
biarlah kalian yang teka meneka dan berkata-kata...

20 Oktober 2006
:: Salam Lebaran dari Hujung Rimba...


19 Oktober 2006
:: Lara Rimba... (part I)

di rimba ini tawa alam pernah bergema
kembangnya mengharum
siulan unggas bersahutan
renungan mentari mesra dan akrab
persahabatan ini pejap dalam kasih Ilahi
aku pun terpinjam redup kasih itu
terpinjam suara alam
yang selalu kukatakan ghaib dan misteri
tetapi bicaranya terus ke hati
dan untuk satu tempoh yang lama
aku benar-benar dibuai asyik
selalu pula terlena dengan senyum nipis di bibir
bunga dan bunga
subur di taman kalbu
dihias manis dan rindu
digebu wangi dan madu
tika senja
mega-meganya jingga
malas-malas beredar di pinggir bukit
sedang sisa langit siang
masih teguh memegang biru yang damai
di dadanya unggas bergegas mencari sarang
senjanya adalah wirit cacing gelang-gelang
nyanyian sepi cengkerik
sayup-sayup azan dari surau dipinggir jeram
halamannya segar dalam kelam
buminnya menyesatkan langkah
kehadiran purnama dinanti
si pungguk mendayu sunyi meninggi
si tukang berumah di dahan jati
tumbuk kalang meninting ke dini hari
padi-padi diirik menanti mentari tegas esok hari
embunnya mendamaikan resah
seluruh jagatraya hujung rimba bugar dalam salam pertama mentari pagi
mikrajnya menjadi awan adalah kabus gemawan
segar dihela nafas muda nafas tua
sejuknya segarkan tubuh mencelikkan minda
damaikan hati yang rengsa
sinar ceria berpercikan serata buana
rimba ini pernah meriah dengan gembira senyum dan tawa.
(... akan disambung)

12 Oktober 2006
:: Akur...
Seorang sahabat baik mengatakan dia terkejut dengan 'perubahanku'. Aku hanya menjawap, aku akur dengan masa. Aku tidak meminta-minta sesuatu keterlaluan dan menerima apa jua seadanya. Dia masih pelik. Katanya dulu aku tidak begitu, ini benar-benar bukan dirimu, katanya lagi. Aku kerasukan barang kali dihuni roh jahat atau roh give up? Begitu ya? Aku sekadar tertawa ringan. Dia yang menilai, aku separa tidak tahu... 
Sepanjang jalan yang kita namakan kehidupan ini banyak yang kita lalui. Setiap detik mencorak makna, mengajar sesuatu dan sentiasa memberi pesan sesuatu. Dulu pun aku ada menulis tentang sekolah hidup bukan? Aku pun ada menulis tentang bagaimana menjadi kuat dan tabah. Aku pun ada menulis tentang daya saing dan pencapaian. Dan entah berapa pula bilangannya aku menuturkan dengan semangat yang membara-bara pada sahabat-sahabat baikku itu tentang usaha-usaha memajukan diri serta menangani permasalahan duniawi.
Kini aku ingin berehat. Semahu-mahunya. Dari semua sebab. Dari semua yang selalu menjadi hantu di fikiran. Dari semua kehendak yang ingin macam-macam. Aku pun tidak mengharap lebih dari yang termampu kuusahakan dengan sederhana sekali. Aku pun tidak akan bersusah-susah merealisasikan imaginasi. Aku ingin berehat dari semua mahu duniawi. Dari semua yang berkebarangkalian akan menyedihkan aku. Kerana sedih sekecil hama sekali pun bisa menghancurkan aku selumat debu.
Aku tidak mengharap akan pertemuan (walaupun lama benar tidak bersua), kalau terjadi pertemuan, maka aku bersyukur, jika tidak... tak mengapa. Dengan izin Pencipta aku tidak akan merasa apa, aku memohon untuk tidak merasa apa. Aku tidak mengharap untuk kalian buatkan aku tersenyum seperti dulu, kerana kini kalian semua punya kehidupan sendiri yang perlu diurus. Lagipun aku malu, amat malu, meminta dan meminta terus. Sedang apa yang kalian berikan pun tidak mampu kubalas.
Tak apalah aku dengan apa yang ada disekeliling ruang yang kecil ini. Ruang ini pun terpinjam tidak lama lagi. Singkat amat rasanya. Aku cuma mahu merenung kali yang tenang, tanpa apa-apa rasa. Mohon jangan kocakan permukaan air itu, bunyi itu akan menusuk dan menghiris tangkai jantungku.

10 Oktober 2006
:: Majlis berbuka puasa sana sini...

Bila Ramadhan tiba, maka banyaklah antara kita yang merancang dan mengadakan majlis berbuka puasa bersama. Dengan kawan-kawan, teman sepejabat dan majikan, ahli keluarga dan kelompok-kelompok yang lainnya.
Seingat aku sewaktu masih kecil dulu, acara berbuka bersama ini selain dari di rumah hanya diadakan di surau kampung. Setiap keluarga akan membawa juadah dan lauk pauk yang dimasak di rumah masing-masing, kemudian dihimpun dan dinikmati bersama. Setelah itu pula sembahyang terawih bersama. Kanak-kanak akan bermain kejar-kejar di laman surau atau apa jua permainan yang selayaknya bagi anak-anak kampung diwaktu itu. Sesekali mencelah pula di barisan belakang menyertai terawih dan berselawat sekuat-kuat hati melawan surau seberang. Maka akan bersahutanlah selawat nabi dari kampung ke kampung dan tambah indah bila bulan mengambang. Sawah padi yang beralun terlihat jelas dalam sinar ramah purnama Ramadhan.
Surau kecil di kampung ku itu terletak di tepi bendang dan di antaranya terdapat sebatang anak sungai yang mengalir dari bukit. Bila sunyi diantara tomakninah, akan kedengaranlah gemercik air yang mengalir, bersulam suara cengkerik dan katak yang mengadun suasana damai yang tidak terucapkan.
Ketika itu bekalan elektrik belum ada. Jadi arwah abah pinjamkan lampu gasolin dari rumah, maka terang benderanglah surau kami berselang-seli dengan lenggokkan api pelita ayan. Bagi menerangi jalan pulang kelak, kebanyakkan jemaah akan membuat andang dari daun kelapa yang diikat pejap-pejap dengan panjang melebihi sedepa, bergantung kepada jarak surau dengan rumah. Ada yang membawa dua andang, apabila habis terbakar satu maka yang satu lagi melengkapkan perjalanan sehingga sampai ke tangga rumah.
Ketika itu suasananya amat berbeza dari sekarang. Udaranya nyaman dan ikhlas, tidak seperti sekarang sesak diasak jerebu. Memang kami penduduk kampung akan membakar sampah sarap atau batang jerami, tetapi asapnya tidak meracun begini. Malah bau-bau asap begitu lah yang menambahkan keberadaan suasana di kampung, dan alam dalam diam tersenyum mesra membelai manusia yang menghuni persadanya.
Cukuplah aku menerawang jauh merantau masa lalu yang kurindu. Sepanjang Ramadhan ini pun aku belum berkesempatan pulang ke kampung. Ya, aku terima dengan ikhlas, beginilah adanya perjalanan hidup.
Kini bila Ramadhan muncul, kita akan menyusun agenda berbuka di restoren-restoren dan juga di hotel-hotel. Hidangan ala buffet mempelawa kita berterawih di deretan hidangan yang menyelerakan. Aku tidak mengata kalian atau orang lain, ini cerita hidupku. Seperti seloroh Rosh semalam, bila bercerita tentang keenakkan makanan di salah satu restoren di Wangsamaju, dekat nak dua puluh round dia berulang mendapatkan meja hidangan, belum masuk witir. 
Suasana telah berbeza, kehidupan kita juga telah berbeza. Surau kecil di tepi bendang yang terbina dari papan dan tiang kecil pun sudah lama diganti dengan surau batu yang lebih besar di lokasi berlainan yang jauh dari bendang. Bendang pun hanya tinggal nama, lebih kemas dikatakan semak-samun sekarang ini. Selalu pula aku idamkan ingin mengulang suasana itu, tapi ya lah... arwah abah pun dah tak ada, arwah nenek pun dah tak ada, ramai pula arwah-arwah jiranku sudah tak ada... terlalu banyak komponen yang membentuk suasana tersebut telah tidak ada. Sewajarnya lah suasana berubah. Dalam lelah aku pun terpaksa mengikut rentak alam yang resah. Akur dan tidak meminta lebih dari yang diberikan oleh Pencipta.
 4 Oktober 2006
:: Kad ucapan pertama...
Semenjak kerajaan memperkenalkan dunia internet, semenjak aku mengenali dunia internet, semenjak semakin ramai yang lemas diasak kesibukkan tugas, semenjak semakin ramai pengguna talifon bimbit, semenjak aku menggunakan talifon bimbit, semenjak sms meraja, dan tahun-tahun kebelakangan ini mms pula menambah warna, maka semenjak itu juga kebiasaan menghantar kad raya semakin sepi.
Jika dulu sewaktu kecil, kad ucapan hari raya amat ditunggu-tunggu. Posmen sangat sibuk di bulan puasa, seringkali pula diberitakan melalui media massa tentang operasi lebih masa jabatan tersebut untuk memastikan segala bentuk kad ucapan sampai kepada penerimanya sebelum Hari Raya menjelang tiba. Malah seingat aku fenomena ini pernah mencipta kekalutan di jabatan pos, kerana timbunan kad ucapan yang terlalu banyak yang perlu diproses. Dan ketika itu sering kali juga aku mendapat kad ucapan yang tidak dicop stem nya. Kemudian daripada itu diperkenalkan pula mesin-mesin pengecop stem secara otometik yang dapat memproses kiriman dengan lebih pantas. Hasilnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini tidak timbul lagi masalah memproses serta menghantar kad-kad ucapan Hari Raya. Kalau ada kad yang sampai selepas Hari Raya bermakna ia lambat diposkan.
Aku sendiri selalu terlepas peluang menghantar kad ucapan secara manual kepada kawan-kawan. Ini kerana dua tiga tahun sebelum ini bulan puasa aku berlari-larian kerana tugas. Berbeza tahun ini, suasana kerja tidak membebankan dan dengan itu juga aku punya waktu mengutus kad ucapan buat beberapa teman dan sahabat.
Terima kasih kepada Unsunghero kerana sudi menghantar kad hari raya istimewa dengan potret keluarga ke Hujung Rimba. Sekali gus ini adalah kad raya pertama yang kuterima tahun ini. Kad kedua dari sahabatku Zulela, terima kasih Zu. Aku percaya kad untuk kalian juga berselisih diperjalanan. Tahun lalu kad pertama adalah dari M. Nasir!
Menerima kad ucapan manual ini lain rasanya. Memegang dan membacanya menjadi sangat bermakna. Ia mungkin sesuatu yang remeh, tetapi bagiku ia membawa makna, menambahkan ceria, mengeratkan silaturahim terus ke hati sanubari. (Sempoii akan buat aksi "setiap hari sayang" ).
Mungkin tidak semua dari kalian berjaya kukirim kad ucapan, masalah utama ialah tiada alamat. Justeru dengan itu, nantikan lah kad ucapan maya buat semua. Hahahaha... cakap tak serupa bikin! 

|