arkib I erikas

 


Assalamualaikum w.b.h buat kalian yang bertamu di hujung rimba ini...

Apabila MitH ditukar konsep hijaunya kepada warna-warna alam yang lain, Elaira mendapat banyak komen dan cadangan. Seperti jualah kalian, ada masanya kita ingin beredar dari sesuatu yang telah terlalu biasa, mencari kelainan dengan harapan ia akan menjadi lebih baik. Dalam halnya MitH, Elaira mahu mencari kekuatan dari warna-warna yang lain selain hijau yang redup dan mendamaikan. Elaira perolehi apa yang dihajatinya. Dan apabila tenang menjadi kolam hatinya, maka hijau dan segala ronanya kembali tersenyum buat kalian semua di luar sana. Semoga sejuk kanta dan sanubari melihatkan kehijauan di hujung rimba ini.

Kalian bertanyakan tentang catatan bagi bulan kemerdekaan ini. Elaira memohon maaf masih belum berkesempatan menyusun tintanya di sini. Kalau Elaira katakan kesibukan ia mungkin antara alasan yang terlalu sinonim dengan kebisuan yang lanjut. Tetapi sesungguhnya, itulah yang terjadi. Maaf jua tidak dapat mengabadikan lawatan kerja ke Bandar Seri Bengawan kali ini, walau ia tidak banyak bezanya dengan kunjungan terdahulu... ia tetap satu memori dalam kehidupan seorang Elaira, apatah lagi perjalanan kali ini memberikan Elaira pengajaran baru tentang manusia dan sikapnya.

InsyaAllah dengan izinNya, dan kelapangan dariNya, Elaira akan terus menintakan sesuatu di sini dalam masa-masa terdekat ini. Moga jua Elaira bisa melakar dan membawakan sesuatu yang redup dan damai itu kembali memesrai perjalanan ini.

Salam Sehijau Aurora;

Puteri Elaira Eliza
24hb Ogos, 2005.

8 Ogos 2005
:: Hati yang tidak terurus...

Tahun-tahun kebelakangan ini, bumi menjadi semakin lemas digelapkan jerebu dan segala macam asap yang menyesakkan ruang untuk bernyawa. Pohon-pohon dipaksa menjadi batu, manusia dan binatang juga begitu. Kepada makhluk yang daya juang hidupnya lemah dan mudah semput, mereka akan mengalah kepada kecubung universal ini.

Aku mengutip realiti dari kejadian yang saban hari tiada hentinya ini. Dari satu sisi aku bisa menafi berjalan terus dan menyesuaikan diri dalam dunia yang bertambah tidak mesra sekitarannya. Apa punca dari mana datangnya, mengapa begini, mengapa harus terjadi? Soalan-soalan sebegini sudah pasti sering hadir diminda kalian seperti mana aku jua sering bertanya-tanya sendiri.

Hati yang tidak terurus - itulah jawapannya. Hati manusia ini mahunya sangat bermacam-macam, hingga banyak yang tidak terkendalikan. Semua mahu yang banyak-banyak sahaja. Kalau membeli nasi lemak pagi-pagi dipinggir jalan, mahunya sambal banyak-banyak, ikan bilis goreng mesti banyak-banyak. Kalau mendapat habuan bonus hujung tahun pun mesti ingin banyak-banyak. Kalau mendapat kenaikan gaji pun, mestilah banyak-banyak selaras dengan kenaikan harga petrol yang banyak-banyak juga.

Hati kita tidak terurus, kerana itu ia tidak tenang. Mendapat apa sekali pun ia tetap tidak mencukupi. Bisikan apa agaknya yang mendahului, hingga kalau dikatakan di dasar laut itu penuh emas permata, nescayalah kering dituba manusia hari-hari.

Dikatakan salah satu punca asap dan jerebu dari pembakaran yang tidak terhalangkan. Dikatakan juga ia terjadi dengan sendirinya. Tidak kurang juga ia adalah rakus manusia menuba bumi sendiri untuk memastikan esok pagi dipinggir jalan dia mendapat sambal yang banyak-banyak dan ikan bilis garing yang banyak-banyak, walau harga biasa terpaksa diimbuhkan atas biaya yang 'banyak-banyak' pintaan hatinya itu.

Maka hati yang tidak terurus itulah yang mengaburkan pandangan kita, yang menyesakkan nafas kita dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Biarlah nyawa-nyawa jadi sesak dan senak, asalkan tuaian nanti bisa menyesak dan menyenakkan saku. Kalau pun bukan kerana dia, pasti pula ada lagi jembalang diatasnya yang memicit terus keperluannya seharian, yang meninggalkan dia tanpa ruang membuat pilihan. Kerana tersebut itu jembalang, telah lebih sedia maklum memang tidak terurus sama sekali hatinya. Menadah kurupsi dan membaham belanja negara, manalah tidak asap menuba, yang membayang segenap langkah kita jadinya?

Hati kita semakin tidak terurus. Nafsu berharta tidak terbendung. Lalu dipijaklah kepala-kepala yang bergetahkan airmata mencari sesuap pagi dan petang pula. Dan kepala-kepala itu tanpa dapat berbuat apa, mencucuh kecubung, melemaskan dunia, menyempurnakan nafsu hati yang tidak terurus.

Sekarang siapa yang menjadi mangsa? Mengapa menoleh ke kiri ke kanan, dan mencari ke belakang? Si tukang kecubung adalah mangsa asapnya sendiri, kita juga adalah mangsa tidak terkecuali. Semua yang bergelar manusia dan sekalian haiwan dan tumbuhan yang bernyawa adalah mangsa yang pasti. Aku tidak melihat beza, umpama penagih heroin yang tau hujungnya nyawa, tapi saban hari tanpa peduli terus-terus meracun diri. Itulah kita, itulah peribadi - sikap hati-hati yang tidak teruruskan lagi!

Aku mahu mengurus hati, agar tenang dan damai... agar merasa cukup dengan apa yang Allah beri.

2 Ogos 2005

Tiba tiba aku menang lumba foto. Walaupun hanya di tempat ketiga, aku tetap gembira. Manalah aku sangka ia akan terpilih, kerana ramai lagi orang lain yang lebih mahir dengan kamera, aku sekadar menekan butang sahaja. Aku jarang masuk pertandingan apa pun, tapi bukan kerana aku malas mengisi borang seperti saudara yang sorang ini. Mungkin kerana aku tidak yakin. Kerana itu bila sesuatu sebegini terjadi aku merasa sangat gembira, walaupun ianya sekadar pertandingan saja-saja. Syukur Alhamdulillah. Mungkin juga ia sebagai satu peransang agar aku tidak terlalu memikir dan malu sangat untuk menyuakan sesuatu yang tidak berada di dalam piawainya untuk bertanding. Semuanya hanya untuk suka-suka sahaja.