[ erikas ]  

 

 

 

 

 


sounds of silence [ x ]

31 Mac 2004

Artwork@ R O S H

Bukan pintaan diterbangkan angin
di bumi asing menyemai budi
bukan libur jiwa santapan harian
disuakan perang merampas kekejaman
takhta satria penuh pengorbanan
cekal dan tabah pedang peribadi
cekap dan bistari menari di sisi
sedetik lalai nyawa bersemadi

Di lapangan terbentang ini
rongga dada sudah mesra
dikelus udara sarat harapan
bertukar salam dan kasih putih
dari senyuman ke lubuk hati
dari tenunan ke semangat peribadi
sebutir cinta harus terus bersinar
arasis dan osria harus kekal seimbang
mewarna hidup kini dan nanti

Bilamana bumi aurora yang kulangkah
langit aurora yang kudongak
pedang aurora yang kuusung
nyawa aurora yang aku tatang
tidak aku menapak pulang
hingga damai dan aman menyatu diri
kabus dan sirna menyulam kasih
mimpi dan realiti jadi tempat berdiri!

||:.

A k a n   D a t a n g . . . .   k e   p e m b a c a a n   a n d a   s e d i k i t   m a s a   l a g i  . . .

Kepada yang menunggu... seperti menunggu bulan jatuh ke riba, yang termimpi-mimpi, yang terigau-igau, yang hentak-hentak dahi ke meja... penantian anda selama lebih 13 tahun hampir berakhir!

K e n a p a ?   T a k   p e r c a y a   k e ?

Usah percaya... sehingga anda mendapatkan sendiri buku terbaru dari penulis cerita-cerita fantasi nombor satu negara dalam sedikit masa sahaja lagi... Buku ke 7 dari Siri Saga Artakusiad ini bakal menemui pembaca dan ratusan peminatnya pada suku kedua tahun ini... April? Mei? Untuk makluman terkini anda boleh lawati Artakus.Net. Tempahan awal adalah digalakkan memandangkan faktor permintaaan dan cetakkan terhad.

Jangan ketinggalan untuk memiliki lanjutan kisah perjuangan Artakus dan sekutunya Merkia mempertahankan bumi Aurora dari dijajah Morrok dan sekutunya Herakos, kisah cinta romantiknya bersama seorang gadis bernama Laira, juga keupayaannya menyatukan puak-puak Aurora yang berpecah dalam peperangan menentang kegelapan.

Sertai Kelab Aurora [ di sini ] hari ini... tempahan awal bagi mengelakkan anda garu kepala mencarinya di kemudian hari.

||:.

Syukur, rayuanku [ di sini ] di dengar... menjadikan mimpi sebuah impian dan hari ini ia menjadi nyata...

S e e,   w h o   s a y s   d r e a m s   c a n ' t    c o m e   t r u e . . .

s o,   d o n ' t   e v e r   s to p   d r e a m i n g ! ! !

30 Mac 2004
:: Niktmat Tuhan...

Dalam acara memanaskan otak pagi ini aku membincangkan perihal nikmat Tuhan. Sahabat bertanya...

z: "Kau tau apa makna nikmat?"
e: "Dari pandangan kau?"
z: "Org susah dapat makan daging setahun sekali ..dah terasa nikmat dan bersyukur, org kaya makan stek tiap hari pun tak terasa nikmat daging tu, kena pulak ghout"
e: "kalau ikut aku...segala sesuatu yang kita rasa sangat elok, bagus, enak, selesa, bahagia, gembira.... segala yang bermakna...sungguh2 bermakna sehingga hati kecil kita tersenyum puas sehingga orang lihat semua tu dari air muka kita... "
z:
"nikmat datang dari rasa, rasa hanya Allah je beri..."
e: "betul... hanya Allah yang beri..."

Peringatan untuk diri:: Nikmat Tuhan itu luas, berbagai... aku tahu aku bukan orangnya yang boleh mengulas dengan lengkap tentang ini. Apatah lagi hal ini berkait terus dengan hal ugama. Aku terharu, Tuhan kurniakan nikmat tak terbanding indah... Dia beri sesuatu yang bermakna dan buat aku gembira seadanya dengan apa yang kuada. Tuhan berikan aku rezeki, kawan-kawan, ketenangan, kasih sayang dan macam-macam yang aku selalu terlepas pandang... alhamdulillah...

[ MR:: aku ingin terus berpesan... tabahlah... semua itu kerana Tuhan sayangkan kamu... ]

27 Mac 2004
:: Soal hati...
(lagi dan lagi...)

Terjaga jam 3.40pagi dan aku tidak tidur lagi. Mungkin aku terlena awal semalam sekitar 11 lebih. Maaf sahabat baru pagi ini kusedari smsmu semalam tidak sempat kubalas. Aku langsaikan hutang dulu, mujur saja terjaga jika tidak aku kekal berhutang. Terasa seperti ingin menulis di sini. Nak tulis macam-macam... tapi... biasalah... aku lebih suka menulis apa yang hatiku lakarkan.

Hati lagi? Heh... kan aku sudah nyatakan dengan terang dulu (sebelum arkib meruap), site ini jiwang... heh heh. Jika membicarakan soal hati dan perasaan itu jiwang maka jiwanglah tulisan yang bakal kalian baca ini. Untuk yang bakal muntah-muntah membaca bahan sebegini bolehlah gerakkan kursor anda ke bakul sampah yang bertanda x di penjuru atas sebelah kanan browser anda. :D heh heh... no heart feelings... ok.

Kenapa aku suka sangat tulis tentang hati? Kerana dalam hati ada macam-macam... bukan hanya cinta! Kenapa aku suka sangat tulis tentang mimpi? Ada sahabat beritahu, aku ini umpama hidup dalam angan-angan. Aku tersengih... di wajah dan dalam hati. Dia minta aku keluar dari 'kepompongku' ini. Aku tak merasakan aku berada dalam kepompong. Ada sebab mengapa aku memilih kehidupan ala 'fairy-tales' ini (konon). Aku katakan demikian berdasarkan apa yang dia katakan.

'Fairy-tales' itu dalam mindaku sahaja wahai sahabatku. Di alam nyata, pipiku masih sakit bila dicubit. Berkali-kali kucuba terangkan kepadanya kenapa dan mengapa, tak tahulah dia faham tau tidak. Dia menyanggah, tapi dia suka baca... dan aku pelik.

Seorang lagi pula berkata, aku terlalu terpengaruh dengan cerita fantasi dan komik yang aku baca. Aku tidak mengiya atau menafikan. Tapi, siapalah yang tidak mahu hidup mudah-mudah dan indah seperti yang dibaca, siapalah yang tidak mahu setiap yang dihajatkan tercapai, siapalah yang tidak mahu sekelilingnya hijau damai, warna warni, alam yang indah, impian yang tercapai, kasih sayang yang banyak, keikhlasan yang melimpah ruah, kesejahteraan yang tidak terhitung, ceria dan gembira yang tidak pernah luak, dan segala apa saja yang kita fikirkan?

Aku tahu, aku sedar dan aku masih waras... semua itu tidak semudah yang kita fikirkan, yang kita bayangkan, yang kita angankan. Justeru aku wujudkan satu 'negeri' yang membolehkan ia terjadi dan memberi kesan positif kepada dunia realiti. Kalian mungkin katakan lagi sekali, ini pembaziran masa, hidup terawangan, idam macam-macam, mengarut, atau mungkin sia-sia?

Aku akan hanya senyum dan mengiyakan bagi pihak kalian. Ia benar pada kalian kerana kalian fikirkan begitu. Tapi bagiku, ia adalah penjana dunia positifku yang nyata.

Mungkin aku tidak punya bahagia dan gembira nyata yang kalian rasakan dan punyai. Justeru kerana tidak punya, aku mungkin akan terhumban ke satu daerah yang kelam, tidak gembira dan murung. Aku kuat berangan? Aku berangan ke? Tak kisahlah ia masuk dalam kategori apa, tapi ia menitip ceria buatku sewaktu kalian suntuk masa untuk buat aku gembira dan positif, aku temui kurniaan ini dengan cara tersendiri. Tapi sumbangan kalian semestinya jauh lebih besar lagi.

Manalah aku mampu untuk ke Cameron Highland selalu, untuk ke Port Dickson hujung minggu, meredah belantara mencari air terjun selang dua bulan sekali, kerana itu aku lakarkan di MitH.

Apa yang ingin aku katakan sebenarnya ialah, 'dunia' inilah yang memberi aku ceria dan membolehkan aku terus menapak di dunia yang kerikilnya berupa jarum. Aku harus meniti kerikil itu... untuk menuju destinasi, aku tahu aku terlalu lemah untuk tidak merasakan sakit yang mencederakan kakiku, justeru aku katakan aku menapak di atas hamparan kelopak bunga warna warni dan harum. Walaupun kakiku bercucuran darahnya... malah hancur sekalipun... sekurang-kurangnya aku tidak merasakan sakitnya, sekurang-kurangnya kalian dapat melihat senyumku mekar, sekurang-kurangnya mak tidak terus-terusan gusar hatinya melihat aku kegundahan... itu sebenarnya apa yang aku usahakan... mungkin sebab terakhir itulah yang utama sebenarnya.

Ranjit Singh Malhi pernah menuliskan ungkapan ini dalam bukunya, "We are what we think we are - Kita adalah apa yang kita fikirkan", justeru aku tak mahu fikirkan kesedihan yang pernah dan sentiasa bersedia untuk menakluk. Aku akan jadi sedih lagi dan kekal begitu. Aku mahu manupulasi ia menjadi sesuatu yang indah, sesuatu yang positif, melahirkan kesedihan dalam bentuk yang indah... dan bila ia terjadi... aku tidak sedih lagi malah mampu tersenyum seperti sewaktu aku menulis keseluruh catatan ini.

Aku tahu hakikat, aku sentiasa sedar hakikat... aku hargai kebimbanganmu sahabatku. Dalam hatiku bertanya 'Benarkah kamu bimbang, atau...?'. Dan beberapa jawapan negatif menghadirkan diri. Aku suruh dia pergi, dia tidak boleh bertamu di sini. Aku tidak mahu curiga menidakkan keikhlasanmu.

[Azan subuh, aku berhenti dulu ya.... aku sambung nanti.]

Kenapa? Mungkin pengalaman mengajar. Dan bagiku semua yang indah adalah mimpi. Sebab yang nyata selalunya ngeri.

||:.

Aku di pejabat! Gila! Diberi cuti ke pejabat pula dia. Selepas terjaga pagi tadi aku tak boleh tidur. Dan aku fikirkan tahap kebosanan jika berada di rumah. Lalu aku tumpang Nana ke pejabat dan menunggu Nana habis kerja. Nanti dia jemput aku... kitorang nak pergi tengok BULI.

Selamat berhujung minggu semua.

p/s: bila aku refresh aku jadi pengunjung yang ke 7779 !!! yiiihaaa... my fav. number... hidup ini indah!

26 Mac 2004
:: Ada...

 

ada air 
menitik di luar
herdiknya keras...

ada bayu malam 
bertiup lembut
bicaranya sayu...

ada pungguk
merindu bulan
rayunya merdu.

150304:1.26am:KJ

24 Mac 2004
:: Come out and play!!!

Rasa macam nak head banging. Rasa macam nak pusing tombol volume semaksima mungkin. Ya... di pejabat ni! Rasa terinspirasi pula dengan musik kuat, tapi bukanlah lagu yang that-too-loud-and-don't-know-what-they're-saying. Sekadar lagu-lagu seperti Hey-Ya, Come out and play, juga keseluruhan Pure Instict [x]...

Jom head banging!

STONE IN MY SHOE

I keep on dancin' on the roof
Try not to fall, stay in the groove
A step too far, I'm out of place
Life beats you up some of these days
Just like a whisper there's a voice
Inside of me
It's sayin' you ain't got a choice
Well, can't you see

Ooh, when your world comes tumbling down
Ooh, you better find a way around

I keep on walkin' in the clouds
To find out what life is all about
I keep on runnin' away from here
To learn the grass ain't greener there
Just like a whisper there's a voice
Inside of me
It's sayin' you ain't got no choice
As you can see

Ooh, when your world comes tumbling down
Ooh, you better find a way around
Ooh, cause no one else but you
Ooh, can find the stone inside your shoe

[ MR: Dedikasi istimewa buatmu... jangan pernah mengalah, hidup adalah perjuangan - berjuang untuk hidup! Tuhan tidak pernah mensia-siakan usaha umatnya! Doaku sentiasa bersama langkahmu. ]

22 Mac 2004
:: Kebisuan...

Kadang-kadang kebisuan itu berbicara sendiri. Silence speaks for itself. Sebolehnya usahlah terjadi, tapi... siapalah kita untuk menghalang sesuatu untuk terjadi, apatah lagi jika keadaan itu sendiri yang memaksa ianya terjadi. Justeru jika ia terjadi... pilihan apalah yang ada? Bawaannya sesuatu yang kabur benarnya. Impaknya bakal malah pasti ketara.

Ada kebisuan yang mulai berbicara denganku. Justeru hati jadi semakin beku. Kukatakan kebisuan itu berupa gumpalan warna-warna yang tidak pernah diam... sering berubah-ubah. Dan setiap warna mempengaruhi sesuatu maksud. Perubahan dari satu warna ke satu warna yang lain jua mengandung maksud.

Ianya bawaan angin, anginnya rongga dalam diri sendiri. Lalu... bagaimana mengusirnya? Sebenarnya ia bukanlah untuk diusir jua bukan untuk dibiar terus-terus sebati... yang paling perlu ialah... ia jangan dibiar hadir... jangan mengundang wujudnya. Tapi apa sangatlah yang mampu kuperbuat jika kamu terus-terusan membajanya.

Janganlah biarkan kebisuan ini bersuara... aku tidak sanggup mendengarnya... bicaranya selalu pedih dan menghimpit, selalu kejam dan tajam.

||:.

Ada pengunjung Istana di Hujung Rimba bertanyakan tentang biodata penulisnya... aku lah yang dimaksudkannya. Aku sekadar tersenyum.

Orang yang menulis seperti aku ini, selalu menggunakan kata-kata "Aku menulis bukan kerna nama". Mungkin kerana efek lagu Ramli Sarip (aku akan selalu memaparkan lagu-lagu lamanya, kerana bahasa puisi yang sangat aku gemari) atau sememangnya benar menulis itu bukan kerna nama... wallahualam. Aku ini... memang bukan siapa-siapa dalam dunia blog apatah lagi dunia penulisan. Sekadar that tiny flying particles... yang mungkin wujudnya cuma menyemakkan... MitH adalah untuk aku berkongsi sesuatu dengan kalian dan tidak dinafikan seperti juga blog-blog yang lain ia lebih bersifat peribadi.

Jadi... kerana 'aku menulis bukan kerana nama' makanya nama serta biodata penulis tidak disertakan disini. Dan semenjak Feb 2004 jua, blog ini adalah spesis 'volatile' atau meruap. Bermakna tidak ada arkib atau bahan tulisan yang terdahulu. Keadaan ini akan kekal begini sehingga aku ubah fikiran. Sehingga aku ubah fikiran... aku minta maaf jika ia membawa kesulitan. Dan jika seandainya kalian punya pendapat sendiri tentang ini... aku sudi mendengarnya.

Untuk mengenali 'Elaira' adalah melalui persahabatan dan keikhlasan, aku tidak mengindar untuk bertemu sesiapa jika ada kesempatan... (terima kasih kepada ramai sekali senior Geju, yang telah memperbetulkan letak skru di kepala lututku... heh heh... aku sebenarnya fobia jumpa orang... skru lutut selalu longgar...).

 

19 Mac 2004
:: Izinkan aku berpuisi...

izin aku berpuisi
melepas ledak dan gejolak
melepas lelah dan emosi
melepas tawa dan tangis
melepas hiba dan ceria
melepas segala yang bernaung
di dalam hati...

"hati adalah lidahku
lidah adalah hatiku
jika terpisah keduanya
terlebih dahulu
aku... yang durhaka..."

izin aku berpuisi
agar terisi hati
agar hilang sunyi dan sepi
agar setiap pagi ada mentari menyinari
agar setiap malam ada rembulan menemani
agar aku tidak merasakan
begitu terasing dan kering melengkapkan langkahku
di bumi Tuhan ini...

aku... seperti kamu jua, adalah pengembara
dalam masa wujud hingga luput
dalam masa berani dan kecut perut
mengatur langkah di jalanan tersedia
harus memilih cabang dan arah tujunya...

lalu... tertintalah puisi-puisiku
dari bicara hatiku yang terdalam
dari ikhlas rasa mengalir kata
dari jernih mata mengalir cahaya
dari hujung jemari mengalir realiti
lalu kutebarkan di sini untuk dikongsi...

 

||:.

Lahirnya sebuah puisi

Terketar-ketar jemariku
Menyusun kata dan irama
Melahirkan sebuah puisi
Untuk insan yang dalam kehausan

Lahirnya sebuah puisi
Bukanlah nama jadi ukuran
Tapi hadir kerelaan hati
Kerana sehelai benang keinsanan

Diriku ini hanyalah sehelai kain usang
Caci dan hina sentiasa di bahuku
Aku rela ...

Lidah adalah hatiku
Hati adalah lidahku
Andai terpisah keduanya
Terlebih dahulu aku yang durhaka

Sejati sebuah puisi
Sempurna dalam pandangan

Sempurna segala tujuannya
Menyakinkan setiap insan
Yang mendengar

[ lahirnya sebuah puisi::ramli sarip::perjalanan hidup]

18 Mac 2004
:: Aku penanti

aku ini penanti
terpaku kaki pada bumi
tiang-tiang hidup sudah reput
dimamah anai-anai saban hari

direnjis gerimis
segar seketika
bila ia mengering
layu aku menyembah masa.


17 mac 2004
:: Lights in my life?

kunyalakan lilin mencair
menerang kelam yang gulita
suria sudah lama tenggelam
bintang tidak tunjukkan muka
bulan sembunyi di sebalik alam sana

kunyalakan lilin mencair
biarkan hangatnya menyapa
hatiku yang dingin dan beku
kau cairkanlah
aku sudah lama terkaku

cahaya-cahaya dalam hidupku
belum menyatu
percikannya masih kecil dan malu-malu

cahaya-cahaya dalam hidupku
belum menyatu
membawa aku keluar dari daerah berbatu-batu...

2.02am



aku suka refleksi di dinding...

Jebat...

cik minah comel bertengkolok tu Citah yg beri... cantik pulak dia malam ni... heh heh...

lilin convenites habis awal...

ini jua cahaya...

tocot berspring duduk berjuntai di atas monitor...

 

Tidak ada program tv yang menarik malam ini. Jadi aku membuka siaran radio yang kugilai sedari minggu lepas, suria.fm 96.7. Lagu-lagunya jauh membawaku ke zaman aku masih hingusan, ke mana-mana saja berlari dan sukar sekali berbaju! I'm innocent... I'm just 2... ok...

Dan aku telah sepak jus oren yang masih berbaki setengah gelas, satu bunyi yang agak enak didengar... mungkin kerana gelas itu agak tebal dan kerana itu jua ia tidak pecah, tapi jus oren telah mencorakkan lantai, mujur tidak terkena hamparan. Aku senyum saja. Mungkin ia akan membantu aku untuk menghabiskan dua kotak bekalan yang kupesan dengan Nana senja tadi dengan imbuhan tupperware sebagai hadiah... sekarang aku sudah ada 3 biji tupperware biru hadiah dari pembelian jus oren... indahnya dunia.

Aku ingin habiskan semua scented/unscented candle yang aku ada... aku mahu yang baru... lalu kunyalakan semuanya. Letak di kamar... sepanjang atas meja, jebat, rak buku dan sebelah tv. Sudah terang lagi bersuluh. Maka aku padamkan lampu elektrik. heh not bad at all... cantik!!! Dan aku tutup radio. Ini masa untuk menonton Mona Lisa Smile yang kupinjam dari Wana.

Seekor nyamuk mencuri darahku, terselamat dari tepisanku buat pertama kalinya... tetapi tamat di hujung hamparan... hujung hamparan yang kuning sekarang sudah ada corak tambahan yang baru, kesan dari tragedi matinya seekor nyamuk.

Lakonan aktress kegemaranku tamat.

Tidak... aku bukan nak mengulas tentang cerita itu, ramai orang boleh berbuat demikian dengan lebih bagus... tapi aku benar-benar kerinduan ulasan Addysyah! Ahh... gatalnya bekas gigitan nyamuk di kaki. Nana sudah pesan suruh aku biarkan nyamuk itu kenyang dan terbang sendiri supaya gatal tidak tinggal di kaki. Tapi... aku belum menuntut ilmu sabar... membiar that tiny annoying insect duduk tertenggek di atas kaki.... Tak apa nanti aku garu...

Sebenarnya sejurus selepas cerita itu tamat... mataku turut terpejam sekali rupanya. Lena yang sungguh harmonis bertamu sekitar lima minit. Aku sememangnya belum berhasrat untuk tidur walaupun sudah melewati awal pagi.

Aku lihat lagi lilin-lilin yang meliuk-liuk... lights in my life... bisik hatiku. Lalu kucapai Raden, aku mahu rakam segala yang bercahaya... dalam kekaburan yang merona hatiku. Aku akan zahirkan cahaya yang kabur. Bagaimana aku pun tak tahu. Sehabis 24 shot, bateri beri warning.

Mencari markas cas semula bateri ke luar ke dalam tidak ketemu, di akhir minit yang ke lima, aku teringat... ia ada di dalam beg laptop yang tinggal di pejabat. Tak apa, aku akan cuba pindahkan ke hati Tuah, moga-moga nyawa Raden tidak tamat awal. Alhamdulillah ercubaan berjaya... dan nampaknya Raden masih bernyawa, hanya untuk tugas ringan.... bukan dengan kesan khas... dia sudah kelelahan... lebih dua minggu kudera bateri yang satu ini, semestinya ia kering... bateri tambahan satu lagi juga sudah kering sepenuhnya... jadi nya aku tiada bateri lain untuk mengadu... heh heh...

Dan sekarang aku ingin kecilkan saiz gambar-gambar yang kuambil sebentar tadi agar esok dapat aku kongsikan dengan kalian... nanti jangan lupa ya... aku hanya mahu tunjuk cahaya saja... yang lain jangan tengok... heh heh...

 

16 Mac 2004
:: Nyanyian sepotong mimpi...

Kadang kala, ada baiknya sunyi saja... dari terus berkata-kata terutama yang menyentuh rasa. Tapi apa sangatlah yang dapat kudiamkan... jika semua pun seperti ingin benar aku kongsikan dengan kalian.

Melihat tajuknya jua sudah ketara, aku tak habis-habis ingin menulis perkara yang sama... tentang mimpi dan tentang mimpi. Mungkin kerana itu yang paling hampir dan sedia disusun menjadi baris kata di sini maka itu saja yang kukutip dan lekatkan di sini...

Realitinya mimpi akan pergi bila jaga menakluki... tapi jika jaga pun bermimpi... bagaimana ya? Justeru maknanya hidup hanya lamunan dan angan-angan? Dan kalian katakan ia kehidupan yang dipersiakan?

:) Pernah... sedikit masa dulu seseorang pernah memberitahuku terus terang dan spontan, ketika blog ini di depan matanya... "Apa ini... membazir masa...". Aku sedikit pun tidak ambil hati, mungkin benar katanya... 'sampah sarap' sebegini membazir masa, untuk dibaca... atau lebih tepat untuk aku yang tambah menaburkan 'sampah sarap' di perkarangan siber ini saban hari?

Ia persis seperti menggantung mimpi-mimpi di sidaian... tidak beroleh kegunaan malah menyemakkan. Peliknya, walau punya kesedaran... aku masih setia menaburkan 'sampah sarap' ini saban hari. Dari mana datangnya 'sampah sarap' ini... semestinya dari mindaku ini... heh... sekarang aku sudah tersengih... penemuan namanya ini... kalian turut sedar atau tidak? Kepalaku penuh 'sampah sarap' lah maksudnya.... :D

Dan aku terus terfikir lagi... adakah floating particles yang berguna di celah-celah mimpi-mimpi berupa 'sampah sarap' ini? Atau adakah di dalam floating particles ini terkandung suatu unsur yang berupaya meransang haba ketagihan untuk aku terus menulis dan kalian terus membaca? Di hujung penulisan ini dan pembacaan kalian, apa yang aku dapat... aah... apa yang aku dapat itu tidak penting... itu soal aku... tapi apa yang kalian dapat? Bukan seperti yang pernah seseorang itu katakan padaku dulu... satu pembaziran masa?

Aku katakan begitu, kerana... kalian mungkin mengambil waktu kerja, waktu rehat, waktu makan, atau apa saja waktu yang ada untuk membaca 'sampah sarap' sebegini rupa... Oh ya... yang aku maksudkan 'sampah sarap' ini hanya di sini ya... bukan di blog lain, blog lain selalunya punya informasi yang berguna dan membimbing.

Oh... sudah melepasi waktu yang aku janji pada diri untuk meleraikan jejari dari keyboard ini... :D... sudah 3.40pagi rupanya... Lihat aku pun sudah mencuri waktu mimpiku untuk 'sampah sarap' di sini... :)) dan kalian masih membaca ke baris ini?

Untuk kalian... terima kasih kerana sudi meneman aku bermimpi dalam kelusan 'sampah sarap' yang kutaburkan di sini... selamat pagi Nusantara... izin aku berlena sebelum sadiq menjelma... ;)

 

12 Mac 2004
:: Hujung dunia...

Aku ingin ke hujung dunia, ingin melihat pinggirnya, dan ingin jatuh bebas dari pinggir itu. Jatuh terus tanpa penghujung... biar usai segala gejolak yang menyesakkan nafasku saban hari ini.

9 Mac 2004
:: Selembut awan...

Cinta selembut awan
masih tersimpan di hati
pesonamu menawan
ku dilanda sepi

Mengapa hanya padamu
tercurah seluruh rasa
hadir di s'tiap nafasku
bayangmu menyapa

Meskipun ku tahu dirimu kini
tiada lagi sendiri

Namun ku tak rela melepas segala mimpi
Oh mengapa hanya dirimu
yang mampu mengisi hampa sanubari ?

Kini ku mengerti
anganku hanya lamunan

Kisah kita berakhir
menjadi kenangan

||:.

Malam sudah lama mengusung pagi
aku masih dibuai irama titipanmu
masih cuba memahami baris-baris itu

Di akhir jam yang kedua
kukira aku faham maksudnya
kuulang baca sekali lagi... kecundang juga

Kali ini jalinannya berselindung
ibarat nak dara berkerudung
jelingnya terlindung, namun getarnya
meraba ke hati yang memerhati...

7 Mac 2004
:: Anak merbah

Aku ikut mak menyidai kain. Entah di mana punca bualnya aku sudah lupa, yang aku ingat mak beritahu ada sarang burung di atas bunga pinang-pinang di depan anjung rumah. Mak kata ada anak burung nganga-nganga dalam sarang tu. Aku tinggalkan bakul kain dan lari-lari anak ke rimbunan bunga pinang-pinang.

Benar... dua ekor anak burung nganga-nganga dalam sarang meneradah langit. Aku jerit-jerit suka. Mata anak-anak burung itu masih tertutup tapi mulut dia terbuka luas. Mungkin dia terdengar bunyi aku datang lalu disangka ibunya yang pulang membawa makanan.

Aku lari balik mendapatkan mak...

"Mak, tak panas ke anak burung tu nanti, tak ada daun melindung pun..."

"Tak apa..."

"Nanti kalau hujan, mesti habis basah... tak mati kesejukkan ke?"

"Sekejap dieram ibunya keringlah bulu dia.... panaslah dia..."

"Mak... anak burung tu nganga-nganga.... lapar agaknya... orang bagi donat ya..."

"Jangan! Mati anak burung tu nanti.... manalah dia tau makan donat, kalau nak bagi pisang masak ke tak apa lah jugak..."

Hehehehe.... aku sengih-sengih tekup mulut... tiba-tiba aku rasa nak kongsi donat dengan anak burung tu...

Bunga-bunga melur kembang agak banyak... aku petik sekuntum bawa kehidung dan mencium wanginya, tiba-tiba keluar serangga hitam kecil-kecil yang menghuni tangkainya yang berongga, seekor dua sudah pindah atas hidungku. Aku tepis cepat-cepat membuangnya. Nana yang duduk di muka pintu dengan buku cerita tebal di tangannya gelakkan aku.

Banyak pula pepatung berterbangan, aku rasa macam puteri dalam taman dengan pari-pari berterbangan. Angin bertiup deras... berbisik-bisik di telingaku bahasa alam yang berlagu. Semua pepohon meliuk-liuk dilentur jejari angin... Sungguh aku bahagia di sini.... dan terima kasih buatmu yang telah memberi segala erti dan menceriakan hari...

5 Mac 2004
:: Padang seluas pandang...

Izin kuberlari
merentas padang seluas pandang
menyapa bebunga warna warni dengan hujung jari
pinjam wanginya
dan simpan di sanubari

Gemawan pun berarak
mengusung jingga dan unggu
menuju puncak berbalam
yang kurasakan menjadi tugu
melindung lembah agar sentiasa sejahtera dan aman

Penat berlari daku berjalan
di tengah padang seluas pandang
kuhirup nyamannya dan simpan di dalam dada
kukutip indahnya buat mengubat hari duka
kutangguk damainya buat redakan gelora

Beradulah aku dalam kelusan lembut bayu petang
diterbangkan jauh dari debu hitam yang menyesakkan nyawa
dilarikan jauh dari duri-duri yang melukakan tumitku hingga hancur

Tersembuhlah duka sekurun dirawat jejari ghaib alam
terhiburlah hati yang runtun dinyanyikan unggas tak kelihatan
didodoi puisi bahasa alam

Terlenalah aku di dada padang seluas pandang
dihanyutkan jauh dalam indah dan tenang yang sentosa
kusatukan hatiku ke hatimu
kudekatkan jiwaku ke nuranimu
kau tahu kenapa aku kemari
kenapa aku tidak peduli
kerana aku sudah tuli dan penat sekali
lelah dihambat duka serata alam
diracik hati dan perasaan setiap detik putaran alam

Izinku berlari
di padang seluas pandang
walau semua ini hanya mimpi berteduh ilusi
bakal merobek dan menghancurkan
sekeping hati yang kerapuhan.....

||:.

Tidak redanya hidup dalam mimpi, sampai bila aku tak pasti. Mimpi ini mengasyikkan, justeru aku sering lupa akan pedihnya luka yang bakal ia tinggalkan sekiranya aku terjaga.

Terlalu banyak perkara ajaib yang berlaku di sekeliling, buat aku keliru, betapa pelik dan berbezanya, antara mimpi kau dan aku... Mimpi-mimpi kalian mesra saja menjadi nyata setiap kali kalian bukakan mata. Sedang mimpiku secepat itu pula ia melemaskan jiwa.

Biarlah, aku sudah buat pilihan, aku ingin terus bermimpi... mencuba menyulam pasti jika ada belas Penciptaku, bila aku terjaga nanti aku harapkan aku masih di padang seluas pandang... mengutip setiap seri, setiap harum, setiap wangi... setiap puisi bahasa alam.


 

 

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...  
SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ]
Dibawakan secara eksklusif
ketatapan anda.