Selamat datang ke dunia hijauku... Istana di Hujung Rimba... this is where rhyme and courage being spoken, where life uncertaintiness being discussed, where friendships fill the air, where love blooms all year through...

tadahan hijau dari MERCUMAYA

BUKU TAMU

Kenangan Lalu [ erikas ]

 
 

~@~

ARTAKUS DOT NET

artakus.net
olai tannon lama
olai tannon
artakus.events
fajar
silence
jundak
rosh
rosh blog
sempoii
sempoiizone
epong
esis
little silence
re--open
silence@fofo
fajar@pixelpost
ila jauhari
azreyzal
lelasari

~@~

CAPAIAN PANTAS

Berita Harian
Utusan Malaysia
Yahoo! Mail
Gmail
CIMB Clicks
Maybank2u

~@~

DUNIA PENULISAN & SASTERA

ahmad patria
nisah haron
faisal tehrani - sr
faisal tehrani - jc
s.m. zakir
serunaifakir
ummu hani
rozais
fadh razi
amizakhusyri
saharil
nazmi
sri diah
marsli n.o.
shamsudin othman
susan bakar
sy. salha
azizi abdullah

rymza
jiwarasa
zaid akhtar
hanita hassan
ahmad zafran

esastera
teratakian

emha ainun nadjib

~@~

LANTERA MINDA

fikir-fikir hashim yaacob
kadir jasin
penyair terbilang

~@~

GENG JURNAL

unsunghero
nic
JiGoMorisson
bluehikari
muringwien
manmoncang
attokz
tok rimau
en nordin
jongkang jongket
en khairul
moplantai
zhoulsz
amyz
kappucino
basrie
purbe

ep
rosram
nett
cik daun
sera
max
karlbum
ct musafir
paichowan
syihab
syati
angah
lan
ayobkelubi
tipah vogue
ijot
yanti
op
nis tajuddin
saziyana
jimi
mushroomcute
shah
kak nis
baby berry
jurnalbosan - hayatan

~@~

BLOGS, FORUM& FOTOPAGES

qurraqas
sumpittsauber
bunda syafia
cekmi
strozze
gigi tak bertatoo
Ju`an Einriqie
fiqarash
saiful nang
shaliza
shaliza.com
sinzmanual

~@~

ISLAM

harun yahya
bangsa musnah
utusan rasul
momentum islam
emuslim
islamic world
aguskita

~@~ 

BLOG SEREBRITI

suhaimi sulaiman
mr manager
yasmin ahmad
afdlin shauki

~@~ 

FOTOGRAFI

better photo
kodak

LAIN-LAIN

Enya
Enya
Sade
Tracy Chapman
Tracy Chapman
Cirque du Soleil
Julio Iglesias
aceh menangis
cstech
laluan sutera
anjung seri
currency converter
moluv
speedometer
sting
current earthquake
peta jalan kuala lumpur

~@~

ARKIB

Ver 1.0
index
oct 2002
nov 2002
des 2002
jan 2003
feb 2003
mac 2003
apr 2003
mei 2003
jun 2003
july 2003
ogos 2003
sept 2003

Ver 2.0
index
oct 2003
nov 2003
des 2003
jan 2004
feb 2004
mac 2004
apr 2004
mei 2004
jun 2004
july 2004
ogos 2004
sept 2004

Ver 3.0
index
oct 2004
hibernasi
{oct 2004 - mac 2005}
index
hibernasi2
{mac 2005 - apr 2005}
mei 2005
jun 2005
julai 2005
ogos 2005
sept 2005

Ver 4.0
oct 2005
nov 2005
dec 2005
jan 2006
feb 2006
mac 2006
apr 2006
mei 2006
jun 2006

julai 2006
ogos 2006
sept 2006

Ver 5.0
okt 2006
nov 2006
des 2006
jan 2007
feb 2007
mac 2007
apr 2007
mei 2007
jun 2007
julai 2007
ogos - nov 2007
dis 2007 - jan 2008
feb 2008
mac 2008

~@~

20 Mei 2008
Ini cerita baru... sedang diusahakan penulisannya.
Wisata ke Bandung dan Jakarta 16 - 19 Mei 2008...

SEbetulnya saya gak punya cukup waktu untuk melunaskan kisah wisata saya ke Bandung dan Kota Jakarta, mungkin esok saja saya siapkan kisahnya, sementara itu saya kongsikan dulu beberapa gambarnya ya...



Tangkuban Perahu yang terkenal dengan legenda Sankuriang-Dayang Sumbi itu.


Gerai jualan cenderamata di persisir tebing kawah gunung berapi yang masih aktif ini, sesekali dibawa angin bau belerang yang amat kuat menusuk deria bau.


Di sebelah kanan Kawah Ratu tumbuh-tumbuhan yang menghijaukan suasana di celah batu batan bekas lahar gunung berapi ini menitip damai dan sentosa dan remang kedinginan tanah tinggi yang sungguh nyaman.


Hanya Tuhanlah yang tahu betapa aku terganggu oleh penjual-penjual cenderamata yang tanpa henti mendesak agar kita membeli barangan mereka, sampai satu ketika kepala ku terasa berdenyut... menuntun sabar atau menahan amarah wallahualam. Pengamatan terhadap rupabentul alam yang entahkan bisa kulihat sekali lagi ini telah terganggu, walau kusedar lain padang lain belalangnya, lain tempat lain ragamnya. Kasihan, mau saja aku menghulurkan nota dua puluh ribu atau lima puluh ribu agar mereka berhenti mengekori aku, tetapi aku teringat pesan mereka yang terlebih dahulu sudah sampai ke sana, itu tidak semudahnya kerana kelak semakin ramai yang akan terus meminta dan memaksa. Semoga Tuhan memurahkan rezeki kalian apa adanya.


Di Jakarta, Taman Mini Indonesia. Kawasan ini luas, menempatkan rumah setiap kaum yang ada di Indonesia. Yang ini rumah Minangkabau. Tak banyak yang sempat kurakan kerana hari sudah senja dan kesuntukkan masa. Sayang sekali, tidak sempat pun membeli cenderamata. Perlu sekali lagi aku ke sana?

---------- @ ----------

20 Mei 2008
Ini cerita lama baru sempurna kutulis.
Tarikh kejadian:
4 Mei 2008
Tajuk: Cendawan Busut...

Along balik tengahari tadi. Untuk menjemput kami pulang ke KL. Demi terdengar enjin keretanya di pintu pagar aku menjengah keluar dari tingkap, kulihat ditangannya ada segenggam benda putih panjang-panjang. "Cendawan busut!!!" teriakku. Dari mana Along dapat? Persoalan yang terus menyerang benarkku dan terus terlontar dari mulutku. "Imah kasi" kata along. Imah anak Mak Baruh jiranku sebelah rumah. Kata Along lagi cendawan itu tumbuh banyak di tepi sawah.

Demi meletakkan kereta aku lihat abang ipar bergegas semula ke luar menuju ke tepi sawah, Along juga turut sama bergegas membuntuti abang ipar sambil berteriak mengajak ku sana. di tangan along sebuah beg plastik berwarna kuning mengelibut ditepis angin dari langkah along yang laju.

Dengan kain batik saja aku pun cepat-cepat mencari selipar getah dan terus berlari mendapatkan along dan abang ipar yang sudah sampai di tepi sungai. Di seberang sungai, di tepi sawah, Nasir adik kepada Imah sedang leka memungut cendawan busut. Di tebing sungai sebelah sini pula ada seorang lelaki yang tidak aku kenal dan anak perempuannya menekan-nekan butang talifon bimbit dan sebentar kemudian bercakap di alat hubungan mudah alih itu. "Banyak benarkah cendawan busut ini sampai menalifon kawan-kawan yang lain?" soalku sendiri dalam hati.

Untuk ke seberang tidak ada jalan pintas atau jembatan, kerana tidak biasa orang menyeberang di situ. Kalaupun ada jembatan adalah di sebelah hilir sedikit melalui sawah Mak Baruh lalu menghulu melepasi sawah Uwan Acik Timah. Malangnya sawah Uwan Acik Timah telah dipagar kemas oleh anaknya yang mengusahakan tanaman serai sejak beberapa bulan lalu. Usaha kami untuk menyeberang dengan mudah terbantut.

Mahu tak mahu terpaksa menyebarang sungai dengan menuruni tebing dan menaiki tebing. Sungai itu kecil sahaja... barang kali sedepa sahaja lebarnya, tetapi ianya dalam dan jauh ke bawah, dengan itu tebingnya tinggi. Abang ipar telah mendahului ke seberang, aku masih teragak-agak maklumlah aku ini hanya berkain batik saja.

Mendengar galakan dan ajakan dari seberang aku tak berfikir panjang lagi. Tebing licin terus ku turuni dan sebentar itu dingin air dari bukit bukau di hulu sana telah mesra membasahi kakiku... betapa segarnya. Kalau tidak mengingat tujuan asal aku ke situ mungkin aku akan terleka bermain-main air sahaja.

Ini adalah kali pertama aku mencabut cendawan busut. Ya, kali pertama seumur hidupku. Rupanya tidak semudah yang aku bayangkan. Untuk menarik cendawan keluar dari tanah juga ada pantunnya, aku tidak hafal tetapi telah aku dengar anak-anak Imah menyanyikan pantun itu dari tebing seberang sana. Dan tidak satu pun cendawan yang aku tarik dapat keluar hingga ke kakinya... huhu.. Aku cuba pula mencungkil dengan parang, ahh sia-sia memang bukan itu caranya.

Tetapi oleh kerana cendawan itu memang banyak, maka plastik yang ada cepat saja penuh. Bermacam resepi yang terbayang di minda sambil mengutip cendawan-cendawan yang banyak itu. Ada yang tumbuh di tempat terang ada yang di bawah rumput dan terlindung. Ia benar-benar satu pengalaman yang menyeronokkan. Malangnya dalam keadaan tergesa-gera itu manalah sempat nak membawa kamera ke tempat kejadian.

 

 

Aku benar-benar bersyukur diberi Tuhan peluang mengutip sendiri cendawan ini, seterusnya merasa kembali masakan yang enak cendawan busut setelah... mungkin lebih dari sepuluh tahun tidak merasa. Benar-benar istimewa. Alhamdulillah.

* Salah satu resepi yang paling mudah adalah dengan hanya merebus cendawan ini dengan air dan sebatang serai, ia sudah cukup sempurna dan keenakkan rasanya sungguh sukar sekali untuk digambarkan.... yummy.... moga akan ada kesempatan lain untuk aku merasa cendawan liar ini lagi.

 

4 Mei 2008
:: Melihat Kehidupan...

Melihat kehidupan. Tentu kalian pernah duduk diam dan memerhati insan-insan di sekeliling kalian. Apa yang kalian temukan? Maksudku, lihatlah keluar dari ruang lingkup kebiasaan kalian. Kalau ruang lingkup seharian adalah di pejabat, maka lihatlah penjaja makanan di kaki lima yang bersebaran lari bila penguatkuasa bandaraya datang menghampiri. Kalau hujung minggu kalian memenuhi masa dengan bersiar-siar dalam suasana santai di mana-mana taman tasik, lihatlah pekerja-pekerja yang memotong rumput serta membaja bunga-bunga agar sentiasa indah mekar untuk tatapan kalian.

Lihatlah ke bawah, kerana anda akan temukan sesuatu. Melihat ke atas tanpa panduan selalunya mengasyikan dan bisa menghanyutkan, silap pertimbangan kita jadi leka dan lupa pula.

Gigih. Bagiku kerja-kerja yang memerah keringat sangat menyentuh naluri. Mungkin kerana aku berada dalam persekitaran yang satu lagi, bekerja dengan minda tanpa keringat mengucur di dahi. Kufikirkan pula latar belakang hidup mereka. Antaranya yang kukenal. Jauhlah coraknya dari cara hidupku. Aku masih sendiri sedang insan yang kuamati itu punya keluarga dan dua anak kecil yang masih belum bersekolah, bekerja pula sebagai buruh. Secara kasarnya kuanggarkan pendapatan kami sedikit berbeza, dan tambah berbeza bila dia mempunyai tanggungan sedang tanggunganku tidaklah seberat itu. Sewajarnya dia harus berusaha sepenuh tenaga bagi kelangsungan kehidupannya sekeluarga. Tambahan dalam suasana ekonomi yang semakin tidak menyebelahi pengguna hari ini. Hingga ramai yang menjadi terdesak, bekerja separuh mati dan menjadi lebih menghayati kelangsungan hidup di dunia ini sahaja.

Maka dia pun berusaha mengadakan apa yang perlu dan sepatutnya buat keluarga terutama anak-anaknya. Dia sibuk. Di waktu senggang dia membersihkan rumput-rumput panjang di rumah-rumah jiran, termasuk rumahku. Jika tidak ada yang meminta tolong maka dia ke kebun menoreh getah pula.

Itu senarionya. Inti patinya, kita dijadikan Tuhan di atas muka bumi ini dengan segala macam permainan sebenarnya. Pekerjaan, keluarga, keasyikan dan segala macam lagi adalah bentuk permainan untuk menghiburkan dan menjadi kegiatan sepanjang kita melewati kehidupan itu. Kita pun bersungguh-sungguh mengerjakan permainan kita itu, ada yang merantau beribu batu dari daerah kelahiran untuk menarikan permainan yang melangsungkan kehidupannya. Ada yang bersabung nyawa, melupakan kepentingan diri dan melalui segala pahit getir demi kelangsungan kehidupan seperti yang dicitakannya.

Manusia pun asyik mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang diciptakan oleh insan lain yang juga mengerjakan permainannya secara bersungguh-sungguh, dan dengan imbuhan melangsungkan permainan itu kita pun mengerjakan permainan di bahagian kita dengan segala keasyikan dan dipaku tandakan pula dengan pencapaian yang kita gelar kejayaan. Di situ segala jerih payah jadi lupa.

Begitulah semua ini berulang-ulang dan templatenya hampir sama dari seorang ke seorang, cuma perlaksanaannya sedikit berbeza. Tetapi itulah permainannya dan tanpa kita sedar nanti kehidupan itu pun berakhir. Moga hidup kita ini dapat kita lalui dalam penuh keberkatan dan keimanan, berakhir pula nanti dalam nikmat dan rahmatNya.

28 April 2008
:: Rapuh

Rapuh.
Segunung pun harapan kau tuangkan menjadi arca sekukuh besi
Pastilah lebur bila tiada kesungguhan.

Usahlah kau bujuk hati yang berderai ini
Jika esok sudah terbentang niat melukakan
Usahlah kau lagukan senandung yang membawaku kesyurga sebentar cuma
Andai esok kau lumatkan hatiku dan kau campak kepersisir busuk dan hanyir.

Sekeping hatiku ini, telah kusudikan engkau untuk melukai
Sekali. Bukan berkali-kali.
Kerna berkali-kali itu nanti, bakal tiada hati untuk ku sementara menunggu mati.


24 April 2008
:: Lirik hari ini...

Harapan

Doaku agar kau kan selalu bahagia
Agar kau temui insan tulus menyayangimu
Lepaskanlah diriku kerna keredhaanmu
Bukan kerna dendam jua bukan kerna kau terpaksa

Ku tinggalkan memori bersamamu
Ku undur diri bersama harapan

Tidak kesampaian cinta kita
Ku bawa harapan ku pendam rahsia
Ku di kejauhan mendoakan
Agar kau bahagia tiada lagi duka

Daku rela mengundur diri
Ku pasti dikau kan fahami…

Tiada penyesalan kasihku korbankan
Andai telah tertulis ku terima ini bukannya ku pinta
Oh pergilah dikau diiringi keikhlasanku,
Cuma pengalaman mengisi kekosongan mimpiku

Lagu ni sudah lama, tapi baru pagi ini aku rasa ianya sedap didengar dan mendayu sungguh liriknya. Lagu dan lirik ciptaan Hazami... hmmm... no wonder.

22 April 2008
:: Selamat Hari Bumi...

Bumi yang tiada rimba / Seumpama hamba / Dia dicemar manusia / Yang jahil ketawa
Bumi yang tiada udara / Bagai tiada nyawa / Pasti hilang suatu hari / Tanpa disedari
Bumi tanpa lautan / Akan kehausan / Pasti lambat laun hilang / Duniaku yang malang

Dewasa ini kita saling merayakan / Kejayaan yang akhirnya membinasakan / Apalah gunanya kematangan fikiran / Bila dijiwa kita masih lagi muda dan mentah / Ku lihat hijau

Bumiku yang kian pudar / Siapa yang melihat / Di kala kita tersedar / Mungkinkah terlewat
Korupsi, oppressi, obsessi diri / Polussi, depressi di bumi kini

Oo... anok-anok / Tok leh meghaso mandi laok / Bersaing main ghama-ghama /
Ale lo ni tuo omornyo berjoto / Koto usoho jauh ke daghi malo petako

Ozon lo ni koho nipih nak nak aghi / Keno make asak hok biso, weh / Pase maknusio / Seghemo bendo-bendo di dunio / Tok leh tahe / Sapa bilo-bilo


Hari ini hari bumi. Selamat Hari Bumi. Aku ucap kat bumi. Orang lain pun ucap yang sama juga. Dalam radio pagi-pagi lagi sudah ke udara, ucapan selamat hari bumi.

Apa yang kita dah buat dengan bumi? Kita sayang ke bumi kita ini? Apa bukti? Aku rasa umur bumi dah tak lama. Ia sudah masuk kategori tua renta. Bila-bila akan tercabut nyawa. Telah terlalu banyak peristiwa yang tertanggung di dadanya, ia pun sudah lunyai dikotak-katik manusia. Sampai masa ia akan pergi jua.

18 April 2008
:: Rindunya rasa...

 

Selaksa rasa dalam dada
berhimpit-himpit mencari tempat berdiri
semuanya mengangkat tangan tinggi-tinggi
"Saya...! Saya...! Saya...!" teriak setiap satu dari mereka
bila menjawap tanya "Siapa antara kalian deria rindu?"

Gawat dan penuh gejolak semangat yang bukat
mereka semua muncul entah dari pelusuk mana
hingga tersisa amat sedikit dari ruang untuk nafas hela menghela
wajah-wajah mereka ceria menanti penuh harap
gapaian yang tidak kenal lelah terus menanti
agar disambut dan dinobatkan.... diangkat pula martabatnya
menjadi satu rasa yang lebih utuh dan berkuasa menakluk dunia

Selaksa kelip-kelip pun hadir
menghias langit malam laksana bintang-bintang yang turun ke bumi
bibir-bibir mulus pun tersenyum seindahnya
meraikan gembira yang bersebaran ke serata alam
bagai hujan manikam yang menyuburkan tanah nurani

Selaksa rindu tersusun kemas di tempatnya
tidak hirau gapaian bersambut, atau dinobatkan
itu semua tidak menjadi mustahak
kerna yang lebih bermakna
adalah rasa gembira
dengannya seluruh alam jadi segar dan mesra
harum dan bermaya.


17 April 2008
:: Keasyikan...

Keasyikan selalu membawa kepada satu pencapaian yang ada masa tidak terjangkakan. Manusia ini pada satu-satu masa bisa asyikkan sesuatu sehingga mengisi makan dan tidurnya. Malah mimpi-mimpi diketiduran juga.

Indah. Seperti kalian juga, keindahan itu mengasyikanku. Indah yang dihadiahkan Tuhan melalui berbagai medium ini sampai kepada kita dalam cara yang berbeza. Alunannya bisa tampil dalam aroma musik yang sehabis ringkas, permandangan yang damai, insan-insan yang ada di sekeliling kita dan melalui makhluk tuhan yang lain.

Keasyikan hadir sekali dan berkali-kali. Ada masa ia seperti satu kuasa sakti memukau dan tidak melepaskan ruang fikir sehingga ia jadi realiti seperti kata hati. Makan dan tidur jadi tidak penting lagi. Pernah kalian seasyik begini?

Telusuri http://www.robosaurus.com/ untuk melihat bagaimana satu dari keasyikan manusia menjadikan mimpi itu satu realiti. Aku ingin meminjam semangatnya. Kita mampu jua, dengan semangat membara yang tidak reda. InsyaAllah.

13 April 2008
:: Tali-temali kebosanan...


Princess V02
Sumber: menikmatic.com

Nun di hujung kiri sana... kelam
di kanan ini juga kelam

di tompok aku berdiri ini juga kelam
bulatannya semakin besar dan mau meraup seluruh tubuh ini

hanyir
kebosanan ini sangat busuk
hingga menanahkan seluruh hati
yang berkali-kali kalian campak ke tepi

katakanlah di mana hati ini ingin berpuisi
dalam syair syahdu yang hidup kurun berkurun?
katakanlah mayapada mana yang bisa kuhirup udaranya
dan aku tidak tercekik dek kecubung seantero buana

perjalanan ini satu kebosanan yang panjang
dan akulah yang terkulai dijerut tali-talinya.

Ada hari kita bangun dengan ceria. Berikutnya diikuti dengan satu demi satu perkara yang tidak menjadi dan kebosanan menunggu di setiap pintu.

Telah terjadi.
Entah ke mana ingin kutuju dan semuanya melemaskan. Pun begitu kukuatkan jua langkah menuju rutin di Mid Valley, sepanjang perjalanan dalam teksi kutuliskan puisi ini dalam Notes talifon bimbit. Sekurangnya terhasil sesuatu dari rasa yang sungguh negatif ini.

Di kebanyakan masa, hanya minda yang mencipta momok-momok jelek dan kita membenarkan ia mengganggu damai, walhal langit cerah dengan cahaya, bunga-bunga tidak pernah meninggalkan kembangnya, rama-rama dan unggas tetap setia menyanyi lagu dalam iramanya.

Hanya kita. Memilih sudut duka dari teka meneka.

[ Maka diri, awas apa yang berlegar di minda. ]

10 April 2008
:: Sudikah...?

Merindu Kepastian

Andai kau menjadi pelangi
Biar ku jadi awannya
Agar kita selalu bersama

Andai kau menjadi sang duyung
Biar ku jadi karangnya
Agar kita sentiasa bersua

Andai kau menjadi merpati
Biar ku menjadi sang bayu
Agar kita sering bertemu

Andai kau menjadi puisi
Biar ku jadi melodi
Bersama kita menyanyi

Andai ku menjadi rembulan
Sudikah kau menjadi kejora
Hingga pagi nanti

Andai esok aku menjadi tanah
Sudikah engkau menjadi bunga
Menghiasi dadaku

Di kebanyakkan masa, bait-bait yang puitis begini adalah sebab utama aku menyukai sesebuah lagu, selain dari melodinya yang kuat dan dapat menyampaikan sebuah penceritaan yang baik lengkap dengan segala latar dan ada antaranya boleh membawa jauh hingga menjadi sebuat epik dalam mindaku.

Lagu ini sudah lama. Dulu kudengar dari alunan Ramli Sarip, tapi hari ini aku tidak berjaya mendapatkan alunan dari beliau, justeru yang kujumpa hanya alunan Art Fadzil sahaja. Dalam keadaan sebenar aku pun tidak tahu siapa yang dahulu menyanyikan lagu ini.

Hari ini dengan dilatari alam yang basah dan sesuatu pula meruntun rasa dari kejadianNya, lagu ini jadi begitu syahdu dalam makna dan harapan. Hari depan dengan pelangi, duyung, merpati, puisi, rembulan dan tanah jadi sangat indah. Ceritera ini belum berakhir, tapi satu masa ia akan tamat dalam waktu seperti yang telah tertulis dek Kalam sejak azali. Jadi mengapa harus menyesali?

[ Keropok binjai yang pahit-pahit ini hanya tinggal lemak manis setelah habis kutelan patinya. Begitu jugalah kehidupan, akan tinggal lemak manisnya sahaja setelah rentetan pahit-maung perjalanan itu kita lewati. Mudah-mudahan, insyaAllah... ]

8 April 2008
:: belum ada tajuk... kalian ada cadangan?

rasa ini tidak perlulah kita perbincangkan
ianya unik melangkaui batas langit
aku mau ia di situ dekat selalu kepada Pencipta
dengan demikian kita dipelihara
dalam dakapan cinta yang asyik dan penuh tulus
kalau kemabukkan pun hayunannya zikirullah
anggukkannya pun selawat yang ratuk

seperti mana kasih Pencipta yang tiada putus dan berbelah bagi
moga terpinjam buat kita ketulusan sedemikian
agar putih hati kita
agar lurus jalan kita
kerna pada setiap bicara banyak dusta
maka ayuh kita diam saja

dalam mengumam nikmat cinta
semurni sejernih kasih Pencipta
walau nanti yang ada dipersada hanya daun-daun kering
mengelintin di geletik angin senja
persis mimpi di subuh yang lewat
sering mengelirukan kekeliruan yang sedia ada

kau, aku dan kita semua
ada masa hanyut tanpa tuju
ada masa terbuai oleh waktu, keadaan dan bisikan
dan kita akan selalu menyalahkan
atau menyandarkan kekesalan pada selain
dari komponen yang bersangkutan dengan diri kita.

4 April 2008
:: Lapar...

SKMM. Lapar. Berada dalam mesyuarat diperingkat ini, isu tadi perlu dilupakan. Bermula dengan tiada sarapan pagi, terburu-buru mengejar transit aliran ringan ke kota pentadbiran yang canggih ini. Di meja mesyuarat ada bungkusan-bungkusan biskut, teko minuman kedap panas, air mineral dan gula-gula, tapi semuanya sekadar di situ sahaja. Tidak ada siapa pun dari pihak tuan rumah mempersilakan kami, yang demikian kalau aku merujuk kepada pesanan mak sewaktu kecil; “Jangan sentuh barang-barang di rumah orang, jangan ambil makanan kalau tidak dipersilakan, jangan buat sepah di rumah orang, jangan buat bising di rumah orang, jangan lari-lari di rumah orang, nanti terlanggar barang-barang jatuh dan pecah pula...”. Ucapan keramat “jangan” itu boleh berlanjutan dan berpanjangan hingga infiniti. Atau lebih mudah sebenarnya “Jangan pergi main di rumah orang”.

Tetapi hari ini kami dijemput untuk memberi penerangan. Mungkin tuan rumah terlalu tertumpu kepada penerangan kami berenam, sewaktu giliranku tadi pun seperti tidak mahu berhenti rasanya. Ya, bila bercerita tentang perkara yang kita tahu atau menyampaikan idea kita, kita akan rasa seronok, teruja dan mahu orang lain pun berasa seronok dan menghargai apa yang cuba kita lakukan. Faedah kepada negara dan dunia itu yang sangat-sangat aku tekankan, apatah lagi bila ianya bergerak atas nama dakwah islamiah. Semoga di permudahkan Allah.

Di mana aku tadi? Ya, aku lapar. Sewaktu aku menulis catatan ini pun mesyuarat belum berakhir. Dato' bos sedang sibuk menerangkan luar dan dalam tentang projek yang telah dan akan laksanakan kepada Pengurus USPD. Mereka nampak seronok dan teruja, aku tetap pasang telinga tidak satu butir pun aku ketinggalan. Tetapi maklumat ini bukan untuk dikongsikan, minta maaf ya.

Rasanya aku tamatkan di sinilah catatan ini. Kerana tajuknya pun lapar, maka aku mahu menikmati kelaparan ini dengan indahnya, sambil menatap teko air seramik yang cantik putih gading dengan kemasan lingkaran emas di badan dan leher melingkar ke pemegangnya serta bungkusan-bungkusan biskut yang sangat cantik teratur kemas di depan setiap sidang mesyuarat.

Sekejap. Sebentar tadi tuan rumah di depanku itu mengoyakkan bungkusan biskutnya tanpa memandang atau menawarkan kepada sesiapa pun antara kami. Ahh sedihnya. Aku pasti aku tidak berapa suka dengan biskut-biskut itu, tapi sekurangnya ia mampu menawar kelaparan.

31 Mac 2008
:: Kehilangan I ...

Ia berlaku saban hari. Sekecil mana pun ia atau sebesar mana pun ia, ia tetap sebuah kehilangan yang meninggalkan kita dengan seribu satu rasa dan perasaan yang berbaur. Sudah beberapa lama aku ingin menulis akan hal ini, namun akhibat bertangguh tanpa tarikh tertentu ia kekal tertunda. Alhamdulillah hari ini dengan sedikit kekuatan aku beroleh masa dan idea untuk mengabadikannya di sini.

Boleh kukatakan bahawa hidupku bermula dengan kehilangan yang besar. Kepulangan ke rahmatullah, arwah abah ketika usiaku menginjak sekitar empat tahun adalah sebenarnya satu kehilangan yang sangat mengesankan seluruh kehidupanku. Impaknya besar, ruang hampa itu tidakkan pernah terisi lagi. Seluruh perjalanan hidup jadi berbeza. Yang tinggal hanya kenangan manis semasa hidupnya, dan cebisan semangat yang dapat kukenang, bersaki-baki dari memori zaman kanak-kanakku. Itu lumrah kehidupan, qada' dan qadar Tuhan, di dalamnya terangkum rahsia yang sebahagian besarnya tidak kita mengertikan.

Melihat kehidupan dari zaman kanak-kanakku hingga remaja, aku bukanlah seseorang yang selalu mendapat apa yang dihajati. Ada kala memakan masa bertahun untuk memperolehi sesuatu, walau ia sekadar kotak pensel. Justeru kalau kehilangan sesuatu sekecil pisau lipat sepuluh sen pengasah pensil itu pun adalah satu isu yang besar dan amat merunsingkan. Kehilangan barang-barang peribadi selalu amat meresahkan dan mengganggu emosi. Terutama bila membayangkan leteran mak bila dapat tahu akan kehilangan itu, dan terpaksa pula memberitahunya untuk mendapat ganti.

Aku kehilangan jam tangan yang pertamaku berjenama Timex. Ia bekas kepunyaan Along yg dibelikan oleh arwah abah. Aku bangga menerima pemberian yang cukup bermakna itu ketika di sekolah rendah. Dan kubawa sewaktu bersokolah di Seremban. Tetapi sewaktu berada di tingkatan 4, jam itu hilang di asrama. Seluruh dunia sunyi bila aku mengetahui ia sudah tidak berada dalam pemilikkanku lagi. Bukan hanya sehari, malah lama aku berada dalam kesedihan mengenang kehilangan itu. Mak gantikan dengan yang baru, yang sangat aku sayangi, dan sangat cantik pula rekabentuknya. Seiko itu buat aku bangga menjadi pemiliknya. Tetapi nasib yang serupa juga, ia hilang ketika Hari Raya tatkala ramai sanak saudara bertandang ke rumah. Aku tidak menuduh sesiapa, tetapi kehilangan itu juga membuatkan seluruh dunia sunyi dan hening. Tidak ada lagi rekabentuk yang sama dengan 18k/22k saduran emas. Ia masih berkeadaan baik dan bergaya.

Aku kehilangan cincin pertama yang mak tempah khas berbentuk hati dengan huruf M di tengah-tengahnya ketika tinggal di Setiawangsa. Seluruh isi rumah mencarinya. Entah ke mana ia terpelanting. Aku tak pernah percaya aku kehilangannya. Dan sampai ke hari ini ia tidak berganti. Setelah itu banyak kehilangan yang lebih meruntun hati, hingga satu masa aku tidak merasakannya lagi. Ya, kalau mau hilang... hilanglah, nyawa ini pun kalau mahu hilang tidak kan bertangguh. Saat pemergian arwah nenek, aku tenang. Cuma bila kafan di bahagian wajahnya ingin ditutup aku tidak dapat menahan sedih yang teramat dan mengalirkan air mata. Selebihnya aku telan sebagai rencah hidup.

Kebelakangan ini aku jadi semakin tidak kisah akan kehilangan, ia seperti sudah sebati, telah terlalu selalu. Maka aku biarkan saja beberapa ketika seluruh dunia sunyi tapa bunyi, tidak lama... hanya beberapa ketika saja. Lumrah kehidupanlah itu namanya, bila kita sentiasa dalam kehilangan, kerana tidak satu pun unsur di dunia ini milik total kita.

Baru-baru ini seorang sahabat dilanda gulana bukan kepalang gundahnya, langit seluruh dunianya bukat, dan gemawan menangis sepanjang masa. Air-air di bumi berkocak keresahan, dan tidak ada unggas yang sudi mendoakan. Dunianya hancur, impiannya lebur, segala usahanya tumpah menjadi air kumbahan yang sia-sia. Lebih kurang begitulah yang dia rasa. Kehilangan yang dia rasanya meliputi semua aspek kehidupannya waima kerjaya dan keluarga. Aku faham akan kehilangan yang begitu mendadak dan mengejutkan itu, tetapi itulah lumrah hukum alam. Suratan dan bukan kebetulan. Ambillah masa meratapi apa jua kesedihan dari kehilangan itu, tetapi janganlah sampai memudaratkan diri sendiri dan masa depan yang masih terbentang.

Sesungguhnya begitulah Tuhan menguji dalam masa. Segala sesuatu bersebab, terjadinya bersebab dan berakhirnya juga nanti bersebab. Sementara melalui semua itu kita perlukan segenap kudrat mengusung tabah dan kesabaran yang dalam. Benar, berkata-kata tidak semudah yang melaluinya. Tetapi sesuatu itu harus juga kita asingkan dari terus-terus menakluki lubuk keresahan di hati kita, jika tidak kita hanya menuju laut hitam yang tidak membawa kita ke mana. Maka jika berhajat menuju cahaya, satu keazaman yang kuat perlu dipatri dan langkah-langkah menuju ke arah yang kita inginkan itu harus diatur dan dirancang. Bila perlahan, menginsut sejari sehari pun tidak apa... asalkan daerah kebukatan itu kita tinggalkan sedikit demi sedikit selaras dengan peredaran waktu. Jika tidak, kita akan sentiasa terkepung dan terperangkap di situ sahaja. Berilah diri kita masa, asal jangan terlalu lama, nanti kita kerugian hanya dalam melayan kerenah dunia, sedangkan tujuan yang paling utama itu sudahlah pasti, dan masanya semakin singkat saban hari.

Ayuh bangunlah sahabat dari keseliratan ini, usahlah bersedih terlalu lama, nanti hilang segala semangat dan tenaga, bagaimanalah pula minda bisa tenang dan mampu merancang agenda kehidupan yang sering kau angankan? Moga kita sama-sama teguh melalui kehidupan yang mencabar dan penuh dugaan ini. For the will always be sunshine after a rainy day. The very best of luck dear, semoga Allah mempermudahkan segalanya buat mu !

[ Kita sebenarnya sentiasa dalam kehilangan, antaranya tanpa kita sedar setiap saat kita kehilangan umur kita... Hargailah setiap saat emas ini dengan sepenuhnya... Live life worth living! ]

30 Mac 2008
:: BTS - Seremban - Kuala Pilah - Batu Kikir dan patah balik ...

Sabtu. Semalam. Adalah hari yang bosan di awal paginya. Bicara soal bosan tak perlulah aku menghuraikan bagaimana rasanya, sebagai insan kalian juga pastilah sudah acapkali menikmati perasan yang tidak menentu itu. Bermula dengan rasa tidak puas hati terlupa membuka tv pada waktu yang sepatutnya untuk melihat Nisah mempromosi buku terkini beliau (walau sudah diingatkan hari sebelumnya, minda yang semakin tua ini kiranya sudah semakin membuktikan kesan usia dan peredaran masa terhadap sebuah kehidupan). Diikuti dengan perancangan yang tidak dapat dilaksanakan, menjadikan masa lompang begitu saja. Bungkam.

Online di YM, kulihat Nisah pun ada, kekesalan kuluahkan, kebosanan kukatakan. Katanya ada acara sastera di Batu Kikir semperna Program Titipan Za'ba. Aku menyahut ajakan bersahaja tanpa berfikir kali kedua. Sejam kemudian aku sudah di perut komuter ke Seremban, Nisah berjanji menunggu di sana. Komuter tiba beberapa minit aku menunggu, sesuatu yang tidak selalu berlaku. Perjalanan lancar ke Seremban. Jam berikutnya kami bersama baby Salsabila sudah di atas jalan menuju Batu Kikir jambatan bosi gulai udang sebelango.

Panas terik menyambut tibaku di Teratak Za'ba. Acara bersama PEN sedang berlangsung, ada lagu puisi yang didendangkan. Begitu juga bacaan puisi dari adik-adik yang masih di bangku sekolah. Walau pun tampak malu-malu sekurangnya mereka di situ, di atas pentas itu mendeklamasi puisi dengan semangat yang cukup puitis. Seperti mana jernih sinar harapan dari kanta mata Puan Mahaya melihat dua anak itu, begitulah harapan yang tersemai agar mereka tumbuh menjadi penyair yang bakal menggantikan barisan hadapan dunia kepenyairan tanah air suatu masa nanti.

SN Dato' A. Samad Said serta isteri turut sama memeriahkan majlis ini, malangnya petang itu aku disampuk malu untuk mengacu lensa kamera ke arah mereka. Jadi pertemuan itu kekal dalam minda tanpa dirakam dalam bentuk foto. Khabarnya di sebelah malam pula bakal ada persembahan lagu-lagu puisi dari Kopratasa dan juga deklamasi sajak dari Dato' sendiri. Malangnya aku harus pulang petang itu juga.

Panas benar-benar memerah seluruh keringat, seperti hujan yang cuba meredakan terik tempik sang suria di perkarangan Rumah Za'ba. Ada berbagai acara berlangsung ketika itu, antara yang mendapat sambutan hangat adalah pertandingan memancing di kolam bersebelahan rumah tersebut. Beberapa permainan tradisional seperti congkak juga dipertandingkan.

Aku teringat sahabat kesayangan yang pulang ke kampung hari ini dan rumahnya cuma sepelaung dari teratak Za'ba. Maka aku pun menalifon, suara segar Jedah di hujung talian menyambut pendengaran. Dia agak terkejut bila kumaklumkan aku ada di kampungnya dan meminta supaya dia bersegera ke Teratak Za'ba. Tidak lama kemudian aku melihat kelibat Iswara putih Jedah memasuki tempat meletak kereta. Teruja, seperti bertahun tak jumpa. Walhal baru minggu lepas Jedah bermalam di rumahku dan baru sehari lepas kami berbual di talifon.

Kesempatan ini kami melihat-lihat Teratak Za'ba. Rumah tradisional yang cantik. Tiba-tiba aku jadi inginkan sebuah rumah seperti itu, dengan redup teduh buatan kayu kayannya. Petang-petang boleh minum teh panas atau kopi di bawah rumah sambil berbual-bual dengan sanak saudara, dan angin petang pula berhembus lembut mengadun suasana dalam mesra yang tidak terungkapkan.

Matahari sudah mula mengalah walau pun masih garang bertempik seperti enggan beredar meninggalkan hari, kami pun beransur pulang ketika jam melepasi lima setengan petang. Perjalanan pulang terasa singkat, samada memang jaraknya tidak sejauh mana atau pedal minyak kereta Nisah mendap ke lantai aku pun tak pasti. Yang pasti kami berceloteh sepanjang jalan, mengutip tawa dan jenaka hinggkan ketika berhenti di satu lampu isyarat, ada kakak di kereta Honda sebelah yang berkata dengan kuat kepada anaknya yang duduk di sebelah betapa gembira dan cerianya kami. Tawaku pasti menerobos segenap buana, tetapi si kecil Salsabila tidak tergugat dari lena. Ah, kakak itu cemburu barangkali, kerana gembira sebegini jarang-jarang terjadi apatah lagi di hari yang bermula dengan kebosanan yang maksimum.

Berhenti di gerai tepi jalan di Terachi, aku membeli sepuluh butir telur itik, seikat petai dan beberapa makanan ringan untuk dibawa pulang. Petai dan separuh telur itik akan kuberikan pada Ongah. Selera adik beradik lebih kurang sama saja. Lebih kurang 6.45 petang sampai di rumah Nisah. Selepas solat Maghrib, Nisah dan Syukri beriya benar meminta aku makan malam dahulu sebelum balik. Kami ke Pitch n Chips milik saudara mara Epong, sudah beberapa kali aku menjamu selera di sana. Aurorans juga sudah dua kali mengadakan majlis berbuka puasa di sana. Pulang dengan beg kertas yang sarat dengan buku-buku Epal Merah dan Sebelum Bintang Berjatuhan. Bagi yang ingin mendapatkan buku Sebelum Bintang Berjatuhan yang juga turut memuatkan cerpen terkini Ahmad Patria, Pedang Democles bolehlah berbuat demikian dengan menulis emel kepada elaira4ever [at] yahoo [dot] com. Hanya ada lima buah sahaja ya, jadi kalian harus bersegera.

Tiba di stesen komuter Seremban sekitar jam 9.30malam, ada komuter yang menanti dan akan berlepas jam 9.40malam. Sedang elok benar, bakal sampai di stesen Bandar Tasik Selatan sekitar jam 10.40malam, fikirku sendiri. Komuter kosong, tidak ramai penumpang yang bersesak-sesak seperti selalu. Sekitar jam 11malam aku sudah di rumah.

Alhamdulillah, satu hari yang bosan telah terisi dan beralih ceria. Syukur ya Tuhan atas gembira seindah ini. Sesungguhnya perjalanan hidup ini adakalanya amat misteri, yang pasti kita tidak tahu apa atau bagaimana detik seterusnya akan memberi warna pada lembaran kehidupan y ang kita lalui ini. Detik ini adalah hidup dan kehidupan, maka aku amat menghargai apa yang terhidang masa ini ketika ini. Esok belum tentu, yang ada cuma harapan yang sangat tinggi agar terbit mentari esok, nafas ini masih setia turun naik agar dapat kunikmati lagi terik panas mentari membakar bumi.

[ InsyaAllah nanti akan kupadatkan dengan gambar yang semapt kurakam. ]

25 Mac 2008
:: Ketulusan Hati...

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Cintaku hanya indah
Hanya bahagia untuk selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati
mencintaimu tak mengenal ragu
keyakinan hatiku hanya untuk dirimu selalu

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Tak ada seribu janji
Hanya bahagia untuk selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis hanya tulusnya hati
Mencintaimu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku hanya untuk dirimu selalu

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku... ooo

Berulangkali lidah ini mengusung satu kata bernama keikhlasan, dan aku hamparkan hatiku yang putih menatang segenap apa adanya yang tersua dari hukum alam ini. Namun ia tidak semudah kata atau ucapan, tuntutannya melebihi segenap kudrat dan keupayaan diri sebenarnya, dan di akhir semua itu hati yang putih pasti berdarah dan hancur lumat.

Aku menatang doa seluruh alam agar kekal tulus ikhlas, agar sentiasa ada canting batik purba, agar esok lusa bisa kurona kanvas mana yang belum berwarna. Tuhan, semua ini tulus atas namaMu... maka jangan ada kata hati berbolak-balik mengira-ngira detik waktu yang pernah kutumbuhkan menjadi tugu.

Tuhan, sesungguhnya segala apa pun bukan urusanku, semuanya kembali kepadaMu, dan seperti yang selalu kututurkan buat meneguh langkahmu, tidak ada satupun di dunia ini yang kita kerjakan menjadi sia-sia selagi ianya terlaksana atas namaMu, dijalanMu dan dalam mencari keberkatanMu.

Kututup mata dalam-dalam, mendengar nafas sendiri yang terhenti-henti, apakah dalam benar sendu kali ini? Jika ikhlas yang kuhadiahkan semua ini tidak perlu kufikirkan, yang lumat itu biar saja begitu, yang berderai itu biar saja begitu... satu masa kalau entah angin apa yang menderu mungkin semua ini akan jadi lupa, persis memori sang serangga seperti kata abang Pat yang hanya berkitar selama dua minit sebelum meruap.

Tuhan, bimbinglah aku agar kekal tulus dan berjalan di jalan yang lurus seperti ajakkanMu. Aminnnn.....

19 Mac 2008
:: Seluruh langit...


Vincent Van Goh : Haystacks under a Rainy Sky

Ingin benar aku melakar seluruh langit
di tangan ini ada berbaldi-baldi warna seluruh alam
ada canting-canting batik purba
ada gurindam dari lebuh pasar mengembara

Seluruh langit pun tersenyum
dadanya lencun kucucuh corak entah rupa apa
katanya... lakarlah sesukamu mengikut hatimu
tapi jaga emosimu... emosi itu peluntur warna

Pada mentari cemerlang
warna-warna pun kering dan mengisahkan sebuah epik
kisah cinta, perang duka dan pelarian tanpa hujung
ada ratap tangis mengakhiri kesudahan yang suram

Dan langit pun menangis
seluruh warna pun luntur meniarap ke dada bumi
saki baki warna yang tertinggal pula bercampur aduk
dan membentuk hitam yang kelam

Aku lihat langit menjeling
katanya "Sudah kupesankan lewat pelangi dan renjisan mawar,
emosi itu meluntur warna, kau adunkan jua"
aku pun tertunduk menyesali
di tangan ada canting-canting batik purba
cuma baldi-baldi warna sudah hampa

Aku kembali mendongak mendepa mata separas
nun di sana ancala berbaris-baris
aku ingin mencari warna-warna seluruh alam
esok di dadanya akan kulukis kisah yang baru
kali ini emosi tidak akan mencela
kerana kali ini warna telah kuadun bersama batu.

 

 

yang berziarah di hujung rimba...

 


biarlah kalian yang
teka meneka dan
berkata-kata...

Terindah

Cedar of Lebanon... yang juga tajuk lagu Fairuz yang satu lagi

The Temple of Venus in Baalbeck

Jom Tonton

 


Kelab Sahabat
M. Nasir

Kelab Sahabat
Satu Usaha MurniLagu Jiwa Kenduri Kawen
Juwita

-----

Dunia

Menara Cahaya

 

Irama Hujung Rimba

Ketulusan Hati
- Anuar Zain -

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Cintaku hanya indah
Hanya bahagia untuk selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau biardengarkan kasihku

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati
mencintaimu tak mengenal ragu
keyakinan hatiku hanya untuk dirimu selalu

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Tak ada seribu janji
Hanya bahagia untu selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku
Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis hanya tulusnya hati
Mencintaimu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku hanya untuk dirimu selalu

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku

Bacaanku

Sudah Tamat

Sedang Dibaca

Menunggu Giliran

Pemilikan Terbaru

 

 

Buku-buku ini boleh didapati di www.ujanailmu.com.my

Copyrights © 2002 - 2007 Myths in the Haze
http://www.elaira.net