[ secangkir madu ]    
[ elaira ]   
[ taryusis ]   
[ arianur ]   
[ irionel ]   
[ erikas ]  

Archieve
[ Okt ' 02 ]
[ Nov ' 02 ]
[ Dec ' 02 ]
[ Jan ' 03 ]
[ Feb ' 03 ]
[ Mac ' 03 ]
[ Apr ' 03]
[ Mei ' 03 ]
[ Jun ' 03]
[ Julai ' 03]
[ Ogos ' 03 ]
[ Sept ' 03 ]
[ Okt ' 03 ]
[ Nov '03 ]
[ Dec '03 ]

26 Jan 2004
:: Jangan Sepi

aku kata pada hati
janganlah sepi
ada lantai daun rimba
silalah menari

bila malam kunang-kunangkan datang
letakkan ia dalam cawan
alaskan ia baldu hitam
tanyakan padanya soal hidup
cahaya untuk siapa yang ditatang

bila pagi ada embun tersenyum
jatuh mengabdi di lantai rimba
tempat kunang-kunang bersemayam
tanyakan padanya soal hidup
segar untuk siapa yang dibawa

aku kata pada hati
janganlah sepi
akan tiba angin utara
memimpin duka pergi
jauh dari lantai rimba tempat kau berdiri.

25 Jan 2004
:: Mak demam lagi...

[Menunggu Jedah sampai untuk kembali ke kota lumpur]

Sayup di hujung kampung jentera penebang kayu mendengut, sekali kuat sekali perlahan. Mungkin projek tanam semula pokok getah atau memotong batang lama untuk dibuat kayu api. Pucuk kayu berlenggokkan, awan mendung di hulu, di hilir cerah berderang sahaja.

Tenang. Nyaman. Lenggok pelepah kelapa diulit angin pun sungguh-sungguh mendamaikan perasaan. Kalau boleh biarlah lewat lagi Jedah sampai, aku ingin terus mengecap damai begini.

Mak batuk-batuk, pagi tadi dia demam lagi. Aku kerisauan, aku akan pulang ke KL petang ini. Semalam kami ke hujung kampung mengambil buluh untuk dibuat galah mengambil kelapa. Gembira sekali dapat merasa suasana kehidupan kampung yang jarang-jarang kulalui.

[Kusambung lagi setelah sampai KJ]

Mak telah minta izin dengan empunya buluh. Jadi kami terus sahaja meredah rumpun-rumpun buluh yang tumbuh merata. Ada beberapa batang yang telah mati dan kering, sesuai untuk tujuan kami, tetapi hujungnya tersangkut berselirat di celah dahan buluh lain yang berselang seli. Cuba juga menariknya, tapi pautannya kejap.

Pusing-pusing dalam rumpun buluh, mencari yang agak kecil, yang tergenggam oleh tangan, yang ringan terdaya dijulang. Lama juga, akhirnya berjumpa dua. Mak kata buluh itu agak muda, bila ia kering mudah reputnya. Aku simpan maklumat kekal-kekal dalam kepala.

Singgah sebentar di rumah mak cik yang berhampiran, mesra kupanggil Induk sahaja. Induk slanga kami, yang juga membawa maksud yang sama seperti makcik. Aku bertinggung di tubil simin dapurnya, di sebelah mak. Rumahnya berada di kawasan yang lebih tinggi dari jalan raya di depan rumahnya. Bolehlah dikatakan seperti lereng bukit, tapi ia jauh lebih rendah. Di depan rumah Induk (di kawasan yang lebih rendah, di kiri kanan jalan raya) dipenuhi dengan rumpun buluh. Rumpun buluh yang kami redah awalnya kepunyaan mak cik Mahani.

Kami bicara macam-macam, dia jemput kami masuk dan minum petang. Aku dan mak menolak sopan. Kami harus segera pulang, asar sudah lama menjelang, takut tak sempat pula. Selalunya penduduk sekitar kampung kami akan menempah kuih bahulu dengannya, selalunya dia menerima banyak tempahan bila raya menjelma. Katanya dia terpaksa menolak beberapa tempahan, agak banyak dan dia tak sanggup. Aku faham juga, kesihatannya tidak berapa mengizinkan. Alhamdulillah dia sudah sembuh dari pembedahan beberapa tahun dulu.

Induk tanyakan kelapa. Selalu dia ambil kelapa dari rumah kami. Tapi sebulan dua ini kelapa agak kekurangan, mak kata kelapa 'melaweh', maknanya musim di mana buah kelapa masak tidak banyak. Mak sendiri pun terpaksa beli dari kedai. Induk pesan kelapa untuk rendang dan lemang. Bersungguh dia. Mak tak kata tak ada, aku tahu mak akan bahagi-bahagi apa yang ada. Dulu sewaktu Induk belum berapa sembuh dari pembedahan, mak tolong kupaskan kelapa, aku tolong hantar ke rumahnya.

Rumah Induk redup, dari pepohon yang tumbuh di lereng tebing rumahnya, juga dari rimbunan buluh yang membentuk pagar sepanjang bahagian depan rumahnya. Induk suruh kami jenguk rumpunan buluhnya, jika ada yang boleh dibuat galah yang baik. Kami berjumpa satu buluh yang hampir kering, masih berat, tapi agak panjang dan sesuai untuk pokok kelapa mak yang tinggi. Puas juga aku menarik, melepaskan dahan yang bersilang dan mencangkuk antara satu dengan lain. Berjaya juga bila mak tolong tusuk dengan galah lain.

Cepat-cepat aku mengheret dua batang buluh menuju pulang, mak bawa satu. Aku tinggalkan mak di belakang. Mak jalan perlahan... ke aku yang berlari? Aku lihat mak angkat buluh tu, aku tahu ia berat. Aku suruh mak seret sahaja, mungkin mak tak suka bunyi bising buluh bergeser dengan batu jalan. Jaraknya dalam 15minit berjalan kaki dari rumah. Dekat sahaja.

Sampai di sudut jalan di depan surau, Mak Aji Manah ajak singgah. Aku berhenti beramah tamah. Dia di laman, aku di luar pagar. Bicara basa basi hingga mak sampai. Aku minta izin, asar lanjut benar. (Abang Pat baru pesan supaya segerakan solat, aku ingat tu, insyaAllah). Lagi pun pagi itu dia sudah ke rumah kami cari kelapa, kami sudah sembang lama-lama.

Aku seret lagi sampai depan kubur Arwah Uwan dan Arwah Abah, beri salam dan sedekah Al-Fatihah, sambil melepas lelah sambil tunggu mak yang tertinggal di belakang. Di pinggir tanah kubur isteri Ujang Uban dan anak-anaknya sibuk menebas dan membakar rumput, asap merabun-rabun ke udara, aku suka, aku senyum lebar-lebar dan bertegur sapa. Bila mak sampai dia pula sambung bersahut-sahutan. Aku suka suasana kampung begini, terasa harmoni sekali.

Cucu Uwan Uteh, jiran sebelah rumah juga tengah membersihkan halaman, membakar rumput yang di cangkul, asap merabun-rabun ke udara. Maksudku asap yang berkepul-kepul ke udara. Aku tak tahu kalau kalian gunakan istilah yang sama, tapi ia adalah bahasa melayu bukan bahasa dialek.

Ketika inilah rebas mula turun, aku mempercepatkan langkah, mengheret dua batang galah di celah pokok pisang dan rambutan menuju ke rumah. Kemudian berlari semula mendapatkan galah yang mak bawa. Lari-lari pula angkat kain, mak angkat kain yang masih basah. Mak terkena juga renjisan hujan renyai, walaupun sedikit ia memberi bekas.

Malam tadi mak batuk-batuk semula, dua minggu dulu mak sudah demam batuk selsema, dengan bantuan Yah aku bawa mak ke klinik di Kuala Pilah. Minggu lepas mak sudah baik. Tiba-tiba pagi ini demam batuk selsemanya berulang semula. Walaupun tidak berat, tetapi cukup berat memaut kakiku untuk melangkah pulang meninggalkan dia sendirian.

Ubat dulu masih berbaki, mak nampak kebah sedikit berbanding pagi tadi. Aku tahu itu kerana dia sudah mula bercerita tentang rumput yang panjang dan anak lada yang masih dalam pasu semaian. Aku pesan jangan sentuh semua itu hingga demamnya benar-benar hilang.

Aku tahu mak degil, dulu semasa hayat arwah nenek, mak kata nenek degil, sekarang aku kata mak degil. Aku pesan dia jangan berjemur dan jangan terkena hujan. Tubuh tua bukan seperti zaman muda, banyak alahannya. Aku harap mak ingat dan tak degil berjemur dan berhujan, sebab aku sangat-sangat risau kalau keadaanya bertambah teruk. Kalau perlu aku akan minta cuti dan pulang awal sebelum Raya Haji. Semoga Allah pelihara kesejahteraan ibuku sementara aku di sini.

Keadaan mak begini menyedarkanku, usia tua semakin meratah hidup mak, dulu jarang sekali dia demam-demam begini walaupun sakit-sakit lain saling bertamu. Ringkasnya mak selalu sakit-sakit selepas arwah abah pergi, tapi demam-demam begini buat aku pilu. Mak sepatutnya berada dalam pandanganku.

Sesampai di rumah tadi aku talifon mak, dari suaranya kuanggarkan keadaannya agak memuaskan, cuma ada ketikanya dia batuk-batuk. Aku harap dalam sebulan lagi aku boleh bawa mak ke sini, sekurang-kurangnya aku boleh tengok mak hari-hari.

24 Jan 2004
:: terima kasih

terima kasih pada hidup
yang berikanku segalanya
biarpun ada yang terlepas
cintaku tak sempat kulafaz
dengar cerita kau bahagia
kutunduk menangis gembira

terima kasih pada hidup
yang berikan ku kesempatan
biarpun cuma seketika
kita berkawan dan bermesra
dengar cerita kau bahagia
kutunduk menangis gembira

oh kasih masakan kau tak tahu
apa yang dihatiku
di waktu mata kita saling temu dulu

oh kasih masakan ku tak tahu
apa yang di hatimu
di waktu mata kita saling bertemu

kasihku apa sebabnya kau berpaling wajah
di waktu mata kita saling bertemu dulu
curi-curi pandang
kau curi memandang

~ella::simbiosis

 

Sepohon nan rimbun, di dahannya setangkai buah yang bergugusan, ada satu yang tampak cemerlang. Disapa mesra bayu kampung yang segar ia melenggang ke kanan ke kiri.

Dari jauh kuperhati. Ada rama-rama cantik menari-nari, berteman angin dan pohon senduduk, riang sekali.

Aku sekadar mampu memerhati, sesekali merasai, bahagia dan gembira yang mereka kongsikan. Bila kugapaikan tangan, meraka tidak menyambut... mungkin kerana aku ini berbeza dan hanya layak memerhati... sesekali merasai hanya apa yang mereka kongsikan kepadaku.

Aku sepatutnya terus kaku di sini, menyimpan kemas jemari, menyimpan kemas rasa hati .... dan hanya layak memerhati.

22 Jan 2004
:: Bahagia itu...

bahagia itu umpama pelangi
hadir seiring mimpi
memayungi langit dan aku di bawahnya
mengusir seribu gundah dengan warna ceria
melekakan aku hingga terlena

bahagia itu umpama embun pagi
menyegarkan pepohon dan aku yang kekeringan
siraman yang lembut menghayalkan
membaja jiwa yang kesuraman
membelai mawar yang hampir kelayuan

bahagia itu umpama mimpi dan rindu
terjaga terpingga
tersedar yang tinggal cuma pilu
dari harapan yang mendebu
dalam diam mengguris rasa
dan menikam kalbu

harus ingat jangan lupa
pelangikan hilang sehabis hujan
embunkan kering semuncul mentari
yang tertinggal hanya mimpi
yang tetap memburu
aku yang kelayuhan mengejar rindu.

21 Jan 2004
:: Himpunan rindu

aku himpun rindu
mekar selalu dalam senyumku
lihatlah sinarnya dari anak mataku
rasakan getarnya di dada kamu

aku himpun rindu
teruntuk buat siapa aku tak tahu
setiap pagi di dada langit
setiap senja di dada bumi
setiap malam menjelma
bersenandung dalam lena

aku himpun rindu
dari bertahun-tahun dulu
aku bawa kesegenap penjuru
kuadukan pada kerikil yang mengherdik keras rintihannya
kuadukan pada gemercik kali yang mendamaikannya
kuadukan pada helang yang membawanya tinggi ke angkasa
kuadukan pada rimba yang menelan segenap seluruh rasa

aku... masih himpunkan rindu
buat kamu
buat kamu
buat kamu...
yang aku tidak tahu.

 

:: Cemporo kito!!!

Aku sudah berjanji dengan Ita, sebaik habis waktu kerja petang semalam, aku akan terus ke Shah Alam untuk berjumpa dengan dia lagi. Semperna kunjungan kerja beliau, dia ingin 'comporo' dengan teman-teman rapat yang ada di KL.

Aku pun berjanji dengan Jedah. Sewaktu aku turun di Stesyen Komuter Shah Alam, Jedah sudah sedia menunggu. Dan kami bertemu Ita dan Faizah di Plaza Alam Sentral. Mereka menginap di Quality Hotel. Oleh kerana sudah masuk waktu maghrib, maka kami naik ke bilik mereka dulu untuk solat.

Aku terlupa telefon Citah dan Has. Citah tidak dapat turut serta, baru sahaja pulang dari pejabat... sementara aku tidak menghubungi Has... sudah tentu dia akan bising jerit-jerit kerana tidak beritahu awal-awal. Bila aku cuba telefon Has hari ini, rupanya dia balik kampung di Nibong Tebal. Nasib baik... kalau tidak sudah tentu masak aku kena marah... hehehehe...

Kami ingin keluar makan, perut memang lapar sangat-sangat. Apa yang ingin dimakan? Tak mahu makan yang biasa-biasa... hendak ke Kelang, jauh sangat. Lagipun Jedah baru saja balik dari Kelang ... kesian dia. Punyalah berpusing satu Shah Alam dan talifon Netty untuk cari idea, nak makan di mana. Akhirnya kami patah semula ke Plaza Alam Sentral, di sebelah belakangnya di dalam tasik ada satu restoren seafood, nampak ok.

Tapi kami sudah kembung perut ketawa... perjalanan sikit punya lama, berpusing keliling hampir setengah jam, tempat tujuan akhirnya cuma beberapa ela dari Quality Hotel. Kata Ita... "Ekau, kalau nak tipu den pun biar laa logik... kau bawak den bepusing sikit punyo lamo... last-last sinia jo poie eh... montang-montang den tak ghoti area ni..." Heh heh... bukan aku Ta... ini Jedah punya kerja. Aku... sakit perut, sakit tekak ketawa.

Masuk sahaja ke restoren berkenaan... Ita tiba-tiba berbisik sesuatu kepadaku yang buat aku terduduk ke lantai ketawa. Tahu kenapa? Semua pelayan di situ pakai baju dengan corak yang sama dengan kain cadarnya di rumah. Aku yang sememangnya tahu, tidak dapat menahan ketawa. Memang serupa benar corak kain itu dengan kain cadarnya. Kami ketawa berair mata, Jedah dan Faizah (rakan sekerja Ita, setelah wawancara khas hari sebelumnya aku dapati dia ada kena mengena denganku... hehehe) tercengang-cengang ingin tahu... sebentar kemudian dia juga sama seperti kami. Hmmm... kebetulan yang sungguh-sungguh melucukan.

Kami duduk di tepi air... ada beberapa labi-labi berenang ke arah cahaya lampu di tepi pentas. Ita kata ia comel... aku hanya mengangguk-angguk tak endah. Hidangan lambat sampai. Perut sudah buat konsert keroncong. Aku dan Ita mengusik anak-anak kecil Tionghua yang fasih berbahasa Inggeris. Kami ketawa lagi dengan lawak bodoh yang kami buat. Bahagia sendiri orang lain tak mengerti.

Bila tomyam sampai, Ita dan Jedah tidak suka... terlalu manis kata mereka. Aku pula agak jengkel dengan sikap pelayan yang menghantarkan makanan. Ada masalah pekerja ini. Pastinya ada gejolak dalam dada, sehingga seperti mahu tertumpah sup di meja. Itulah manusia... dan manusia...

Aku yang sengaja tidak membawa pakaian kena kutuk habis-habisan. Aku sudah bersedia. Sememangnya kami jika bertemu, tidak cukup sekejap. Cerita tidak pernah habis. Ketawa tidak pernah habis. Lawak pun tak pernah habis. Kenangan di asrama pun segar semula. Diulang tayang dan diulang cerita. Semuanya tetap segar dan segembira ianya terjadi. Seperti biasa banyak mata yang memerhati kami ketawa tak henti-henti dan berbicara dalam bahasa kampung.

Makanan lain sampai, aku suka sangat 'deep-fried Siakap Patayya style'. Ita yang pilih menu ini... aku suka sekali. Tiba-tiba teringat seorang teman... mungkin nanti dia juga boleh kubawa ke mari mencuba hidangan ini. Itu pun jika dia sudi...

Selepas makan mereka hantar aku pulang ke Kelana Jaya. Aku sangkakan mereka hanya ingin menghantar kupulang, maka aku jemput mereka naik untuk merasa puding laici yang masih berbaki. Rupanya mereka hantar aku balik untuk ambil pakaian sahaja. Selepas itu kami menuju Shah Alam semula dan ke rumah Jedah di Seksyen 8, juga untuk ambil pakaian. Hebat perjalanan kita malam ini.

Jam sudah lewat 12 malam bila kami sampat ke Quality Hotel semula. Dan tentunya dengan sembang dan cerita yang tidak reda-reda membawa kami jauh ke pukul 2pagi.

Kami tidur di Quality Hotel akhirnya. Hari ini aku pergi kerja dari Shah Alam. Semua boleh terjadi, bila sudah bertemu Sahabat MGH88! Tapi satu yang aku rasa boleh kami banggakan, tidak kira bagaimana pun kami ingin bergembira, apa pun kerja gila yang kami lakukan, ianya tidak pernah melampaui batas etika dan ugama. Pun begitu kami tetap boleh gembira seluruh-seluruhnya dan tetap bersyukur kami masih dapat bersama - MGH88:: Time can't keep us apart! Aku sayang kalian seumur hidup!

Untuk Ita, Jedah dan Faizah, terima kasih kerana masa kalian bersamaku, masih sudi berkongsi suka dan sendu. Semoga doa kita dimakhbulkan dan kita tetap bersama hingga hari-hari tua... seperti yang kita bicarakan di meja makan malam tadi, bila usia mengutip satu demi satu antara kita... pergi.

'Comporo' adalah istilah kami untuk acara 'enjoy sakan, tak ingat nak balik, buat lawak dan gelak pengsan-pengsan, juga buat apa yang terasa ingin buat'.

20 Jan 2004
:: Bicara Tentang Hati IV

Permainan apakah yang kau hidangkan
hingga tinggi aku di terbangkan ke langit

Permaidani apakah yang kau tebarkan
hingga terasa aku melangkah di awan

Di penghujung helaan nafas yang berduri
kita punya rasa
semalam telah tertebas angin masa
dan darahnya bepercikan di perdu cemara
mengingatkan pedih pilunya rasa

Hari ini kau hamparkan janji
lalu tersembuh tanpa kusedari
membawa jauh berlari dalam mimpi
suntingan bintang-bintang syurgawi

Aku ini mencari realiti
yang enggan turun bersemadi
aku ini mencari jejak rasa
yang tertimpa banjir selut kaca kelmarin

Hati ini aku yang punya
jika esok tercalar dan merekah
di manalah ruang untuk sembuhkan kembali
menyatu serpihan diri
dalam tilam hidup berselimut sepi.

19 Jan 2002
:: Gathering GeJu ke-3
   17 Jan 2004

Aku masih di pejabat. Menunggu Ita dan suami tiba. Ita sebetulnya ada kerja di Shah Alam. Entah apa ributnya dia ingin ke Kuala Lumpur untuk makan. Heh heh... sila Ita... aku tunggu kau di sini. Bila sampai nanti sila talifon. Kita cari santapan di celah pekat malam kota batu ini. Sementara itu biar saja aku abadikan kenangan semalam di Perjumpaan Kali ke-3 Geng jurnal yang sempat aku sertai.

GATHERING GENG JURNAL KE 3, 2004

Ini kali pertama aku mengikuti Gathering Geng Jurnal, walaupun bukan kali pertama mengikuti aktivitinya. Aku bukan ahli yang aktif dalam mengikuti setiap kegiatan yang Geng Jurnal aturkan, tapi aku tetap menyokong agenda yang aku rasakan memberi manfaat terutama dalam hubungan sesama manusia.

Aku bertemu kelompok kawan yang sungguh berbeza di sini. Aku sudah nyatakan acap kali. Malam itu aku sampai di Restoren Nelayan Titiwangsa sekitar jam 8.30 malam. Majlis sudah bermula jam 8.00malam. Aku datang bersama Fajar dan Anis.

Hidangannya adalah steam-boat. Aku yang memang penggemar makanan laut tersenyum berbunga di dalam hati. Malangnya belum apa-apa perut seperti sudah penuh dengan gembira. Gembira bertemu kalian yang telah lama kukenali tetapi baru pertama kali bersua wajah.

Apa yang aku rasa sepanjang majlis itu ialah kekurangan masa untuk bertegur sapa. Menurut Mat Jan seramai 92 orang telah menghadirkan diri, menurut Mie kehadiran mencecah angka 96! Ada juga antara kalian yang tiba lewat... sempat bertemu Unsunghero sewaktu ingin balik di tempat letak kereta.

Arrgghhh... terasa laparnya... mana Ita ni, tak sampai-sampai lagi. Direkat kesesakkan lalu lintas agaknya... Hah! baru nak kata.. di sudah sampai City Square... Terharu sahabat sudi bersesak di jalanraya hanya untuk berjumpa.

Aku katakan Gathering Geju agak meriah. Aku memang jenis manusia yang cepat berpuas hati. Aku jarang komen-komen jika aku sendiri tidak terlibat dalam pengendaliannya. Untuk semua urusetia yang bertungkus lumus menyediakan door-gift, Tok Rimau dengan limaunya... :D peace Tok... peace..., elin yang pregnant tu... ish terharu, dan semua ajk perjumpaan kali ke-3 ini, terima kasih atas usaha kalian. Aku tahu bukan mudah menguruskan acara begini, banyak halangan dan rintangannya.

Pertama kali bertemu Rosram, aku duduk semeja dengannya... terus-terus aku tanyakan jarinya yang terpotong dulu tu. Alhamdulilah sudah sembuh, dan sempat mendengar versi live tentang senduk-senduk berjalan sendiri di dapur kantinnya! Seram kan? Sebelahku Syati! Kami terus saja mesra. Seperti telah kenal bertahun lamanya.

Pertama kali juga bertemu Attok... dia yang tegur aku dulu... dan dia sebut nama sebenar aku! Heh... macam mana ini? Katanya aku sendiri yang beritahu sewaktu chat berjela dulu. Dia bersungguh dengan buku ketujuh Legenda Numerius, jangan bimbang Attok, nanti aku maklumi dan kamu mesti hadir di majlis pelancarannya nanti.... mesti!

Pertama kali bertemu ep, segan sebenarnya nak tegur dia, tapi bila dah termula... kita sembang sakan! Jumpa penulis yang tidak asing lagi Sri Diah, lagi... Hayazi (dia terkejut jumpa aku... nasib baik dia tak terkejut sampai pengsan, selalunya orang pengsan berjumpa aku yang punya tanduk dua!), ep... (rakan balas pantun dulu, maaf aku tidak aktif lagi, dia pun hampir pengsan), Napang (dia tak kenal aku... terkebil-kebil dia bila kutegur... hu hu...), Mat Jan... pun ini kali pertama, tahniah kerana menang Weblog Terbaik, Iwan... duduk semeja dengan aku, SultanMuzaffar... pemenang Best Asian Weblog dan Anugerah Khas Geju, Fared (terima kasih sudi tegur...), Cik Daun yang sibuk malam tu, Adipujangga... (dia diam jer... segan nak sembang lebih-lebih), Khalilur (tak tegur pun.. hehhehe... lain kali kita tegur ya...), siapa lagi yang aku jumpa buat kali pertama?

Mereka yang kutemui buat kali kedua atau lebih; Kak Ungkunor (pertama kali sewaktu ronggeng ke PD), Rosh (pertama kali di rumah Abg Pat), JigoMorrison & isteri (pertama kali sewaktu beraya di rumah Spyz), enmiya (selamat menjengah ke dunia kerjaya hari ini), toksik (pertama kali sewaktu ronggeng di PD), Cik Easy (pertama kali semasa beraya di rumah Spyz).

Kemudian yang kutemui bagi kali ketiga atau lebih; TukGawo, Tok Rimau & family, Spyz & family, Faris Saljubiru, Nettbiru, Amyz, Rudy dan Fajar.

Ada sesiapa yang aku tertinggal? Kalau ada yang aku terlupa... minta maaf ya. Pun begitu ada juga beberapa orang yang aku ingin jumpa, tapi tak sempat. Harapnya di kesempatan lain. Sempat juga membaca beberapa ulasan tentang gathering ini, aku jadi tersentak dan terdiam. Semoga bukan sekadar kata dan bukan sekadar cadangan... aku seperti biasa tidak mengharapkan apa-apa, yang tersedia aku syukuri.

15 Jan 2004
:: MitH's PhoEx
O :: Embun di hujung Daun, Jan 2004

Myths in the Haze / Istana di hujung Rimba buat julung-julung kalinya membawakan...

MitH's PhoExO :: Embun di hujung Daun, Jan 2004
{ ceplink! [ x ] ceplink! }

Buat pertama kalinya kubawakan ketatapan kalian koleksi foto-foto peribadi menerusi Pameran Foto On-line (PhoExO : Photo Exhibition On-line). Pertama seumpamanya kupaparkan di sini... beberapa siri lagi akan kubawakan tidak lama lagi...

13 Jan 2004
:: Taugeh ternak...

Hari ini aku berjaya pulang awal seperti yang selalu aku angan-angankan. Tapi rancangan lain muncul di saat-saat akhir. Sudah lama benar tidak bertemu Citah. Maka ketika itu juga janji termetri di talian penghubung.

Menunggu Citah di Stesyen Sentral, tidak lama kemudiannya dia sampai. Citah masak-masak... aku tolong makan! Sambal belacan Citah pedas, berair mata ketawa dalam kepedasan.

Di dapur Citah, di tepi sinki, ada sebesen taugeh kontot tak cukup umur. Terharu aku mendengar nasib si taugeh tak cukup umur. Kata Citah, hajat bertakhta ingin menjamah bubur kacang hijau. Terlebih rendam, bercambah pula ia. Lalu dibiarkan sahaja ia menurut fitrahnya, selang sehari dua lagi sempurnalah panjangnya, boleh dicarikan tauhu buat teman.

Citah bekalkan aku taugeh ternaknya. Didapur aku sambung merendam. Ada rezeki esok lusa akan kusempurnakan juga maksud wujudnya.

12 Jan 2004
:: Dreams

All my life
Is changing every day
In every possible way

In all my dreams
It's never quite as it seems
Never quite as it seems

I know I've felt like this before
But now I'm feeling it even more
Because it came from you

Then I open up and see
The person falling here is me
A different way to be

I warn more
Impossible to ignore
Impossible to ignore

 

They'll come true
Impossible not to do
Impossible not to do

Now I tell you openly
You have my heart so don't hurt me
You're what I couldn't find

Totally amazing mind
So understanding and so kind
You're everything to me

All my life
Is changing every day
In every possible way

And oh my dreams
It's never quite as it seems
Cause you're a dream to me
Dream to me

Ada masanya mimpi sering saja menari-nari dalam sedar mahupun ilusi. Bila aku gembira, aku rasa aku bermimpi. Bila aku berduka, aku hampir pasti aku masih bermimpi.

Yang indah-indah menerangi hari, buat aku rasa hamparan hidup dipenuhi manikam syurgawi, aku pasti ia mimpi! Hingga ada masanya aku pun tertanya, celik itukah tidur, lena itukah jaga... mimpi itukah realiti, nyata itukah ilusi.

Kau corakkan gembira persis mimpi... heh mimpi bertandang lagi. Aku sambutnya dengan mesra.

Cuma bila perlu, walaupun mimpi asyik mengulit lenaku... kejutkanlah aku, aku takut tenggelam!

7 Jan 2004

Lagi bingkisan dari Rizal.... terima kasih ya... :D [ mengapa hati ]

6 Jan 2004

3 Jan 2004
:: Peminta tua

wajahnya tiada emosi
renungan di hadapan kelam
kulit tuanya mersik diratah matahari

semalam telah corakkan
hari ini terbenam berbalam
menyambung hari di pasar tani
dan kaki lima despensari

kugenggam erat jemarinya
sampaikan kasih dan simpati
hari tuanya telah beku
renungan matanya kian layu.

2 Jan 2004
:: M Nasir dalam tin

Akhirnya aku berjaya memilliki "M Nasir dalam tin". Setelah puas mencari di Mid Valley aku jumpa di Plaza Shah alam... yiiihaaaaa........! Apa lagi aku nak kata? Gembira sungguh-sungguh ni... jom layan M Nasir dalam tin! Heh heh heh...


1 Jan 2004
:: Tahun Masihi Baru

Malam tadi sewaktu melangkah pulang, KLCC sudah dibanjiri orang ramai, majoriti remaja. Terasa lain bahangnya, mungkin semangat muda mereka membara... entah ke mana ingin dihalakan... mungkin bertempik sorak waktu tengah malam nanti berupaya mengurai gejolak semangat yang menghentam dada. Sudah digembar-gemburkan MNasir akan menyanyi dalam konsert mengiyakan sambutan tahun baru 2004... tidak mengapalah... aku tidak sanggup bersesak-sesak sambil menyaksikan apa yang aku tidak ingin nampak.

Entah, tahun ini aku sukar sekali mengucapkan Selamat Tahun Baru... kecuali pada pasangan ibu dan anak berbangsa Cina yang kutemui di Bukit Cerakah pagi tadi. Itu pun kerana si anak tersenyum dan mengucapkannya padaku. Aku tawar hati. Benar, sambutan tahun baru masihi ini tidak perlu bagi aku. Ia sama seperti hari-hari yang lain... kecualilah jika kadar ketaqwaanku meningkat. Ianya sambutan tahun baru Yahudi... jadi mengapa aku harus terlibat. Sekurang-kurangnya pesanan Wana melalui YM itu menyedarkan jiwa aku yang kealpaan. Hmmm... jika awal muharam tidak pula remaja yang ramai-ramai tadi terkejar-kejar ke masjid sembahyang jemaah. Sssyyyhh! Mana boleh kata, entah-entah mereka itulah yang memenuhkan syaf hadapan khariah mereka.... Maka jadilah aku orang yang paling lemah imannya, menidakkan yang mungkar dengan rasa di dalam dada.

Aku kembali berbasikal di Bukit Cerakah hari ini. Lama sungguh tidak kembali. Lepas ini Mie tidak boleh ketawakan aku lagi... aku benar-benar berbasikal tau Mie! Hari ini hanya aku dan Nana sahaja yang pergi. Jedah dan adik-adiknya ingin membeli belah di Kota Lumpur. Citah sibuk, ada hal peribadi... heh heh.

Selama lebih tiga jam di taman rimba itu, aku sempat merakan beberapa snapshoot pemandangan, flora dan fauna, juga unggas-unggas yang menjadi sentimen penyeri muka bumi. Seronok juga punya hobi sebegini. Lagi-lagi bila bank imej sumber inspirasi jual mahal dan kenakan bayaran untuk muat turun imej-imej dari laman webnya, maka aku terdorong untuk menggunakan imej yang kuambil sendiri. Di antaranya ialah imej untuk banner bulan ini. susah juga untuk otretkan sang rama-rama, aku dan Nana keras perut ketawa. Lama kami berpanas dan tunggu rama-rama hinggap diam dan membuka sayapnya. Hmmm... patutlah imej bank sudah letak harga... payah rupanya untuk dapatkan gambar-gambar menarik itu.

Kali ini taman haiwan meriah. Aku sempat melihat kuda ditukar ladamnya. Yang selebihnya aku naik basikal laju-laju. Aku suka mendengar angin berbisik keras di telinga. Seolah mendengar alam berbicara. (Teringat pula Pencarian Mukin Hijau ).

Tiba-tiba teringat Ainnie, oleh kerana dia tinggal di Seksyen 8, maka aku pun menghubunginya. Alhamdulillah dia ada di rumah. aku dan Nana ingin berziarah. Kali terakhir bertemu ialah semasa majlis perkahwinannya tahun lalu. Tidak lama lagi Ainnie bakal menimang cahayamata....

Ainnie hidangkan nasi ayam istimewa. Sedap sangat. Kiranya senaman berbasikal di awal hari sudah mansuh dituba nasi ayam hebat Ainnie. Lama juga di rumah Ainnie, melihat-lihat album gambar perkahwinannya, sembang kembali cerita lama... sewaktu kami sama-sama menuntut dulu. Puas juga kami ketawa, mengenang kembali gelagat pensyarah. Lalu rindulah kami pada masa lampau... ingat tak dulu Ainnie...? Saya pernah kata "Suatu masa nanti bila kita tidak bersama lagi, bertahun-tahun dari sekarang, kita pasti rindu saat indah sebegini...". Dan aku tetap akan berkata begitu kepada sesiapa sahaja yang melintas dalam hidupku, kerana ada di antara kalian yang mencorakkan warna yang indah di dalam hidupku. Kalian tahu siapa kalian... justeru terima kasih.

 

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...  
SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ]
Dibawakan secara eksklusif
ketatapan anda.