[ erikas ]  

 

 

 


sounds of silence [ x ]

SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ]
Dibawakan secara eksklusif
ketatapan anda.

Artwork@ R O S H

Bukan pintaan diterbangkan angin
di bumi asing menyemai budi
bukan libur jiwa santapan harian
disuakan perang merampas kekejaman
takhta satria penuh pengorbanan
cekal dan tabah pedang peribadi
cekap dan bistari menari di sisi
sedetik lalai nyawa bersemadi

Di lapangan terbentang ini
rongga dada sudah mesra
dikelus udara sarat harapan
bertukar salam dan kasih putih
dari senyuman ke lubuk hati
dari tenunan ke semangat peribadi
sebutir cinta harus terus bersinar
arasis dan osria harus kekal seimbang
mewarna hidup kini dan nanti

Bilamana bumi aurora yang kulangkah
langit aurora yang kudongak
pedang aurora yang kuusung
nyawa aurora yang aku tatang
tidak aku menapak pulang
hingga damai dan aman menyatu diri
kabus dan sirna menyulam kasih
mimpi dan realiti jadi tempat berdiri!

||:.

A k a n   D a t a n g . . . .   k e   p e m b a c a a n   a n d a   s e d i k i t   m a s a   l a g i  . . .

Kepada yang menunggu... seperti menunggu bulan jatuh ke riba, yang termimpi-mimpi, yang terigau-igau, yang hentak-hentak dahi ke meja... penantian anda selama lebih 13 tahun hampir berakhir!

K e n a p a ?   T a k   p e r c a y a   k e ?

Usah percaya... sehingga anda mendapatkan sendiri buku terbaru dari penulis cerita-cerita fantasi nombor satu negara dalam sedikit masa sahaja lagi... Buku ke 7 dari Siri Saga Artakusiad ini bakal menemui pembaca dan ratusan peminatnya pada suku kedua tahun ini... April? Mei? Untuk makluman terkini anda boleh lawati Artakus.Net. Tempahan awal adalah digalakkan memandangkan faktor permintaaan dan cetakkan terhad.

Jangan ketinggalan untuk memiliki lanjutan kisah perjuangan Artakus dan sekutunya Merkia mempertahankan bumi Aurora dari dijajah Morrok dan sekutunya Herakos, kisah cinta romantiknya bersama seorang gadis bernama Laira, juga keupayaannya menyatukan puak-puak Aurora yang berpecah dalam peperangan menentang kegelapan.

Sertai Kelab Aurora [ di sini ] hari ini... tempahan awal bagi mengelakkan anda garu kepala mencarinya di kemudian hari.

||:.

Syukur, rayuanku [ di sini ] di dengar... menjadikan mimpi sebuah impian dan hari ini ia menjadi nyata...

S e e,   w h o   s a y s   d r e a m s   c a n ' t    c o m e   t r u e . . .

s o,   d o n ' t   e v e r   s to p   d r e a m i n g ! ! !

30 April 2004
:: Selamat tinggal April...

April selalu sukar bagiku... mengingatkan tahun lalu... ia juga begitu...

Tapi tidak mengapalah... hukum alam. Esok aku bakal pulang ke kampung, bakal bertemu bonda, bakal terlena diulit irama alam yang damai dan sapaan lembut burung-burung desa mengejutkan dari lena.

Cuti sehingga Selasa. InsyaAllah aku akan berkesempatan menyertai kenduri MaulidurRasul di kampung...

Kali ini aku pulang tanpa capaian ke internet... ahh.. aku juga seperti kalian yang ketagih internet, ketagih membaca dan menulis blog... ketagih segala..... Hmm... tanpa internet dan komputer aku nak buat apa ya? Mungkin aku boleh menulis offline secara manual? Tapi selalunya sembang-sembang dengan mak lebih menarik...

Oh ya.. hampir terlupa... aku perlu baca buku undang-undang jalanraya, susah betul lah... setakat hari ni aku baru selak dua muka... boleh lulus ke? Ada sesapa nak sit-test untuk aku? Hmmm....

 

29 April 2004
:: Suara kodok...

Melangkah pulang dari pejabat malam ini, sisa baki hujan masih menitis, aku tertunduk-tunduk mengelak, sepertilah dengan berbuat begitu aku bisa mengindar basahnya. Ya, titik hujan tidak membasahkan... sekadar sampaikan salam dan rahmat Tuhan.

Suara si kodok bersahutan dari beberapa penjuru alam... tingkah meningkah begitu sinonim dengan titisan hujan dan gilisan tayar kenderaan mencengkam lecak di jalanraya. Aku tersenyum terus dalam kelam malam di perhentian bas, menikmati suara-suara kodok gembira menyambut rahmat Tuhan. Cukup dengan bass dan tribblenya. Seperti orkestra hujan, tetapi unik... hanya bisa didengar tika hujan. Jika kalian berada di fenomena selepas hujan dengan kodok bersahutan... dalam damai dengarkan lah... irama alam yang sungguh unik... bagiku ia punya nilai seni jika dihayati melalui ruangnya.

Aku menunggu teksi untuk pulang... seawal tadi ada sebuah, tapi sudah dinaiki amoi yang sudah lama menanti. Tidak lama kemudian lalu sebuah lagi, kutahan tapi tak mahu pula berhenti. Jam tangan sudah putus talinya... mungkin waktu sudah mencecah jam 9 malam. Masih awal jika diukur dari segi kitaran hidup manusia di kota batu ini.

Sebentar kemudian, aku menahan sebuah teksi lagi... alhamdulillah... pak cik teksi yang peramah... aku terus berbual rancak hingga sampai ke rumah.

27 April 2004
:: My best friend #1...

Malam tadi mak talifon. Selalunya kami akan bertukar informasi terkini, bertanya khabar dan memaklumkan keadaan diri. Malam tadi kami tidak bersembang lama, tapi mak sempat mengatakan sesuatu yang buat airmataku bergenang. Mak tak pernah cakap macam tu. Tiba-tiba dia menyuarakan kebimbangannya terhadapku... jika seandainya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu.

"Masa mak ada ni tak apa lah, nanti kalau mak tak ada lagi... pada siapalah kau nak mengadu..." suara mak sayu.

Aku tahan sendu, tapi airmata laju.

Mungkin aku terlalu rapat dengan mak, semuanya aku kongsikan dengan mak, she is my best friend! Kadang-kadang kesal juga aku cerita macam-macam dengan mak... manalah tau, ceritaku boleh timbulkan kebimbangan dia.

Terkadang bila merasakan gejolak perasaan itu terlalu tebal... dan bercerita dengan sahabat tidak bisa mengusaikannya... aku adukan pada mak. Dengan mak semuanya selesai, semuanya settle!

Malam tadi mak bimbangkan aku... aku tau dia benar-benar bimbang. Aku tak mahu mak risau. Tak mahu mak bimbang. Tapi apa sangatlah yang mampu menghalang mak dari merasa bimbang, tambahan segala jenis cerita tertera megah di kaca tv saban hari. Aku hanya mohon moga Tuhan pelihara langkahku dan Tuhan tenangkan hati ibuku...

26 April 2004
:: Al-Fatihah

Pagi ini Netty talifon beritahu, abah Jedah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi sekitar jam 1pagi.

Untuk sahabat kesayanganku Jedah, semoga tabah dan redha dengan kepulangan ayahanda ke rahmatullah... doa kami (mgh88) agar rohnya di tempatkan di sisi roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aku pohon sejuta kemaafan tidak sempat menziarahi kamu di kampung. Aku bagi pihak sahabat mgh88 yang lain susurkan salam takziah buat kamu sekeluarga.

Di KL Sentral teman sepejabat beritahu isteri ep juga pulang ke rahmatullah semalam. Innalillah... semoga ep sekeluarga tenang dan redha atas pemergian Kak Hasiah.

Kita ini juga... berada di sini sementara cuma. Menumpang belas menikmati hidup di dunia yang fana, sampai masa seperti yang telah dijanjikan kita pasti pulang mengadap Ilahi. Sementara di sini carilah keredhaan Allah s.w.t. Moga kita tenang menjalani hidup ini, seterusnya tenang dan khusyuk pula di dalam mengerjakan ibadah kita.


||:.

Dia kata, sekarang aku sudah berubah, tulisan aku di sini sudah berubah.

Aku terkadang sedar, terkadang buat-buat tak tahu.
Sebab sekarang otak aku selalu runtime error.
Aku selalu tak ada mood.

Dia marah aku.
Aku tau dia ambil berat.

Aku juga ingin kembali bertenaga dan banyak idea. Sekarang aku dalam proses, berdoa banyak-banyak semoga semuanya kembali sediakala, sebab aku pun tak betah lama di ruang keliru ini. Tapi aku sekarang ini ibarat dicatu execution... telah dimasukkan ke dalam round-robin, masa quantum pula singkat... akhirnya asyik looping saja. Siapa punya kerja huru harakan sistem operasi kepala aku ni?

23 April 2004
:: Tersentuh pilu

Hati tersentuh pilu...

Membawa diri berada dalam situasinya... aku pasti aku tidak setabah itu. Merenung kepada ketabahan yang ada pada diriku, terlalu kecil jika dibandingkan dengannya. Aku mudah terjelepuk, biarpun hanya disergah tiupan masalah yang berbalam. Aku insaf... tersedar kebesaran Tuhan dan kasih sayangNya padaku. Tertunduk terus merenung lantai... subhanallah... lemah dan kerdilnya aku...

Tak tau apa yang harus kutuliskan buatnya supaya dia terus tabah (aku tau dia tabah dan redha). Menulis di sini pun aku tak tau apa yang ingin kusampaikan. Hanya jika aku boleh turut serta Ahad ini... malangnya aku sudah punya agenda yang sudah hampir sepuluh tahun tertunda.

Untuk sahabat semoga kesayanganmu segera sembuh, walaupun tidak dapat bersama, tapi aku tetap mendoakan kesejahteraannya.

22 April 2004
:: Kehidupan yang kita pilih...

Aku pasti kalian juga selalu berfikir tentang kehidupan yang kalian ingin lalui atau kehidupan yang kalian impikan. Aku begitu juga. Seawal pagi ini di dalam lrt... aku terfikir lagi perihal ini. Aku sering berfikir tentang ini sebenarnya.

Aku sedar aku keletihan. Letih fizikal kita boleh berehat dan bersantai untuk menghilangkannya, tapi jika letih minda? Aku tak tahu dengan kalian... tapi dengan diriku, aku tidak akan berupaya untuk berehat sehingga sesuatu penyelesaian atau keputusan dapatku capai.

Kebelakangan ini aku sentiasa memikirkan sesuatu, aku buat keputusan untuk cuba menyonsang arus, menidakkan pendirian dan berusaha mecapai sesuatu yang berbalam. Padaku, aku benar-benar mengusahakannya. Menyiapkan flatform, mengusaikan yang kusut, meyakinkan yang tidak yakin, memikirkan sesuatu kebarangkalian dan melaksanakan 'risk and mitigation' juga.

'The future is not ours to see' aku tau itu, tapi ia terlaksana dari apa tindakkan kita hari ini.

Tiba-tiba aku rindu. Rindu pada fikiran yang tenang dan tenteram. Seperti telah berbalam aku tinggalkan kehidupan itu. Dan aku tersenyum sendiri. 'What have I done?'. Tidak semudah itu mahu memulakan sesuatu yang baru. Aku sememangnya alah dengan desakkan, kecuali jika ianya berpada.

Seperti yang aku beritahu pada mak, jika semua yang aku usahakan tetap menuju buntu, akan tiba satu masa aku akan menyimpan tangan di dalam saku sahaja. Aku akan menjalani hidup dalam suatu ruang yang aku fikirkan cukup damai dan selesa. Aku tidak terdaya untuk terus-terus berharapan dan meletihkan minda... sedang hasilnya kekal tanda tanya.

Oleh itu, sementara aku masih bertenaga, hargailah... jika boleh berikan sumbangan, jika tidak aku tidak memaksa, seperti juga aku tidak suka dipaksa. Jika letih ini ketara... aku akan simpan tangan dalam saku bila-bila masa. Usaha itu tidak akan datang dari aku lagi, jika bersungguh, maka usahkanlah.

Aku rindu bertemu kawan-kawan, geng jurnal, artakus.net, mgh88, uitm, polisas89... dan lain-lain, aku nak jumpa kalian. Nanti aku akan aturkan... satu demi satu. Pasti hidupku meriah kembali. Selama ini, kalian telah terlalu banyak membuatkan hidupku lebih bermakna dan ceria... kerana itu aku mahu terus menghargai. Terima kasih sahabat semua atas masa dan usaha menggembirakan seorang aku... (yang pelik???).

Terfikir untuk ke utara semenanjung pada cuti panjang hujung bulan ini. Cik Pah telah lama menyatakan kesudian menerima kedatanganku, dan mungkin kita boleh ke Langkawi... siapa tahu. Untuk sahabat yang berada di Langkawi tu... harapnya kita sempat bersua jika anganku ini menjadi.

Dan jika aku menjawat jawatan 'despatcher' antarabangsa tika itu, maka aku pilih untuk ke Miri dan bertemu Nana yang dalam cuti panjang di kampung halamannya.

Atau... aku pulang sahaja ke rumah bonda... rehat dan tidur sepuas-puasnya.

Jika aku malas fikir panjang dan bebankan minda, serta kewangan tidak mengizinkan, maka aku pasti akan pilih pilihan yang ketiga. Jimat dan tenang.

Aku tau apa aku mahu, satu kehidupan yang mudah, sederhana dan tenang. Above all, happy yang boleh aku usahakan dengan bersyukur dan meredhai segalanya.

Kenapa nak pening kepala? Jalan mudah kan ada?

16 April 2004
:: Jumaat nan bahagia....

Sudah jadi rutin pula seminggu dua kebelakangan ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Mungkin kerana runtime error buat job execution looping terus. Aku tak hang. Tapi terus aktif. Bagus juga tidak tidur... macam-macam boleh buat.

Hari ini hari Jumaat. Hari aku. Hari kegemaran aku sebab hari terakhir bekerja dalam satu-satu minggu. Hari aku dilahirkan.Dan harapnya ia bakal jadi hari aku kembali ke rahmatullah kelak.

Seeloknya jika tidak bisa tidur, bawa berzikir, mak selalu pesan begitu. Tapi malam tadi... aku sibuk berfikir dan memerhati bahasa alam merasa dengan hati yang terdalam apa yang PenciptaKu cuba sampaikan. Anginnya mesra. Tiba-tiba hilang duka, tiba-tiba semua gelisah melarut dalam udara tepu yang melingkung sekitarku.

Mungkin alam tersenyum padaku dari kelamnya. Dan tanpa kusedar aku sebenarnya membalas senyuman mersa itu. Aku faham apa yang cuba disampaikannya. Aku redha apa saja bawaannya kelak. Aku sedar aku bakal melangkah ke satu ruang... yang jika aku tersasar seluruh kudrat bakal tergari rantai dingin sejuk dan beku... yang abadi.

 

15 April 2004
:: Aku nak tulis apa???

Zu tanya, bila nak updet.

Aku... blank.

Ada beberapa sebab kenapa aku tak updet MitH.

Pertama: Aku sibuk a.k.a menjawat jawatan paling penting iaitu sebagai jurugegas. Di mana semasa menjawat jawatan tersebut, selalunya aku tak sempat ke bilik air pun.

Kedua: Aku ada runtime error a.k.a bugs dan insufficient modula ablongata space merangkap data type mismatch dan incorrect memory address.

Selalunya salah satu dari sebab tersebut sahaja yang berlaku, tapi kali ini... aku rasa kedua-duanya sekali. Oleh kerana itu segala saraf minda gagal berfungsi sesempurnanya untuk membolehkan aku menulis seperti kebiasaannya.

Oleh sebab itu Zu, aku tak updet. Boleh?

8 April 2004
:: Alam Berbisik

Mungkin ada waktunya... alam berbisik kepadaku, kerana itu aku menghidu indahnya. izin aku berlama di sini sebentar, aku lelah... aku mau rehat dan biar lena yang tenang mengalir menghuni seluruh urat sarafku.

6 April 2004
:: Apakah ada bedanya? [ x ]

Apakah ada bedanya
hanya diam menunggu
dengan memburu bayang-bayang
sama-sama kosong
k u cuba tuang ke dalam kanvas
dengan garis dan warna-warni
yang aku rindui

Apakah ada bedanya
bila mata terpejam
pikiran jauh mengembara
menembus batas langit
cintamu telah membakar jiwaku
harum aruma tubuhmu
menyumbat kepala dan pikiranku

Di bumi yang berputar
pasti ada gejolak
ikuti saja iramanya isi dengan rasa
di menara langit halilintar bersabung
aku merasa tak terlindung
terbakar kegetiran
cinta yang ku beri sepenuh hatiku
entah yang ku terima
aku tak perduli

Apakah ada bedanya
ketika kita bertemu
dengan saat kita berpisah
sama-sama nikmat
tinggal bagaimana kita menghayati
di belahan jiwa yang mana
kita sembunyikan
dada yang terluka
duka yang tersayat
rasa yang terluka...

 

5 April 2004
:: Inikah dugaanMu?

Aku bersyukur semestinya dengan setiap gembira dan ceria. Terima kasih kerana menitip ceria buatku. Moga Tuhan juga menitipkannya buatmu. Aku juga pohonkan kekuatan dari mu Ya Allah dalam menghadapi dunia penuh cabaran ini... teguhkan langkah ku Ya Allah... bimbinglah aku di jalan yang lurus, hanya padaMu hambaMu yang lemah ini memohon...

:: Jurugegas kembali...

Ya... nampaknya jawatan lama kembali. Menjadi jurugegas kembali. Aku akan bepergian bermula Khamis. Mungkin kali ini seperti ekspedisi menjelajah pulau Borneo mungkin. Kuching - Sibu - Mukah - Brunei. Pertama kali ke Sarawak... tapi pastinya tak sempat melihat-lihat dengan santai... ekspedisi kerja.

Moga-moga aku bisa catatkan perjalanan di sana dan di kongsi bersama kalian kelak.

2 April 2004
:: Doa

Tuhan... beri aku kekuatan.
Menerima dengan tenang.
Setiap pedih
setiap sedih
setiap sembilu
yang menghiris halus hati kerdilku.

Tuhan... bedunglah aku
dalam kasih sayangmu.
Aku lemah sekali, kudratku sudah lali.

Tuhan... pedihnya sanubari
tolong papah langkah ini.

1 April 2004
:: April Fool...
(baca: I am a fool...)

Mak,
Hari ni saya dah jadi batu semula...
Tapi... kenapa saya selalu jadi batu sekejap je?
Saya nak jadi batu lama-lama.
Supaya saya utuh selalu.

Mak,
Mak tetap sayang saya kan?
Walaupun dunia berlipat dua?
Walau roda dunia tak berputar?

Mak,
Lusa, saya balik.
Saya nak baring di ribaan mak... boleh ya...?
Saya penatlah mak... kerja banyak.

Tapi mak usahlah risau, saya pulang nanti
bawa senyum yang sama mekarnya seperti
dua minggu lepas.
Mungkin kali ini lebih-lebih lagi.

Nanti mak tak akan tau...
dan mak tak akan risau bila saya kembali lagi
ke kota hipokrit ini.
Saya sentiasa senyum, kan mak...?

||:.

Aku tarik bidai tingkap tinggi-tinggi. Cerah rupanya matahari di luar. Malam tadi hujan lebat. Jadinya pagi ini adalah pagi selepas hujan. Bukankah aku suka pagi selepas hujan? Aku tersenyum. Tapi benakku berat. Ahh... tak apa... atau... aku buat-buat tak apa sebenarnya... matahari kan masih bersinar? Dan ini adalah pagi selepas hujan kan? Jadi aku harus tersenyum, terus tersenyum, erk... Fajar, akak belum pernah berhenti tersenyumkan? Beritahu ya ... kalau-kalau ada hari akak lupa..

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...  
SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ]
Dibawakan secara eksklusif
ketatapan anda.