23 Mei 2005
:: Penyengat...

Serangan ini kecil-kecil, berwarna hitam, berkebolehan terbang dengan pantas dan mampu menyerang mangsa dengan sengatnya yang berbisa walaupun tidak sebisa lebah dan tebuan. Seperti juga lebah dan tebuan ia membuat sarang di pohon-pohon, terutama di batang pohon yang berlubang.

Senja semalam selepas azan maghrib aku dan mak memulakan operasi membakar sarang berserta penyengat yang ada di dalamnya. Menurut mak apabila hari gelap semua penyengat akan masuk ke sarangnya. Kain buruk diikat di hujung galah denan seutas dawai, dan dibasahkan dengan minyak tanah. Sebentar kemudian lidah api di hujung galah meratah kain buruk yang menjadi nadi utama melunaskan objektif kami senja itu.

Mak suakan kain buruk yang terbakar tadi ke batang rambutan kira-kira dua meter dari tanah. rupa-rupanya tidak semua penyengat sudah masuk ke sarangnya, beberapa ekor meyusur galah dan menyengat belakang tangan mak. Walaupun sengatannya tidak sebisa sengatan lebah atau tebuan, tetapi ia tetap memberi bekas. Tiga liang sengatan di tangan kanan dan dua di tangan kiri, hari ini tangan mak kelihatan sepeti belon, dan mak mengadu rasa gatal-gatal.

Di luar jangkaan kami rupanya bilangan penyengat itu jauh lebih banyak dari yang kami anggarkan. Memandangkan maghrib sudah lama menjelang kami hentikan dulu kerja memusnah sarang penyengat beserta kroni dan ketumbukkan penyengat yang terdahulunya sudah menyerang jiran yang membantu mak memotong rumput di halaman. Kami maghrib dahulu, nanti kami akan tengok lagi samada masih ada penyengat yang terlepas dari api di hujung galah tadi.

Jam sudah menunjukkan hampir tengah malam bila kami keluar semula ke laman dan melihat kesan serangan kami senja tadi. Terdapat ratusan penyengat yang tewas tapi masih hidup di perdu pohon rambutan. Begitu juga di sarangnya yang telah separuh musnah dirodok lidah api.

Soldadunya berterbangan. Seekor hinggap di lenganku... garang sungguh bengisnya, dalam armor hitam dan berbelang kuning di dada, dengan kepak yang keras terkembang bersedia untuk menyerang bila-bila masa sahaja. Tapi ia terbang sepantas kilat menghilang menyatukan diri dalam pekat malam. Kalau arwah nenek masih ada pasti dia akan memberitahu nama penyengat itu.

Langit malam ini dicemar sebutir permata yang cemerlang, osria setia menemani serangan Srikandi Aurora malam ini... heh heh... Persis Odetakhun Morrok dan ketumbukkan amornya, heh heh... sebentar lagi ketumbukkan itu akan lenyap dalam nyalaan persis arasis melenyapkan kelam malam.

Sekali lagi ober di hujung galah dinyalakan. Saki bakipenyengat cuba kami hapuskan sebelum ada orang lain lagi yang menjadi mangsannya. Tambahan rambutan sedang berputik lebat, nanti ramai pul ayang terkena sengatan bila buahnya ranum. Usaha tengah malam ini lebih tertumpu pada penyengat-penyengat yang bergelimpanan dan masih merayap-rayap di perdu rambutan.

Waktu sudah lama melewati tengah malam, dalam kata lain sudah masuk ke hari yang baru... awal pagi. Sewaktu meninggalkan perdu rambutan dankembali masuk ke rumah embun dingin sudah turun dan aku tahu masih banayk penyengat yang masih hidup. Semestinya memerlukan serang hendap yang ketiga pula.

---

Malam yang berikutnya abang ipar pula meneruskan usaha setelah mendapati masih banyak lagi penyengat yang berterbangan di sekitar lubang pada pohon rambutan yang dijadikan sarang.

Tak tahulah kalau ia masih berjaya melarikan diri juga dan kembali mengungsi sarangnya yang sudah habis terbakar.

 

 

[ erikas ]

20 Mei 2005
:: Bahagia Menemuiku...

Petang semalam Fariz kongsikan serangkap kata-kata hikmah: "Untuk semua perkara negatif, buangkan ia jauh-jauh sebelum ia masuk dalam fikiran kita." Kata-kata yang mudah tapi memberi impak yang besar dalam harianku. Jadinya hari ini aku benar-benar bertenaga, kerana aku memilih untuk menjadi seorang yang berjaya maka aku telah buang jauh-jauh waima sepicing pun rasa negatif yang cuba mengacah dan mengganggu gugat kehidupanku.

Untuk kuat dan bersemangat kita harus positif, dan memandang semua perkara negatif dari sudut yang menghasilkan pemerhatian positif. Semua yang terjadi adalah baik untuk masa depan kita. Aku mengutip sabar dalam-dalam sesungguhnya bukan manusia yang mengatur perjalanan hidupku di dunia ini. Dan aku ikhlas menitikan hari-hari walau apa pun rintangannya. Moga aku terus kuat seperti hari ini, untuk tersenyum pada alam dan menyatakan betapa aku mengerti sebuah kekalutan. Dan aku juga mengerti adab dan peribadi menyulam kehidupan di bumi Tuhan ini, adalah bermula dengan menjaga perhubungan murni sesama manusia. Kita adalah apa yang kita fikirkan... dan aku tahu apa yang menaungi fikiranmu, kerana itu kau begitu.

Syukur... bahagia selalu menemuiku, walau di antaranya pahit getir dan celaru.

 

[ erikas ]

19 Mei 2005
:: Di mana waktu?

Di mana waktu
tersangkut pada tunggul kayu
terbang dek angin ribut
terperangkap di sarang tempua

di mana waktu
kuselak lembaran satu persatu
tak kelihatan sudah lama ia bisu
sembunyi diri di tabir-tabir malam
berikan senyuman bila fajar mengintai siang

di mana waktu
waktu aku tidak buru-buru
semuanya terlalu banyak dan melemaskan aku
dalam satu gantang, bernama kebosanan

di mana waktu
tika ini sering kuburu.

 

Pagi-pagi lagi Ita menegur tentang masa yang aku luangkan untuk mak. Terdahulu dari itu di rumah aku juga sudah membincangkan perkara yang lebih kurang sama dengan mak. Walau pun mak tidak kata apa-apa, tapi aku tahu dari raut wajahnya kalau sahaja aku pulang lewat menjejak dini hari.

Aku suka kerjaya yang aku ceburi ini... ia seperti sebuah perjalanan yang akan membawa aku ke satu destinasi yang pernah aku impikan. Kerana aku melihat destinasi itu masih berbalam, maka aku merasakan bahawa aku harus berusaha dan bersabar lagi, itu petanda ia masih jauh dan perlu tenaga mengusahakannya. Dan dalam masa yang sama ia menuntut masa. Dulu mak sekadar mendengar cerita, tapi bila tinggal denganku semenjak tiga bulan yang lalu, mak melihat dan mengalami sendiri semua ini. Inilah kehidupan di kota mak, lantainya sering bergolak, dan arusnya seringkali berkocak.

Aku hanya punya hujung minggu dengan mak, ke taman rekreasi dan seperti minggu lalu sempat pula ke kedai membeli sedikit kain dan langsir. Sempat juga membawa mak makan-makan, mak kata ia seperti "Jalan-jalan Cari Makan" pula. Kami tertawa bersama. Aku mahu mak gembira dan bahagia. Dan aku tau bila mak benar-benar gembira atau tawa sekadar menyedap mataku sahaja. Mak suka kerabu mangganya, semalam aku dengan mak meneka-neka resepi membuat kerabu mangga itu, insyaAllah bila berjumpa mangga muda nanti aku cuba reka-reka kerabu mangga untuk mak, moga menjadi.

Bukan niatku biarkan mak sendirian terkurung di rumah, mak pun selalu kata malah pagi tadi pun mak kata lagi, dia sudah susah payah sekolahkan aku, maka begitulah adanya bila aku bekerja. Aku tahu mak faham, tapi hatiku yang berbalik-balik. Terfikir juga untuk carikan seseorang untuk meneman mak di rumah sementara aku pulang kerja, tapi mak tak setuju.

Mak sudah tidak sabar lagi mahu pulang ke kampung, dia sudah menghitung hari. Mak dah kata esok kita pulang... Aku kata, bukan esok mak... lusa. Eh esok hari apa? tanya mak cepat-cepat, esok jumaat - dia jawap sendiri. Aku senyum-senyum sahaja. Tahu lah mak tak sabar nak pulang kampung, aku pun tak sabar-sabar mahu pulang ke kampung... rindunya udara kampung yang segar.

Malam sabtu yang lalu , along dan ongah sekeluarga datang ke rumah. Mungkin along sudah rindu terlalu lama tidak bertemu mak. Aku masak siap-siap sebelum along tiba. Along bermalam di rumahku, sementara ongah pulang sahaja kerumahnya di Tasik Selatan. Aku tahu mak sungguh gembira dengan kunjungan along. Aku juga sebenarnya. Sudah lama kami adik beradik tidak berkumpul, sesekali bertemu jadi indah sekali. Along tolong jahitkan langsir yang aku beli sampai siap.... yiiiihaaaaa.... aku memang tidak berapa suka menjahit (sebenarnya tak pandai), tapi kalau memasak boleh laahhh... Thanks along, dan sekarang aku perasan langsir aku cantik...

Mak mungkin sudah kepenatan menyuruhku belajar memandu, ahh... kalian semua pun sudah penat kan? Aku sendiri pun tak pasti kenapa hatiku begitu beku untuk belajar memandu. Jika dulu sewaktu belajar aku mengangankan punya kereta sendiri dan memandu pulang ke kampung atau ke mana sahaja, kini semua itu tidak menjadi bayangan mata lagi. Walau sedikit susah dengan kenderaan awam... semuanya aku redah, asal sampai tempat di tuju. Ya ya ya... aku belajar ni, sudah setahun lebih aku tangguhkan, entahkan ada entahkan tidak lagi wang pendahuluan yang aku bayarkan dulu.

Banyak faktor yang menghalang selaiin waktu sebenarnya... heh heh... tak apalah itukan namanya kehidupan, dan segala sesuatu pun adalah indah dan indah sahaja. Kerana yang terbaik bagi kita bukanlah apa yang kita rasakan baik, tetapi adalah apa yang Allah tentukan untuk kita. Walau ketentuan itu pahit kita rasakan. Sesungguhnya Allah lebih tahu akan apa yang terbaik untuk kita, dari kita sendiri. Wallahualam.

[ erikas ]

18 Mei 2005
:: Ada Parasit, I'm so dismotivate.....!

Semalam kepenatan seharian melunaskan kerja-kerja di pejabat dibalas dengan kata-kata meluntur semangat yang sangat hebat dari seorang yang menggelarkan dirinya pengarah di tempat kerjaku.

Secara langsungnya aku mengelak dari berkata apa-apa sepanjang perbahasan singkat di syarikat rakaman milik keluarga puan bos itu. Tapi hatiku benar-benar panas mendengarnya. Dia bercakap dihadapan kakitangan frontliner... dan kalau sesuatu terjadi dengan team kerja ini, sebelum aku angkat kaki pasti kutubing kepalanya sekali dua. Mudah saja tuturnya, dia bukan tidak tahu masalah kami, cuma dia buat-buat tidak tahu supaya kerjanya jadi senang. Kalau benar-benar mahu senang, tak payah datang pejabatlah, kami lagi bertenaga jika tak perlu melihat kelibatmu. Benci benar rasanya!

Memang benar kata puan bos, dia tidak diperlukan sebenarnya, tapi atas sebab tertentu dia juga tidak boleh disingkirkan. Yang aku tak kata masa itu ialah, kalau sesuatu itu menyenangkan diri kamu, tapi menyusahkan orang lain, tak guna kamu mendengar ceramah agama dan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang hari, tapi tidak memahami tanggungjawap kewujudan kamu di organisasi ini. Memang aku marah, kerana aku penat memberi semangat rakan-rakan sekerja supaya terus berusaha dan bersabar, alih-alih itu kata-kata yang dilemparkannya pada kami, bukat setakat itu sahaja sebenarnya, ada banyak lagi. Sungguh jelek pekerti begini!

Kalau aku ... pastinya aku tidak betah berada di tempat di mana aku tidak diperlukan, dan kamu boleh duduk bersenang lenang tanpa mahu bertanggungjawap atas suatu apa pun! S**l....! Itu sepatutnya aku ludahkan ke mukanya. Jika sedikit pun kamu tidak menyumbang kepada progress di dalam pejabat ini malah melunturkan semangat kami yang ingin berkerja sepenuh daya, maka sepatutnya kamu malu dengan diri sendiri dan malu kepada Tuhan kerana tindakkan kamu itu. Mungkin inilah sikap segelintir orang-orang senang, mereka tahu semua ada, mereka tak tahu susah mencari rezeki dengan susah-payah, jadi mereka tidak merasa perlu untuk berkerja bersungguh-sungguh dan bertanggungjawap terhadap apapun sahaja. Kau berada di situ untuk semata menyusahkan orang lain, mau pangkat dan kehormatan tapi tidak berketokohan, tak ada wibawa... hidup ini singkat, hiduplah dalam penuh makna, hiduplah memberi makna. Jika hidup seperti ampai-ampai, kosong tak berisi, itu namanya mensia-siakan nyawa.

Bukan sekali ini aku meluahkan kemarahanku kepadanya di dalam MitH. Dia benar-benar parasit, racun yang bermuka madu. Aku sendiri tidak jelas tujuannya mengapa dia seperti menentang semua yang ingin dilaksanakan di organisasi ini. Orang ini sebenarnya cerdik atau tidak? Tahu tanggungjawap atau tidak. Terasa pelik bila orang kata dia ni pernah jadi Managing Direktor sana sini, kompeni besar-besar... apa kes??? keliru pulak bila aku padankan dengan perangainya. Aku rasa kalau masuk apparentice ni, uji bakat pun tak lulus. Bila terlalu marah begini, aku pun hilang kata-kata. Hilang semua mood hendak kerja.

[ sekali lagi aku pesan... dalam hidup ini janganlah kita menyusahkan orang... hidup ini singkat, hiduplah dalam penuh makna dan hiduplah memberi makna. ]

 

[ erikas ]

16 Mei 2005

Pagi-pagi tadi sekitar jam 7.20 seperti kebiasaannya aku sudah keluar rumah menuju tempat kerja, seperti lazimnya menumpang Nana. Pagi ini mentari sempurna mewarnakan langit. Aku terpinjam hangat tenaganya. Dan seharian hari ini aku merasa benar-benar bertenaga! Syukur Alhamdulillah terbayar kembali Isnin yang biru...

Dan dalam perjalanan aku sempat merakam mentari yang cemerlang...

 

ada satu ingin kukata
tapi kata menjadi korban
sunyi yang bertandang antara bicara
merantai semuanya dan penjarakan di lubuk hati
tergumpal jadi ingatan
pada satu persimpangan - dilema.

 

[ erikas ]

 

15 Mei 2005
:: Isnin nan biru...

Saki baki hari di minggu lepas haru-biru, semua rancangan bercelaru. Angkara siapa? Perlu aku lepaskan amarah pada seseorang? Atau sebenarnya aku harus duduk diam-diam dan telah marah dalam-dalam?

Mungkin sebenarnya ia bukan perasaan marah, tapi terkilan. Terkilan kerana takdir yang selalu menguji dan menggugat kesabaran diri. Takdir yang selalu menggoyah tempat berdiri.

Mak selalu ingatkan, jangan mudah putus asa, semua di depan rempuh sahaja. Walau kelam rona tak bercahaya, sehabis gelap dengan izin Tuhan tumbuh sinarnya. Siapalah aku untuk terkilan dan merungut dengan perjalanan hidup yang sebegini, siapa aku di bumi Tuhan ini? Astaghfirullah....

Mak berpesan lagi, ikut hati - mati, ikut rasa - binasa.
Dia pula berpesan, jangan terlalu ikut perasaan.
Aku tambah... ikut perasaan - jadi perasan, mungkin sebenarnya aku yang perasan? Huhuhu...

[ ingat-ingatlah diri: ayuh, bangun pantas dan berlari.... dunia ini bukan mimpi, segala pahit segala perit adalah realiti, hadapi semuanya sebelum mati, di antaranya lemparkan senyuman buat duniawi, mana tau ada angin yang tersenyum kembali, sekurangnya ada juga sedikit bahagia meniti dari alam lepas ke sanubari... ]

[ erikas ]

12 Mei 2005
:: Fallen...


I can't believe it,
you're a dream comin' true.
I can't believe how
I have fallen for you.

And I was not looking,
was content to remain.
And it's ironic
to be back in the game.

You are the one
who's led me to the sun.
How could I know
that I was lost without you...

And I want to tell you,
you control my brain..
And you should know
that you are life in my veins.


You are the one
who's led me to the sun.
How could I know that
I was lost without you...

I can't believe it,
you're a dream comin' true.
I can't believe how
I have fallen for you.

And I was not looking,
was content to remain.
And it's ironic
to be back in the game.

- Lauren Wood -

[ today, let the song tell its tales...]

~~@~~

ini perigi yang dalam dan gelap
tiba-tiba aku berada di dalamnya
hatiku pedih mataku rabun ditusuk jarum-jarum kelam...

Selalu apa yang kita rancang tidak menjadi, tambah hebat ia menjadi bercelaru. Dan setiap kali itu juga hati calar, dan pedihnya dalam.

Aku cuba tenang, sedut nafas dalam-dalam. La haula wa la quwwata illa billah...
Alhamdulillah... dan insyaAllah esok pasti cerah.

 

[ erikas ]

11 Mei 2005
:: Mentari petang dan langit senja...

Sewaktu di atas jalan pulang, di dalam kereta Nana aku merakamkan fenomena indah sapaan mata. Sekadar menghibur hati dan mengusir lelah seharian bekerja. Mungkin kualitinya tidak begitu jitu dibias wind screen kereta. Ayuhlah ku kongsikan dengan kalian, semoga terpinjam ceria dari hamparan buana... no need to elaborate further, for picture says a thousand words...

M e n t a r i    p e t a n g . . .

 

L a n g i t    s e n j a . . .

... bulan sabit saksi langit senja.
Gambar dari balkoni belakang kediaman.

"Kita masuk mandi dulu, esok kita main lagi ya..."

[ erikas ]

9 Mei 2005
:: No weekend for elaira and co. ...

Tidak ada hujung minggu buat aku, Pak Wan, Wana dan Fariz. Kami semua di pejabat sepanjang sabtu dan ahad yang baru lepas ini. Hari ini pun tidak ada pelepasan untuk kami, cuma mungkin kami boleh pulang awal dari selalu. Setakat waktu aku menulis entri ini, aku belum penat lagi. Bila penat nanti aku balik lah.

Projek yang lagi satu ini menarik. Dan aku berazam untuk mendokumentasi penuh sedari awal. Dan aku menjangkakan progres yang aggresif serta mengikut masa yang dirancangkan. Bersemangat sungguh aku. Selain dari projek ini, ada beberapa projek lagi berada dalam kendalian... insyaAllah dengan izin Tuhan semuanya akan tergarap, asal semuanya dibuat berterusan tanpa tangguh-tangguh. Dan aku juga harus rajin membaca dan bertanya bagi mengasah ilmu yang muda.

Alhamdulillah, aku rasa bertenaga dan penuh inspirasi. Moga semangat ini tetap bersamaku walau apa pun terjadi.

[ seperti biasa ada banyak sangat yang ingin kutuliskan di sini, termasuk angan-angan menyelitkan gambar-gambar yang kuambil... tapi setakat hari ini, ia belum berlaku lagi. ]

menjalar dan memaut
laksana sulur paut seri pagi
sebenarnya ia juga membawa maksud
yang terang dan yang tersembunyi
yang nyata menitikkan harapan
berbunga seawal jengahan mentari pagi...

 

[ erikas ]

7 Mei 2005
:: Yang naik... dan naik lagi....

Dalam minggu ini, berbagai harga telah naik... bermula dengan tambang teksi. Bagi aku yang selalu menggunakan teksi, ia satu perubahan yang ketara dan aku telah mengambil langkah memboikot dari menaiki teksi.

Kemudian, harga disel dan petrol pula naik. Rungutan dan keluhan menjadi udara. Tapi rungutan dan keluhan itu tidak bermakna apa-apa, tidak pula akan merubah apa-apa. Mereka yang menetapkan tahu, sebulan dua dari sekarang ia pantas menjadi sejarah dan semua akan menjadi biasa kembali.

Hari ini... muka depan surat khabar online... paparkan senarai harga ikan, ayam daging dan sayur-sayur yang naik... heboh sekejap kami di pejabat membincangkan isu ini. Keadaan hidup menekan. Aku dan rakan-rakan sudah mula buat kerja luar, di luar waktu kerja mencari pendapatan tambahan untuk terus berada di kota lumpur ini. Keadaan ini semestinya bertambah sukar buat mereka yang sudah berkeluarga dan punya anak-anak kecil. Hmmm... hidup ini sungguh... namanya perjuangan!

Yang belum naik ----------------------> G.A.J.I

 

[ erikas ]

2 Mei 2005
:: Semalam yang hangat@PWTC ... the aftermatch of AIM 2004

PWTC - Putra World Trade Centre
AIM - Anugerah Industri Muzik, Malaysia

Fajar, Morrok, Jundak, Raja Kegelapan, Esis, adalah di antara yang rugi. Sebabnya mudah... mereka tidak berada di PWTC semalam. Seorang superstar telah sudi hadir dicelah-celah kesesakkan orang ramai yang berpusu-pusu dan berduyun-duyun untuk melihat dengan lebih dekat lagi Novelis Saga Artakusiad yang merupakan satu-satunya penulis fiksyen yang berjaya menambat hatiku... eloo... ayat belum habis aaa... menambat hatiku dengan penulisannya... haaa... baca biar habis, baru maksud sampai.

Sewaktu aku tiba di gerai dawama, pameran buku antarabangsa pwtc, Abang Pat belum pun sampai. Jadi aku ambil keputusan untuk pusing-pusing melihat buku dahulu. Sewaktu melewati pintu masuk utama, aikkk... macam kenal... tapi kenapa lain macam ni... macam bekerdip dan bersinar semacam je hari ni.... Aku nampak Abang Pat, then Kak Long, then Rosh....

Tapi Abang Pat tak nampak aku... aku tutup muka dengan flyers...malu lah, senyum dengan orang, tapi orang tu buat tak tau je... then Kak Long notice aku... (aku ingat aku dah kecik sampai orang tak nampak aku heh heh) so we all together-gether ke booth dawama semula... then... well let the pictures speak the words...

Aeryn: "Abg Pat... lawa spek..."
Abg Pat: "Ini spek CSI.... bila pakai spek je cerita dia habis..."

Ini Ahmad Mahzan a.k.a Kliwonwagiman tak tunggu sesaat pun memanfaatkan sepenuhnya pertemuan pertama dengan Abang Pat. Dia bawa semua buku saga koleksi dari zaman sekolah rendah! Ini juga kali pertama aku berjumpa dia, selalunya dalam chatroom saja.

Sempoii yang tiba lebih awal... selaku promoter saki-baki buku saga artakusiad di Dawama.

Sempoii.... turut menjual CD Kemana Peginya Anak Biawak... heh heh heh... mantap! mantap!

Yus: "Tengok... dah kudut-kuduts dah... kertas pun dah perang dah... saya simpan semua tau... ingat senang ke nak cari buku-buku ni... ni pun tak cukup ni... Permata Aurorius tak ada..."

Abang Pat: (dlm hati je : heh heh... ramai jugak peminat aku...eh... peminat buku-buku aku...)

Kak Long : (sabar je laaa... )

P/s: ... let me introduce to u all.... yang sebelah kiri sekali tu laaa Jundak pompuan....tapi dia dah tukar nama jadi Alindalia... welkam dear sis... selamat menjoinkan diri. Sebelah dia Yus. Sebelah tu Abg Pat. Dan sebelah lagi satu tu... Kak Long...

Antara fans yang awal sampai... alamak aku lupa nama dia.

Mamat dua orang kat belakang tu... jeles Abg Pat ramai peminat kut??? Atau mungkin dalam hati mereka tertanya "Siapa dia ni, kelihatan sungguh glamer? Loyer, system analyst, interior designer, chef two???"

Heh heh... itu laa Tolkien Nusantara... korang tak tau? Sekarang kena ambil tahu, penulis kita jauh lebih maju dari Tolkien... Tolkien dah arwah baru orang beli buku dia.... penulis kita yang ini, buku belum tulis tapi orang dah beli..................!!!

Abg Pat elo.... buku lapan bila mo siap daaa????

.... watak artakus dalam siri re-loaded ini akan digantikan dengan seekor harimau belang, ya... itu lah kejutan yang akan buat korang tergamam lima hari sepuluh malam...

Lebih kurang pukul 1.30tgh kitorang pun ke The Mall. Lapar seh... dan yang di sini adalah muka-muka orang dah kenyang... masa lapat tak sempat ambil gambar lah...

Thanks Abg Pat for the lunch... (Jundak, Morrok, Raja Kegelapan.... rugi ko! heh heh)

Mahzan, Kak Long dan Abg Pat

Sempoii, MonaSakti, Rosh dan erk... lupa laa nama incik dawama ni... berapa kali aku tanya ngan Sempoii lupa jugak...

... alhamdulillah....

Zam Azkram... boleh dia tak perasan kitorang kat situ... then dia pi makan sensorang kat sebelah depan nun... ish....

dan...

ini lah dia antara helaian-helaian komik Karmawizra yang bakal muncul tidak lama lagi... this is my favorite page... terkesima aku tgk drawing yang ni ... Rosh, kamu memang hebat.... tabik...tabik...
tak sabarnyaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

~ the end ~

~~@~~

aku himpun rindu
mekar selalu dalam senyumku
lihatlah sinarnya dari anak mataku
rasakan getarnya di dadamu

aku himpun rindu
teruntuk buatmu
setiap pagi di dada langit
setiap senja di dada bumi
setiap malam menjelma
bersenandung dalam lena

[...mengelus memori abadi]

[ erikas ]

... di ruang bisu ini,
ku himpun semua lagu kehidupan
ku lemparkan agar tersulam
sekuntum senyum penghias hari
dalam jalan-jalan yang semakin kelam
dalam jalan-jalan menuju pulang.
..

~@~

REMEMBER ME

elaira.net
elaira.fajaronline.com
elaira.cjb.net

~@~

GUESSBOOK

erikas

~@~

ARTAKUS DOT NET

artakus.net
olai tannon
artakus.events
jundak
rosh
sempoii
sempoiizone
little silence
re--open
esis

~@~

KRONISM

elaira@kroni
en nordin
en khairul
saljibiru
moplantai
jongkang jongket
zhoulsz
amyz
kappucino
basrie
purbe

~@~

menarik@GEJU

geju realiti
geju lumba kata

GEJU

fajar
bluehikari
nisah haron
JiGoMorisson
manmoncang
attokz
unsunghero
tok rimau
ep
rosram
nett
cik daun
sera
max
enmiya
karlbum
ct musafir
paichowan
syihab
syati
angah
lan
ayobkelubi
tipah vogue
ijot
yanti
op
nis tajuddin
saziyana

~@~

ISLAMIC

harun yahya
bangsa musnah
utusan rasul
momentum islam
emuslim
islamic world
aguskita

~@~ 

OTHERS

Ju`an Einriqie
rizal
strozze
gigi tak bertatoo
aceh menangis
cstech
saiful nang
laluan sutera
anjung seri
currency converter
moluv
speedometer
sting
current earthquake

~@~

ARTICLES

which tree
penubuhan ifc

~@~

MESTI TONTON

ahad
melodi-12.30pm-tv3
mentor-9pm-tv3

isnin
top host-9pm-tv3
misteri nusantara-9.30pm-tv3

selasa
tremors-9pm-tv3
kingdom hospital-11.30pm-tv3

khamis
999-9pm-tv3
maggie bersama bintang-tv3
ambush makeover-9.30pm-tv2

jumaat
national geographic-9pm-tv3

sabtu
jalan2 cari makan-4.30pm-tv3
majalah3-9pm-tv3
cerekarama-10pm-tv3

~@~

ARKIB

Ver 1.0
index
oct 2002
nov 2002
des 2002
jan 2003
feb 2003
mac 2003
apr 2003
mei 2003
jun 2003
july 2003
ogos 2003
sept 2003

Ver 2.0
index
oct 2003
nov 2003
des 2003
jan 2004
feb 2004
mac 2004
apr 2004
mei 2004
jun 2004
july 2004
ogos 2004
sept 2004

Ver 3.0
index
oct 2004
hibernasi
{oct 2004 - mac 2005}
index
hibernasi2
{mac 2005 - apr 2005}
mei 2005

~@~

Copyrights © 2005 Myths in the Haze
http://elaira.net

Copyrights © 2005 Myths in the Haze
http://elaira.net

 

 

 

I am a part of this Glamurous Organization!!!