas ] 15 July 2010 Our trip to Melaka was so wonderfull. Mak larat mendaki Bukit St. John, melawat Istana Melaka seluruhnya, melawat musium Kesenian Melayu setinggi dua tingkat, menaiki kapal replika Flor De La Mar dan akhirnya River Cruise dalam masa satu hari suntuk. Aku sungguh bangga dengan keazaman mak. Alhamdulillah kesihatannya juga mengizinkan. Aku gembira bila mampu membuat mak gembira, tak tergambar rasanya. Mak kata nak ke Melaka lagi, al maklumlah tempoh hari tidak semua tempat habis kami lawati. Dan along dah bersetuju untuk membawa mak ke Melaka lagi, kali ni mak nak membeli-belah pula khabarnya :) Komen Anda [ Enter Erikas ] 2 July 2010 Mak and myself is so excited about our trip to Melaka tomorrow. We are going to Along house in Seremban tonight. All cloths are packed last night, she even woke me up at 12pm to settle the packing. I am excited no less than her anyway. I was thinking this will also be my photography trip. Lets see what I can capture then. Komen Anda [ Enter Erikas ] 28 Jun 2010 Genggaman ilusi tiba-tiba menjadi nyata Komen Anda [ Enter Erikas ] 1 Jun 2010 Setahun yang lalu hari ini, adalah hari bersejarah dalam hidupku. Buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah dan beberapa hari selepas itu ke Tanah Suci Mekah pula menunaikan umrah. Terasa benar seperti baru semalam. Perasaannya tak tergambarkan. Sukar jua untuk kuzahirkan dalam bentuk tulisan. Sekadar mengingati, moga kunjungan ke tanah suci itu akan terulang lagi.
selebihnya... insyaAllah disambung nanti..... Komen Anda [ Enter Erikas ] 24 Mei 2020 Aku sudah pulang Jumaat lalu. Perjalanan ke Sumatera Barat kiranya terlalu istimewa sekali, penuh dengan kenangan, keterujaan dan mistik. Setelah menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Ranah Minang seawal jam 8pagi WIB di Lapangan Terbang Minangkabau, dijemput oleh Dr. Silfi, Debie (maaf kalau aku sudah tidak dapat mengingat namanya dengan tepat) dan adik lelakinya (oh Sil, I forget to ask for his number), kami dibawa berjalan-jalan sekitar kota Padang. Di sekitar perjalanan itu aku dapat melihat kesan runtuhan dari gempa bumi yang sungguh dahsyat hampir setahun yang lalu (kisah ini beserta gambarnya akan kutulis kemudian). Aku terlalu dekat dan terlalu mesra dengan segalanya di sini, itulah bisik hatiku tatkala udara Ranah Minang itu memenuhi dadaku. Sedikit pun aku tidak merasa asing, malah amat terasa sekali bahawa aku ini adalah sebahagian dari tempat dan daerah ini. Kudongak ke langit, ia tersenyum sungguh gemilang, dan desir anginnya membelai wajah dengan lembut sekali persis usapan rindu yang telah terbendung sekian kurunnya. Beberapa ketika aku terbuai dengan berbagai kisah dan peristiwa yang sering kudengar sedari kecil, bahawa moyangku dulu berasal dari kedaerahan ini. Ya, di sinilah tanah tumpah darah moyangku, dilahirkan dan dibesarkan di sini, dan setelah dewasa mereka merantau ke Tanah Melayu, dan tidak pulang-pulang lagi. Bila kurenungkan, akulah generasi pertama setelah penghijrahan moyangku ke Negeri Sembilan, yang kembali ke Ranah Minang ini. Malangnya 'pulang'ku kali ini tidak menuju halaman sesiapa. Aku sudah tidak tahu siapa saudara mara moyangku di sini. Tetapi ingatan itu cukup menyambut hadirku di sini. Aku cuma membayangkan, seandainya aku masih berhubungan dengan sanak saudara di sini, pastinya kunjungan ini berlebih-lebih lagi indahnya. Pun begitu, secara diam dalam hati, aku telah pun menganggap Dr. Silfi dan teman-temannya adalah saudara maraku yang terpisah sejak berkurun lalu. Aku akan cuba tuliskan selengkapnya perjalanan kali ini. Semoga beroleh kesempatan dan dikurniakan Allah buah fikiran. Kalau boleh aku mau tuliskan semuanya yang kualami. Aku mau menyimpan selama mungkin pengalaman sewaktu di sana dan berkongsi dengan kalian. Antara yang ingin kutuliskan nanti termasuklah: 1. Negeri di awan (penerbangan pergi) 1. Negeri di awan (penerbangan pergi)
8.26pg waktu Malaysia.
2. Universitas Andalas Melanjutkan lagi 'main-main' (baca: pusing-pusing) di sekitar kota Padang, kami di bawa ke Universitas Andalas. Perjalanannya boleh tahan jauh sewaktu pergi, dan tidak begitu jauh sewaktu kembali ke pusat bandar. Memang lumrah perjalanan selalunya kita akan merasa ia jauh ketika pertama kali melewati tempat itu. Dan semua yang ada di sepanjang perjalanan itu ku tatap satu persatu tanpa lepas. Sebolehnya aku tidak mahu ketinggalan untuk tidak melihat sehelai daun sekalipun, memanglah mustahil tetapi itulah yang kuupayakan. Sesampai di kampus yang terletak di atas bukit itu ada acara mahasiswa yang sedang berlangsung, di halamannya berdiri sebuah pentas konsert yang lengkap dengan lampu warna warni. Dan di atasnya ada seorang mahasiswa sedang mendendangkan sebuah lagu. Halaman ini sungguh meriah dengan pameran permotoran dan robotik, aku hanya melihat sepintas lalu mentelah bukan minat dan kecenderunganku.
Kami diperkenalkan kepada Dr. Elvis Adril, Ketua Jurusan Teknik Mesin, Politeknik Negeri Padang. Kebetulan beliau memakai kemeja Universiti Kebangsaan Malaysia, jadi kami merasa bertemu orang yang itu-itu juga. * catatan ke Sumatera Barat ini akan kusempurnakan dari masa ke masa. ~~~@~~~ 3. Teluk Bayur Sewaktu meneliti peta pelancongan Sumatera Barat (Sumbar) aku tidak begitu perasan akan nama teluk ini. Aku juga tidak tahu akan betapa cantiknya persisir pantai yang padat dengan aktiviti nelayan dan juga pelabuhan kontena ini. Aku juga sebelum ini tidak menyedari bahawa ada sebuah lagu khas yang dicipta bagi menceritakan perihal indahnya Teluk Bayur. Kami menyusur Teluk Bayur untuk makan tengahari di Bungus. Tidak sempurna kalau aku sekadar cuba menyusun kata bagi menggambarkan betapa indahnya alam ciptaan Tuhan ini, justeru kuabadikan lukisan alam ini di sini, moga ia jua menyenangkan hati kalian yang belum berkesempatan mengunjungi Teluk Bayur.
Catatan seterusnya akan disambung dari masa ke semasa, insyaAllah. Komen Anda [ Enter Erikas ] 17 Mei 2010 Kutinggalkan sebentar tanah tumpah darahku, menelusur tanah tumpah nenek moyangku. Duhai apakah agaknya yang akan kuketemu. Biarlah yang pergi sentosa langkahnya, yang tinggal terpelihara amannya dan dilindungi Allah s.w.t adanya. Berkati kami Ya Allah. Komen Anda [ Enter Erikas ] 13 Mei 2010 Galau dan seribu waham Kalau duka ini dapat membaluti hatimu yang berdarah Kalau titis air mata ini mampu membasuh
sejuta kepiluan dan rajukmu Yang aku mahu gembira dan tenang menyelimuti hidupmu Yang aku mahu senyum mulus sentiasa menguntum Duhai, apalah harus kuperbuat
Komen Anda [ Enter Erikas ] 12 Mei 2010 Syukur. Bos sudah luluskan cuti yang kupohon, insyaAllah minggu depan aku akan menelusur susur galur moyangku. Merasa menapak di tanah tumpah darah moyangku, menghirup udaranya dan berusaha memahami budayanya yang tidak pernah jauh dariku. Tidak banyak yang dapat kukaji setakat hari ini, semoga sebelum berangkat aku bisa memahami seperkara dua tentang tempat tersebut. Sekurangnya aku tidak terpingga-pingga ketika lawatan singkat itu nanti, dan jika sudah terbekal apa yang ingin kucari kiranya lebih mudahlah dan lebih penuhlah kunjungan itu nanti. Aku teringin untuk mendapatkan beberapa naskah buku, tapi itu pun belum kusenaraikan. Nisah ada mencadangkan aku merujuk blog Jiwarasa, tempohari telah kubaca, insyaAllah nanti aku jenguk lagi. Dan, aku sungguh-sungguh berdoa kesihatan mak semakin baik terutama sepeninggalanku nanti. Semoga Allah memelihara ibunda kesayanganku itu ketika aku berpergian dan semoga mak faham bahawa perjalanan ini bukanlah untuk suka-suka semata.
Komen Anda [ Enter Erikas ] 11 Mei 2010 Untuk yang Menyintai, Dengan gemalai kuhadir Membawanya dekat keberadaan Menghadami tiap butir manikam Dan aku pun melayang berputaran
Komen Anda [ Enter Erikas ]
|
Sedang Menghadami
|
| arkib - mac 09, dec 09 | Copyrights © 2002 - 2010 Myths in the Haze http://www.elaira.net |