~  m y t h s   i n   t h e   h a z e ~ 
P u t e r i  E l a i r a  E l i z a 


     

[ secangkir madu ]    [ elaira ]   [ taryusis ]   [ arianur ]   [ irionel ]   [ erikas ]  

SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ] Dibawakan secara eksklusif ketatapan anda.

31 Okt 2003

Pagi selepas hujan. Aku suka pagi selepas hujan. Langit cerah membiru. Matahari tersenyum riang memesrai bumi. Burung-burung kecil berkicauan riang membelah udara. Semuanya kelihatan sempurna... aku gembira.

Hari ini sejarah negara bakal mencoretkan sesuatu. Perdana Menteri Malaysia yang tersohor akan meletak jawatan. Biarlah. Dia pun perlu masa untuk dirinya sendiri. Untuk melengkapkan kehadiran dan tujuan perjalanannya di mukabumi ini. Semoga dia berada di jalan yang benar dan beroleh nikmat dan hidayat Tuhan sebelum dijemputNya. Aku doakan yang terbaik.

Jam 3 petang, di pejabat. Aku sempat menyaksikan acara perletakkanjawatan dan perlantikkan Perdana Menteri yang baru di kaca tv. Yang kulihat wajah semuanya melukiskan kesedihan yang amat sangat. Aku jadi berkata-kata dalam hati.

Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi negara, beliau kini bergelar Tun Dr Mahathir Mohammad. Datin Seri Dr Siti Asmah juga menerima pingat kebesaran yang sama. Anugerah selalunya menyenangkan hati dalam masa terinci. Apa-apa pun semoga Tuhan memberkati dan membimbing apa-apa yang yang tak jadi.


30 Okt 2003

Hujan lebat malam ini. Angin bertiup kencang. Jari-jari ghaibnya menggegar pintu gelongsor kaca utama ruang tamu rumah, lantas menghasilkan siulan nyaring persis suara hantu dalam mana-mana filem seram. Aku tidak berganjak, tetap di sini. Siulan angin memaksa pintu kaca bergegar tidak menggugat dudukku di sofa ruang tamu.

Terasa akan lompang yang terbiar, gagal memenuhi janji pada kalian dan diri sendiri, maka ini kugagahi diri, mencatatkan sesuatu yang peribadi, membawanya mesra dalam ruang hijau yang kuciptakan ini... menjadi bahan bacaan kalian.

Semalam, sahabat baik Citah dan Jedah bersama tiga lagi rakan yang lain membuat kunjungan mengejut. Mereka sudah aturkan majlis untuk harijadiku. Bermula dengan juadah berbuka puasa yang mereka bawa. Enak-enak belaka, nikmat Tuhan kurniakan. Kemudian melihat gambar-gambar sekitar Ekpo OIC 2003 dan kunjungan ku ke Brunei. Setelah itu kita terawaih berjemaah. Selesai terawih, mereka keluarkan kek! Yeay... kek blueberry! Alhamdulillah!

Mereka bawa hadiah. Semuanya aku suka sangat-sangat! Terima kasih kawan-kawan! Kerana pada hari kelahiran mengikut taqwim Islam ini (3 Ramadhan), kalian sudi memeriahkan hari seorang seorang Elaira! Aku benar-benar terharu.

Bila mereka pulang suku jam sebelum tengahmalam, aku duduk sendirian melihat hadiah-hadiah yang mereka semua berikan. Aku senyum sendiri. Tahun ini kemeriahannya tersendiri. Kukira tika sambutan 22 Oktober itu aku berada jauh dari teman-teman semuanya akan berbeza, nyata aku tidak pernah berkecil hati dengan takdir. Segala sesuatu istimewa dengan cara yang tersendiri. Syukur kepada Penciptaku.


22 Oktober 2003

write up in progress... tunggu ya... ;)


21 Oktober 2003

Esok adalah ulang tahun Myths in the Haze yang pertama. Aku ingin hadiahkan padanya sesuatu yang baru. Tapi nampaknya seperti tidak bisa berlaku. Kerana sehingga lusa aku belum lagi meninggalkan bumi Brunei ini. 21 Oktober 2003

Esok adalah ulang tahun Myths in the Haze yang pertama. Aku ingin hadiahkan padanya sesuatu yang baru. Tapi nampaknya seperti tidak bisa berlaku. Kerana sehingga lusa aku belum lagi meninggalkan bumi Brunei ini.



19 Okt 2003
:: pertama kali di angkasa...

11.52 pagi - pesawat mula bergerak meninggalkan KLIA. Penerbangan pertama ku ini dimulai dengan doa yang dibacakan di dalam pesawat. Melalui tingkap aku dapat melihat enjin kanan pesawat. Sebelum ini kukira aku akan gentar, tapi lonjakkan pesawat itu lah yang paling menyeronokkan.

Di luar tingkap panahan matahari di redupkan awan gemawan. Pesaat mengiring kekanan membolehkan aku melihat mukabumi yang semakin sayup. Melihat rumah dan bangunan semakin mengecil, sungai-sungai dan tasik-tasik semakin berbalam.

Aku senyum dalam hati. Mungkin ramai yang tertawakan aku menulis begini. Ah... inikan pengalaman pertamaku, pengalaman baru. Justeru aku ingin abadikannya di sini.

Aku teringat 'Negeri di awan' dan 'Seluas angkasa...' aku cuba fahamkan apa yang pernah dilagukan dan diimpikan melalui dua ungkapan. Apa aku ketemu...?

Awan berkepul kapas yang mengasyikkan semakin jauh di bawah. Sejurus tadi aku baru sahaja terasa seperti di kayangan. Di bawah seperti laut... tapi tiba-tiba hilang... pesawat telah masuk ke dalam awan! Di luar jendela semua sudah kabus sahaja.

37 ribu kaki, slanga juruterbang agak mengelirukan, mujur bahasa melayunya dapat kufahami. Aku duduk bersebelahan dengan Mr. Hosono, rakan sekerja dari Jepun. Aku teringat Rudy, kalau dia yang duduk di sini pasti bicaranya lancar dengan Mr. Hosono. Aku sekadar bicara bahasa inggeris sangkut-sangkut dengannya :)

Pramugari beri aku makan... aku makan dulu ya. Lagipun, di luar jendela... semuanya putih sahaja.

Sepatutnya penerbanganku dijadualkan semalam, petang semalam, tapi Puan tundakan ke hari ini. Aku tidak kisah, ikut sahaja, kalau tidak jadi pergi pun lagi bagus. Aku pun punya rencana jika tidak ikut sama dalam kunjungan kerja ini.

Erk... memang sebeginikah di dalam penerbangan? Asyik diberi makan sahaja? Kenyangnya... sudah dua kali diberi makan... ada lagi kah? Aku sudah kekenyangan benar ni!

Pesawat kini keluar semula dari awan, sebentar tadi pinggir pantai kelihatan... tidak pasti pinggir pantai mana... awan berkepul seperti kapas tadi sayup-sayup di bawah sana, pesawat kekal 37 ribu kaki dengan kelajuan 813km/jam.

Mungkin pinggir pantai yang kulihat sebentar tadi milik mana-mana pulau... kerana jika mengikut panduan perjalanan, kami sedang berasa di tengah-tengah lautan Cina Selatan.

10 minit ke pukul 2 petang. Pesawat menghampiri perairan negara destinasi. Di permukaan laut beberapa kapal kecil kelihatan.Mukabuni kembali jelas. Penerbangan 2 jam terasa begitu singkat. aku suka naik kapalterbang rupanya... heh heh...

Penerbangan ini bersekali dengan Menteri Pendidikan Brunei yang kutaklimatkan di booth pameran semalam.

Mukabumi semakin jelas, rumah-rumah dengan rekabentuk seperti yang kutonton di dalam dvd dokumentari di raja malam kelmarin sudah kelihatan. Syukur aku selamat tiba dan akan berada di sini beberapa hari. Sebetulnya aku tidak sabar ingin kembali.

 


15 Okt 2003
:: jauh kularikan...

Aku rindu untuk menulis di sini... ahh... selalu benar aku berkata begitu. Tapi benar... aku selalu ingat, tidak pernah lupa.

Banyak sebabnya.

Di sini aku kenal kalian.
Di sini aku ada satu ruang, untuk aku jadi aku.
Di sini aku tak perlu peduli cemikkan muka atau juihan bibir.
Di sini aku bahagia dengan bahasa.

Di sini aku jadi segar dari lesu.
Di sini aku jadi selalu insaf dan bersyukur.
Di sini aku rasa damai dan tenteram, jauh dari asap dan deru kenderaan yang membingitkan.

Tidak perlulah aku senaraikan. Terlalu banyak perihal di sini yang aku ridukan. Dan tidak punya masa untuk menulis di sini, justeru memberitahu... aku juga tidak punya masa untuk diri sendiri!

Aku tahu, sedar sepenuhnya. Teman-teman dan keluarga, saban hari menasihat dan memberi kata-kata "Orang lain pun bekerja juga, tidak lah sibuk sangat-sangat sampai tidak pulang dan tidak melelapkan mata menyabung kesihatan." Aku cuma sengih mengiyakan dan menidakkan.

Aku suka kerja begini, aku suka kerjaya ini. Aku berangan-angan... jika ini jembatannya... maka apa pun jua rintangan dan dugaannya, permudahkanlah urusannya dan penyelesaiannya.

Terlalu banyak yang aku perlu belajar, dari sesiapa sahaja di sekelilingku. Kalian semua pun sebahagian darinya. Dan dengan rasa rendah diri aku sangat-sangat bersyukur kerana dikurniakanNya rakan-rakan yang sungguh bermurah hati dan sudi memberi tunjuk ajar. Aku tahu aku tidak mampu membalasnya. Aku harap peluang terbentang dan kita semua berezeki, mengecap jaya suatu hari nanti. Belajar dari kelemahan dan memperbaikinya.

Banyak sejarah terlakar kebelakangan ini. Segala yang aku pingin sekali mengongsikannya bersama kalian di sini. Aku bukan memberi alasan, tapi bersebab mengapa semua terjadi, benar-benar... masa tidak kutemui.

Terlibat dengan Expo OIC 2003 yang sedang berlangsung sekarang ini, telah menjadikan aku sibuk dan selalu menidakkan kalian, samada di messenger, sms mahupun talifon. Satu-satu yang aku terkesan, bonda juga menerima tempias yang sama. Dalam hati aku sangat sedih. Dan pada semua aku berjanji panjang berjela untuk melangsaikan semua urusan tergendala kita sebaik usai bulan Oktober. (Aku tersenyum... samar-samar sebutir harapan. Ya... aku sudah kembali berani berharapan, walaupun kali ini ia akan membunuh terus segala hidup dan mimpi... aku sudi...)

Hari ini DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang hanya selang beberapa hari sahaja lagi akan ditabalkan menjadi peneraju utama kepimpinan negara melawat gerai pameran kami. Berpeluang rupanya diri berbicara sepatah dua. Tapi aku jadi benar-benar terkejut, dengan tiba-tiba pandangan jadi gelap dan disimbahi cahaya. Ruang pameran kami jadi penuh dengan manusia berkot hitam dan cahaya kamera! Aku senyum lebar-lebar buat bekal, mana tahu muka menjadi pembungkus nasi lemak kalian pagi esok lusa... heh heh...

Rimas... rimasnya menjadi orang seperti Tuanku dan Pak Menteri. Maka aku pun bersyukur, istana di hujung rimba tenang damai dalam sepi. Sekurangnya tidak terganggu dek bayang kelam, tidak layu mawar mekar disimbah bukan cahaya bulan.

Khabarnya esok terjadual lawatan Di Raja dari negeri kami, kemudian menyusul lawatan di Raja dari negara Darussalam. Aku tidak mahu ketinggalan... apa salahnya menambah sejarah, bertemu manusia yang punya sejarah, dikurnia Tuhan rezeki... aku pun pingin membina sejarah untuk diri sendiri. Aku ingin buat hadiah untuk bahagiakan bonda, ...baca, hanya bonda sahaja.

Tapi esok... aku harus ke imigresen mengurus dokumen perjalanan Sabtu nanti... semoga semuanya selesai awal dan aku tidak ketinggalan jika peluang melintas lagi.

Semoganya bila kembali semula ke tanah air nanti... aku beroleh rehat yang panjang, setelah lelah hampir tiga bulan, tidak terurus tidur, sukar sekali kembali ke rumah, meniti dini hari hingga ke pagi di pejabat dalam minggu-minggu kebelakangan ini. Jika beroleh cuti rehat nanti... ahh... aku sudah terbayang indahnya menyambut Ramadhan di kampung bersama bonda... rindunya nak balik kampunggggggggggggggggggg!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


3 Okt 2003
:: berembun...

Orait... hari ni aku nak tulis stail macam ni... Aku nak tulis ikut sedap mata kuyu aku nak tulis. Jam kat pc aku tunjuk 7.49pagi. Bukan aku datang awal... aku tak balik dari semalam. Heh heh heh... la ni aku keje tujuh hari seminggu.

---

Kononnya aku nak balik rumah pagi-pagi, tapi hasilnya sekarang sudah 3.27ptg aku masih di pejabat. Fitting baju... aku suka, rasa selesa. Cuma agak labuh sedikit, nanti Prakash akan pendekkan. Semua orang kena fitting, untuk majlis rasmi pada 10, 14 dan 19 Oktober nanti.

Kerja masih belum rapi... banyak lagi yang perlu aku selesaikan. Ianya harus kelihatan hebat, macam .... apa orang kata?... macam bertaraf dunia? Heh... aku ni cuma bertaraf kampungan saja. Boleh jalan ke?

Dalam pening-pening lalat melawan mengantuk sekitar pukul 12tgh tadi... tiba-tiba aku tersepak satu idea, aku tangkap saja... kalau ia lari... takut au pulak yang menyesal nanti.

Kalian nak baca? Jom...

 

Salam tetamu

hatiku diketuk
salam muda bertamu
debar rasa bersatu
jeling tetamu di tepi pintu

gerangan apa sendamu syahdu
teringat aku lalu rindu
tersayat rasa lalu sayu

pesan langit pada bayu
jika rindu menyapa dan ingin bertamu
simpan salam nya dalam keluk budi
dulangkan senyuman tanda sejati
persahabatan akrab tulus dan murni
itukan lebih abadi...

 

[aku beli kompilasi lagu-lagu hits Wings... kenapa entah... mungkin teringat zaman sekolah dulu. Tapi waktu itu aku sendiri tak suka dengar lagu rosk.. heh heh... tapi lagu-lagu tersebut memang bagus, hari ini hati aku nyanyi rock diam-diam.... hati sulam lain...]


2 Okt 2003
:: keterasingan...

di kamar terasing ini
kulakarkan kenangan menjadi garis (wajahmu)
melingkar pinggir benua
menjelajah pelusuk halus
lembut penuh keayuan
melarikan wajahmu ke kanvasku

di malam terasing ini
ku himpun semua memori
merangkai bintang bekerdipan
menatang sepenuh bulan
merayu seluruh cengkerik bersenandung
ku kotakkan jadi persembahan buatmu

ribuan rindu kini menggigit dada
lama kupendam saat ini tidak tertahan
kupinta senyummu jadi penawar
unjuk padaku lirikanmu
menyambung nafas
merintis ruang
agar api ini tidak membakar hangus
aku yang kaku didakap kerinduan.

Nov02.

||:.

Kucuri masa, walaupun sudah jauh merintas dinihari. Hanya ini kesempatan yang ada, dan nampaknya aku harus akur.

Seperti menghirup kopi kisaran sendiri, sepagi seredup hujan, dan di langit timur suria tersimpul malu.

Seperti menjamah goreng pisang bersadur garing kepanasan, diangkat emak dari kuali berbahang.

Seperti kepedasan dihayun enak hayal sambal belacan, santapan tengahari yang kepanasan...

Nyaman berinspirasi, enak membingitkan telinga, tersenggut melawan perasaan... begitulah tagih mimpi untuk melontorkan kata bisu di dada Istana di Hujung Rimba ini.

Mungkin kalian maklum, kerana kalian jua punya weblog seperti ini. Mungkin jua kalian tertanya, apa enaknya menulis tanpa bersuara dan berkata pada udara, mengadu pada suasana... perihal nasib diri, untung rugi, gelisah yang pergi dan mimpi yang bertamu seawal pagi?

Sepantasnya aku akan jawap..."Entah...".

Antara pasti aku di dalam hati berkata sendiri... bawaannya jauh lebih dari itu. Ruang lompang anggapan sesetengah orang, menjadi begitu bermakna, bertatah intan dan manikam, berlagu merdu dan mengasyikkan, terlukis indah warna-warni mendamaikan.

Dulu... sewaktu masih bergelar pembaca di kalangan weblog kalian, aku juga jadi tagih. Selalu kempunan dan berhati walang, bila kunjunganku tidak bersambut tulisan bisu kalian. Bila setiba aku disambut permaidani kusam dua minggu lepas... "Ohh.. tuan empunya dituntut keutamaan yang lain, pastinya." dengan sayu hati aku melangkah lagi, tidak jemu mencari bingkisan... yang entah bagaimana, mampu menghibur hati.

Akhir-akhir ini... aku pula kecundang, direbut waktu dan tugasan. Alhamdulillah seawal pagi hari ini aku dikurniakan kelapangan, dikurniakan semangat dan sedikit buah fikiran. dalam kantuk yang berlegar-legar ingin menakluk, mampu jua patah perkataan menyusur buat membuka lembaran oktober, yang sekali gus mengingatkan tahun yang baru sahaja kusambut barunya ini akan segera berakhir.

Entah dari mana datang pesannya, tiba-tiba aku menyusun azam, ingin mencuri kesempatan begini, biarpun jauh melepasi dini hari. Kerana nyata aku tidak tegar istana di hujung rimba... terbiar menyendiri...

||:.

Seawal pagi ini sahabat baik yang sudah lama tidak kutemui, juga kuhubungi muncul menerobosi maya. Rindu sungguh rasanya. Sempat berbual dan dia sempat berpesan.

"Harta bukan lambang kekayaan, yg penting hati tenang dan aman dan sehat dan bahagia. Itulah kekayaan sejati.. org kaya duit jarang ada benda nih..."

Benar, itulah yang aku kejar, itulah yang aku cari. Menemui diri, memahami, mensyukuri dan sentiasa berpuashati antara kunci ketenangan sejati! Terima kasih teman, kerana sentiasa sayang dan mengingati. Aku sayang kamu juga!

[ Okt ' 02 ] [ Nov ' 02 ] [ Dec ' 02 ] [ Jan ' 03 ] [ Feb ' 03 ] [ Mac ' 03 ] [ Apr ' 03] [ Mei ' 03 ] [ Jun ' 03]
[ Julai ' 03] [ Ogos ' 03 ] [ Sept ' 03 ]

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...