29 April 2005
:: Terbakar...

Terbakar betul rasanya bila membaca forwarded email dari seorang rakan. Kalian bacalah sendiri di sini. Sehingga aku ternganga dan tidak tahu mahu berkata apa di hujung pembacaanku. Ada masanya kita berlembut dan bertolak ansur... tapi ada masa kita perlu tegas dan memperjuangkan kebenaran, jangan sekali pula kelak kita bertolak ansur atas alasan demi menjaga toleransi dan keharmonian berbagai bangsa, atas alasan kebebasan berugama dan berbagai lagi alasan yang di alas permata manikam dunia sebagai ganjarannya.

Ini menuntut prihatin semua, di tanah melayu ini teguhnya beragama... jangan sampai pula tercela warisan nenek moyang kita tentang Pencipta Yang Satu, terabai ajaran dan seruan Pemimpin Akhir Zaman Yang Mulia... semata longlai dan mengangguk setuju... dituba angin nafsu!

Ini perlu kesedaran semua, dan ketegasan pemimpin tertinggi negara sangat diuji dalam menentukan apa akhirnya...

Ya Allah Tuhan Sekalian Alam... peliharalah kamu dari durjana syaitan yang direjam...aminnn...

Lewat senja semalam
telah mekar sewangian cahaya
mengisi ruang pandang
dari ufuk ke ufuk
terbangkan jauh
melewati tujuh dunia
melewati tujuh rasa
dalam rayuku kepada Pencipta
abadilah hendaknya sewangian cahaya...

[ erikas ]

28 April 2005

Sekuntum mesra kau baja
sematkan butir-butir rindumu dalam sukmaku
betapalah besar kudrat Tuhan
menambah indah hukum alam...

27 April 2005

Melayang kedidi menyusur rimba
layahnya sayup hingga ke baruh
dalam ingatan dan kasih mesra
semoga pula segera sembuh...

[ erikas ]

26 April 2005
:: The end of elaira@hibernation part 1...

Laksana rama-rama yang baru keluar dari kepompongnya,
izinkan aku mengembang sayap dan meraih udara segarkan minda.

 

Terima kasih tidak terhingga
menyambut rindu hulurkan bahagia
pada segenggam rasa
di kuntum pelangi senja...

[ erikas ]

25 April 2005
:: Dari JulnalAlam...

...masa-masa yang kita habiskan bersama 
adalah detik waktu yang tidak terulang 
aku mahu pada masa-masa yang terluang kelak 
kita cipta detik yang lebih indah 
agar penuh ruang kenangan kita 
dengan cerita sebegitu yang akan menjadi 
penawar buat kita pada waktu-waktu 
kita berduka nanti...


JurnalAlam : 3.49 petang : 19 april 2005 : kuala lumpur

terima kasih buat unsung hero [ x ] atas kebenaran untuk mengabadikan puisi ini di sini...

Pagi ini, aku teringatkan seorang sahabat, lalu hati bertanya sendiri, sudah sempurnakah majlis bahagianya? Lalu bertandang ke JurnalAlam... dan mendapati puisi di atas. Ia seperti apa yang cuba kutuliskan... tetapi aku seperti kehilangan kata... Atas kebenarannya, aku pinjam rangkap kata ini untuk kuabadikan di dada MitH...

~~@~~
:: Minggu lalu...

Sepanjang minggu lalu aku cuti half-day dan berulang-alik ke HUKM, mak dijadualkan untuk beberapa siri ujian dan temujanji doktor. Sepanjang minggu sebelumnya aku dirundung kebimbangan bila mak demam dan mengadu ubat-ubatan yang doktor berikan seperti tidak sesuai dengannya. Mak jadi pening, sakit kepala dan lemah.

Aku jadi sangat bimbang, serba salah dibuatnya, lalu aku bawa mak ke HUKM dan kali ini aku juga menurut mak ke dalam bilik doktor, senang untuk kutanyakan sendiri apa sahaja yang aku mahu tau dari doktor. Doktor pun hairan kerana ubatan yang dibekalkannya tidak sepatutnya memberi kesan sampingan. Akhirnya mak sendiri yang jadi doktor, bila dia tidak mengambil beberapa jenis ubat yang dijangkakannya penyebab rasa sakit di kepala.

Doktor sahkan mak semakin sihat, alhamdulillah... inilah berita yang paling gembira menerobosi gegendang telingaku semenjak mak tidak sihat awal Febuari lalu... Syukur yang tidak terhingga kepadaMu penciptaku. Tarikh rawatan akan datang pula adalah pada awal Jun.

Aku sangat gembira, mak sudah sihat dan kembali bertenaga... menatap wajah mak yang sihat dan ceria membawa bahagia yang tidak terbanding indah. Biarlah mak membebel tentang itu ini... aku tidak kisah, asalkan mak sihat... yang aku murungkan bila mak diam sahaja, kerana itu petanda dia merasa tidak sihat.

Berlalulah mega-mega, izin kami bersama tersenyum melangkahi hari-hari kurniaan Pencipta dalam tenang dan damai. Pergilah ragu, pergilah curiga... dalam hidup yang sementara, izin aku meneguk bahagia.

[ erikas ]

24 April 2005
:: TakdirNya..

Mahu tidak mahu, terpaksalah akur akan takdir. Walau pahit, ia adalah ubat penyambung nyawa. Matahari tetap bersinar, walau tidak kurasa panas yang membara. Hujan yang turun sering pula berselang seli dengan kanta yang berkaca. Begitulah selalunya dalam kehidupan seorang aku, lalu itu menjadi biasa dan aku berusaha agar tidak terasa apa. Gembira memang tidak murah untuk seorang bernama aku.

Tetapi, 22 April takdirkan pelangi sebelum hujan. Ia buat dunia cerah dan penuh warna sepanjang malam. Buat mata enggan pejam dan senyum memekar dari bibir, dari hati... Syukur alhamdulillah di sujud yang terdalam satu mimpi jadi nyata, menarik nafas yang panjang, bagaimana pun adanya, yang terlebih baik adalah bersederhana. Alhamdulillah, harapanku agar berhadapan dalam tenang dan tenteram yang dalam menjadi nyata, syukur kepadamu Ya Allah, makhbulkan serangkai hasrat.

Walaupun aku penuh sedar akan hukum alam, rencana hari ini tetap bergantung pada hujan dan matahari di esok hari, aku tetap panjatkan doa dan membaja harap, walaupun hari ini usianya terlalu muda dan mentah... biarlah hujan dan matahari esok memberi kekuatan dan mematangkannya. Dan bila mana pula kelak, hujan dan matahari menggoyah tempat ianya berdiri, Engkau kurniakanlah seteguh keimanan dan kekuatan dalam diri, memelihara sesuatu yang aku inginkan, menjadi abadi...

[ erikas ]

 

19 April 2005

Aku katakan terjadinya itu adalah dengan tidak sengaja, entah mengapa terlintas di hati dan tiba-tiba juga talian mampu tersambung.

... dan bila diam menjadi jawapan kepada pertanyaan, selalunya aku faham maksud sunyi yang bertandang.

... dan apabila sudah selalu rencana itu menintakan ia tidak berlangsung, maka aku faham jika apa yang dikarangkan hari ini bergantung pada hujan dan matahari esok hari...

Menanti munculnya, memerlukan lebih dari kesabaran. Berhadapan memerlukan ketenangan dan tenteram yang dalam...

Aku percaya rahmat Tuhan... segala sesuatu itu bersebab dan penuh musabab. Dan ... aku redha apa sahaja menjadi jawapan seribu pertanyaan.

 

[ erikas ]

15 April 2005
:: Lelah dan masalah...

Ada masanya aku suka sibuk... bila sibuk aku rasa bertenaga. Tapi bila sibuk juga aku jadi tidak punya kesempatan untuk menulis patah rasa di sini. Menulis di sini umpama melepaskan lelah, umpama melepaskan segala masalah. Pelikkan? Tapi aku pasti ini juga berlaku kepada penulis blog yang lain, dan rata-rata dari pembacaanku ke blog-blog kalian itulah kongklusi yang aku dapati.

Ada beberapa cara aku melepaskan lelah bergantung kepada musabab lelah tersebut. Bila letih tulang urat, berehat dan membaca atau apa sahaja aktiviti yang tidak banyak bergerak, mungkin penyelesainya. Tapi bila letih akal dan minda, aku suka jika aku boleh melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh. Tapi agak malang sedikit kerana bila aku letih perasaan, aku jadi suka makan!

Apa pun keletihan, apa pun kelelahan, pasti ada cara meredakannya. Kita manusia punya akal dan jiwa, semunya terpulang kepada diri sendiri untuk mengolahnya. Sebenarnya dunia ini tidak lah sesempit kita melihatnya di waktu kita bungkam dibalut permasalahan.

Masalah itu umpama balang kaca yang memerangkap dan membataskan kita. Sedangkan fitrah kita cintakan kebebasan dan udara yang segar. Menyelesaikan permasalahan adalah umpama memecahkan balang kaca yang memerangkap kita itu. Dan kita perlu tenaga dan semangat yang kuat untuk memecahkannya.

Seperti juga lelah, lain masalah, lain pula cara menyelesaikannya. Ada masa balang kaca itu nipis, ada masa pula balang kaca itu tebal dan tidak mahu pecah walau bagaimana kuat sekali tendangan dan hentakkan yang kita lakukan dalam usaha memboloskan diri. Nah, ternyata hidup memang satu perjuangan. itulah yang sebenarnya terjadi sedari azali, dan ia tidak pernah berhenti sehingga mati.

Untuk yang tega berjuang, tidak pernah putus asa, gigih dan berusaha keras serta bersemangat waja maka mereka pasti meniti kejayaan. Ini sudah dijanjikan [ x ] bahawa siapa sahaja yang berusaha akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya itu.

Hidup ini adalah perjuangan. Berjuang untuk hidup. Lelah dan masalah bukan halangan, sekadar enzim penguat tubuh... moga hidup kalian bahagia dan sejahtera hingga ke akhir masa...

[ erikas ]

5 April 2005
:: Pada musim bunga yang entah bila
...

Kita adalah jiwa-jiwa yang sendu
di sini bertemu
mengadu sayu
meminjam kesempurnaan
dari mimpi semalam
walau tahu embunkan kering
bila mentari menjelang

dalam hujan
jiwa jadi pudar
menghitung rintiknya
basah jauh banjirkan segala asa

dalam gerimis
nada fikir senak
mencari erti hidup
di mana berdiri
kuku mencengkam akar bumi
kau paku aku di sini
menghitung rentak hari
        ... sendiri

musim bunga yang entah bila
kau bawa sekuntum mekar
aku lupa lara sekurun kau tiada
kali emas pancuran
segarkan nyawa sejuta musim
sayang kontang tak menitis
daun-daun kerdil berderai
        ... menyembah masa

begitu pun adanya
tertulis di batu masa
sehelai nyawa setia sia-sia
reput berdebu hilang dari nyata
melayang lenyap dihapus makna

jangan menangis sayang
resam yang ada pastilah tiada
terlalu lama meniti masa
pastilah bertamu hukum yang Esa
maaf kurapikan dalam sanubarimu
bila salam kau hulur
suaraku telah kaku semadi di pusara.

 

[ erikas ]

4 April 2005
:: Kuning...

Baru beberapa hari sahaja aku guna warna kuning... aku sendiri sudah rasa kurang selesa... hmmm... Besar benar pengaruh hijau dalam diriku agaknya... Kalau aku benar jadi tidak selesa dengan warna kuning ini, aku akan tukar ke warna hijau semula...

Teringat sewaktu bekerja dengan majikan berbangsa Korea dahulu, beliau amat tidak suka jika ada warna kuning di dalam designku... kata beliau, kuning warna kampungan... dan aku anggap tanggapannya itu adalah kekampungan...

~~@~~

:: Lagu...

Matahari

Ku datang mencari mu
Yang berselindung dalam bayangan
Ternyatalah kealpaan
Menjadi duri dalam jiwa ku

Semakin jauh menyusur matahari
Semakin jauh aku hilang arah tuju ku
Tidak ku sangka yang terang akan suram
Meskipun intan bayangnya
Jiwa tak berwajah

Biarpun gelap malam
Mata terpejam hati ku tenang
Kekusutan ansur pulang
Bersama bayang siang semalam

Baru ku tahu ertinya
Sakit yang mencengkam dada
Malam yang sesepi itu
Pembuka jalan selebar dunia

[Lagu/Lirik : Amuk]
dengar midi [ x ]

Lagu lama, aku terjumpa midi ini sewaktu ke laman einriqie. Seperti dibawa kembali ke beberapa tahun yang lalu. Ada sesuatu dalam lagu dan puisinya yang buat aku terasa damai...

~~@~~

:: Hujung minggu...

Ke pasar tani dan taman riadah, mungkin akan jadi rutin hujung minggu apabila aku dan mak tidak pulang ke kampung. Alhamdulillah... aku kembali merasa segar... terlalu banyak toksit, kolestrol dan lemak dalam badan menjadikan aku seorang yang murung. Aku tak suka jadi murung!

Sabtu petang, Aeen (teman sekolah dan seasrama, selalu kulabelkan sahabat mgh88 sahaja) sekeluarga datang ke rumah menjenguk mak. Sahabat mgh88 memang akrab. Aku masakan laksa Sarawak, ringkas mudah dan tidak selalu dinikmati oleh orang di sini. Paste laksa selalu kupesan daripada sesiapa sahaja rakan dan kenalan yang pulang ke Sarawak. Aeen tiba dengan tiga orang cahaya mata yang comel-comel... suatu hari nanti aku juga ingin punya comel-comel yang keletah seperti itu... mungkin jika diizin Tuhan tahun hadapan aku mau menjaga seorang bayi perempuan... susah tak jaga baby?

Selepas Isyak, Citah pula tiba atas tujuan yang sama, berjumpa dan menziarahi mak. Memang sedari zaman sekolah kami sudah bergaul dengan keluarga masing-masing. Jadi mgh88 sudah rapat dengan mak semenjak itu. Citah datang dengan adiknya Arfah, yang sungguh keletah... macam-macam produk dia promot dengan aku, tapi dia tak suruh aku beli... dan aku jadi suka mendengar pengetahuannya... mungkin direct-selling begini tidak berbahaya untukku... sebab dia tak suruh pun aku beli, dia hanya bercerita. Aku pula jadi tertarik dan banyak bertanya... di hujung masa, memang aku tak beli apa-apa. Dia pula tidak terkilan kerana tidak menjual. Tapi sekarang aku tahu di mana aku harus mencari jika mahu sesuatu seperti yang kami bincangkan itu. Mudah dan tidak menyesakkan.

Ahad, di sebelah pagi ke taman riadah. Di sebelah petang ke Mid Valley Megamall meneman Nana, tapi aku juga turut membeli sedikit keperluan. Cuba-cuba mencari hadiah harijadi buat Citah dan Jedah.... tapi tidak bertemu dengan yang kusuka, semuanya nampak biasa saja... ia harus lah istimewa.

Sewaktu melilau-lilau di celah-celah rak buku di MPH, aku terlihat kelibat yang kukenal... 'dia' awalnya memandang kosang ke arah senyumku, sebelum tersedar dan bertukar senyum. Dia itu tuan punya buku nota, yang juga seorang wartawan dan penulis... aku lebih suka memanggil dia enmiya... walau sudah beberapa kali dia minta aku agar tidak memanggil dengan nama itu.. heh heh... aku saja mengusik...

~~@~~

:: Bunga...


waktu kali pertama berbunga, sekarang dahan yang ini telah bercabang dua, salah satu dari cabang itu dan juga cabang yang di bawah sana telah mengeluarkan kudup bunga yang masih kecil... aku tidak tahu nama pokok ini, aku beli sewaktu ia masih setinggi 5inci dan sangat comel... sekarang sudah 3 kali tukar pasu, ia membesar dengan cepat...

Bunga-bunga dalam pasu memberi perkembangan positif. Mungkin kerana mak siram hari-hari. Jika ia di bawah perhatianku, alamat seminggu dua kali sahaja lah ia mendapat air. Ada satu perasaan yang indah melihat tanaman yang ditanam bercambah atau berbunga...

Maha Kaya Allah diciptakan alam untuk kita semua berhibur, dan aku sangat bersyukur kerana diberi nikmat melihat keindahan itu walau hanya di balkoni rumah dan dengan beberapa pasu bunga sahaja. Izin aku memetik ayat ke 58 dari Surah Al-A'raaf, yang bermaksud:

"Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur." [ x ]

 

[ erikas ]

31 Mac 2005
:: elaira dot net..

Kadang-kadang untuk secebis gembira kita terpaksa berkorban sedikit. Aku selalunya adalah seorang yang sukar membuat keputusan, tapi entah mengapa dengan tanpa berfikir panjang awal-awal pagi tadi aku telah dengan gembiranya membuat keputusan untuk sesuatu yang kini bernama elaira.net.

Karlbum memberitahu, ada promosi menarik. Lalu aku bersetuju. Berdasarkan penggunaanku yang sederhana dan pelawat yang tidak seberapa, adalah sangat-sangat mencukupi ruang dan bandwidth sebegini. Peliknya keputusan dan urusan itu selesai dalam masa kurang dari sejam (8.15am - 9.00am). Aku katakan pelik kerana seperti yang aku kata tadi, aku jarang membuat keputusan berkaitan hal peribadi dengan cepat. Domain elaira.net aktif pada jam 10.15am, dan sekitar jam 1pm aku sudah menerima butiran lengkap yang lainnya.

Asalnya hanya mencari ruang, tetapi apabila ditawarkan domain percuma... terus aku tidak lepaskan peluang. Aku akan cuba menginap di sini, menyesuaikan diri dan memerhati. Moga ruang ini mesra pengguna dan tidak banyak beri aku masalah. Asalnya hanya mahu menggunakan cjb.net sahaja kerana aku juga punya ruang kongsi-kongsi dengan kroni. Tapi tak apalah... aku anggap sahaja ini hadiah dari diriku untuk diriku...

Secara ringkas aku catatkan bahawa hari ini adalah hari yang sukar bagiku. Ada permasalahan di tempat kerjaku. Seperti lazimnya, sakit juga kepala, tetapi alhamdulillah bertemu jalan penyelesaian menjelang senja.

Dalam sibuk bergegas hari ini, aku menerima panggilan dari Abang Pat. Ada berita gembira yang disampaikannya. BAHAWA... buku-buku Saga Artakusiad 1 - 7 akan ditulis semula untuk bacaan remaja, dan beliau berhasrat memperlengkapkan lagi jalan ceritanya. Abang Pat meminta Aurorans semua untuk turut membantu dan memberikan buah fikiran kepadanya. Jadi bermula malam ini aku akan kembali membaca dan meneliti buku-buku Saga Artakusiad: Permata Aurorius, Kota Arialun, Kembar Artakus, Petua Azkram, Puteri Alindalia, Pedang Aurora dan Legenda Numerius! I'm going back to Aurora tonight!

Tak sangka, akhirnya tercapai juga impian daku untuk mempunyai domain dan hosting sendiri.... alhamdulillah... apatah lagi elaira.net yang sudah 3 tahun daku impikan. Syukur... satu lagi impianku dimakhbulkan Tuhan. Oh ya... splash page aku masih tidak teratur... maklum aku tidak pernah merancang untuk mempunyai ruang ini.

Mungkin hari ini, sekolah hidup titipkan aku satu pelajaran lagi... bahawa ada kalanya sesuatu yang sungguh-sungguh tidak terduga akan berlaku... dan ia akan buat kita gembira. Apatah lagi sesuatu itu adalah yang kita impikan sejak bertahun dahulu.... syukur ya Allah atas nikmat dan kurniaan dariMu.

Secebis gembira memang ada harganya.

[ aku nak balik dah malam sangat ni... nanti mak risau ]

[ erikas ]

30 Mac 2005
:: Berayun...

Tempat duduk ku berayun dalam kiraan 5saat pada jam 2.15petang semalam.

Aku yang bersila di atas kerusi kerja termanggu memahami apa yang sedang berlaku. Berita gempa bumi berhampiran Pulas Nias di Sumatra telah tersebar sedari malam tadi. Dan aku sedar mungkin gegaran ini adalah susulan kejadian itu, kerana diberitakan sejak dari tengah malam semalam banyak sekali kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami gegaran, akhbar-akhbar tempatan memaparkan berita di sana-sini penghuni high rise building keluar dan turun dari rumah mereka.

Serentak itu juga syahadah meluncur dari hati dan bibirku, di dalam hati bertanya "Inikah dia?" (telah tibakah hari yang Engkau janjikan itu?), memandang teman di meja berhadapan denganku, pandangan kami menyatakan bahawa kami faham apa yang berlaku, dia juga terkumat-kamit... pastilah juga dia melafazkan apa yang aku telah aku lafazkan sebentar tadi. Air di dalam gelas di kananku bergetar. Beberapa saat selepas itu barulah kami membuka mulut, bertanya antara satu sama lain, apakah mereka juga merasakan ayunan tersebut.

Teringat mak di rumah, sepantas itu juga aku menalifon dan bertanyakan jika hal yang sama dapat dirasakan di rumah. Mak kata, di rumah biasa sahaja. Hatiku lega.

Kembali duduk di meja, kepala terasa sedikit pening, dan hatiku terus mengiyakan, bahawa kita ini semakin hampir dengan waktunya. Waktu dan ketika di mana seluruh alam mengalami kehancuran... waktu yang disebutkan Kitab Suci sebagai hari penghabisan.

Terdiam dan merenung diri... kejadian ini adalah peringatan, sangat dalam pesananNya. Umpama mengejutkan anak kecil yang sangat kalian sayangi, pastilah dengan usapan sehabis lembut dan suara yang sangat mesra, agar bila dia tersedar... dia tidak terkejut dan menangis. Mungkin begitu lah juga Allah s.w.t mengejutkan kita dari lena keduniaan ini. Dengan ayunan yang sungguh sedikit, tetapi bersamanya datang pesanan yang sungguh besar dan sungguh luas... seluas mana pemikiran kita sanggup meneroka ruang jawapan itu sendiri.

Bumi Malaysia nan permai dan aman damai ini masih terlalu asing dengan kemusnahan alam dalam bentuk ini. Walaupun ini bukan kali pertama... tetapi gundah tetap mengungsi setiap rakyatnya, bimbang jika musibah ini seburuk kejadian tsunami yang telah melanda kawasan pantai di utara Semenanjung yang telah meragut lebih 60nyawa.

Ini adalah kali kedua aku mengalami dan merasa gegaran. Pertama di tahun 2001 ketika tinggal di Setiawangsa, tapi itu gegaran... yang terjadi semalam ialah ayunan. Moga aku tidak terus lena dibuai arus permainan dunia, aku sudah dititipkan pesan semenjak qamat pertama di telinga kiriku, diwariskan pula dari moyang-moyang terdahulu kitab panduan hidup yang lengkap serta ajaran-ajarannya yang telah dihurai ke dalam bentuk yang lebih mudah... dan petang semalam aku dibangunkan dalam jaga... cukup perlahan, waima mengingatkan aku letak dudukku... dan pagi ini bila kurenung kembali kejadian semalam, aku penuh sedar aku sebenarnya belum berjaya menyahut ujian semalam... kerana masih bakir daki dunia di minda.

[ erikas ]

29 Mac 2005

Aku bercadang untuk menaikan Hibernasi 2 hari ini.

Ia satu pembaharuan yang ketara, lari dari konsep hijau... kali ini, aku mahu ia ceria dan cerah.

Moga hidupku jua secerah yang aku impikan... walau pun dilengkapi seribu kekurangan.

[ erikas ]

28 Mac 2005

Sabtu lalu seawal pagi aku dan mak ke Pasar Tani berhampiran dengan rumah. Selesai membeli sayur, sedikit ikan dan daging kami bersegera pula menyimpan semuanya dirumah, kemudian kami ke taman riadah. Aku cuba-cuba berjoging kembali, lebih setahun aktiviti ini telah tidak selalu kulakukan... stamina memang telah jauh berubah, belum pun 500meter larian, nafasku sudah putus... Apa sudah jadi? Tanya dan jawap sendiri sahaja lah...

Ini kali kedua aku dan mak berkunjung ke taman riadah ini, aku makin seronok ke sini kerana ada kemudahan alat-alat senaman seperti yang terdapat di pusat kesihatan. Ada juga batu-batu refleksiologi. Walaupun begitu bau-bau busuk dari ikan-ikan yang mati di sepanjang pinggir tasik sedikit mengganggu segar udara pagi... apatah lagi aku yang tercungap-cungap menelan udara.

Lewat petang aku, Jedah, Citah dan Ziah ke Hospital Putrajaya, menziarahi Nash di Unit Rawatan Rapi (ICU). Khamis lalu dia di masukkan ke ICU setelah beberapa hari dimasukkan ke wad rawatan biasa. Butir penyakitnya tidak kuketahui. Dari khabar yang dibawa Jedah yang telah menziarahinya Khamis lepas, keadaannya kritikal.

Setelah melihat sendiri dan bertanya dengan keluarganya, tahulah aku bahawa dia mengidap tyroid. Jelas di lehernya bengkak yang besar. Menurut adiknya dia telah dijadualkan menjalani pembedahan pada tahun lepas, tetapi ditunda kerana waktu itu dia mengandungkan anak yang ke lima. Dia dijadualkan semula untuk pembedahan pada Jun tahun ini, tetapi malangnya demam yang melanda baru-baru ini menjadi punca sehingga dia tidak sedar diri, meracau dan menggigit bibir.

Aku dan Aziah masuk berdua, kami berpegangan tangan... meminjam semangat antara satu sama lain. Begitu jua lah zaman persekolahan meniti di mata. Berlari-lari pulang ke asrama dan berebut bilik air. Jika dulu kami dikejutkan dengan kemalangan Zam dan ditempatkan di ICU, kali ini Nash pula. aku berjaya mengawal sedih melihat jarum-jarum berceracak di tubuhnya... tiga di kaki kiri... tiga di kaki kanan... begitu juga dua di tangan kiri dan kanan... alat bantuan pernafasan... serta tiub-tiub yang tidak ku tahu fungsinya dipasang di mulut dan hidung.

Aku pegang jari-jarinya yang telah gemuk diisi air dari paket-paket yang bergantungan.... tangannya panas, entah dari mana datangnya hatiku kuat mengatakan bahawa dia akan sembuh, sepantas itu jua resah menginjak lalu. Kubetulkan bucu selimut hijau ditubuhnya sebelum melangkah keluar bagi membolehkan Jedah dan Citah pula melawat.

Di bilik menunggu, suami, anak-anak, ibu sera adik beradiknya menunggu dengan penuh harap Nash sembuh seperti sedia kala. Mungkin mereka juga seperti aku... wajah-wajah itu telah bewarna harapan, bahawa dengan izin Allah, Nash akan sembuh segera.

Dalam hujan setelah solat maghrib di hospital kami menghala ke rumah Aeen. Aeen minta kami singgah di rumahnya... dia masakkan sesuatu untuk kami... Kami berempat yang sedia kelaparan, umpama orang mengantuk disorongkan bantal, laksa penang panas sedia terhidang di meja menunggu kehadiran kami.

Aku sampai semula ke rumah mencecah dini hari, setelah menghantar Aziah pulang.... deretan 7 orang cahayamatanya sungguh sempurna di mataku, seorang lagi mengikut ibunya pulang ke kampung. Ya.... Aziah sudah punya 8 orang cahayamata... dia sungguh sungguh kaya!

Pagi mingguku pun bermula dengan joging di taman riadah. Selesai solat subuh aku dan mak ke taman riadah, hari itu agak ramai pula orang yang beriadah... hari minggu, rata-rata semua orang bercuti. Kali ini kami melewati tasik yang baru... melewati juga pancuran air yang tinggi... aku mendongak ke atas, salur keluar air pancuran persis kukur kelapa di kampung.

Mak nampak lebih sihat dan berusaha menyesuaikan diri dengan suasana di bandar. Pesan kakak ipar supaya mak menyesuaikan diri dan mengubah cara hidup tidak lepas dari bibirnya. Tidak aku nafikan mak seorang yang kuat prinsip dan pertahanan jiwanya. Semangat aku tidak sebanyak mana jika dibanding dengan keteguhan mak meranduk arus hidupnya yang acap kali bergelora. Aku akui jika tidak kerana semangat mak, mungkin aku tidak di trek joging pagi Ahad itu.

Berjalan bergandingan bersama mak... aku melihat satu dunia yang begitu indah, begitu damai...

[ semaian kami sudah mula bercambah... aku jerit-jerit gembira, bila bilah-bilah daun pertama menyuakan muka mengadap dunia...]

[ erikas ]

... di ruang bisu ini,
ku himpun semua lagu kehidupan
ku lemparkan agar tersulam
sekuntum senyum penghias hari
dalam jalan-jalan yang semakin kelam
dalam jalan-jalan menuju pulang.
..

~@~

REMEMBER ME

elaira.net
elaira.fajaronline.com
elaira.cjb.net

~@~

ARTAKUS DOT NET

artakus.net
olai tannon
artakus.events
jundak
rosh
sempoii
little silence
re--open
esis

~@~

KRONISM

elaira@kroni
en nordin
en khairul
saljibiru
moplantai
jongkang jongket
zhoulsz
amyz
kappucino
basrie
purbe

~@~

GEJU

fajar
bluehikari
nisah haron
JiGoMorisson
manmoncang
attokz
unsunghero
tok rimau
ep
rosram
nett
cik daun
sera
max
enmiya
karlbum
ct musafir
paichowan
syihab
syati
angah
lan
ayobkelubi
tipah vogue
ijot
yanti
op
nis tajuddin
saziyana

~@~

ISLAMIC

harun yahya
bangsa musnah
utusan rasul
momentum islam
emuslim
islamic world

~@~ 

OTHERS

Ju`an Einriqie
rizal
strozze
gigi tak bertatoo
aceh menangis
cstech
laluan sutera
anjung seri
currency converter
moluv
speedometer
sting

~@~

ARTICLES

which tree
penubuhan ifc

~@~

MESTI TONTON

ahad
melodi-12.30pm-tv3
mentor-9pm-tv3

isnin
top host-9pm-tv3
misteri nusantara-9.30pm-tv3

selasa
tremors-9pm-tv3
kingdom hospital-11.30pm-tv3

khamis
999-9pm-tv3
ambush makeover-9.30pm-tv2

jumaat
national geographic-9pm-tv3

sabtu
jalan2 cari makan-4.30pm-tv3
majalah3-9pm-tv3
cerekarama-10pm-tv3

~@~

ARKIB

Ver 1.0
index
oct 2002
nov 2002
des 2002
jan 2003
feb 2003
mac 2003
apr 2003
mei 2003
jun 2003
july 2003
ogos 2003
sept 2003

Ver 2.0
index
oct 2003
nov 2003
des 2003
jan 2004
feb 2004
mac 2004
apr 2004
mei 2004
jun 2004
july 2004
ogos 2004
sept 2004

Ver 3.0
index
oct 2004
hibernasi
{oct 2004 - mac 2005}
index
hibernasi2
{mac 2005 - apr 2005}

~@~

Copyrights © 2005 Myths in the Haze
http://elaira.net

Copyrights © 2005 Myths in the Haze
http://elaira.net

 

 

 

I am a part of this Glamorous Organization!!!