B E L I !    B E L I !    B E L I !
Layari http://jiwakacau.blogdrive.com
Harga RM20 Postal RM2

Untuk pesanan dan tempahan sila klik

"Buku yang kamu sedang pegang ini, koleksi Jiwa Kacau, walaupun mungkin bukanlah himpunan terbaik dan definitif, adalah antologi yang mempamerkan wajah blog Malaysia (pengantar bahasa melayu) sekarang ini. Setahu saya belum ada satu pun blog bahasa kebangsaan yang dibukukan sebelum ini. Di tangan kamu adalah sehiris sejarah. Pertama seumpamanya. Capai dan belilah. Simpanlah. Hartakan."

- Saharil Hasrin Sanin -

:: 28/12/05

Sekitar jam 10malam Basri menalifon. Ada pertemuan diantara penulis-penulis JK dengan wartawan Berita Harian di Jalan Telawi. Aku ralat tak dapat ikut sama kerana aku di kampung menghabiskan cuti hujung tahun. Belum rezeki Elaira untuk jadi glamer agaknya

:: 5/12/05

Minggu lalu, diberitakan oleh tuan penyelenggara, bahwa projek JK2, dengan tajuk Seunggun Bara Dalam Dada (SBDD) akan menyusul setelah projek JK berjaya mencapai objektif penerbitannya.

Dengan izin Allah MitH sekali lagi ingin turut sama memeriahkan SBDD. Pada masa ini aku sedang menyelak-nyelak kembali tulisan yang boleh dan rasa layak dimuatkan di dalam SBDD kelak.

Semoga projek kedua tuan penyelenggara ini juga akan berjaya seperti JK!

 

arkib I erikas

 


20 Januari 2006
:: Just another day...

Sisa langit cemerlang menyambut kepulanganku di perkarangan apartment senja ini. Seorang anak kecil berbangsa India dengan selipar decit-decit, berjalan terkedek-kedek diikuti oleh ibunya yang sedikit bertubuh.

Dia nampak teruja dengan bunyi decit-decit seliparnya, mula terlompat-lompat dan akhirnya dengan langkah terkedek-kedeknya mula berlari. Sang ibu mula berteriak (semestinya dalama bahasa yang tidak kufahami) sambil mengejar anaknya itu.

Melihat sisa langit cemerlang lagi dan tersenyum pada alam. Kelibat India dua beranak tadi sudah tidak tergarap oleh pandangan - kami bergerak ke arah yang bertentangan. Langit petang ini tetap cerah, tidak terusik oleh pekat bukat hujan lebat semalam.

Seharusnya aku pelajari sesuatu di situ, gulana semalam seharusnya tidak menginjak ke hari ini. It is just another day, another life... everyday...

Katakan sesuatu [ erikas ]

19 Januari 2006
:: Malu...

Bila sesekali berkesempatan melawat ke blog otai-otai Geju yang nama mereka sudah terkenal dan glamur yang tidak boleh dinafikan lagi... membaca tulisan mereka, melihat fotopages mereka... aku merasa malu!

Mereka ada gaya penulisan dan corak penceritaan yang tersendiri. Menyentuh perjalanan hidup dengan begitu kreatif sekali. Sedang aku; kiranya hanya mengumpul debu. Serasa begitu malu, seperti tiak langkah ini untuk berjalan seiring.

Begitulah, kita selalu melihat kesempurnaan pada apa yang tidak kita miliki. Semoga suatu hari, aku mampu menyampaikan kisah hidup sebaik mereka dan mampu pula menulis lebih baik dari hari ini.

Katakan sesuatu [ erikas ]

16 Januari 2006
:: Perlahannya...

Terasa perlahannya waktu
mengheret rantai dari penjara duniawi
berat dan berat sekali
cekangnya mengikis kulit dan isi
menampakkan belulang usia

Terasa perlahannya jemari
menguis debu dan pasir melekat
dan sebati di sisa darah nan mengering
pada belacu kusam dan robek
dimamah perjalanan yang menghambat

Terasa perlahannya liur
menuruni tekak yang pahit
lekang dek senyum suria yang ramah

Terasa perlahannya nafas
direkat gemawan gundah
dijerut cengkerik kubur sunyi.

[ hehehe... apsal laa puisi aku hari ni jadi edisi seram plak... huhuhu... ]

Ayuhlah kukisahkan sesuatu, tentang puisi dan aku.

Ada masanya, aku terbayangkan sebuah cerita, lalu aku mencari kata-kata merangkai semuanya sebaik bicara, menyusun apa adanya yang mampu... menjadi puisiku.

Ada jua ketikanya, apabila aku melihat sesuatu, kejadian ataupun roman alam.... aku jadi terinspirasi, untuk memuji, mencela, mengkagumi atau apa sahaja, dan aku pun menyusun kata... menjadi puisiku.

Tidak kurang pula ada harinya, satu patah perkataan yang tiba berulang dalam minda seperti mengajak aku kepada sesuatu yang aku tidak tahu. Lalu kuturuti mahunya, selari dengan kutuliskan di media apa sekali pun, patah kata itu akan mencorak ceritanya yang tersendiri. Seperti kisahnya puisi hari ini, tiba-tiba di tengah kesibukkan bekerja, kata-kata "terasa perlahannya..." berulang kali berlegar di minda, menggamit rasa, minta keadilan agar ia jua diberi peluang untuk tumpah menjadi puisi...

Lalu kuturuti... maka lahirlah sebuah puisi... "Perlahannya... ".

Sekian al-kisahnya...

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

Nota: Kemaafan jualah yang kupohonkan buatmu sahabat, bila kata-kataku merona sayu di kalbumu. Aku hanya menulis dari hati. Seupayanya aku hanya mahu yang indah-indah dan gembira sahaja bersemi dan kukongsi bersama kalian, tetapi ada ketikanya aku tidak pandai menipu diri, izinkan sesekali aku mengadu rasa di sini. Sekali lagi, maaf ya...

15 Januari 2006
:: Tuntutan naluri...

Selalu, insan berbuat macam-macam. Ada yang meredah belantara, mendaki jeram-jeram. Ada yang meranduk ganasnya ombak, membentang layar, mendakap gahnya lautan. Ada yang mengungsi kendera, menghujam pedal tenaga, bergerak pantas melawan masa. Ada yang mencoret warna di helaian kanvas, melukis naluri dalam garapan sanubari. Ada yang menulis seperti apa yang kulakukan ini, dan membaca seperti yang sedang kau lakukan ketika bola matamu menyapa aksara-aksara ini, dan hatimu menghadam maksudnya.

Malah berjuta lagi perbuatan demi perbuatan yang sedang berlaku di muka bumi ini serentak dengan apa jua yang kita kerjakan tika ini... adalah semata memenuhi tuntutan naluri.

Belum pula reda segala mahu kita, selagi nafas menghangatkan nyawa. Beroleh satu, yang berikutnya pula kita mahu. Kita tak pernah cukup... tak mahu cukup. Berinjak dari rasa kekurangan, tidak lengkap dan mencari kesempurnaan, yang pada hakikatnya bukan milik insan persis kita.

Aku tak pernah terkecuali dari semua itu. Maka pernah kudaki jeram-jeram, merasa dinginnya mata air menyejukkan bumi Tuhan ini, kubasahkan jari dan kubawanya memesrai wajah, agar pindah segar alam kewajahku sepanjang perjalanan yang tidak kutahu. Waktu itu usia dipanggil amat muda. Waktu itu tidak banyak yang aku faham dan mampuku hadam. Dan aku mengira suatu masa tidak jauh dari itu semuanya akan sempurna dan baik-baik saja.

Pernah jua ku redah ombak melambung, mengunjungi tanah dalam dakapan lautan, mencari kelainan, menjadi lain. Dan kutimba pasir-pasir dipantainya mendekati jasadku, kuhirup dalam-dalam segar udara bergaram, agar pindah biru laut dan gaungan suara ombak, menjadi abadi dalam dadaku, biar kelak aku tidak rindu. Waktu itu usia masih bernama muda. Tidak banyak yang aku fahami, setiap pengalaman aku pelajari, yang aku ingat harapan menghadapi esok adalah seindah terbitnya fajar di ufuk timur. Dan aku mengira, tidak lama nanti semuanya akan sempurna dan amat baik adanya. Harapan terang dan menyala.

Seperti kalian, aku juga berbuat segala sesuatu memenuhi ruang dan tuntutan naluriku, masih, dengan harapan yang terang dan menyala, dengan penuh bersemangat dan berbaik sangka, suatu ketika tidak lama dari itu, semuanya pasti akan sempurna dan amat baik adanya.

Kini, waktu-waktu itu telah lama berlalu. Wajah hutan-hutan yang kuredah, sejuk kali yang kubawa kewajah, biru laut yang kusemat di jiwa... semakin sayup meninggalkan masa. Banyak yang Tuhan tunaikan, aku sangat-sangat bersyukur. Namun naluri terus menuntut segala sesuatu yang belum tertunai, tidak kurang pula yang baru. Naluri mahu saja mengulangi apa yang telah aku langkahi, teringat indahnya... birunya... sejuknya... serasa ingin kembali.

Tapi musim telah lanjut dan berubah, kesempatan jua semakin jauh. Yang tinggal hanya kenangan, yang menjadi abadi. Kenangan tidak berlaku hari-hari, ia sudah terjadi dan hanya kekal dalam ingat-ingatan. Untuk yang tidak tergapai dek tangan, mudah pula ia mengusik rasa, tapi itulah hakikat kehidupan ada pintaan yang berlalu menjadi kenangan. Dan dengan tanpa kompromi, naluri tetap saja mahu semua yang kononnya bisa menyempurnakan hari.

Alangkah anehnya naluri...

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

13 Januari 2006
:: Narnia

Akhirnya dapat jua aku menonton Narnia. Dan memang benarlah aku tidak menyesal. Walaupun tidak sehebat Lord of the Ring, ia tetap bagus dan memenuhi expectation ku.

[ Pulang dari menonton, aku terbayangkan almari baju di rumah, aku kata pada Nana akan hasratku menemukan satu alam baru di dalam almari baju. Nana ketawakan saja... sambil bertanya, "Muat ke kau dalam almari tu"... Cist! Potong tul laaa.... ]

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

12 Januari 2006
:: Semoga Allah merahmati seluruh perjalanan hidupmu

Di hujung hari yang memenatkan, dan perasaan yang mendatar, tidak sedih tetapi kurang ceria, aku selalunya mengharapkan satu bentuk keajaiban persis kisah pari-pari dan dongengan dari seluruh pelusuk negeri untuk membuat aku gembira dan melihat dunia dalam warna-warna indah ciptaanNya.

Terlalu kerap pula harapan itu mendebu dan ia menjadi selalu, menjadi udara mengisi rongga paruku. Ia terlalu selalu, hingga kemudian aku pun terlupa, bila pulang ke rumah dan menatap wajah bonda, kasih putihnya mendamaikan selaut rasa. Aku pun terlupa seketika dan beroleh lena.

Tetapi, ada jua harinya, Yang Maha Berkuasa berikhsan, kurniakan kisah pari-pari dan dongengan dari serata negeri menaburkan sedikit kegembiraan dan berkongsi satu rasa bahagia yang amat sukar untuk diungkapkan. Talifon mudah alih model ketinggalan masa itu berdecit halus, memberitahu ada pesanan ringkas untukku.

Melihat nama yang mendahului pesanan tersebut, wajahku mengukir senyum. Ucapan selamat hari raya dan sepotong doa agar aku dirahmati Penciptaku. Selebihnya bait kata-kata yang membuatkan mataku berkaca; Be patient for all good things come to those who wait.

Syukur Ya Tuhan, betapa bahagianya hati mendapat perkhabaran indah tidak terucapkan. Betapa bahagianya jiwa bila nafas yang menadikan nyawa di satu alam lain kembali mengajakku ke daerah penuh semangat dan cita-cita jitu. Bahawa insan seperti aku seharusnya tegap dan utuh mengusung teguh, bahawa aku di dunia yang satu lagi itu mempunyai peranan dan tanggungjawap tergalas kemas dan menjadi harapan agar terus menghijaukan hari dalam segar, dingin dan mengharum.

Keprihatinannya terhadap kemahuanku membuat aku benar-benar terharu. Sedang untuk memenuhi semua itu, dia harus berkorban dan berkorban dari masa ke semasa. Harus pula dia menidakkan rehat dan masa-masa membaja mesra bersama keluarga, meranduk malam dalam perjuangan yang terlalu sendiri, hanya demi memenuhi satu permintaanku.

Aku sering terfikir, kemahuanku ini sebenarnya melampau. Amat belas rasanya menyedari seseorang hingga sampai berkorban demikian banyaknya, bagi merealisasikan impian demi impianku. Tapi aku jua tidak bisa menidakkan rasa ingin tahu yang tidak terbendung aku kesudahan, akan penghujung. Maka kepada Tuhan sekalian alam sahajalah hamba hina dina ini pohonkan, agar dia dirahmati dan dipelihara dalam kesejahteraan selalu. Semoga pula dikurniakan ilham yang tidak terbanding terang. Untuk insan semulia dia, moga dipermudahkan segala urusan hariannya.

Tidak berapa ketika selepas itu, dalam perjalanan pulang menyusur senja, satu lagi pesanan ringkas darinya kuterima. Menyatakan ingatan akan kasih sayang dari dua manusia yang tidak pernah nyata, yang selalu menjadi inspirasi dan pendorong maya. Dan aku tahu, walaupun aku beku dalam gerimis di jambatan yang menyaksikan pertempuran para wira kelas pertama dua puak yang bertelagah, kisah itu sudah lanjut. Ia sudah lanjut walau kini, aku tidak mengetahui sejauh mana perjalanan itu telah maju. Aku sangat gembira, sangat-sangat gembira. Terima kasih sahaja yang mampu kuucapkan, segala usaha dan jerih payahmu amat kuhargai, amat kusanjung hingga akhir nanti.

Dan semangat yang selama ini menemani perjalanan sendiri, kembali membakar dengan hangat dan bersemi. Aku percaya, dan tetap akan bertahan seusia nyawa, I, together with the rest of Aurorans will be the wind beneath your wings.... for we just a step behind you..... have faith and all the best!!!

~~@~~

Berkesempatan bertemu penulis kontrovesi yang dikenali umum dengan nama Astora Jabat, di Utusan Karya atas urusan kerja. Pengamatanku; masa dan pengalaman mengajar dia menjadi dirinya hari ini.

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

10 Januari 2006
:: Selamat Hari Raya Aidiladha

ingati seorang nabi
dan satu pengorbanan suci
memupuk hati agar jadi besi
kelak langkah tidak goyah
dan gundah tidak bersemi

ingati seorang ibu
dan pengorbanan yang tak pernah layu
meranduk segala kepayahan
memapah langkahku dengan lugu
dari kecil hingga masa mendewasakan
kelak aku tidak merasa goyah dan lemah
memapah langkahnya dalam kasih dan sakinah.

Hari Raya Haji jika di tanah air kita lebih sinonim dengan daging-daging kurban, yang pada pengamatanku agak berlebih-lebihan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Kadang-kadang kita sendiri seperti tidak mahu menerima bungkusan beg plastik merah yang kelima tiba di rumah kita. Sedang di bahagian dunia yang satu lagi, terlalu ramai insan-insan kesejukkan dan kelaparan.

Ya, aku tahu... adalah tidak praktikal untuk menghantar sekedar beberapa bungkus yang kita terima itu kepada mereka. Ada saluran yang sepatutnya jika ingin semua itu sampai ke tangan mereka. Tetapi, sekejam itu juga kiriman tersebut tidak sampai ke tangan orang yang memerlukan. Bukan hanya pada Hari Raya Korban, tetapi pada bila-bila masa bantuan serata alam cuba di sampaikan, itulah yang berlaku.

Apa daya kita, apa dayaku? Dan dengan kudrat sekerdil ini, aku hanya mampu berdoa, moga sejahteralah engkau saudaraku. Walau selimutmu angin beku nan kejam, malam mu berlampukan kelam... semoga engkau tabah dan terus kuat meneruskan perjalanan dalam ujianNya ini. Percayalah, aku jua diuji... cuma caranya berbeza dan pengamatannya harus dengan hati.

[ pelik benar mencari bahagia di celah perdu dusta, pelik benar mencari keikhlasan bila hati disembunyikan... ]

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

8 Januari 2006
:: Tahun baru datang lagi...

Sudah seminggu tahun baru 2006 berlalu. Dibatas kesibukkan hingga aku tidak sempat mengemaskini Istana di Hujung Rimba ini. Kepada pembaca MitH, kiranya masih tidak terlambat untuk aku mengucapkan selamat tahun baru...

Rasanya kebelakangan ini banyak perkara yang menintakan sayu dalam hidupku. Aku memilih untuk tidak menuliskannya di sini. Yang mendung dan kelabu biarlah aku sahaja yang tahu, untuk kalian aku hanya mahu hidangkan yang indah-indah sahaja, agar terona senyum manis di wajah kalian. Sesungguhnya antara maksud wujud hujung rimba adalah untuk tenang, segar dan mengharum. Bila dunia nyata banyak celarunya, maka berteduh sahaja di sini bersamaku.

Segala yang terindah buat kalian, semoga dalam ruang waktu yang baru ini hati kita bertambah ikhlas dan tulus dalam melangkahi hari-hari menuju mati. Semoga pula hatiku lugu menidakkan semua yang selalu membuatku sayu.

Selamat tahun baru masihi 2006.

Katakan sesuatu padaku di [ erikas ]

Copyrights © 2005 Myths in the Haze
http://www.elaira.net