20 Ogos 2008
:: Lantera kalbu...

kredit foto: Seluas Angkasa |
jernih,
tulus dari Pencipta
hadir menghuni sanubari
dan kulewatkan kepadamu
dan ia mengalir lebih lembut dari bayu.
harum,
secicip wangian syurga
kau cedukkan dalam genggaman
lalu kau taupkan ke dadaku
bahagia seluruh alam pun bertamu
dari kudus sinar matamu
menghuni hati tak pernah layu.
kasih ini ibarat lantera
berlapis-lapis cahaya dalam cahaya
tak terpadam seusia nyawa
hidup dari ubun-ubun jiwa
nyala dari derik nafas yang kuhela.
cahaya jiwaku,
lena ini adalah nyawa
di dalamnya kita beradu tanpa jaga
mimpi inilah tamannya
kasih kita bersatu tak ada pelerainya. |
[ puisi spontan ini buat amir yusuf dan insan-insan di sekelilingnya yang sarat dengan kasih tidak terhingga.]
~~@~~
:: Dedaun waktu pun menua... dan...
Hidup ini berbagai sungguh ronanya. Belum pun sejauh mana perjalanan ini, berbagai lakaran yang menyerap disanubari, menuntun pengertian yang ada kala membawa hiba dan keinsafan. Dalam diam, dalam hati aku berdoa, usahlah hari tuaku nanti menjadi getir dan tersisih begitu.
Tentulah tidak ternafikan kepiluan bila insan yang kita kenali terpaksa menghabiskan masa tuanya sedemikian adanya. Kurang diperduli anak-anak dan bercadang pula menghuni rumah kebajikan. Bila ditanya, ia diam. Mungkin sebegitu kecil hatinya mahu membawa sorot hidupnya jauh dari pengetahuan sesiapa pun termasuk anak-anaknya sendiri.
Aku selalu berkata, hidup ini umpama satu sistem yang bekerja, tersasar satu modul, caping seluruh prosesnya. Jika musibah yang memberi salam di pintu hidup kita, minda jadi jauh dari keseimbangan, kesunyian menjadi teman karib, keluarga pula semakin sayup dari hadir, maka renung-renunglah kembali modul mana yang telah kita celakan dahulu. Ketika semua itu berlaku kita mungkin tidak sedar, terlalu asyik atau nanar dengan hasad dunia. Ya, ketika itu semuanya masih muda. Mati itu juga amat sayup destinasinya.
Masa tetap berlalu, tanpa menunggu. Itu, semua orang pun tahu. Tapi terkesankah untuk tidak mencipta onar baru saban hari melangkahi rantai waktu. Alpa itu ibarat selimut yang sentiasa mengiringi perjalanan kita di kala tengkujuh berlarutan. Semakin erat selimut itu kita rangkul dan kita pantas berang kepada siapa sahaja yang cuba meleraikan balutan hangat itu.
Setelah dedaun waktu menua, dan destinasi yang satu itu semakin jelas gambarannya. Sempatkah kita mengatur apa yang perlu? Atau sekadar membiarkan asa berkecai tanpa bingkai dan pulang dengan segala sistem hidup yang bercelaru?

19 Ogos 2008
:: Kasih yang disembunyikan...
Tidak semua orang yang merasakan kasih sayang dalam hatinya mampu meluahkannya. Ada yang meluahkannya pada masa yang ia pasti dengan melakukan begitu dia tidak kehilangan orang yang disayanginya. Ada juga yang menyimpan selamanya dan membawa segala rasa bersemadi di akhir masa.
Semua itu bergantung pada pilihan dan pandangan individu terhadap isu ini. Ada yang terpaksa menyembunyikan gejolak kasihnya hingga sejuk kaki tangan bila berhadapan dengan orang yang disukainya itu. Ada yang mengelak dari bertembung, semata tidak mahu orang tersebut mengesan perubahan wajah yang memerah dan jadi tidak karuan. Maka terlanggarlah pasu bunga hingga pecah berderai, maka ada pula yang nyaris-nyaris dilanggar kereta atau motor semata untuk mengelak dari bertembung dan bersua empat mata.
Rasanya perkara ini berlaku kepada lelaki dan perempuan. Tidak semua orang sanggup merempuh benteng perasaan malu yang tebal untuk meluahkan rasa hatinya. Justeru semuanya disembunyikan dalam hatinya yang kedap udara, tidak tiris sedikit pun. Orang yang begini mungkin akan melara dalam diam bila melihat atau mengetahui orang yang diminati itu keluar dengan orang lain, atau orang yg dalam jangkaannya adalah kekasih orang yang diminati itu. Dia mungkin akan merasa kesedihan.
Separuh lumat dan luluhlah hatinya. Mungkin juga dia menangis secara sembunyi-sembunyi, membaling tin minuman yang kosong atau menyepak batu di jalan sekuat hati, agar terlepas gelora di hati. Banyak pula perbuatannya menjadi kekok dan kucar kacir.
Dan kalau terjadi begini, apa yang harus dilakukan? Ikuti telahan saya seterusnya nanti. InsyaAllah.

8 Ogos 2008
:: Biarkanlah aku tenang dan terbang...
8.8.08 - pastilah ramai yang mengabadikan tarikh ini sebagai apa pun. Sesetengah orang percaya sesuatu yang baik akan berlaku jika sesuatu dilakukan hari ini. Atau jika diabadikan sesuatu hari ini akan beroleh sejahtera berpanjangan ke hujung masa. Aku tidak ada senarai segala sesuatu yang ingin dilakukan itu. Ibarat air mengalir aku mengikut masa saja. Apa ada pada tarikh? It just another day, tak ada dalam Quran pun.
Aku teringat 8.8.88. Tika itu masih di bangku sekolah. Aku mengoyak duit seringgit dengan Miswati sambil ketawa seadanya melakukan perkara karut, tapi kami buat saja-saja suka-suka bukan sebab apa-apa. Kami berkongsi duit seringgit yang kami tulis bersama, dia ambil separuh dan aku ambil separuh lagi. Kami mahu mengingati sesuatu bila berpisah selepas habis persekolahan nanti. Aku sudah lupa apa yang kami tuliskan, tapi antara lain yang aku ingat ialah kata-kata, "Semoga kita akan kaya!". Hingga ke hari ini kehidupan kami masih biasa-biasa saja. Kais awal bulan, makan sampai hujung bulan. Itu kenangan indah zaman persekolahan, Senah juga ingat perkara ini, beberapa hari lepas Senah menalifon mengingatkan aku akan duit seringgit yang aku koyakkan bersama Miswati. That was so sweet of you Senah, to remember our good old days.
Pagi selepas hujan. Hari ini bermula sesempurna itu. Tuhan sangat sayangkan aku, maka demikianlah hadiahnya yang tidak terhingga. Tetapi ada sesuatu memalit kelam ke hari yang indah ini. Aku berusaha mengawal emosi. Alhamdulillah, kasih Tuhan masih sangat tebal buat aku. Syukur Ya Allah. Gembira kembali menyatu dalam hati.
Melihat di sebalik itu semua. Dalam kehidupan ini kadang kala ada sesuatu yang akan berlaku sekali sahaja dan tidak berulang. Dan bila ia berlangsung hargailah, agar satu masa nanti kau tidak akan hilang atau kehilangan. There's no use to cry over split milk. And I'm so sorry for you. And sorry for not being able to sacrifies anymore. You had choosen your path... and you are on your own now. I'm sorry.

2 Ogos 2008
:: Maskara 10
Di sebelah paginya aku menghadiri Diskusi Karya Mantan MPR di DBP. Antara karya-karya yang dibicarakan ialah
novel Puisi Untuk Esdyzuar - Nisah haron, dan Manikam kalbu - Faisal Tehrani. Selain berkesempatan berjumpa dengan penulis-penulis yang telah mencipta nama dengan karya-karya mereka yang membanggakan, sempat juga berkenalan dengan kak Noraini, editor bagi majalah Tunas Cipta yang akan diterbitkan semula Oktober nanti. Mungkin bakal tibalah masanya, luahan Hujung Rimba kukongsikan dengan mereka yang selama ini tidak tahu pun kewujudkan rimba hijauku ini. InsyaAllah.
Di sebelah malam pula menghadiri Maskara 10 di Rumah pena. Seingat aku inilah Maskara terhebat yang pernah aku hadiri. Ramuannya lengkap. Walau tidak hanya berkisar tentang baca naskah dan puisi, dan telah diselitkan dengan persembahan musik dan nyanyian, malam Maskara tidak hilang pengertiannya.
Yang buatku tak kering gusi di setiap persembahan mereka adalah Jonos dan Alfie yg mendeklamasi sajak Azzam Supardi. Boleh rujuk blog mereka untuk membaca sajak "nyup nyap" tu. Aku cadangkan pada Alfie agar dirakamkan persembahan mereka untuk dimuatkan dalam blog mereka. Tahniah! Kalian menghiburkan.
Berbagai rasa tercuit. Dalam baris-baris sajak Ajami yang ringkas, airmataku menepi. Sayu benar menelusuri bait kata pesanan seorang kakak kepada adiknya.
Dalam persembahan Republik Teater pula, mindaku diajak berfikir tentang realiti hidup masa kini, apa yg disuakan di bumi kita dan suasana kerja serta layanan manusia sebangsa dan seagama, dan juga realiti gejolak jiwa yang tidak endah adanya batas-batas yang terlingkung adat dan agama.
Dan Maskara 10 ini digempakkan dengan keasyikan alunan musik asli yang sungguh menghiburkan dari kumpulan Dewangga Sakti. Maka meloponglah aku selama mereka berlagu. Hingga CD Mabuk Kepayang mereka berada dalam pemilikkanku.
Walaupun dua dari anggotanya yang bermain gitar dan bass tidak dapat menghadirkan diri, persembahan mereka sedikit pun tidak caping di telingaku. Sangat menghiburkan dan ikhlas. Kalau boleh lain masa Incik Vovin jemput mereka lagi ya
semoga mereka juga sudi hadir memeriahkan Maskara lagi.
Terima kasih kepada orang kuat Maskara - Sindiket Sol-Jah, dan tahniah kerana berjaya dengan program ini. Tak sabar menunggu dua bulan lagi, untuk tayangan filem-filem pendek korang. Alfie dah beritahu tempoh hari, Bebudak Jalan Robinson akan turut sama lagi kali ini. Rasanya Azzam Supardi akan tulis skrip seterusnya mendera Jonos dan Alfie seperti biasa. Dan.... tak kan Tok Rimau tak hantar penyertaan kut??? Sedang kan "KIRI" dulu pun dah power kan. Expecting something from you guys. 
