~  m y t h   i n   t h e   h a z e ~ 
P u t e r i  E l a i r a  E l i z a 

[ secangkir madu ]    [ elaira ]   [ taryusis ]   [ arianur ]   [ irionel ]   [ erikas ]  

28 Nov 2002
:: Why me.... well, why not me?

Semalam dalam kelam kabut menyiapkan tugasan, gigi aku sakit. Bukan kerosakkan gigi, alhamdulillah aku bebas dari itu, ini kes geraham bongsu yang hendak melihat dunia secara total menjelang perayaan hari raya tak lama lagi.

Mulanya di pejabat sekitar pukul 2 petang, mengalnya boleh ditahan lagi. Tapi sewaktu hampir pukul 6 petang, ia semakin meriah! Kalau kalian pernah sakit gigi tentu maklum dengan kemeriahannya kan? Sewaktu berbuka, agak sukar untuk membuka mulut sebab kesakitan itu telah mempengaruhi rahang kanan atas dan bawah. aku tidak pernah merasa sakit gigi, kiranya inilah kali pertama sakit seumpama ini kualami.

Selepas berbuka, sakitnya bertambah, mengikut denyutan nadi. Sewaktu solat maghrib dan isyak, bila waktu rukuk dan sujud bertambah-tambah meriahnya. Selesai solat, terasa seperti hendak demam rasanya. Sebenarnya, proses pertumbuhan 'wisdom tooth' aku ni telah bermula seawal usia 20-an dulu lagi. Ada masanya ia sakit... sehingga dua minggu, kemudian hilang. Dua, tiga bulan selepas itu muncul semula. Dan ini bergiliran dengan yang di sebelah kirinya. Ia berusaha mencari ruang, usaha yang berterusan nampaknya membuahkan hasil yang besar, bila semalam kira-kira 80% tersembul keluar dari ruang gusi yang sempit itu. Aku agak terkejut kerana sebelumnya bukaan itu agak kecil. Ia benar-benar berjaya mengeluarkan dirinya... tahniah... ( waaa :(( sakit lah... )

Sementara geraham bongsu di sebelah kiri masih kecil bukaannya, sekitar 4mm x 7mm (anggaran sahaja). Bermakna, nanti-nanti aku akan mengalami sakit yang serupa ini sekali lagi... alhamdulillah.

Teman serumah mencadangkan agar aku menggigit bunga cengkih. Aku pun ke dapur mencari herbs and spices yang tersimpan. Alhamdulillah ada... dan seperti tidak percaya, sakitnya mula berkurangan, hingga aku tertidur.

Bila tersedar semula sekitar pukul 11, terasa seperti ada ubat pelali diletakkan di tempat kejadian. Wow! I didn't know.... bunga cengkih works well. Alhamdulillah...

Sekarang, tanpa bunga cengkih (sbb puasa), sakitnya muncul kembali secara perlahan-lahan... aku cuba tahan. Kalau tak tahan jawapnya terpaksa berbuka lah ya? Alamak....

Jadi... kalian jangan lupa ya, kalau sakit gigi... gigitkan bunga cengkih... petua ni...


27 Nov 2002
:: Laksam....

Dalam lambat-lambat balik kerja semalam, sempat juga berpesan pada teman serumah minta belikan laksam. Aku betul-betul teringin nak makan laksam... hari tu bubur lambuk... kali ni laksam. Dan ... alhamdulillah, ianya sungguh sedap. Rasa nak cari lagi nanti.

Aku berkenal-kenalan dengan laksam semasa di pantai timur. Masa tu aku tak berapa suka, mungkin itu kali pertama dan mungkin juga memang laksam yang kucuba itu kurang enak. Apa-apa pun... sekarang ia sudah menjadi di antara makanan kegemaranku.


26 nov 2002
:: Segera!

Hari yang sibuk, maaf tidak sempat updet awal-awal... Seawal pagi sudah disuakan longgokkan tugas yang perlu disempurnakan dengan mesej yang paling mesra 'dengan kadar segera' ! Antara lain maksudnya walau bagaimana sekali adanya, pintaan mesej itu harus seratus peratus SEGERA.

Biasalah... barang siapa yang bekerja sudah tentu maklum. Diminta A, kita deliver A. Minta ubah menjadi A-advanced, kita siapkan A-advanced. Nanti minta pula B.... hinggalah versi seterusnya, sehingga tahap kepuasan mual-mual berpinar-pinar agaknya... Aku buat saja... tiada bantahan, tapi janganlah komplen lambat hendaknya... mudah-mudahan. Aku senang di sini, walaupun banyak versinya... ianya menuju yang terbaik.

Esok ada kerja separa manual yang perlu dibereskan. Aku sudah bayangkan satu produksi yang sangat sibuk. Dan jika aku tidak muncul awal-awal dengan updet, aku harapkan kalian mengerti. Nanti kalau ada kesempatan aku akan 'ganti' balik. Bukan janji... sekadar merangka hari.

Cuti Hari Rayaku akan bermula 5 Disember 2002 hingga 15 Disember 2002. Pastinya aku rindu MitH!!! Dan pastinya juga ketika itu banyak sekali cerita menarik yang ingin kukongsikan bersama kalian di sini... harus bagaimana ya? Yang pastinya aku tidak punya sumber di kampung...

Sudah lewat.... I have to go... nanti terpaksa berbuka di jalanan pula... good day... :)


25 Nov 2002
:: Sahabatku Intan

Sebahagian surat-surat sahabat yang kusimpan dari zaman sekolah dulu selamat diulam tikus. Sudah bertahun-tahun surat-surat itu tersimpan kemas dalam laci meja peninggalan zaman sekolah rendah itu... baru kali ini, di tahun 2002 ia diulam tikus! Rasa nak menangis pun ada juga. Pada surat-surat itulah letaknya monument persahabatan yang istimewa, pada surat-surat itu lah cerita-cerita zaman remaja kekal hijaunya, pada surat-surat itulah ingatan terhadap kalian wangi-wangi sentiasa.

Sebahagian besarnya surat-surat dari Intan, sahabat yang kukenali semasa belajar di pantai timur. Kami sempat bersama satu semester sahaja, kerana semester berikutnya dia terpilih ke UiTM Segamat. Terlalu banyak kisah peribadi yang kami kongsikan bersama. Aku yang tidak punya kisah yang begitu peribadi sentiasa memberi pandangan dan galakkan buatnya.

Aku sempat berkunjung ke rumahnya di Kampung Raja Songsang, Temerloh, setelah balik dari perkhemahan seminggu di Pulau Tioman. Waktu itu kulit kami benar-benar dibakar matahari, kami jadi bahan ketawa teman-teman di sekolah. Aku paling takut dengan itik angsanya yang garang. Terpaksa menguis-nguis angsa-angsa itu dengan kayu bila ingin menjemur di ampaian. Dia hadir di majlis graduasiku, walaupun terpaksa datang jauh dari Johor, dan selepas itu masih saling berhubungan melalui surat.

Apabila aku mula sibuk, kekerapan menullis buatnya berkurangan. Selalunya kita akan menulis berjela-jela hingga mencecah 100 muka! Kemudiannya kami terputus hubungan.

Ramadan pada tahun 2000 masihi, aku jadi begitu rindu padanya, mentelah lagi waktu itu cuti musim panas yang panjang. Semua surat-suratnya kuselongkar, mencari alamat serta nombor telefon kampungnya. Puas juga mencari dalam surat-surat yang begitu banyak. Alhamdulillah ketemu!

Aku menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya berserta sepucuk surat yang sarat membawa rindu pada sahabat. Harapanku agar perantaraanku itu selamat sampai ketangannya dan faham tujuan kad serta surat yang kukirimkan itu. Pada surat yang seringkasnya itu antara lain kutuliskan...

"Sahabatku Intan...

Tiba-tiba aku jadi teringat... sungguh-sungguh teringat padamu. Pada kuliah-kuliah yang kita hadiri bersma. Pada debur ombak Teluk Cempedak yang selalu kita lewati. Pada sukar meredah hutan perkhemahan Jeram Jin... kalau bukan keranamu aku tidak akan pernah tahu seronoknya meranduk jeram, dan mendaki tebing curam. Pada lagu yang kita nyanyikan di malam unggun api dan celah-celah batu sungai landai dan air terjun yang dingin. Semuanya masih segar seperti baru semalam.

Bagaimanakah kehidupanmu kini agaknya, semoga persahabatan kita terus hijau, sehijau daun-daun yang memesrai Jeram Jin.

Sahabat, aku tidak pernah lupa akan dirimu... "

Lama aku menunggu, kirimanku tiada balasan aku tahu dia bekerja di Kelantan, sedangkan surat itu ku alamatkan ke Temerloh. Semoga pulang cuti rayanya sahaja yang akan menemukan dia dengan utusanku itu.

Selang beberapa hari selepas hari raya, kuterima satu panggilan. Alhamdulillah utusanku sudah berjaya. Suara Intan mesra di corong penerimaan. Aku jerit-jerit kegembiraan. Intan sudah berumah tangga, dan punya seorang cahaya mata perempuan. Dan tiba-tiba hatiku kepiluan. Terasa jauh sungguh masa memisahkan, aku tersentuh kerana tidak seiringan. Tentu dia tidak punya masa untuk melayan sahabat yang kesepian?

Selepas itu kita kerap berhubungan... hinggalah suara mesranya bertukar pesanan bahawa nombor hubungan itu tidak digunakan lagi. Selalu juga aku mencuba tapi hasilnya tetap sama. Mungin ramadan tahun ini aku akan cuba sekali lagi. Sahabat sepertimu punya keistimewaan sendiri.

Untuk sahabatku Roshaida Harun (a.k.a Usu) yang berada/bertugas di Kelantan, semoga kita bisa ketemu lagi. Mengulang mesra, jenaka dan cerita yang tak pernah basi.

Salam ingatan berkekalan,
Alang


22 Nov 2002
:: Dingin petang

 

dingin angin petang
sejuknya meramas hingga ke dalam
menenggelamkan jiwa dalam lumpur kaca
tercariklah, tercalarlah dan luka...
bertitisanlah darah merah pekat
tertampung jadi kenangan

berkacalah hati jadi berderai
retak tak mungkin bertaup lagi
menanti embun sejuk sedikit
menanti sinar tenang yang sekelumit
meminjam pada takdir
meminta pada ketentuan
berilah lorong untuk berjalan
berilah semangat untuk terus berharapan
agar terkongsi bahagia yang kalian rasakan
buat bekal senyum esok lusa
sebelum masa jadi lupa.


101102 1.40pm

++

Hari ini genap sebulan MitH di sawang-sawang. Besar harapan kiranya dari titik ini ia akan terus mampu untuk melangkah seiringan dengan kalian di Geng Jurnal. Sesungguhnya sokongan dan dorongan kalian besar ertinya bagi MitH, juga bagi diriku.

Terima kasih kerana ruang...
terima kasih kerana kesempatan...
terima kasih kerana sudi memberi nafas untuk MitH terus berjuang...

++

Untuk Ryna dan pembaca lain yang ingin mencuba, saya tuliskan resepi (errr... camna nak tulis resepi ni.... saya cuba lah ya...)

Resepi pengat mee sanggul dengan pisang nangka... (untuk hidangan 2 orang)

Bahan-bahannya:

2 keping mee sanggul ( omak den koba mee loka... mee yang kering bulat-bulat tu laa... )
2 biji pisang nangka
1/2 biji kelapa tua (diambil 2 cawan santan)
1 keping gula anau ( kalau korang tak ada gula anau, gula melaka pun boleh, gula merah pun boleh gak )
3 helai daun pandan
segenggam sagu mata ikan

gula pasir secukup rasa
secubit garam ( jika suka )

Cara-cara membuatnya:

1. Rendam mee sanggul hingga lembut, tak lembut sangat pun tak apa... .
2. Didihkan gula anau dengan dua cawan air hingga cair.
3. Masukkan mee sanggul, didih hingga ia lembut.
4. Potong pisang nangka bulat-bulat lebih kurang 1/2cm tebal.
5. Masukkan daun pandan.
6. Bila mee sanggul dah lembut masukkan pisang.
7. Masukkan santan, didihkan hingga pisang jadi masak.
8. Masukkan sagu mata ikan, jangan didih lama nanti sagu kembang dan menyerap kuah.

Kadar kemanisan tu ejas lah ikut selera korang, dan kalau ada yang suka boleh letak garam sedikit. Dah... siap...!

Rasa macam chef lak aku hari ni...kekkeke... okeh... selamat mencuba... aku nak balik kampung dah ni... bye...


21 Nov 2002
:: Termanggu menatap hari

Agak pelbagai kejadian dalam tempoh terdekat ini, mesra kata dalam bulan ramadan ini. Aku masih terkejut sebenarnya, walaupun bukan kesedihan yang teramat, tapi tetap terkesan... merasa simpati dan geleng-gelengan.

Hujan lebat hampir setiap petang, aku terima rahmat Tuhan ini dengan hati lapang. Seperti dua tahun yang lalu bulan ramadan disirami hujan dan kita tidaklah berpuasa dalam keadaan panas yang melampau. Semuanya aku bersyukur.

Berlaku beberapa rentetan peristiwa yang setiap satu nya membuat aku termanggu sendiri, bermula dengan pulangnya ke rahmatullah sepupuku, kemudian siri-siri kemalangan jalanraya, yang mengorbankan lima sekeluarga di Gambang, Kuantan, kejadian lemas lima beradik di Perak dan beberapa lagi kejadian kemalangan yang menyentuh perasaan.

Sekembali dari kerja semalam Nana memberitahu tentang kejadian tanah runtuh berhampiran Highland Tower yang tragedinya masih jelas kuingati. Menggigil perasaan bila menonton liputan Buletin Utama TV3 malam tadi. Banglow dua tingkat milik Tan Sri Jen. (Bersara) Ismail Omar ranap menyembah bumi. Bertambah terharu bila mengenangkan anak perempuannya, Jasmin Intan, yang mengandung tujuh bulan kehilangan suaminya dalam kemalangan ini. Anak Tan Sri, Hijjaz pula terkorban bersama isteri dan anak-anak mereka. Tan Sri juga kehilangan isteri yang tercinta Puan Sri Azizah. Dua lagi mangsa ialah pembantu rumah mereka warga Indonesia. Al-Fatihah untuk semua yang terkorban.

Kalian sudah tentu membaca atau menonton peristiwa ini, tidak perlulah aku tulis panjang lebar. Sekadarnya aku ingin berkongsi rasa. ~sigh~ Berbagai dugaan Tuhan untuk umatNya, kita harus redha, mengambil pengajaran dan menginsafi. Lama aku berfikir pagi ini sambil menatap akhbar-akhbar harian. Dimana-mana pun maut boleh menghampiri, waktu dan ketikanya sahaja tidak kita ketahui, dan bagaimana ianya terjadi.

Di pejabat pula, ibu saudara majikan meninggal dunia. Kereta pengarah pula dipecah dan laptop dicuri, semasa beliau berhenti di pasar ramadan berhampiran rumahnya di Bangi. Kiranya suasana pejabat pagi ini sungguh hening. Terasa ada gelombang yang bergetar, perlahan-lahan berkocak.... menghampiri perasaanku yang dalam...


20 Nov 2002
:: Bubur lambuk

Korang suka bubur lambuk? Aku rasa aku teringin sangat nak bubur tu.... tapi mana nak dapat selain dari Masjid Kg Baru? Kat pasar ramadan ada kan...?

Teringat dulu... masa belajar kat Shah Alam... aku dan Yah buat part time di DeliQueen PKNS tu... sekarang restoren tu dah tutup rasanya. Masa tu status aku sama macam Effa... extend... hehhehe... jadi kena cari duit lebih.. Masa bulan puasa kena banyak siapkan kuih untuk jualan sebelum pasar ramadan bermula. Juga kena siapkan untuk juadah berbuka... selalunya tempat ni padat... ramai pelanggan yang nak tukar selera datang ke DeliQueen untuk menjamu selera dengan makanan barat.

Di sinilah aku mula-mula kenal meat-loaf, tuna-macaroni... [kek kampung den tak do bondo tu doh... kekkeke...] Upahnya RM2.10 sejam, selalunya kami kerja sampai malam. Dan kalau ada rezeki masa clearance malam tu dapatlah bawa balik pizza ke, meat-loaf ke, tuna-macaroni ke... atau makanan lain, termasuklah bubur lambuk yang dibuat untuk jualan di pasar ramadan. Masa kerja di sinilah aku belajar buat beberapa jenis kuih yang sekarang aku dah hampir lupa dah, termasuklah sardin roll yang orang suka beli tu... aku pun pelik, kalau ikut rasa tak sedap mana pun... dan popia basah... tapi sos dia tetap menjadi rahsia restoren tu.

Sedap bubur lambuk tu. Kalau gagal mencarinya nanti aku buat sendiri lah... tapi tentulah tak sesedap resepi asal, dan mungkin yang aku buat tu bukan bubur lambuk namanya. Tak apalah janji boleh lepas kempunan.

Masa kerja di situ, aku kenal dengan beberapa orang pekerja Philipina dan Indonesia. Mereka semua baik-baik. Dah lupa pun nama mereka yang aku ingat Rowena dan Joni. Sebab aku suka kumpul stem, mamat Philipina tu bawakan aku beberapa keping stem negaranya. Aku masih simpan sampai sekarang. Masa inilah juga, aku mula kenal Tracy Chapman, diorang selalu buka lagu-lagu Tracy Chapman, yang akhirnya aku jadi suka sangat sampai sekarang.

Di akhir bulan... dah dekat nak raya tu, maka kami pun dapatlah upah part-time tu, aku beli kasut raya! Kasut raya yang sungguh-sungguh aku bangga kerana ia hasil titik peluh aku sendiri. Lagi-lagi kerana sebelum ini aku tak pernah buat kerja macam tu. Di fakulti (dulu panggil kajian) pun aku buat part-time, skim bantuan siswazah ke namanya.... dah lupa dah... kerjanya jaga lab... tak banyak benda pun yang nak dibuat, aku rasa pihak kajian saja nak tolong student pokai macam aku ni. Jadinya hari-hari aku duduk kat bilik lab assistant tu, jadi penglipur lara sambil dengar radio.

Pernah satu petang semasa buat part-time tu, hujan lebat... habis lah semua kain di jemuran lencun. Aku balik ke bilik dengan hidung kembang kempis, rasa geram yang tak terkata sebab semua kain basuhan dah lencun kena hujan. Nak marah kat sapa... saja tarik muka masam mencuka sebagai ilustrasi rasa tak puas hati kain basuhan yang wangi-wangi tu telah lencun dan bau wanginya dah hilang. Aku memang pantang, kalau kain jemuran kena hujan... kenalah bilas dan letak softlan balik supaya wangi. Kalau terus keringkan tanpa dibilas... haaa ... cuba laa cium bau dia... busuk... tak sukanya!

Banyak kenangan part-time di DeliQueen... termasuklah acara mengerjakan ice-cream dan topping strawbery bersama Yah... this is funny... bos ofer ice-cream, tapi kitorang ambil banyak-banyak dan letak topping bagai nak rak.... tengah-tengah dok asyik memicit botol topping tu.... bos masuk kitchen.... aku dengan Yah buat-buat macho, macam tak ada apa-apa berlaku dan teruskan kegiatan separa haram tu.... kekeke... tapi bos tak kisah pun... ye laa... kan dia dah ofer kan kan kan...?

Aaaa.... nak bubur lambuk jugak ni... ada sesiapa nak sedekah???


19 Nov 2002
:: Weekend wrap-up

[ditulis semula agar dapat dibaca]
15/11/02
6.20 Dlm bas United ke K.P

Berkabus jalan pulang, hujan lebat sebentar tadi tidak menghalang aku meneruskan perjalanan. Siapa pernah ke Kuala Pilah? Effa kata dia dah sampai. Sekarang bas ini tengah merengek mendaki bukit berliku-liku. Aku berani balik kg hari ni jugak sebab habis kerja 3.30ptg dan yah ada tunggu di Pilah. jadinya i have extra day at home lah weekend ni <-- tengah selekoh...

Cantik jugak tulisan macm ni kan? Ada seni... Byk pulak lori-lori tangki dan lori simin... kereta pun bukan main lagi. Zaman dulu arwah nenek kata... kalau lalu kat sini... nak jumpa satu kereta yang berselisih pun susah... (wah bas ni lap giler) ...hehehe... best laaa.. mood nak menullis dalam bas...

Arwah nenek punya pak saudara ialah hulubalang istana. Jadi jika Yam Tuan Besar nak ke S'ban, dia akan melalui jln Bukit Putus ni dulu. Utk clearkan kalau ada perompak penyamun. Maklumlah hutan tebal, dah tu jauh pulak tu. Lain lah skrg ni... 20 min dah boleh sampai fr one side to another.

Sejuk segar anginnya... aku suka... suasana begini menyambutku pulang. Harap2 sempat sampai pilah utk berbuka. Sampai kampung lewat sikit pun tak apa. mesti mak masak sedap. Tadi pagi dia sempat call, pastikan aku nak balik, pas tu dia kata nak buat kuih buah melaka... my peborit!

Hmm... dah tamat Bukit Putus... skrg di Ulu Bendol... sekejap lagi sampailah di pilah. Aku berenti dulu lah... org kiri kanan dok pandang2... gile apa sorang manusia menulis bagai nak rak dlm bas bergegar2 cam ni... blah dulu... selamat berbuka ;)

++

Sampai di K.P dalam hujan lebat... sebaik saja turun dari bas kulihat kereta Yah berada betul-betul di belakang buntut bas yang kunaiki tadi. Berlari-lari anak mengelak titisan air yang ingin membasahkan apa saja yang tidak bernaung. Waktu berbuka sudah tiba, Yah sudah sertakan pakej berbuka sekali. Dalam pekat senja kita meranduk jalan pulang di celah-celah hujan yang menggila. Rupanya hujan setakat di pekan sajja, memasuki simpang ke kampung semuanya kering sahaja.

Kami punya perbincangan yang berat, justeru Yah bermalam di rumahku. Esoknya kita teruskan lagi sambil ronda-ronda jalan di depan rumah... aku suka suasana yang begini... mata menyapa satu permandangan yang begitu mendamaikan... bukit bukau melingkung lembah yang kecil, di dadanya tali air mengalir - dulu mungkin sesuai dipanggil sungai kecil, kini airnya amat berkurangan sekali. Walaupun pandangan tidak berapa kemas lantaran sawah terbiar semakin tumpat ditelan kayu renek dan pokok kapal terbang, namun nyamannya tetap ada, damainya ketara.

Gemercik air melakar dingin di celah terik sinar mentari yang semakin garang menjengah bumi... embun pun beransur pergi. Siulan burung-burung meredakan isu yang semakin hangat. Selepas zohor, Yah pulang ke kampungnya pula.

Malam itu aku bersama mak dan anak buah solat terawih di surau. Surau ini yang ketiga dibina semenjak zaman kecilku. Yang pertama dulu dibina di atas sekeping tanah berhampiran sungai menghadap sawah. Kami panggil surau itu 'Surau Putih' kerana ia dicat putih keseluruhannya. Ia tidak besar, tapi cukup untuk menampung jemaah kampung. Surau itu bertiang kecil, binaan kayu sepenuhnya, mungkin usianya sudah agak tua, aku pun tidak begitu pasti. Semakin lama surau kecil itu menjadi sesak terutama bila tiba bulan ramadan, dan ketara sekali pada hari raya.

Oleh itu surau kedua dibina, berhampiran tanah perkuburan. Saiznya lebih besar, lengkap dengan balai memasak dan bilik air serta tempat berwuduk yang lebih sempurna. Lama juga surau itu digunakan, ia adalah hasil derma seorang penduduk kampung yang agak berjaya. Kini beliau telah pulang ke Rahmatullah.

Suatu petang di musim panas kira-kira lima tahun lalu, kami dikejutkan oleh kepulan asap serta deru derap api yang begitu marak. Seluruh kampung sahut-sahutan, dan surau yang tidak jauh dari rumahku itu... jelas sekali sedang lemas dikulum lidah api. Mungkin litar pintas... sebab sebenar tidak diketahui. Surau kami rentung tanpa sempat diselamatkan, segalanya begitu pantas.

Dan tidak lama selepas itu, surau yang ada sekarang ini dibina di atas tapak yana tidak jauh dari yang sebelumnya, cuma ianya tidak lah sedekat yang sebelumnya itu dengan rumahku, pun tidaklah sejauh mana. Ia di bina di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang penduduk kampung, pembinaannya juga hasil derma penduduk kampung dan pemerintah. Lebih besar dan lebih selesa. Cuma kukira ianya jadi terlalu besar bila hanya penduduk tetap kampung yang berjemaah. Kalau hari raya... ianya tetap akan jadi sesak.

Malam itu kami pulang dalam hujan renyai-renyai. Sekarang jalan keliling kampung sudah bertar, dulu cuma jalan tanah tiga kaki. Bila hujan begini lumpurnya sedalam lutut, orang tetap pergi ke surau sepanjang jalan mengomel tentang jalan yang 'hancur', tapi esoknya pasti akan ada orang yang membawa cangkul dan kepingan kayu beluti buat tempat berpijak bila lalu di situ malam nanti. Mudah-mudahan tak ada kereta yang lalu... kalau ada, kita ngomel-ngomel lagi, tanya sesama sendiri kereta siapa yang lalu, esoknya bawa cangkul dan kayu beluti lagi.

Masa itu jugalah... aku masih ingat seperti baru semalam... kasut sekolah kami tidak pernah putih! Melalui depan rumah dipalit lumpur, menyeberang sawah dan kemudian diincah pula dengan jalan kerikil merah... kasutku tidak pernah putih! Akhirnya aku akan pakai selipar getah sampai sekolah dan baru tukar kasut.... wahhh.... bangganya kasutku putih.... orang lain merah-merah ditinta jalan kerikil merah.

Sampai di rumah Along sekeluarga sudah sampai, kami sembang-sembang sampai lewat. Meriah rumah sunyi mak bila anak dan cucu-cucu balik. Esoknya (ahad-17/11) aku ikut Along ke Kuala Pilah... kita shopping-shopping dan window shopping. Berbuka bersama mak lagi, masak lemak cilli api telur itik dengan daun kemangi (sejenis daun yang wangi baunya) dan ayam masak merah, kemudian pengat mee sanggul dengan pisang nangka, pergh... bestnya. Along buat kuih koci dan puding jagung. Pukul 10.00mlm setelah tengok Yassin nyanyi tak keluar suara, aku ikut Along balik Seremban. Esoknya pagi pukul 7, aku naik komuter ke KL... pergi kerja laa...

Hujung minggu yang panjang, minggu ni nak buat lagi, Yah bagi tahu ahad tu dia nak ikut ke KL... best... jadi kan Yah kan... kan... kan...? Selepas itu kita punya rancangan padat!


18 Nov 2002


The making of 'updet'..... tunggu sat naa... kalau tak siap hari ni esok siap laa...


14 Nov 2002
:: Jimat... mari kita berjimat...

Aku nak jimat belanja yang merangkumi semua perkara berkuatkuasa bulan puasa ni. Aku serius ni. Bulan ramadhan ni lah permulaannya, sesungguhnya pun agama kita mengajar berjimat cermat, bersederhana dalam semua aktiviti di bulan ini kan?

Oleh itu, wahai diriku yang selalu gatal tangan nak beli itu ini... sila ikat jari-jari tu semua supaya tak boleh pergi tekan butang-butang mesen pemuntah duit tu. Errr... katakan lah bahawa aku sudah lupa nombor pin nya... atau... kad itu sudah patah. Aku pandai pulak pergi jumpa pegawai tu... sengih-sengih hulur borang merah.... dapat jugak...

Tapi sekurang-kurangnya aku bersyukur sangat-sangat... sebab dari awal puasa sampai sekarang ni aku tak pernah pun menyinggahkan diri ke pasar ramadan yang sejengkal cuma dari rumah aku tu... Bahaya pasar ramadan ni.... besar bahayanya... kerana kat situ ada makhluk-makhluk pengutip wang dalam terang tersembunyi, walaupun dia beri kita plastik-plastik berisi dua tiga ketul santapan berbuka nanti. Dah kalau membeli tu... bukan boleh kawal... aku tak cakap aku sorang tau... kalian pun sama... ya... sama... Kalian pun turut menyumbang kat pasar ramadan tu kan kan kan.... hehehhe...

Kalau sekali singgah... maunya rabak RM10, betul.... itu kira pakej sampai sahur. Kalau tak singgah... selamat RM10... maknanya ada lebih kurang RM300 menjelang hari raya. RM300 tu pulak boleh menyumbang ke arah pengumpulan duit buat aku beli kereta dalam empat lima tahun lagi.... tu pun kalau aku nak beli.... Ya laa... kereta aku kan banyak... kereta Citah... kereta Yah... kereta Jedah... kereta Netty... kereta Ida.... kereta sapa lagi... semua kereta korang adalah kereta aku... tukang tumpang kehormat... kekkekek... siap ngan dreba lagik... hehhehe... Yah, jgn mare... blan pose tak leh mare.... kang pose tinggal dua bar, bak kata Poad.... kan kan kan...?

Aku betul-betul nak berbelanja apa-apa yang perlu saja ni.... eleh... baru hari tu beli benda merapu... contoh terbaik.... cd dan kaset... kekkeke.... tak apa sekurang-kurangnya aku telah berjaya menghalang diri aku untuk terus-terus 'menderma' kat peniaga-peniaga sekitar Lembah Klang ni... kekkeke... InsyaAllah aku akan berjaya nanti... kalian tolong sama doakan lah ya...

Lepas tu jangan nak memandai naik teksi balik rumah... boleh jimat sehingga RM3. Sabar dan tunggu bas feeder atau kalau rasa nak excercise jalan aja. Kalau jimat RM3 sehari sebulan boleh jimat RM60. Kemudian... kalau lepas bulan puasa nanti... bawa bekal dari rumah saja. Kat sini semuanya kan mahal-mahal belaka. Jadi boleh jimat sekitar RM6 sehari... sebulan RM6 x 20 = RM120.

Kalau yang basic-basic ni boleh jimat... sebulan ni aku boleh jimatkan RM300 + RM60 + RM120 = RM480..... kalau bulan selepas raya boleh jimat RM180... hmmm boleh tahan... aku cuba...aku cuba...

Kakak di pejabat ni bawakan sejenis bubur sayur yang akak tu panggil bubur pedas, resepi Negeri Sarawak. Tengok macam pelik... tapi nanti aku rasalah. Ia boleh menggunakan apa saja jenis sayuran, danyang paling penting ada rempah khas sebagai ramuan utamanya. Sarawak ni banyak betul makan-makanannya, aku tak begitu arif tapi nanti kalau ada peluang aku minta seorang sahabat bercerita tentangnya....

Hari ni rasa macam nak balik awal... meaning on time, semalam buat ikan bakar cicah budu... hari ni... nak tengok dulu dalam peti ais ada apa... aku tak nak membeli...



13 Nov 2002
:: Pernah jatuh cinta...

Siapa pernah jatuh cinta
Pada pandangan yang pertama
Apakah memang sama dengan kupunya cinta
Yang kini kualami sendiri

Ingin aku bertanya-tanya
Siapa pernah jatuh cinta
Makan minum tak sudi
Tidurpun apa lagi
Suka dan duka silih berganti

Hari pun terlalu cepat berganti lagi
Tak terasa tambah umur ku kini
Siang malam kauku nanti-nanti
Rinduku rasa tak tertahan lagi

++

Lagu ini tidak ada kena mengena dengan aku… ingat ya… sekadar lagu hiasan…. hehehe...

Pernah jatuh cinta? Wah… ramai yang sudah senyum-senyum? Bahagiakan bila cinta melanda? Mungkin ributnya lebih hebat dari taufan yang melanda Ohio kelmarin? Tak… tak… cinta tidak ganas macam ribut tu. Selalunya ia lunak dan nyaman.

Cinta seperti udara… bila ada, kita tak sedar pun kewujudannya… bila tak ada… tau-tau tiba-tiba tercekik, sesak nafas, silap haribulan ada yang pengsan…. Errr… teruk sangat ke deskripsi aku?

Tinggi harapan kita bila dilamun cinta, kita harapkan orang yang kita cintai itu sama-sama 'gila' macam kita jugak. Kalau benar orang tu pun macam kita jugak, berjalan pun rasa macam terbang! Dok senyum sorang-sorang. Buat kerja-kerja yang kita tak suka nak buat pun... contohnya buang sampah sambil senyum... kekekke... nampak sampah-sampah tu macam surat cinta je...kekkeke... ni namanya orang angau!

Kau pernah angau? Jangan lebar sangat sengih tu nanti orang kata kau 'weng' pula... dah sah kau sedang mengadap monitor. Tapi penyakit angau ni boleh datang berulang-ulang... seumur hidup... regardless dah kawin ke, dan bercerai ke.... masih berboyfriend/bergirlfriend ke... tengah kecewa ke... semuanya boleh dilanyak oleh angin angau bila-bila masa saja.

Bila mulanya? Hah...! Bila jantung dah gedegung-gedegang... muka tiba-tiba panas... kalau jalan pun dah macam orang mabuk, kalau bawak basikal pun dah terketar-ketar macam rim basikal tu dah bengot... haaa... masa tu laaa...

Gabra sebenarnya.... gabralah yang sudah memerintah seluruh urat saraf dan deria, yang outputnya semua orang boleh perasan! Kalau gembiranya sampai bersinar-sinar di mata, kalau berdiri dan bersesak-sesak di celah bau ketiak mendap sepanjang putra lrt dari Kelana Jaya ke Hentian Putra pun rasa macam berdiri di tengah-tengah rose garden... hah... sah! sah! ada sesuatu sudah melanda...

Cinta ni seolahnya mcam satu bahan kimia kan... bila bercampur je dengan diri kita, ia menghasilkan sesuatu, ia berbeza-beza pula mengikut individu. Yalah... setiap individu tu kan ke punya kandungan bahan kimia yang berbeza-beza... bahan kimia apa? Itu kena tanya orang yang ahlil.... ahli kimia lah atau sekurang-kurangnya physician... cam Dr Max ke...kan kan kan...

Hakikatnya kita bahagia sangat kalau DAP. Macam lagu PRamlee...."seperti dunia... ana yang empunya..." Apa-apalah kawan... asalkan kau bahagia... aku mendoakan saja...

Kalian bagaimana....? :E

Untuk sahabat yang dibedung angin cinta itu... semoga yang terbaik memenuhi hidupmu, apa-apa pun.... fikir panjang-panjang, kita selalu tak rasional bila angin cinta mengamuk.... hehehehe... kena fikir juga... supaya jangan silap lagi...

 


12 November 2002
:: Gurindam kasih...

di mana letak kasih bersemi
di rembulan sedang terapungan
di mana janji manis terpatri
di serambi di hujung malam

panas memercik hingga ke petang
bayang pepohon bertambah panjang
sayang adik bukan sedikit
melangkau gunung berbukit-bukit

entah apa bala bencana
mendung tiba sehampir senja
berkolek sendiri meranduk kelam
cahaya bulan sudah tenggelam

malam yang kelam, panjang ke subuh
bila ayam berkokok cahaya pun menular
tebal harapan di hari yang baru
agar ada andang menerang malam
tidak dapat berjalan, bertatih pun jadilah
buat menyusun semangat yang pudar
buat meneguh jiwa yang gusar.

-041102-

++

Lebih setahun rasanya kami tidak bertemu, dalam mendung yang pekat petang semalam... kenangan jadi baru. Sahabat yang duduk di sebelahku semasa di tingkatan 4 dan 5, telah tiba ke KL dari Temerloh. Hujan lebat yang menghambat lalu lintas di kota lumpur ini menjadi saksi rindu sahabat terurai. Dia sudah punya anak dua, sepasang putera dan puteri. Bertugas sebagai guru mendidik bangsa.

Aku punya kenangan yang tersendiri tentang sahabat yang seorang ini... kami pernah bertengkar hingga tidak bersapa tiga hari. Puncanya aku tidak pasti. Tapi di hari ke tiga aku pergi ke biliknya memohon maaf, dia menerima maafku yang tidak bersebab. Tapi kami menangis. Waktu itu selepas prep malam. Tak ramai pelajar di varanda dorm tingkat atas. Aku bertanya salahku, dia menafikan, pun begitu aku tetap minta maaf, sungguh-sungguh. Di sebalik raut wajahnya yang agak serius, dia pun punya hati yang lembut sepertiku.

Itu kenangan di tingkatan 4, selepas itu kami menjadi bertambah rapat lagi. Mungkin kerana selepas itu kami lebih memahami. Dia banyak membantuku dalam matapelajaran matematik. Sampai bila pun kalau aku belajar matematik pasti akan ada 'guru tambahan' yang volunteer atau terpaksa volunteer mengajarkan semula apa yang guru ajarkan. Aku memang bengap maths!

Dia seorang sahabat yang baik, tapi perjalanan hidupnya cukup getir. Jika aku... entahkan dapat atau tidak mengharunginya. Tapi dia seorang yang tabah, menyambut tekanan dengan hati yang terbuka, walaupun adakala tangisnya mengisi perbualan telefon kami. Pengorbanannya bukan sedikit... jika aku tahu ia tidak dihargai, aku pasti kami para sahabat akan bangun mempertahankannya.

Bagiku, untuk punya seorang kawan, bila-bila masa pun boleh. Asalkan kita ikhlas bertegur sapa dan punya sedikit masa. Tapi untuk punya seorang sahabat, ia bukan kerja sebelah pihak. Seorang sahabat akan berjaya mempertahankan persahabatan itu jauh melalui masa, jauh menyelami rasa, jauh memahami jiwa. Seorang sahabat itu prihatin akan sahabatnya, mengambil berat dan kasih sayang akan sahabatnya. Merasa terluka jika sahabatnya dilanda bencana, bermuran durja jika sahabatnya dilanda derita.

Dia adalah seorang di antara puluhan sahabat-sahabatku yang ada... walaupun sering dipisahkan jarak dan waktu, ada kesempatan kita pasti mencari ruang untuk bertemu.

Dalam hujan yang cukup lebat petang semalam kita melengkapkan ibadah puasa bersama, selepas ini entah bila akan berjumpa. Gurau kita masih seperti dulu, ingatan kita bertambah padu. Terima kasih sahabat kerana punya waktu untukku...

Dan untuk sahabat yang seorang lagi tu... terimakasih untuk hidangan yang begitu enak....

Bicara Tentang Hati II [ x ]


11 November 2002
:: Lagi-lagi penat?

Hujung minggu yang agak memenatkan... sampai sekarang pun masih penat lagi...

Sabtu - Yah sampai dari kampung... alhamdulillah. Petangnya ke Shah Alam ada jemputan berbuka di rumah sewa lama. Kami ramai-ramai meriahkan Shah Alam. Hujan lebat sekali sewaktu meredah lebuhraya persekutuan petang itu... tapi sesampai di Shah Alam hujan agak reda...

Netty masak sedap! Lemak cili api ikan parang, ayam masak sambal, sayur campur, jantung pisang rebus cicah belacan... apa lagi haa... alamak...sorry ada orang dah warning hari tu bulan puasa tak boleh cerita pasal makanan…. aaa… sikit jer... lagi nak sambung… Citah buat cooktail best! We had a good time... berbuka...

Jedah demam... jadi kami tak jadi balik... ramai-ramai meriahkan demamnya... menjelang esoknya demam Jedah hilang... who can stand my jokes... kekekke orang demam pun boleh sihat yaa...?

"Citah... oooo... Citah... di mana ko Citah... puas aku cari... dari atas sampai bawah..."
"oooo Citah... dah lima tingkat bangunan ni aku panjat... kat mana ko... aku cari sampai bawah... bawah kete Jedah... bawah kete Yah... bawah kete Netty... bawah kete ko pun aku cari... kat mana ko nyorok... oooo Citah..." kita ketawa sungguh-sungguh sampai senak perut.... Citah bulat mata nak telan aku...kekekeke

~ala sketsa Dato' Jamali Shadat.... "Atan... oooo Atan.... kemana ko Atan... puas atok cari..." "kat sini tok... di tepi perigi..." pas tu atok dia (suara Hamid Gurkha) nyanyi... "oh Atan di mana engkau berada.... puas tok cari tak berjumpa..." kekekke...sapa pernah dengar sketsa ni tentu senyum sensorang... masa balik kampung hari tu dreba bas tu bukak... aku telan ketawa...tak tahan oo...

Ahad - Tengahari balik... petang window shopping kat one utama... Petang berbuka ke Shah Alam semula bersama kawan Yah. Balik semula ke rumah Netty tumpang sembahyang... lepak-lepak di sana sambil makan bubur jagung Netty yang manis tu... best... lebih kurang jam 10.45mlm baru balik.

Pagi tadi aku dibangunkan oleh lagu 'lehe' kekekke... best laa lagu ni... tajuk apa aku pun tak tahu...tapi mcm itu lah yang disebutnya...

Dan acara belum reda lagi, sebab hari ni berbuka di rumah Citah pula, Hasnah dan family dari Temerloh akan datang sama. Sudah lama tidak ketemu... ini masa melepas rindu. I'm going back now... sebab waktu kerja habis jam 3.30ptg semperna bulan puasa ni ;)

Maaf... satu wrap-up yang ringkas... hari ni banyak kerja sikit... lain hari insyaAllah... kubekalkan dengan liputan lengkap... :E

p/s: terimakasih untuk sahabat baik ku semua.... dengan kalian hidupku meriah!!!


8 November 2002
:: Senja memanggil pulang...

Senja memanggil pulang sang pengembara
menangis ia
melihat kepedihan zaman pencarian
katanya ... aku... sendiri

Perjuangan dulu hanyalah ujian
hanyalah bayangan
untuk menghadapi perang yang utama
hanyalah diriku sendiri

Dan hidayah selama ini
hanyalah engkau yang kudambakan
dan semoga sejahteralah
engkau padaku
oh... hidayah
dan tanpamu apalah aku
apalah aku atanpa hidayah

Senja memanggil pulang sang pengembara
menangis ia
melihat kepedihan zaman pencarian
katanya ... aku... yatim....

Hidayah - MNasir [ x ]

++

Dulu:
"Dah senja ni masuk dalam... tutup tingkap, kunci elok-elok... pintu pun... nanti masuk nyamuk..."

Arwah nenek selalu membebel petang-petang kalau kami (aku dan adik-beradik sepupu termasuk arwah M dan arwah kakaknya) masih lengah-lengah bermain di halaman walaupun malam sudah mula mendakap hari. Terkejang-kejang kulit di leher tuanya yang kendur-kendur memanggil kami masuk ke rumah.

Semua orang akan balik ke rumah... yang sibuk menghalau lembu kambing pun tergesa-gesa ingin cepat. Riang-riang dan cacing gegelang akan mula berbunyi. Dari jauh unggun api kandang lembu melintuk-lintuk. Asap menghalau nyamuk berkepul-kepul naik ke langit senja. Burung-burung terbang ke sarang. Langit senja kuning kemerahan. Saki baki sinar hari mencuri pandang di celah-celah daun pokok-pokok yang banyak tumbuh di sekeliling rumah. Sesetengahnya membentuk bayang panjang-panjang seakan jejari hitam yang datang dari bayang yang lebih gelap di rumpun pokok.

Senja-senja begini tidak ada orang lagi di luar rumah... paling lewat pun 6.30ptg. Dulu 6.30ptg sudah seperti jam 7.00mlm sekarang ni. Aku dah lupa tahun bila, jam di semenanjung dicepatkan setengah jam bagi menyamai waktu di Sabah dan Serawak.

Siapa pulak yang berani merayau-rayau melepasi senja di kampung, jika saban hari ada saja cerita seram disumbatkan ketelinga budak-budak kecil seperti kami. Ahh.... orang tua pun tak keluar senja-senja. Senja-senja kan hantu tukar shift??!! Kalau esok lusanya ada yang demam atau sakit-sakit, orang-orang tua akan menyalahkan kami yang main-main hingga lewat senja dan terkena 'sampuk'... hehhehe... agak lucu tapi itulah zaman dulu... Banyak sungguh manisnya... itulah kenangan...

Sekarang:
"Kau balik pukul berapa?"
"Tengoklah... balik awal kut... dalam 10.30pm..."
"Ok... nanti nak balik panggil aku..."

Kita semacam lupa hari.... entah di mana siang, di mana malam... kerja kerja kerja. Bukan kerja saja alasan untuk 'bersenja' di luar, tapi ada yang saja-saja dan merasakan the day just begun...

Di kota seperti ini... apa sangat lah bezanya siang dengan senja, sedangkan malam menari-nari pun begitu saja. Di kota begini... apa sangat lah hantunya.... jika kita pun sama-sama meranduk senja. Terkena sampuk? Haaa... itu lah yang terkena sampuk... yang jalannya terhuyung-hayang memegang sebiji botol air najis yang bicaranya kesat dan manis-manis. Ketawa mengilai dan bertepuk tampar tanpa sedar jantina... kena sampuklah itu. Kalau ingin berubat, bawa saja jumpa bomoh, yang di depannya berkepul-kepul asap kemenyan dan ratus-ratus buat pengeras... ini bukan zaman pulut kuning lagi!

Siapa peduli nyamuk masuk, di kota ini panas anginnya... biarlah angin luar yang lebih 'panas' masuk. Sekurang-kurangnya ada nyaman buat berlena... Biarlah angin luar masuk..... sekurang-kurangnya ada 'peredaran' udara. Peduli apa pula panas.... aircond kan ada...

~~ Masa sudah beredar, belum pun lama tapi ia ketara. Janganlah kita hilang punca, hilang percaya, hilang asal usul mengejar arus kemodenan. Sebab di kota, senja sama saja siangnya, lantaran lampu-lampu indah merona menghias semua. Sebab di kota, senjanya lebih hebat dari siangnya, lantaran raungan musik dan dengung gendang yang lebih kuat dari siangnya...

Janganlah sampai kita hilang punca... ingatlah pengembara... senja sebenarnya memanggilmu pulang... pulang...


7 November 2002
:: KepadaNya kita kembali...

 

"... bertemu dengan segala yang bernyawa,
berpisah dengan segala yang mati..."

++

Aku benar-benar tersentuh dan sedih. Sukar untukku susunkan dalam bentuk patah perkataan disini, tapi itulah yang kurasa.

Ia boleh tiba bila-bila masa dengan berbagai cara. Tidak bertangguh. Tidak terlewat. Dan cara kita menghadapinya mungkin berbeza. Penerimaan kita juga berbeza-beza bergantung kepada siapa yang menyahut panggilan itu.

Dikejutkan oleh panggilan seorang sepupu, memaklumkan tentang keadaan kritikal adik lelakinya, M, dia di ICU, GHKL, status - mati otak! tubuhku jadi menggigil. Bukan takut. Bukan sedih. Bukan menyesali. Sekadar akur dengan takdir dan ketentuan. Kerdilnya kita di sini... kerdil sekali.

5 Nov, 3.00pm - aku menuju GHKL unit rawatan rapi, tingkat 3. Dalam hujan renyai begitu sukar mendapatkan teksi dari lrt Kg Baru, yang kebiasaannya banyak sekali pemandu teksi lalu lalang mencari penumpang di situ, menurut kakak di kedai makan tempat aku tumpang berteduh. Aku mengeluh-ngeluh kecil... tapi cukup sedar... aku harus bersabar. Dalam hati berdoa, permudahkanlah perjalanan ini. Alhamdulillah setelah hampir setengah jam sebuah teksi merah-putih muncul, dalam hujan renyai aku sampai ke GHKL.

Berlari anak mengejar lif yang hampir tertutup dan terus ke tingkat 3. Sebaik pintu lif terbuka, Angah dan Amir (sepupu sebelah arwah abah) juga keluar dari lif bersebelahan. Dengan pantas menuju Wad 10 - ICU! Kakak ipar sudah lama di sana sebaik dia habis bertugas dia terus ke situ. Kakak ipar juga seorang jururawat di GH. Saudara mara terdekat memenuhi ruang menunggu. Kakak M yang menghubungiku di pejabat sebentar tadi menangis terhenjut-henjut di bahuku. Sebolehnya aku menenangkan dia dan diriku sendiri. Airmata mengiringi salam pertemuan kami. Kau tahu bagaimana perasaan aku ketika itu?

Sepupu M (sebelah emaknya), seorang terkenal, keluar dari pintu wad sambil menangis. Hiba sungguh suasananya. Apalah yang mampu kuhulurkan di saat ini, kecuali mendoakan yang terbaik untuk M, jika kembali kepadaNya yang terbaik, maka permudahkanlah segala urusan itu baginya, aku akan redha. Jika dia boleh diselamatkan aku bersyukur sepenuhnya. M telah disahkan oleh doktor, mengidap paru-paru berair beberapa bulan dulu. Tapi keadaannya lebih serius setelah ibunya meninggal dunia dua bulan yang lalu dan pernah dimasukkan ke ICU hospital di kampung.

Hati kami sayu, baru dua bulan lebih keluarga ini ditimpa kesedihan, kali ini ia bertandang lagi. Setakat yang dimaklumkan oleh doktor dan penerangan jelas kakak ipar, M sudah menjalani dua ujian dengan keputusan negatif. Satu ujian sahaja lagi sebelum keputusan untuk menghentikan mesin bantuan hayat bakal dibuat.

Menziarah kematian lain rasanya.... tapi menanti mesen itu dihentikan... sungguh berbeza sekali. Beberapa kali airmata bercucuran, kenangan zaman kecil kami melintas di depan mata satu persatu. Adakalanya dia agak nakal, dan aku buat dia menangis. Adakalanya kami berkongsi mainan dan makanan. Terlalu banyak kenangan. Empat tahun dulu, kakak sulungnya yang sebaya denganku telah pergi menemui Ilahi. Aku tiba ketika jenazahnya ingin dikafankan, dan aku di situ sama-sama menyempurnakan balutan kafannya. Aku sedih, tergamam dan terpingga-pingga. Kami memang berkongsi banyak perkara. Jika cuti sekolah, samada berhari-hari di rumahku atau berhari-hari di rumahnya. Tidur sebantal dengan dongeng cerita hantu yang direka-reka, menjemput jerit kami yang tidur berempat berlima di atas katil yang sama, sehingga dimarah mak. Berebut bantal dan kain selimut... Ketawa yang tidak henti-henti hingga lena datang sendiri. Indah sekali kenangan... Tapi hari ini... semuanya berbeza... menanti satu keputusan. Walaupun kenyataannya sudah hampir pasti.

Beberapa kali aku masuk melihatnya di pembaringan, dia sudah koma sejak beberapa hari yang lalu. Aku berdiri di sebelah kanan katilnya... matanya sedikit terbuka tapi tiada sinar lagi. Bibirnya kering kebiruan. Lehernya di tebuk dan satu tiub dimasukkan. Sakit sekali... tapi dia... tidak merasakan itu semua lagi... aku tahu... dalam hati... aku tahu.... dan airmata bercucuran lagi... Ini nasib dia... suratan dia... aku...?

4.54petang mengikut jam di telefon bimbit, di depan mataku, satu persatu mesen bantuan dimatikan suiznya.... aku tidak bertahan lama di situ, aku tidak sanggup lagi... Aku terus keluar ke ruang menunggu dan menangis semahunya di situ. Selalunya aku melihat orang terkenal itu menghibur, tapi hari ini dia tidak lebih dariku, kita menangis... sepertilah menangis itu dapat membasuh sedih dari jiwa kami. Aku menghela nafas dalam-dalam, sejuk air-cond memenuhi paru-paruku. Aku masih dikurniakan udara untuk terus hidup, tapi sepupuku M...

Dalam usia semuda itu... baru 24 tahun, dia dijemput pergi. Cukupkah bekalnya... cukupkah bekalku....? Alhamdulillah segala urusan boleh aku katakan tidak terlalu lama, mungkin kakak ipar tahu prosedurnya dan ini memudahkan.

Selepas azan maghrib jenazahnya dibawa ke kampung. Aku mengikut Angah dan kakak ipar, pulang ke rumah mereka untuk mengambil anak-anak. Kemudian terus pulang ke kampung. Sampai di kampung waktu mencecah dinihari. Terus balik ke rumah mak, kerana Along pun sudah menunggu di sana. Dan kami terus ke rumah Atih menziarahi mereka yang telah tiba lebih awal. Sekujur tubuh kaku... kami menghadiahkan surah Yassin. Seawal pagi esok akan kami sempurnakan jenazahmu dik...

Mungkin ini juga yang terbaik baginya, hidup penuh liku dan dugaan. Mungkin aku tidak semengerti dia yang mengalaminya, aku hanya memerhati dari jauh. Awal pagi kami pulang ke rumah... esoknya satu Ramadhan yang berkat, sedikit persediaan perlu juga.

Selesai bersahur... ada antara kami yang menyambung tidur, aku keletihan sangat setelah sepetang di hospital dan perjalanan ke kampung. Lebih meletihkan lagi bila perasaan yang berbaur-baur.

Pagi 1 Ramadhan, kami ke rumah Atih semula. Sanak saudara semua sudah tiba, yang tidak berkesempatan berkirim salam takziah. Kuhadiahkan surah Yassin yang terakhir buatmu dik.... dadaku sebak... Lain rasanya membaca surah itu kali ini. Terasa begitu berat dadaku berbanding membacanya di waktu-waktu lain. Kepiluan mengisi seluruh ruang diriku. Tapi semasa mengaji untuk arwah nenek di waktu nazaknya lebih berat lagi dadaku. Dalam esak yang dalam surah itu kutamatkan. Sejahteralah rohmu dik... akak nanti akan menyusul jua, cuma waktu menjadi rahsia. Melihatmu kali terakhir dari celah-celah saudara rapatmu yang baru tiba, biarlah mereka... aku sudah puas menatapmu... walaupun hakikatnya aku tidak akan dapat melihatmu lagi.

Aku turun ke laman bila jenazahnya ingin disembahyangkan. Sedu sedanlah kami yang ditinggalkan bila di halaman sebelum dibawa ke kuburan, wakil keluarga minta halalkan dan ampunkan kesalahannya. Hati lelaki separuh umur yang sedari pagi tenang membuat persediaan kain kafan dan memandikan jenazah itu robek juga bila dia berucap mewakili keluarga. Rakan-rakan Allahyarham agak ramai, mungkin dia seorang sahabat yang baik, aku tidak begitu rapat dengannya setelah aku meninggalkan kampung sehabis darjah enam.

Aku menghantar perjalanan terakhir adik sepupuku itu dengan pandangan yang berkaca. Semoga rohmu ditempatkan disisi roh orang-orang mukmin yang beriman. Dan semoga aku beroleh ikhtibar dari kepergianmu ini. Berakhirlah satu kehidupan, dengan perjalanannya yang tersendiri, dengan dugaannya yang tersendiri, dengan rahmatNya yang tersendiri. Aku akan sentiasa ingat... semua yang kita kongsikan... dan mungkin aku tidak akan mengubah sesuatu yang telah kau lakukan itu... sekadar untuk mengingati... ia hasil tanganmu.

Kesedihan ini dalam... kadang-kadang aku sendiri tidak tahu yang mana satu sebabnya. Dan aku lihat kesedihan orang terkenal itu... lebih-lebih lagi... kerana mereka lebih rapat...

Mak meminta kami adik-beradik berbuka bersamanya di kampung, semua setuju saja. Sesungguhnya Ya Allah inilah hari yang bahagia, berbuka bersama keluarga dengan juadah kampung yang sungguh sempurna. Aku tambah gembira bila meraikannya dengan seluruh keluarga kecilku, besama anak-anak buah yang keletah dan manja, bersama kakak dan abang yang kusayang... dan yang paling penting bersama bonda yang tercinta! Hari ini sungguh bermakna... kesedihan di awal harinya berakhir dengan kesyukuran yang tidak terjujuk...

Lewat malam baru sampai di rumah sewaan. Hari ini menyambung rutin harian. Hujan lebat petang ini... sejuk muka bumi... kesedihan masih berbaki... Tuhan... sejahterakanlah roh adikku itu...

[ hari ini hari lahir ku jua..... 2 Ramadhan.... dulu hari Jumaat... tahun ini hari Khamis... ]

[ selamat berpuasa untuk semua, semoga Ramadhan tahun ini kita beroleh keberkatan yang lebih lagi dari tahun-tahun dulu, semoga kali ini kita lebih mengerti... erti Ramadhan dalam kehidupan seorang muslim... ]


5 November 2002
:: Kunci oh kunci...

Hujung minggu di kampung sudah berakhir. Sahabat baik menumpangkan aku kembali semula ke KL. Perjalanan balik yang sungguh memenatkan. Lebuhraya sesak. Tiga jam setengah untuk sampai ke rumah.

9.30mlm sampai di rumah. Rancangan jangka pendek nak rehat... rancangan jangka lebih sikit dari pendek... nak tido!!! Hehhehe... Here come the best part... yang telah berjaya 'men-ter-pleot-kan' (saja dera lidah korang... nanti byk lagi bahasa unik yg aku nak ajar korang...hehehe) sambung balik... yang telah berjaya 'men-ter-pleot-kan' tangan aku. Bagaimanakah ia terjadi...? Apa yang 'men-ter-pleot-kan' tangan aku... Adakah ini angkara Morrok??? Hehehhee... sabar...

Nak dijadikan cerita... pintu kota terkunci. Maka tak dapatlah nak masuk beristirehat! Rancangan jangka pendek dan rancangan lebih sikit dari pendek tergendala! Tengkuk pun dah rasa kembang macam biawak pasir! Geram ni! Grrrr.... Pengawal pulak sorang pun takde. Cuti Depavali agaknya... cist...

Aku pun pergi ke dapur carik lesung batu, tapi rasa macam tak applicable pulak. Nasib baik bunyi bising tu berjaya menarik minat seorang pengawal.... kekekke... beliau tiba bersama hammer.

Pintu bilik tak boleh dibuka. Ia bukan dikunci sekadar ditutup... tapi tak boleh dibuka. Aku yang kepenatan dari jalan jauh mati akal untuk membukanya. Pintu ini memang sudah 'jammed' dari dulu, sebab itu kami jarang menutupnya. Tapi atas kunjungan tetamu, rakan serumah telah menutupnya.

Maka berlangsunglah acara membuka pintu secara paksa. Yang dimulai dengan pusing-pusing kunci dan diakhiri dengan pukulan ala-ala MC Hammer. (MC Hammer main penukul ker??) Maka sesi menghammer bermula. Haa.. terima kasih banyak kepada pengawal tu kerana bantuan beliau dalam usaha-usaha membuka pintu kota. Tak boleh pukul rupanya... kena umpil dan tarik. Dengan aksi lagak ngeri aku mengumpil sekuat hati yang akhirnya membuahkan skru-skru dan spring-spring bertaburan di lantai.

Tak boleh buka juga walaupun kunci di sebelah luar sudah rongak. Nasib baik pengawal tu guna otak, tak macam aku yang guna kederat! Okeh... settle... bley bukak.. pheww... lega naa...

Aku percaya kalian pun pernah kena kejadian macam ni. Tapi inilah kali ke satu aku kena! Waaaa... sungguh sakit tangan aku... sungguh jahat kunci itu!

Habis berterabur perut kunci tu... macam-macam isinya... spring ada, skru pun ada... besi-besi nipis senget-senget pun ada, diketuai oleh tombol besi tu... esok sajalah aku kebumikan korang. Malam ni dah penat, nak tido. Esok kena pergi stesyen lrt sendiri, member yang aku dok tumpang tu balik kampung cuti lebih-lebih. Esok sajalah aku cerita benda lain... selamat malam, dengan ucapan "~~kau kunci cintaku di dalam hatimu!".

 

 

TAHNIAH UNTUK SEMUA PEMENANG AWARD
GATHERING GENG JURNAL 2002

BEST WEBLOG 2002 : FAJARONLINE
BEST NEW WEBLOG 2002 : NUREFFA
BEST DAKWAH WEBLOG 2002 : TOKSIK
BEST OVERSEA WEBLOG 2002 : UDIKA
BEST WEBLOG ENTRY 2002 : NUREFFA
BEST DISH 2002 : SPYZ & KAKSHILA
3D AWARD 2002 (Design, Development, Deploy) : MIECREATION
ANUGERAH KHAS GENGJURNAL.NET : SERA

 


1 November 2002
:: Antara ada dan tiada...

bila ada kuabaikan
kini tiada kuigaukan...

pada bayang yang berlari-lari
antara redup kasih rimbun pohon hutan
antara deru kasar dan percik halus
sungai asmara

pertemuan itu suatu kebetulan
suatu hukum alam
kerdillah aku di situ tunduk mengikut
pada rakus tangan masa
enggan menjawap walau dipaksa
bencilah aku pada kebetulan
sedang di dadanya menari-nari peristiwa

jeleklah aku pada bayang-bayang
sembunyi antara ada antara tiada
terhukumlah aku bila suria menjelma
ia hilang bersama harapan
tertampun bersama hati yang luluh

kuabaikan dikau kerna mengejar bayang-bayang
kuigaukan dikau kerna sebuah kesunyian.

26 Okt 2002 6.16pm

++

Semalam tirai Oktober berlalu lagi, membawa bersama usia yang semakin mendaki. Seorang sahabat masih sempat menghulur bingkisan... terima kasih. Kerana insan seperti kamulah hidupku bertambah indah. Semalam juga dia telah pulang ke daerahnya, aku di sini terasa kehilangan. Mungkin tak berapa banyak masa yang sempat kuluangkan buatnya. Tambahan dia di sini di hari-hari bekerja. Aku pasti rindu... semoga nanti kita bertemu lagi.

Hari ini juga, setelah usai waktu bekerja... aku akan kembali ke tanah tumpah darahku. Sepertilah aku ini tinggal beribu-ribu batu... hehehehe... Benar... rindu sudah menggunung pada mak. Dia saja tempat kasih kutertumpah, masakan tidak. Kalau tidak kerana mencari rezeki di sini, mahu saja aku tinggal terus bersamanya. Dia tidak patut sendirian di kampung. Tapi dia juga tidak betah tinggal lama di KL. Mak lebih selesa dengan angin kampungnya. Aku sendiri akur betapa indahnya kehidupan serba sederhana di kampung.

Semalam, tertanya-tanya di hati... ke mana mak pergi, bila panggilan ku tidak diangkat. Terus telefon Along, "Mungkin mak pergi kedai" jawapan ringkas Along meredakan risauku. Petang telefon diangkat, aku senyum meleret, rupa-rupanya mak pergi mengambil buluh untuk buat lemang menyambut puasa. Ahhh... tak sabarnya nak balik... tak sabarnya untuk menghirup udara nyaman yang mesra sekali di kampung kelahiranku itu.

Nanti saja ya kawan-kawan, kuceritakan serba sedikit tentang diriku dan tempat kelahiranku. Itu pun kalau ada yang ingin tahu.

++

5.45ptg

Kemaafan untuk semua Geng Jernel, sebab tidak dapat turut serta di perjumpaan yang gilang gemilang, dan acara penyampaian award-award tu. Kampung memanggil pulang sang pengembara... InsyaAllah ada kesempatan kita bersua... Semoga kalian gembira bertemu sahabat jernel.... salam sayang untuk semua.... muahhh... hehhehe....

[ thanks to Nisa, Meor Jay...(hp yg menarik), ryna... (senang2 email saya), ros... (nanti saya cerita ya), zatul.... (i really admire ur english... saya tak pandai... dan site yg cantik)... dan.... penyubiru... (see u dpt #100 tu....).

 

[ Okt ' 02 ]

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...