24 Jun 2009
:: Siri Catatan di Tanah Suci (Offline)
Aku menyahut panggilanmu, ya ALLAH aku menyahut panggilanMu.
Tiada sekutu bagiMu.
Aku menyahut panggilanMu.
Sesungguhnya sekalian pujian dan sekalian nikmat adalah semata-mata milikMu.
Demikian juga sekalian kerajaan.
Tiada sekutu bagiMu.
Syukur yang tidak terhingga buatMu Ya Rabb kerana impian selama ini dimakhbulkan. Tertunai jua hasrat untuk menginjak bumi para Ambia ini. Kalau ditanya bagaimana perasaanku ketika itu, maka tiadalah tutur kata atau sebarang tulisan yang mampu menyampaikan seluruh rasa dan perasaan.
Tak tergambar rasanya. Tak terlukis indahnya. Tak terlagu makmurnya. Betapa bersua kekasih sejati itu nanarnya melebihi segala.
Tidak banyak aku menulis sewaktu di sana. Waktu terisi dengan aktiviti yang sepatutnya. Cuma pada ketika tertentu sahaja aku mengangkat pena. Aku kongsikan secara berperingkat di sini mengikur kesempatan menaip semula catatan di buku nota.
6 Jun 2009 - Sabtu - 12.44pm w.t.
:: Lalat
Ketika tibaku di sambut beberapa ekor lalat, ia hinggap di hidung dan bahagian lain muka dan tubuh, aku jadi sayu. Sayu yang dalam. Sedarlah betapa diri tidak lebih dari seketulan bangkai, cuma belum masanya ia membusuk, berulat dan bermala.
Tuhan, terima kasih atas nyawa, dengannya aku bernafas dan buat sementara waktu, menjadi bangkai itu tertunda.
:: Nenek Tua
Hari kedua aku di Masjidil Haram.
Beriktikaf di ruang solat perempuan, betul-betul di sudut Hajaratul Aswad. Yang demikian pintu Kaabah dapat kulihat jelas dari dudukku.
Di sebelahku. Bersandar di tiang masjid seorang nenek tua yang benar-benar menarik hatiku. Seluruh kasih tertumpah pada wajah yang telah luti dimamah usia. Sosoknya kecil. Jubah hitam yang dipakainya telah menelan seluruh tubuh, tengkolok putih menutupi kepala.
* spontan, wajah itu terkait dengan gambar ini. Raut wajah tua itu persis sekali seperti sosok yang dilukiskan untuk gambar mainan ilusi ini. sila amati wajah tua dan abaikan wajah muda.
Soket matanya ke dalam, hingga hampir menyembunyikan bola matanya yang jua kecil, namun alisnya yang lentik tetap terserlah. Anak matanya bewarna kuning kehijauan, hidungnya tinggi dan seulas bibir kecil yang telah berkedut terjeromos ke dalam menandakan barisan gigi yang sudah tiada.
Dia memang tua, mungkin mencecah 90tahun. Tetapi kudratnya tetap ada, masih berupaya berikhtikaf dari Asar ke Isyak. Malulah kalau ada yang muda-muda sekadar hadir berjemaah waktu solat sahaja.
Kedut di wajahnya kasar, tetapi dari kulitnya yang putih kuning kecantikkan usia mudanya masih berbaki. Aku salaminya dan tumpahkan kasih sayang dalam senyuman. Bahunya kuusap lembut, dia tersenyum menampakkan sumbi emas. Sungguh aku yakin di usia mudanya dia mungkin seorang yang cantik dan sungguh manis.
Selain bertukar senyuman, aku bertanyakan asalnya. Katanya "su-ri-a" yang kemudian aku fahami sebagai Syria.
Ketika aku meneguk zam-zam yang dingin dia menghulurkan tangannya, kuhulurkan botol plastik berisi zam-zam yang berkabus kedinginan, dia meneguk dengan berhati-hati dan memulangkan selebihnya kepadaku. Dia kemudian meneruskan pembacaannya, menelusuri kisah dan sejarah yang dipesankan dalam kitab suci.
Selesai Isyak, anak perempuannya yang berada di saf hadapan berpaling dan memimpinnya pergi. Kami bertukar senyuman dan lambaian terakhir. Aku pasti, itulah kali terakhir mata kami bertemu, aku tidak akan bertemu lagi dengannya. Sepotong wajah tua yang tenang itu kekal dalam lipatan memoriku.

28 Mei 2009
:: Menyahut PanggilanMu

Kalau inilah rindu
nanarnya aku mengenang indahMu
dan betapa tebalnya rasa
membedung seluruh hidup menatih langkah
teruntuk buatMu
Kalau inilah kasih
maka akulah kenari bernyanyi
lembah dan lurah kulayahi
kutaupkan hatiku ke hatiMu
Kalau inilah panggilan rindu dan kasihMu
maka akulah yang terpempan menatang lautan demi lautan kasihMu
dan dalam doa kudusku Ya Rabb, kusambut panggilan itu
kusemat kemas dalam sanubari
tercercah cahaya berlapis cahaya
daerah yang dulunya kelam kini terang benderang
tiada resah
tiada walang
yang ada, hanya tenang datang bertandang.