[ erikas ]  

 

 

 

 

 

27 Feb 2004
:: Sebelum hujan...

 

Sebelum hujan

Kata gerimis pada hujan
"Turunlah bersamaku,
kita hijaukan bumi yang merekah."

Kata butbut kepada awan
"Turunkan beban, basahkan laman,
biar keluar cacing gelang-gelang,
buat santapan anak-anakku makan."

Kata sawi kepada kangkung
"Bakal segarlah dedaun kita,
rahmat Tuhan hampir tiba."

Kata ular kepada katak
"Jika turun lagi hujan senja ini,
bakal cengkunglah perutku,
akan kelaparanlah aku dalam waktu."

Kata itik kepada ayam
"Berteduhlah, aku ingin menyelam."

Kata nenek kepada tok wan
"Galilah ubi, kita rebus,
tidaklah sejuk perut kita nanti"

Kata aku kepadamu
"Hati-hati bila memandu,
kau tahu aku sayang padamu... "

||:.

Lama... sudah seminggu laman ini tidak diisi peristiwa yang merona hari-hari kehidupan seorang aku. Benarnya kesibukkan menyesuaikan diri di tempat baru. Asalnya memang terasa sungguh tidak selesa... dengan segalanya, lif yang lambat pun menjadi bahan tawa kami.

Tapi aku fikir dalam hati, tidak semua yang indah itu baik... dan tidak semua yang kurang sempurna itu cela. Hidup kita ini pun begitu juga, yang indah itu ada masamnya, yang jelek itu ada manisnya. Dan... tidak sepanjang masa kita ini senang-senang sahaja. Ada tikanya kita akan meranduk kesukaran. Ada tikanya kita dirangkul jaring keperitan.

Di tempat baru ini, tidaklah semuanya tidak elok semata. Harus melihat kehadapan dan berfikiran positif... mungkin hari ini belum ketara indahnya menyusur jalan sesukar ini untuk ke pejabat... esok lusa... mungkin inilah jalan yang melorongkan kita ke masa hadapan yang lebih bermakna.

Aku ingin berhijrah... seperti yang aku kata dulu... dan di tahun baru ini, aku ingin hijrahkan segalanya. Moga ada kudratku untuk semua itu.

Aku rindu, masih rindu dan tetap akan rindu... setiap sudut, setiap tembok, setiap dinding... setiap warna, setiap debu, setiap mukus, setiap caping yang menghias dari kaki puncak itu berdiri hingga ke aras yang kudaki.

Benar aku masih boleh mengutip jejak yang kutinggalkan itu... sehingga minggu kedua bulan hadapan... tapi bezanya sudah nyata. Benarkah aku rindu tempat itu? Mungkin juga tidak. Mungkin juga ya. Tapi rindu itu ada.... dan rindu padamu kupasti hadirnya...

19 Feb 2004
:: tidak tahu

dalam hati ada selaut rasa
lalu aku tanyakan padamu
rasa apa itu
engkau kata tidak tahu

dalam mimpi ada segerbang kota
indahnya bertatahkan mutiara dan permata
lantainya berpermaidanikan bunga mekar nan ceria
harumnya melangsirkan senyum pelangi
lalu aku tanyakan padamu
kota apa itu
engkau kata tidak tahu

dalam hatimu mungkin ada selaut rasa
dalam mimpimu mungkin jua ada segerbang kota
kerana itu engkau jua bertanyakan padaku
dan aku jua berkata aku tidak tahu

bila rasa itu senada
mimpi itu sewarna
mungkin sebenarnya kita tahu

biarlah ia begitu
biar ia tetap bisu
bertaruk mesra mekarkan ceria
menakhtakan impian selembut sutra.

170204:11.37pm:KJ

++

8.00pm, aku masih di pejabat. 98% susunan sudah dirombak. 50% perabut dan kotak-kotak sudah dipindahkan ke pejabat baru. Aku pasti rindu tempat ini... Esok semuanya bakal selesai dipindahkan.

Aku sayu.

Seringkali orang berkata, kita tidak menghargai sesuatu itu sehingga kita kehilangannya. Tapi bagi aku dalam keadaan ini, kerana aku telah menghargainyalah aku merasakan kehilangan.

Ya... aku beritahu lagi hati... semuapun begitu... hukum dunia begitu... datang dan pergi... Berbagai kisah terjadi, di puncak ini, suka dan duka mengajarkan pengalaman dan menitipkan pengertian tentang hidup, manusia dan karenahnya.

Dulu, hanya aku dan kakak sahaja pekerja di sini. Kini kami sudah bertambah. Tapi, kakak sudah tidak bersama kami lagi. Aku rapat dengan kakak, kami sekepala, walaupun hanya kami berdua, pejabat tetap riuh dan ceria, seperti 20 orang lagaknya. Bila kakak berhenti semua jadi tidak jadi, banyak urusan pejabat terpaksa aku ambil tahu... dulu aku hanya buat kerja aku. Aku kena ambil tahu juga kerja kakak sementara penggantinya tiba. Walaupun sudah ramai, aku terasa sungguh kehilangannya, kerana kehadirannya dulu pun sangat-sangat kuhargai.

Malam tadi aku sempat berkunjung ke rumah kakak. Dia baru saja pulang ke KL dari kampung halaman. Sebaik dia berhenti kerja dulu, dia terus pulang. Masih lagi seperti dahulu. Masih berkongsi suka dan duka. Aku harap silaturrahim ini kekal mesra walaupun di mana kita berada.

Melihat keluar cermin pejabat... lampu-lampu kota merona malam, mencorakkan kehidupan. Lampu-lampu kenderaan bergerak-gerak menarikan nafas kota padat ini. Lampu-lampu yang agak kejauhan berkelip-kelip mendenyutkan nadi kota lumpur yang sarat.

Esok lusa, aku tidak lagi menghuni di sini. Esok lusa, aku akan hanya memerhati puncak berkembar ini menjulang langit dari kakinya sahaja. Esok lusa... aku tidak tahu warna apa bakal mencoraknya. Esok lusa, aku tidak akan di x-ray lagi setiap kali keluar masuk bangunan, tidak akan lagi bertukar dua lif untuk ke pejabat, tidak akan lagi senang lenang sampai ke pejabat... aku juga bakal bersesak-sesak untuk pergi kerja.

Aku sayu.

Mungkinkah nanti aku akan marah-marah, mungkinkah nanti aku akan mengelu seawal pagi? Aku tak mahu... aku tak suka marah-marah dan mengeluh apatah lagi seawal pagi.

Aku sayu.

Aku harus terima. Aku harus bersemangat dengan hijrah ini. Aku ingin lebih cemerlang. Mungkin nanti kita bakal tidak dapat bertegur sapa dalam talian lagi... semua pun perlu redha. Hijrah itu kan pengorbanan.

Aku ingin berhijrah, kalau boleh hijrah kearah yang lebih bermakna lagi. Tuhan, permudahkan bagiku.

 

17 Feb 2004
:: Semalam...

Sebelum engkau ke mari
tiada resah tiada kuatir
menjelang kemesraanmu
yang dirindu hanya satu...

Ini adalah hari-hari terakhir aku di puncak berkembar ini. Hampir dua tahun di sini banyak sungguh yang dapat kusaksi, lihat dan fahami. Esok lusa aku akan beredar, meneroka lembah dan lurah. Mungkin di sana nanti aku kan lebih mengerti hakikat hidup, perjalanan dan duniawi. Aku tahu rasa hati, hambar dan tawar untuk pergi, sepertilah segala sesuatu di sini begitu indah sekali. Mungkin kenangan yang terpatri, justeru itu hati terkunci. Mungkin aku sudah sayang, semuanya indah kupandang. Meskipun penuh dengan pohon batu-batu dan debu-debu, aku mula nampak hijau dan murni sahaja. Walaupun kebendaan, kedudukan dan kuasa menjadi cerucuk utama yang bernafas di sini, aku tidak pernah peduli, aku punya ruang sendiri bukan semua itu yang kucari. Pendeknya aku mungkin sudah menyesuaikan diri di sini.

Mengapa itu mahu jadi teman
mahu jadi kekasih selamanya

Ahh... dulu di Phileo Damansara pun aku berat kaki untuk melangkah pergi. Tapi hidup bukan statik, semua pun harus berubah, jika tidak mengapa ada peristiwa hijrah, bukankah itu untuk kita fikirkan dan teladani? Ya, selaras dengan Maal Hijrah 1425, kami juga akan berhijrah. Aku juga ingin berhijrah, hijrah pemikiran, hijrah pendirian... hijrah untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik. Ini adalah tahun yang baru dan aku bersemangat untuk menyambutnya... aku sudah pasang azam rupanya.

Aku bukan lagi mainan dulu
telah kucampakkan kau ke mana
ke lautan hitam yang kutahu
pasti kita tak jumpa

Aku punya banyak sekali kenangan manis di sini. Yang kurang enak, aku sudah lupa atau aku lupakan saja. Di sini mudah sahaja aku bertemu kalian, tempat pertemuan yang baik dan semua orang tahu bagaimana ingin ke mari. Mungkin selepas ini aku juga akan seperti kalian, berusaha untuk ke mari jika ada pertemuan mengundang, bukan hanya menunggu senang lenang. Terasa sayunya... entah kenapa... berkali-kali aku menghela nafas panjang.

Mungkin nanti aku tidak akan dapat lagi melihat pancuran air di bawah sana setiap tengahari dan petang. Aku akan rindu. Walaupun nanti taman yang baru tidak kurang hebatnya. Dan nanti tidak ada lagi debar-debar setiap kali pembesar suara kecemasan memberi amaran. Dan nanti tidak terlibat lagi dengan pergerakkan raksaksa bila latihan kecemasan diadakan. Aku akan rindu untuk melihat kaki langit membukat bila mendung berarak dan hujan bercucuran....

Aku akan rindu...


Semalam itu semalam
hari ini aku hidup dalam dunia yang aman
kenangan kita lucutkan
kita bakar sama-sama pengalaman
hidup duka...

 

15 Feb 2004
:: Sekolah hidup...

Bangun pagi tekakku sakit sekali, seperti nak demam. Tapi aku ok lagi. Tak mahulah demam. Ada banyak kerja dan perkara hendak diselesaikan. Mungkin cuaca kampung agak sejuk. Malas benar rasanya nak pulang ke Kota Lumpur tu, tapi di sini pun apa sangat yang boleh kuperbuat.

Suka dan duka silih berganti kebelakangan ini. Buat aku selalu fikirkan... ini hukum karma. Aku bersyukur... sangat sangat bersyukur kepada Tuhan, kerana ada insan-insan seperti kalian yang menggembirakan seorang aku, dan ada insan seperti kamu yang sudi menggembirakan seorang aku. Aku sebenarnya tak mahu mengharapkan apa-apa, aku tak mahu tagih gembira dari belas ikhsan, biarlah ia datang semulajadi. Dan jika ia pergi secara semulajadi, aku pohonkan hati ini mengerti, begitu ia tertulis dari azali.

Semua ini pun dugaanNya, hidup kita ini berbagai ronanya, cuma terkadang kita jadi lupa dan menuntut itu dan ini, sedang semua yang terjadi bersebab, ia satu pengajaran buat hidup... seperti yang selalu aku kata, hidup ini proses pembelajaran yang tiada hentinya, gurunya maya... jika jauh sedikit kita fikirkan... Penciptalah pendidiknya. Kehidupan inilah kelasnya. Dugaan itulah ujiannya. Jika beroleh kita kefahaman dan keredhaan terhadap segala sesuatu yang berlaku itu, maka luluslah kita dalam pengajian di sekolah hidup ini.

Kita ditawarkan berbagai kursus di bumi Allah ini, semuanya tiada paksaan untuk menyertainya. Setiap kursus itu ada ujian dan penilaiannya yang tersendiri, maka kita dikurniakan masalah dan rintangan. Lalu mengeluhlah kita, yang paling teruk berputus asa, sedang sebahagian besar kursus itu adalah pilihan kita sendiri. Patutkah kita mengeluh, kesalkah kita kerana memilih jalan yang telah kita lalui. Apa pula penilaiannya, adakah kita akan terus mendapat F? Sekolah hidup tidak labelkan kita F, kita yang labelkan sendiri gred kita.

Mungkin yuran kita yang tidak lunas, justeru kita dapat F. Dalam sekolah hidup yuran mesti dibayar, tidak boleh tangguh. Tapi ramai termasuk aku buat-buat lupa bayar yuran! Macam mana nak sekolah kalau tidak bayar yuran? Ahh... sekolah sajalah... tak ada siapa pun minta yuran. Justeru... salah fakulti! Kerana fakulti untuk yang tidak bayar yuran ada banyak... dan mudah sekali menyertainya... malah ramai juga orang yang berjaya dan kaya-kaya adalah lulusan fakulti yang tidak bayar yuran ini.

Jangan sampai kita mengambil mudah soal sekolah hidup ini, hanya kerana grednya kita yang tentukan (kononnya). Semoga semua dari kita ini beroleh rahmat dan petunjuk serta panduan dalam menjalani kursus di sekolah hidup ini. Semoga keputusan kita kelak diterima dari tangan kanan dan urusan-urusan selepasnya mudah bagi kita. Justeru ayuh kita sama-sama berusaha untuk menjadi lulusan cemerlang dari sekolah hidup ini!

12 Feb 2004
:: Terang

Cuaca sungguh baik hari ini, dari puncak ini jelas bandaraya diselaput jerebu. Fenomena begini sudah biasa. Debu kosmos. Aku bercadang pulang awal petang ini, agak keletihan sehari suntuk dengan acara memerah otak. Alhamdulillah, setelah sekian lama minda beku hari ini Tuhan kurniakan buah fikiran.

Terang... benderang...
Aku harap cahaya alam ini juga mampu menerangi hingga ke lubuk hati.

 


11 Feb 2004
:: Angin mesra

angin berhembus
mencipta irama kencana
dikau datang dan dikau pergi
membawa debu gunung

angin yang dingin
kau datang dengan pertanyaan
hanya hati-hati yang sepi
mengenal erti sendiri...

Pagi - sewaktu melangkah di kaki menara berkembar ini, angin segar bertiup deras hingga mengelibut belahan kebaya yang kupakai. Aku senyum sendiri. Aku angkat muka dari lantai konkrit, bunga-bunga kecil bewarna putih di sekitarnya juga melenggok riang disapa mesra angin yang lalu. Aku tersenyum padanya dan membawa kembali pandangan ke lantai konkrit. Mesra benar angin yang menyapa wajah, aku suka angin deras begini, bawaannya semangat yang ghaib.

Aku ingin tolak dingin dan beku, hari ini aku harus mampu melunaskan tugas yang perlu. Cukuplah beku yang menghuni selama ini. Jika ikhlas panasnya, mungkin hari ini hatiku kan cair dan kembali merah. Pun begitu aku tidak mengharapkan keajaiban, biarlah ia segar sendiri... tanpa mangkin.

Tengahari - sewaktu melintas di kaki menara berkembar ini lagi, anginnya masih deras. Bajuku masih mengelibut disapanya. Menghalau jauh panas yang cemerlang. Aku maniskan muka, tersenyum pada alam, membalas mesra senyumannya yang tidak usai buatku sedari pagi. Aku mendongak langit, melihat cerahnya, malu bertentang mata dengan suria, lalu aku pejamkan keduanya, tersenyum ikhlas buat hangat yang menyapa terus ke kalbu.

Petang - sewaktu berlarian di taman menara berkembar ini, kelus lembut angin masih menggapai dan membelai wajahku dengan lembutnya. Melenggang lenggok dedaunan hijau sepanjang jalan, dan gemercik air di pancuran sungguh menghiburkan. Bunga loceng unggu, turut tersenyum mesra. Aku teringat sewaktu di Cameron Highland dulu, ada bunga loceng berwarna merah jambu dan kuning lembut yang sungguh besar... dan aku teringat gambar yang sempat kurakam bersamanya. Aku membalas senyum mesranya.

Sepanjang aku mengunci bicara di sini, bermacam perkara telah berlaku. Aku sebak dan sendu, aku bermuram dan menangis. Aku berhenti dan merenung segala kelemahan diri. Memutihkan yang hitam dan menjernihkan yang kelabu. Tapi hari ini... aku sungguh-sungguh terharu, alam masih mesra dan setia menanti dan menghibur, menghulur tangan dan membelai, membujuk hati dan sudi menyanyikan iramanya merawat segala gulana.

Ada juga yang sedar MitH bisu rupanya. Terima kasih kerana prihatin kalian. Terima kasih Fajar. Terima kasih buat Abg Pat, lain kali jangan marah saya macam tu lagi, nanti saya nangis kuat-kuat! Saya tak berkecil hati malah sergahan itu ada kalanya perlu untuk mengejutkan saya dari terus terlena dibuai duka. Terima kasih Rudy. Terima kasih Nett. Terima kasih CT Musafir. Terima kasih buat musuh ketatku yang sungguh-sungguh prihatin (isk terharu...) si Morrok, berapa hari entah dia berikan sessi motivasi percuma secara online. Juga Ivy dan Sick Sad World... terima kasih. Terima kasih juga buat hero yang tidak dinyanyikan... your words of wisdom is really something friend, hangus aku dibakar api semangat yang ditiupkannya. Terima kasih buat semua, aku sungguh terharu... cuma, ada waktunya gundah gulanaku ini tak siapa mampu meredakannya, lalu kuserahkan pada waktu dan belas ikhsan Pencipta untuk mengambilnya semula.

Along pula dirawat di Pusat Perubatan Pantai, dari Jumaat hingga Isnin. Syukur, alhamdulillah dia sudah bertambah sihat. Selama itu aku di hospital meneman dia. Walaupun orang lain termasuk mak ada, dia tetap mahu aku di situ bersamanya. Aku turutkan saja. Bila dia minta aku cuti dan meneman dia di hospital pun kuturutkan saja. Aku hanya mahu dia gembira dan cepat sembuh. Aku sempat berbual panjang dengan doktor yang merawatnya, Dato' Dr. seorang yang baik dan peramah, penerangannya buat aku faham bahaya yang bertandang jika tidak diberi perhatian.

Malam minggu lalu dengan ditemani Zai, aku sempat menghadirkan diri ke APUKe-11 anjuran Kelab Seni Jalan Telawi. Satu pengalaman yang cukup indah. Menyaksikan persembahan seni serta deklamasi sajak yang pelbagai. Loloq juga turut sama. Aku tidak pandai mendeklamasi puisi justeru aku diam dan menghayati sahaja. Jika berkesempatan pastinya aku akan turut sama bulan hadapan.

Semalam harijadi Citah. Aku, Jedah dan Netty buat suprise pukul sepuluh malam. Menyeringai di depan pintu rumahnya. Dia benar-benar terkejut. Dia sudah sangka kami lupa harijadinya. Aku dan Jedah kelaparan, paksa juga Citah masak. Sempat dia buatkan ikan sambal dan sayur goreng... enak sekali. Kemudian kami nyanyikan lagu harijadi buatnya dan makan kek yang sungguh enak juga. Jedah belikan fruit delight... hampir habis sebiji kek comel harijadi Citah. Hmm... kami berlima ya... aku belum sebutkan Linda juga.

Sewaktu meninggalkan trek joging sehampir senja tadi, angin kembali bertiup deras.... aku pejam mata dan tersenyum. Langit semakin mendung, tapi hatiku tidak lagi mendung, mentari sudah menyapa mesra, aku ingin tersenyum lagi. Daun-daun mati berguguran dan terdampar dilaluan. Senja yang cukup indah... cukup sempurna... dan ada lagu yang dinyanyikan angin senja... kalian ingat tak?

ditiup angin senja
bila bunga-bunga berguguran
hilanglah keindahan
cahaya penerang taman
bila bunga gugur berserakkan

kelopak bagai sutra
kini tandus tiada bermaya
hilanglah keindahan
tiada lagi berseri
bunga gugur dipangkuan bumi

dimanakah jejari yang sering menanti
untuk menyuntingmu ketika kau mekar mewangi
dititis embun pagi kau tak mungkin mekar kembali

diremang warna senja
satu satu bunga berguguran
hilanglah keindahan
tiada lagi berseri
bunga layu dipangkuan bumi

... dan aku masih tersenyum pada alam walaupun dalam kelam menuju jalan pulang. Tuhan... terima kasih untuk gembira ini...

 

 

kau pinta aku bersuara
sedang lidahku sudah kelu
kau pinta aku mencoret kata
sedang tintaku hampir kekeringan

kau pinta aku gembira
sedang hatiku dipalut duka
kau pinta aku ketawa
sedang aku bercucuran air mata

ya... aku bisa gembira dan ketawa
seperti yang kau minta
walau di dada
banyak sungguh duri dan ranjaunya...

 

 

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...  
SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ]
Dibawakan secara eksklusif
ketatapan anda.