~  m y t h s   i n   t h e   h a z e ~ 
P u t e r i  E l a i r a  E l i z a 

[ secangkir madu ]    [ elaira ]   [ taryusis ]   [ arianur ]   [ irionel ]   [ erikas ]  

29 Mei 2003
:: Kau saja...

kau saja buat sarang labah-labah
kau saja buat susah aku baca
satu cerita banyak pecahan
bersambung-sambung tak nampak kesudahan
hujung simpang bertemu serampang
bagai buih dihanyut gelombang
tanpamu ku berdiri tanpa mu kugagahi
merempuh hidup di sini di alam ku sendiri
oh kawan katakanlah kau pun tak tahu
oh kawan katakanlah kau juga buntu
oh kawan katakanlah kau masih ragu
kau saja mahu orang tengok handal
kau saja belum tahu engkau bebal
sampai bila nak terus berkhayal
di kala malam tidur berkongsi bantal
satu selimut beribu tampal
awan lalu nak dipintal...                           - mael/loloq

||:.

Kalau mampu
mahu saja kulontarkan
salji ini kepadamu
agar dapat kau rasakan
betapa dinginnya ia
namun...
ia tidaklah sedingin aku
yang sering dimamah rindu.

Mulyadi Mahmood
Illinois [ sekitar 1980-an ]

Titip puisi ini sudah kuhafal, potongan akhbar itu masih ada di tempatnya atau sudah reput dimamah masa, aku kurang pasti. Seingatku ia kuselitkan di muka depan buku Sejarah yang berbalut plastik. Ya... aku sudah hafal baitnya, juga penulis dan lokasi... malangnya sudah lupa tahun ianya ditulis dan juga tajuknya (mungkin Dingin atau Rindu).

Aku suka sekali bait-bait ringkas yang ketara maksudnya ini. Selepas itu kerap juga aku melihat nama penulisnya tertera di helaian akhbar dan mungkin juga majalah, mungkin menulis beberapa artikel aau cerpen... ahh aku benar-benar kambus dalam angin masa. Entah... di waktu itu aku merasakan puisi ini begitu indah sekali. Tidak ada kena mengena dengan diriku, cuma membacanya baris demi baris seakan terbayang keadaan bersalji yang dingin sekali.

Penulis begitu gembira dengan fenomena alam yang agak baru baginya, sambil bermain salji beliau terkenangkan seseorang yang istimewa di tanah air yang jauh (aku membayangkan seorang gadis kesayangannya).

Lewat kerinduan yang bertamu, lalu diadukan tentang betapa dinginnya salji kepada gadisnya, yang kemudiannya membawa maksud betapa kerinduannya terhadap gadisnya lebih-lebih lagi hebatnya.

[ Maksud ini adalah dari andaian aku sahaja, maksud sebenar puisi ini hanya penulisnya yang lebih mengetahui. ]


28 Mei 2003
:: Ada kala...

 

Ada kala gegar rentak membuihkan keluhan
meredup mata tertunduk perasaan
berdesir keluhan mengelus resah
padat dan berpanjangan

Ada kala angin lembut bagaikan sembilu
tajam menghiris hati yang sayu
tertitis berdarah engkau tidak tahu
kerna senyum manisku ceria untukmu

Ada kala aku lihat matamu berkaca
lalu kuhadapkan damai
jauh kuselongkar lubuk hatimu
moga tiada daerah sesengsara aku

Ada kala kau susur jalan hidupku
dan kau sajikan ceria yang panjang
engkau ingin aku tersenyum lagi
menjelang senja lazuardi

Ada kala senyumku enggan mekar
mengertilah bahawa ada kala...
aku kecundang menipu diri
lemas sudah dibanjirkan darah
sesak sudah dijamah gundah
sedan sudah dihuni gelora enggan rebah
ada kala...
biarkan saja aku sendiri meranduk hari
di sana mencermin diri
mencari teguh tempat berdiri.

280503:6.04pm

||:.

Kuminta satu, tiga dititipkan
sudah terkirim dibawa bayu
bayu berseloka dari jauh
tertampung bersama erti keikhlasan
terjejak temali hijau dan kelabu
termaksud kini persahabatan berlabuh...

[ thanks... to you, ikhlas itu sering buatku terharu ]


:: 26 Mei 2003
:: :p

kau tahu erti mengalah?
aku selalu memilihnya
dari mengundang telagah

kerana itu kau kata aku kalah?
tidak mengapa kerana aku tabah
walaupun kau kocak hatiku gundah

kita sementara di sini
diperlabuhan surut dan pasang berganti
jika bidukku sompek
dan bercalar haluannya
terasa ketar bersaing meranduk samudera
halakan saja bidukmu ke air
cacakkan layarnya
ia tampak lebih sempurna

tapi jangan jadikan bidukku
menutup tidak keseimbangan
dan sebagai loncatan menjunjung bidukmu
menjadi juang ulung tiada sompek haluan
dan kocakkan gelora lidah samudera
adalah kerana sompek bidukku

jauh aku bawa calar dalam hati
sudah berkali, maaf kali ini ia abadi
akan aku ingat pelajarannya
aku sedar setelah lama aku perhati
senang melihat silap dan caping
aku redha kerana semuapun milikku saja
aku redha kerana berkali-kali kau telah sebutkannya...

 

 

 



22 Mei 2003
:: Menyusur sejuknya embun...

Sudah dua hari aku lewat tidur. Meminjam lena sejam dua sahaja. Nasib baik tidak menjadi hamba kantuk di pejabat, mentelah deretan tugas masih tebal bakinya.

Kelmarin... aku pulang agak lewat bertemu Huzalina. Selepas itu asyik pula dengan Tuah, Jebat beryanyi lembut di belakangku... sedar-sedar sudah hampir 4pagi.

Semalam... bersembang sakan dengan teman serumah, isu yang sungguh menarik perhatian kami. Sifat perlakuan, pemikiran, minat dan kebolehan kami sungguh berlainan sama sekali... (memanglah...).

Bila dibincangkan lanjut-lanjut... bertemulah senarai disebalik peribadi masing-masing. aku berpendapat bahawa perwatakan, gaya hidup, cara berfikir dan perasaan, adalah juga disebabkan pengaruh persekitaran kita, sedari mula kita melihat langit dan matahari, dahan dan dedaunan, cahaya dan bulan. Dia bersetuju. Keyakinan yang tinggi dalam dirinya mungkin kerana sedari kecil lagi ibunya sentiasa berpesan dan mengingatkan bahawa dia adalah yang terbaik. Dianugerahkan pula minda yang gemerlapan, maka dia jadi tidak perlu mencari kawan... kawan akan datang sendiri mencari dia, dan dalam masa yang sama dia tidak merasakan pentingnya untuk punya sahabat.

Sedangkan aku pula disebaliknya. Aku tidak suka jika tidak boleh berada dalam mana-mana kumpulan yang aku mahu, aku tidak suka tesisih, aku tidak suka orang berpaling dariku, sedang aku cuba tersenyum memaut silaturahim. Aku tidak suka... tapi itulah adanya sebermula alam persekolahan hinggalah lencana remaja kutanggalkan. (Erk... aku tak tanggalkan lagi rupanya... kemas betul sisipannya!! kekekee....) Kerana tidak suka semua itu secara tidak langsung peribadiku telah 'develope' satu enzim persahabatan atas dasar kasih sayang dan keikhlasan. Aku jadi selalu merendah diri, takut dan kurang keyakinan... kerana selalu saja dipupukkan kekurangan dan larangan. Ia tidak jadi beban padaku waktu itu, kerana telinga sudah lali, tetapi kesannya tertinggal.... dan terus menjadi peribadi.

Kata teman serumah, aku terlalu peka dan detail... semua aku fikirkan. Betul juga katanya itu.... tapi itulah aku. Yah pun selalu sangat berpesan... janganlah berfikir banyak sangat, jangan fikir lebih-lebih. Aku fikir ke? Entah lah... tidak pula sakit kepala atau pening-pening... maknanya aku tak fikirlah tu...hehehe... Tanya teman serumah lagi, tak sesak otak ke, fikirkan perihal kawan-kawan dan masalah mereka... macam 'insuficient disk space'!

Aku pandang syiling, kipas separa usang yang berpusing perlahan sudah mula meniupkan angin dingin, memberitahu barangkali waktu sudah lama merangkak pagi. Aku ingat-ingatkan juga jika ada ketikanya aku jadi merana kerana masalah yang tidak ada kena mengena dengan aku... hmmm... tidak ada! Cumanya aku jadi gembira jika dapat membantu dan meringankan beban mereka, atau setidak-tidaknya mereka boleh lena di sebelah malamnya.

Panjang lebar bual hingga melepasi jam 3pagi. Bila dia masuk tidur, aku bermain dengan Tuah pula. Selongkar fail-fail lama, tiba-tiba terjumpa pula e-book Tok Rimau yang aku muaturun sedikit masa lalu. Aku baca semula, masih gelak seperti pertama kali membacanya juga... yang akhirnya bila kusedar waktu sudahpun melepasi 5pagi. Mengenangkan nanti ingin pergi kerja, cepat-cepat aku mengutip tidur walaupun sejam lagi aku bakal bangun semula. Hehehe....

Alhamdulillah... tidak mengantuk di pejabat hari ini. Menjelang pukul 10pagi, Puan Bos Beshar sudah panggil, dia minta aku datang kerumahya. Dan aku di sana sehingga lebih kurang jam 10mlm, kemudian dia hantar aku balik. Syukur juga kerja di rumah Puan siap... esok dia minta aku datang terus kerumahnya, untuk sebarang penambahan atau pengubahan.

Erk aku sudah terangguk-angguk di depan Tuah ni, lebih baik aku tidur dulu...sebelum... tiba-tiba 7pagi kekekkek!


21 Mei 2003
:: Raden Adjeng?

It sound very Jawa lah....

It comes with a reason...

Aku nak satu nama yang menggambarkan sifat perkasa... Tun Fatima seperti kurang 'macho' untuk dia yang agak 'brutal'...

Konsep mesti Melayu Lama, aku tidak mahu lari dari itu...

She is...

Hmmmm...

Tell me about her...

Seorang Puteri Majapahit, ranum dibedung kelus cinta Hang Tuah, sewaktu kunjungannya ke Tanah Majapahit. Sarat diasak rindu, Raden menjejak kasihnya, bermukim di rimba Ledang... menanti panggilan kasih bakal menyatu dua rasa... epic PGL... why not...

I take it.... yesss.... memang sesuai... confirm!

||:.

Lalu aku namakannya Raden Adjeng, mesra saja Raden. Padan... padan...! Mentelah, Tuah telah lama menanti... senyum Tuah abadi dalam kerdipan mata Raden, di petang kubawa pertemuan antara duanya...

Masih banyak yang perlu kugeledah perihal operasi Raden... untuk penggunaan maksimum. Malangnya semenjak hadirnya dua hari lalu, masa jadi terlalu pantas dan pautan tugas tidak terlerai. Moga Tuhan kurniakan kelapangkan bagiku.

Selamat datang Raden, ke rimba Hamba. Dan terima kasih sahabat, kerana sudi beri pendapat bersama alasan-alasannya sekali!

[ beroleh satu lagi idaman, seperti tidak percaya, seperti yang selalu kuceritakan... aku sering tidak peroleh apa yang kuinginkan, tapi Bonda beriya mimpiku dikotakan... terima kasih Bonda kerana selalu mengerti... selepas ini aku harus duduk diam-diam, Mei seperti bulan membeli sehingga ke helaian duit yang terakhir... aku harus giat mengumpul semula, akan datang manalah tahu punya keperluan yang wajib dan tak mampu ditolak-tolak... Syukur Tuhan, kurniakan aku gembira menutup lubuk duka, hingga aku tidak nampak pintunya lagi ]

||:.

Tengah hari semalam, terima panggilan dari Huzalina (teman sekolah rendah), sangkaku dari Kerteh, rupanya dia ada di sini... aturan mesyuarat organisasinya. Selepas waktu kerja kami bertemu di bawah. Baru sahaja rasanya kami bertemu, ahh... bertemu sahabat hari-hari pun bisa!

Ke Rain Nudle, dan pintanya agar aku sudi temankan dia di Mandarin Oriental. Sehelai sepinggang aku ke pejabat... aturan esok harus bagaimana? Dia pun ditugaskan menghadiri mesyuarat di sini di saat-saat akhir, kerana itu dia tidak sempat memberitahuku awal-awal lagi.

Masih ada live performance bersama Jari dan rakan-rakan, maka seketika kami di situ sebelum menemani dia ke bilik penginapan. Bersembang panjang, dia sudi mendengar tentang tulisanku yang mengisahkan satu kehidupan... hmmm... mungkin aku lebih bagus sebagai penglipurlara berbanding menulis!

Tanpa sedar waktu sudah mengutip agenda malam, jarum jam sudah mengetuk angka sepuluh. Ya aku harus pulang, walau dalam enggan yang dalam. Dia menghantarku hingga ke Stesyen LRT... tika mengucap salam berpisah bertambah buaknya rindu bergelora, dipanjangkanNya usia dapat kita menyusur memori lampau yang kita tinggalkan. Aku mahu dia tahu mengapa aku begini dan jika dia tidak keberatan aku juga bersedia memahami kenapa dia begitu. Kenangan semasa Darjah 6 tersenyum semula, mengingati guru yang kami sayangi... pulang sudah kerahmatullah... tergenang air mata. Tidak sempat pun membalas jasanya. Dan di Darjah 6 ini juga persahabatan kami menjadi begitu akrab... sebabnya? Kami sama-sama sudah lupa!!! Hey... bukankah kita sudah menginjak masa, kenangan itu bakal menyambut jubli peraknya tidak lama lagi?

Oh... tanpa sedar, waktu sudah hampir 4pagi. Bisa celik 2jam lagi? Hehehe... esok bos besar mahu tiba, layout sudah 5 kusiapkan... jika sumbang di matanya, kabinet baru pun perlu rombakan. Bakal bertambah pautan tugas? Resamlah adanya, adat bekerja!!!


20 Mei 2003
:: di balik cermin mimpi...

di balik cermin mimpi
aku melihat engkau
di dalam engkau
aku melihat aku
ternyata kita adalah sama
di arena mimpi yang penuh bermakna...

16 Mei, selesai waktu kerja bersama teman-teman yang sudah merekat janji, kita ke Astro. Bertemu Yan buat pertama kalinya di Hentian LRT Bangsar. Seorang yang mudah mesra dan senang didekati. Dia mengajakku ke Astro hari itu untuk rakaman Dari Studio 1 bersama Sifu. Aku tidak menolak sama sekali. Kali terakhir hadir ke persembahan live Sifu, adalah semasa di Hotel Singgahsana, Sept tahun lalu. Terima kasih untuk Nana kerana sudi bawa kami semua kesana. Begitu juga Laili dan Ifa... terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama.

Diceritakan kononnya, rakaman akan bermula sekitar pukul 8 - 8.30 malam. Apa yang berlaku, ia ditunda ke pukul 10 lebih. Ramai sungguh ahli Kelab Sahabat M Nasir yang hadir.... putih saja melihat ke kiri- ke kanan. Semestinya seronok berkumpul dengan mereka-mereka yang punya kegemaran yang sama dengan kita. Kiranya ini kali pertama bertemu mereka, ramah-ramah belaka. Ya, mungkin di masa akan datang aku juga bakal menyertai mereka...

Sekitar pukul 9mlm, seorang petugas menghampiri kami dan menawarkan jika kami ingin menyaksikan rakaman Siti Nurhaliza. Kehadiran peminat-kipas-susah-mati Siti tak ramai, kena pinjam Sifu nyer fans... kekekke... Mulanya malas juga, tapi memandangkan kami sudah agak bosan menunggu dan dari tidak berbuat apa-apa, kenapa tidak?

Kali kedua melihat Siti dari jarak dekat, pertama di tahun 1998. Banyak perbezaan dari segi penampilannya. Aku tengok dari jauh sahaja. Malas berebut memanjangkan leher, tengok tv di satu sudut studio lebih mudah. (Maaf jika anda peminat-kipas-susah-mati Siti, saya agak 'kureng' sket ngan Siti ni... btw, I do love some of her songs... Dan aku terpaksa mengambil gambar ini tanpa flash semasa rakaman. Lepas aku kibas-kibas sikit nampaklah Siti yang cun tu... hehehe... (ada orang dah nangis smalam, menyesal tak ikut... cian dia...) Dan Siti juga berduet dengan Hazami untuk lagu Sonata Musim Salju... best!

Akhirnya, setelah penat menanti... tiba juga giliran Sifu. Hilang semua penat menunggu hampir 4 jam itu! Pertama kali bersalaman dengannya. Pertama kali juga melihat dia sedekat itu. Sifu kelakar malam itu. Dulu sebelum menyaksikan beliau secara terus, aku selalu bayangkan dia seorang yang serius dan susah tersenyum... sebenarnya dia agak ramah dah kelakar juga.

Persembahan yang hebat, dan tambah meriah bila penonton turut sama menyanyi. Kalau aku jadi M Nasir, pastinya aku juga terharu dengan penghargaan dan sambutan peminat sedemikian rupa. Aku tidak berada di kalangan Kelab Sahabat sebelum ini, kulihat mereka sungguh akrab, mungkin seperti juga persahabatan yang kita kongsikan dan Sifu juga mengenali mereka.

Mungkin kalian pernah lihat beberapa peminat lelaki meniru gaya rambut, janggut dan misai Sifu... heh heh... nak tergelak pun ada juga, sampai begitu sekali mereka, tapi ada seorang tu... jangan silap pandang, dia benar-benar sudah seiras Sifu, malah suaranya juga. Sifu sempat berpesan lagi kepada mamat tu (mereka mengenali satu sama lain), "Kalau nak ikut, ikut betul-betul, buat elok-elok...". Interpretasi...? Ikut sendiri faham, Kita boleh fikirkan apa saja. Mungkin dia tidak mahu imej dia tercemar, mungkin dia mahu mamat tu berjaya macam dia juga, mungkin dia menyarankan kesungguhan... apa-apa pun sama juga dengan lagu-lagunya yang umum dan membiarkan pendengar menafsir sendiri. Aku tidak pernah anggap lagu cinta Sifu bermaksud cinta... ia punya maksud yang lain... mungkin satu... dua... atau lebih dari itu.

Mungkin di telingaku, musik yang mengiringi agak kurang bersesuaian, aku lebih suka jika mendengar alunan seruling Mohar... kelepak gendang Romli dan Ramli... tapi secara keseluruhannya... ia tetap menghiburkan.

Rakaman tamat sekitar jam 12tgh mlm, tapi Sifu masih ingin mendendangkan beberapa buah lagu untuk peminat-peminatnya... selamba sahaja bicaranya kepada Julia, stage manager malam itu... "Aku bukan apa... diorang ni tak nak balik lagi ni..." Heh heh... sah sah dia yang nak menyanyi lagi, kata kita tak nak balik pula. Apa pun aku faham sebenarnya.... dia juga menghargai kehadiran kami semua. Sehabis lagu Kepadamu Kekasih... kami beransur pulang. Laili dan Ifa, aku kidnap saja bawa balik rumah, dah lewat sangat. Esoknya awal pagi mereka pulang dan aku terus tersenyum menuju kampung... rindu Bonda!


16 Mei 2003
:: Selamat Hari Guru... dedikasi untuk semua bekas guruku

Guru adalah asas jejak-jejak yang kulalui. Terlalu banyak kenangan bersama guru-guru dan pendidik sepanjang zaman persekolahan dan pembelajaran. Sewaktu sekolah rendah di kampung antara guru-guru yang masih aku ingati termasuklah, Allahyarham Cikgu Mohd Noor bin Tadin (Guru Besar), Allahyarham Cikgu Abdul Kudus bin Adam, Allahyarhamah Cikgu Hjh Siti Hawa bte Adam (adik kepada Cikgu Kudus), Cikgu Hjh Tengku Zainon Tengku Maamor (sebermula alam persekolahanku, beliaulah gurunya, punya tulisan yang cantik sekali... kita belajar a... b... c...), Ustazah Hasnah, Cikgu Maimon Harun (guru bahasa inggeris yang garang, dia selalu piat perut aku... sebab beri dia jawapan bodoh), Cikgu Fatimah (guru Bahasa Inggeris yang BEST!), Cikgu Hj Alias Abu (guru musik yang selalu masuk tv dan menang pertandingan mengubah lagu kanak-kanak), Cikgu Mokhtar Yusuf (pernah mengajar matematik semasa aku di darjah 4... selain dari AK Misai Berus, beliaulah satu-satunya guru yang menabur minat untukku belajar matematik), ada beberapa guru lagi yang tidak terlintas di minda ketika ini... tetapi semua mereka berjasa besar di dalam pendidikan awalku.

Melangkah ke menengah rendah, aku mula agak kurang rapat dengan guru, di Convent Seremban, murid-murid agak ramai justeru ada di antara guru yang susah mengingati nama kami. Aku masih simpan gambar guru-guru. Menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran yang sungguh berbeza dari sekolah di kampung buat aku terpingga-pingga seketika. Kebanyakkan masa guru menuturkan bahasa inggeris, kecuali matapelajaran Ugama Islam dan Bahasa Malaysia. Di sini aku mula mengenali dan rapat dengan Citah. Kami satu kelas dan satu asrama. Siapa guru kelas kita Citah... hah.. lembab bateri aku hari ni! Ada Miss Joyce dan Mrs Endroff mengajar kita SRT, jahitan (aku tak suka betul) dan masakan (aku suka giler). Cikgu Bahasa Inggeris... kalau tak silap Mr. Lee...dia selalu ajarkan lagu-lagu oldies... supaya senang pandai... aku nyanyi saja, pandai tu belakang cerita... heh heh... Mrs. Lee pun pernah mengajar Bahasa Inggeris.. hari-hari dia pakai cheongsam... dia garang, guru disiplin katakan. Maths kalau tak silap Cikgu Normah masa form two, masa form one Cikgu Adnan (sebab dia laaa aku tak suka maths dan jadi bengap... alasan!) Ustazah garang tu kalau tak silap Ustazah Hashimah ke nama dia... entah kenapa kenangan form one dan form two agak kabur. Bahasa Malaysia diajar oleh Puan Fatimah.... dia memang bagus.... four thumbs-up for her.

Kemudian, form three, maths... semestinya AK Misai Berus. Best sungguh dia mengajar, kerana dia aku lulus maths masa SRP (masa tu SRP lagi... bila? Alaa... masa tahun gajah dulu), Bahasa Inggeris cikgu India tu nama dia dah selamat lupa, tapi dia memang bagus walaupun agak garang (dah aku memang kaki memekak dalam kelas). Cikgu Sarip mengajar Bahasa Malaysia.... ini yang paling best, semua student suka cara pengajaran dia, dia juga yang mengajar sejarah.... heh aku selalu tidur. Aku paling suka Geografi, tak kira siapa pun mengajar... aku memang suka, Pn Adlan Norliza. Masa dulu orang panggil Perdagangan dan Kunci Kira-kira... belajar debit kredit... ni memang bala kat aku, Mrs Ong yang ajar, dia naik kereta wolksvagen warna oren. Entahlah ... bab-bab mengira dan nombor-nombor ni apa pun jua halanya aku memang lembab, susah betul otak aku nak terima. Walau macam mana pun, SRP aku selamat, dan mimpi-mimpi ingin kan aliran sains menjadi jugak.

Form four? Aku lah samseng... tak lah... aku kan budak baik. Fizik - Mr Vincent Lee, aku selalu tidur dalam fizik lab, mana tak keadaan bentuk muka buminya memang sesuai sungguh untuk tidur... langsir hitam. Mr. Vincent ni dipanggil juga dengan nama Mejar Vincent Lee, sebab-musabab aku tak tahu. Biologi - Mrs Chia & Mrs Pok. Lagi lah aku tidur, dia akan ada kat depan sambil baca teks, aku yang duduk belakang sekali... apa lagi tidur lah. Heh heh heh.... kemudian Kimia - Mrs. Seow, dia memang bengang dengan aku, sebab aku laa pelajar yang paling bengap dalam kelas dia... nasib baik SPM tak fail. BM - Puan Hasnah yang ajar, best superb.... dia memang drill kami dengan Dewan Siswa, puisi dan prosa, terima kasih berjuta-juta atas usahanya aku dapat keputusan cemerlang BM. Maths dan Add Maths, Mrs. ... apa ya nama dia... nanti aku call Hasnah tanya dia. Aku sudah ingat nama dia Mrs. Lui! Dia memang bengang dengan manusia macam aku ni... yang tersangatlah bengapnya maths kan.... so satu hari dia kata kat kelas... "Semakin banyak kamu belajar... semakin bodoh kamu..." hehheheh...aku gelak keras-keras perut. Aku suka tengok dia sebab kulit dia cantik, dan pipi dia blush naturally.... Dan yang paling aku tak lupa Mrs. Lee guru BI... BI ni serius aku cakap, memang tak pernah belajar betul-betul... tapi insyaAllah result tak teruk. Mrs. Loh ni suka menyanyi.... dia berkebolehan menyanyi (mungkin juga dia perasan suaa dia sedap...kekkeke), so tiap kali kelas kita akan terpegun dengar dia nyanyi. Sometimes dia cetakkan lirik lagi untuk kami. Paling aku ingat lagu 'End og the world'. Aku rasa guru BI memang tidak perlu mengajar BI sangat... sebab semua non-muslim terer-terer BI. Aku....? Hantam sajalah.

Untuk semua guru yang telah membimbingku, terima kasih tidak terhingga... tanpa kalian aku tidak akan di sini, hari ini. Untuk guru-guruku di IPT... terima kasih juga, mungkin di lain kesempatan, aku beroleh masa untuk menulis satu dedikasi buat mereka.

[Aku paling suka dengar Cikgu Sarip baca sajak masa hari guru... lagi bila mereka nyanyi lagu guru...kami guru Malaysia, berkhidmat dan berjanji.... memang mereka lah yang menerangi perjalanan hidup kami... aku benar-benar terhutang budi... Citah, Jedah, jom kita cari cikgu-cikgu kita]

[Dan untuk kawan-kawan yang sudah menjadi guru... Ida, Hasnah, Kak Ju, Janifah, Aniza.... dan pensyarah... Yah... teruslah mendidik anak bangsa...]

 


15 Mei 2003
:: lagi???

Lepas solat Subuh, kami terlena kembali, mungkin penat seharian berjalan semalamnya. Terbangun bila Nana sudah berkemas-kemas di dapur dan membasuh baju. Terkejut bulat mataku...

Kulihat Nana sudah siap, seperti mahu keluar. Bila kutanya dia pun tak pasti lagi. Akhirnya wujudlah agenda last minute, kita akan keluar.... lagi?? Erk... semalam kata nak duduk rumah sahaja?

Mulanya ingin ke Mid Valley... senang nak hantar Citah balik lagipun. Tiba-tiba di tengah jalan, ubah destinasi dan kami ke One Utama. Hari ini Nana pula yang cari baju. Tapi peliknya aku dan Citah tetap sibuk-sibuk mencuba baju itu dan ini. Hehehhe... akhirnya ku terbeli lagi... nasib satu saja... Citah pun 'terbeli' lagi... hehehe... apa nak jadi daaa...?

Hampir petang baru kita berhenti melihat-lihat, sempat juga pusing Ikea, sudah ada yang aku idamkan.... lagi??? Masa lain lah... sekarang sudah kering....

Survey jalan ke Astro, boleh ke aku hafal ni??? Harapnya lah... Kemudian hantar Citah balik. Sempat juga ambil bunga di laman terbiar Citah... kekkekeke... sudah sempurna pun dalam tiga pasu di balkoni. Semakin meriah pasu-pasu bunga... Citah jeleskan bunga keladi aku... heh heh heh... Citah ternak orkid... kalau dah cantik nanti aku nak mintak sedekah sikit dari dia.

Esok kerja, petang ke Astro.... wow wee.... bakal berjumpa Yan, seorang lagi sahabat siber. Semoga semuanya seperti yang kita angankan.


14 Mei 2003
:: Bila cuti dan rindu bertamu...

Cuti lagi... hari ini (Maulidur Rasul) dan esok (Hari Wesak). Citah menunggu di Stesyen Sentral, dan kita berkeretapi ke Shah Alam, sepanjang jalan cerita kita tak pernah reda dan tawa kita sahaja adanya. Sehingga terlepas hentian Shah Alam.... hehehe... lagilah haru biru gelak kita. Jedah yang tunggu sudah lama, mengalah dan pulang sahaja. Aku dan Citah sengih-sengih menahan teksi. Selamat juga tiba di kediaman Jedah.

Janji Jedah sudah lama, ingin sajikan masakan kampung. Aku sudah lama tidak masak-masak dan panggil mereka makan. Menu Jedah sungguh enak... masak lemak cili api rebung masam dengan udang segar, ikan goreng rock, sayur campur rumba, dan ikan masin goreng yang baunya menakluk seluruh Seksyen 8 hingga ke Bukit Cerakah seluruhnya... hahaha... waima sekali lalat terhidu boleh mabuk dan pengsan terus koma. Tak pircaya ka....?

Sewaktu menikmati hidangan tengahari... kami bertiga teringat sahabat-sahabat MGH88 yang lain... secara ringkas merangka kembali kenduri doa selamat buat Zam yang ingin kami lunaskan. Sekitar bulan Jun barangkali bila Jedah selesai dengan peperiksaannya. Banyak juga janji manis Jedah sekitar bulan Jun itu... jangan sampai tidak terkota sudahlah... ya Jedah ya....

Bosan juga bila tiada siaran tiwi yang menarik minat kami, sudah mula tercetus idea untuk keluar. Aku sudah lama tidak ke Kompleks PKNS, tempat lepak sepanjang aku berada di Shah Alam. Aku tidak jumpa dengan bunga artifak yang kucari. Lalu langkah kami mudah sahaja melanjut ke Alam Sentral. Dan kami mabuk kain di Nagoya. Seluruh kedai rasa ana yang punya... ayuh kawan pilih mana suka... ana belanja... kalian bayar... hehhehe...

Solat Asar di Kompleks PKNS, tiada perubahan langsung rupanya, seperti dulu juga, tempat wuduk masih tidak selesa, kurang diberikan perhatian dan kadar kebersihan agak kurang memuaskan. Kerana masih tidak bertemu apa yang dicari... sehampir 6.30ptg, kami menuju KLCC. Hah...! Sudah lama tidak buat kerja gila, hari ini kita buat semula. Erk ... ada yang sudah sakit kaki? Heh... aku belum lagi.

Terasa indahnya bersolat Maghrib di Masjid Asy-Syakirin.
"Nanti... bulan puasa yang akan datang, kita Tarawih di sini nak Citah?"
"Boleh..."
"Lepas tu, aku tidur je rumah kau..."
"Boleh... boleh... elok tu... "
Semoga hasrat kita akan termakhbul...

Corong suara sudah war-warkan gedung akan ditutup. Ketawa kita bertiga.
"Dia halau kita ke?" soal Citah, lagilah Jedah jenuh ketawa.

Aku masih leka membelek 'bakal Tun Fatima' ... tawaran yang sungguh menarik, banyak sungguh percuma-percumanya... kalau terlepas yang ini, di masa lain mungkin tidak sehebat tawaran kali ini. Harus bagaimana ya, mak kurang setuju dengan anganku ini. Hah.... kalau ikut hati... dari punya yang lebih kurang, lebih baik beli yang benar-benar memuaskan hati. Tawaran sehingga Isnin ini... menjelang itu aku akan pujuk mak, mana tahu kalau-kalau akhirnya dia setuju. Mungkin kalian fikirkan, kenapa hingga sedewasa ini aku masih perlu mak untuk buat keputusan. Entah... tapi yang aku tahu, jika mak tak izinkan, apa-apa sekali pun pasti aku keberatan untuk melakukannya. Kononnya aku akan rasa seperti tidak diberkati. Sebenarnya betul juga pandangan mak... aku baru sahaja bawa Tuah pulang ke rumah, jika ingin bawa Tun Fatima pula.... kan ke boleh kering saki baki yang sedikit itu. Harus bagaimana ya? Nanti aku fikirkan lagi.

Sedang leka berbincang bertiga, dengan dibantu oleh jurujual yang peramah, tiba-tiba aku lihat kelibat kakak sepejabat dengan suaminya, juga sedang membelek maksud yang sama. Aku lambai-lambai tapi mereka tidak nampak aku yang semeter sahaja dari mereka. Akhirnya diam-diam aku pergi belakang kakak dan beri salam. Terkejut juga dia melihat aku. Sudah lama dia ingin kenal dengan Jedah, ini peluangnya. Aku panggil sahaja Jedah dan perkenalkanpada kakak. Rupanya kakak sedang tolong surveykan Tun Fatima untuk aku. Heh heh heh.... terharu sungguh.

Ya... sudah lewat... yang berjual juga sudah mula mengemas barang jualan. Kami pun melangkah pulang. Meriah pula di tempat letak kereta, ada penjaja berniaga makanan, aku beli mangga, jambu batu dan tembikai susu. Jedah sudah kemaruk kacang rebus... Dalam kereta kita habiskan semuanya.... hehehe... patutlah... kami tidak makan malam rupanya. Thee he he... lupa.... lupa....

Sampai di rumahku, mereka berdua sempat membeli sebungkus kuetiau panas. Kami kongsi bertiga, sedap... rebut-rebut tiga orang... Kemudian melihat-lihat semula hasil Shah Alam ke KLCC... kita sama-sama cuba baju... pusing-pusing pakai sari... semua puas hati.

Jedah pulang juga malam itu, Citah tidur di rumahku, tambahan semua teman serumahnya tidak ada. Esok aku sudah cakap awal-awal dengan Citah, aku ingin duduk rumah sahaja sepanjang hari. Dan Citah pula beriya-iya ingin pulang awal-awal pagi.


13 Mei 2003
:: Bila tali perut tersimpul...

Benar, tali perutku tersimpul. Semua gara-gara seorang budak busyuk! Tidak pernah meneka selucu itu kerenahnya. Mungkin gelaran 'Badut' juga agak sesuai. Hmmm... rasanya tidak, kerana wajahnya tidak dilukis dengan tompok-tompok celaru. Dan aku masih berkira-kira seandai mahu memaafkan usikkannya yang telah melonggarkan beberapa skru lutut dan kakiku.... (semestinya, mentelah ia bukan kesalahan... sekadar mesra kata dan usikkan sahaja, dan... mereka juga punya workshop pakar mengetatkan skru-skru longgar dan tercicir ).

Minta maaf jika keterlaluan menulis begitu, bukan mengguris rasa maksudku, sebenarnya aku gembira. Gembira bertemu dengan 7 sahabat siber yang sungguh-sungguh istimewa sekali. Walaupun ini kali pertama bersua muka, serasa telah lama sekali mengenali kalian. Jika berkesempatan, mungkin nanti aku bisa bertemu kalian yang lain pula.

Oleh kerana mereka yang diabadikan di sini terdiri dari para jelitawan dan hensemwan, maka secara automatik  imej mereka telah menyilau dan seterusnya mengeluarkan output sedemikian rupa... :D

Kesempatan ini sebenarnya meraikan Nettbiru yang menyambut hari kelahirannya. Selamat Hari Jadi Nett... semoga segala yang terindah milikmu selamanya. Maaf juga kerana sebelum ini aku gagal menghadirkan diri pada tanggal 5 Mei, di acara meraikan ulang tahun Insyirah dan Mie.

Sekelip mata sahaja rasanya, waktu telah pun melewati jam 10pm lebih. Oleh kerana pesawat leluncurku akan tamat waktunya pada jam 11pm, maka aku harus bergerak pulang. Sepanjang jalan pulang, senyum belum lekang, indahnya satu pertemuan, usahlah diragut pergi hendaknya... biarlah ia beku dalam masa, abadi dalam kenangan sehingga waktu yang lain sudi menemukan aku dan kalian semula.

Indah sekali masa yang kita kongsikan bersama, terima kasih kalian kerana begitu baik terhadap Elaira. Tidak terbalas rasanya segala kebaikan yang kalian taburkan.

Sahabat,
dalam rona waktu yang menyesakkan
kita masih sempat ketemu
menguja jiwa dan nurani
menghulur setulus ikatan persahabatan
tidak terungkap gembira yang bertakhta
kusimpan mekar dalam kenangan.

Jenaka dan tawa engkau sogokkan
menghilang resah dan pilu berzaman
menghiaskan cahaya terang gemilang
memimpin daku yang sering tak keruan
ditimba sangsi dan rasa bosan
melangkah jalanan penuh dugaan.

Andai esok langkah kita bercabang
sudi dan hulurkanlah salam
tanda kalian masih simpan kenangan
yang pernah menyinari hati seorang aku
yang pernah menolak pergi mega-mega kelabu
dari singgahsana yang berhujan berdebu.

[ Terima kasih sahabat-sahabat Jurnal.... gerbang realiti damai yang kalian suakan, telah menitip sejuta harapan, pada esok yang sering membekukan. ]


12 Mei 2003
:: Kasih Bonda...

sebentuk kasih putih
dari genggamanmu terlontar ke sanubariku
memanaskan resah dingin
yang angkuh ditebar embun malam

sejalur sinar kasih
tumpat terpahat ke hatiku yang dalam
meneguh langkah goyah
memimpin ku berlari
menyediakan aku untuk masa depan
tanpa abah yang sudah pergi

beruntaian air mata ibu
tidak tiris dari tapak tangan ini
susah senang hanya kita yang tahu
betapa dugaan menguji kasih dan pengorbananmu
dalam kabus kita merintis
jalan hadapan yang tidak diberitakan
ada lopak aku tersadung
tanganmu jua menggapai pantas
menyelamatkan aku dari terkapar lemas

di ribamu ibu
aku mengutip diri menjadi aku
dengan semangat kau pupuk di ubun-ubun ku
aku kembali menjadi aku
telah kupatri janji jauh ke dalam jiwa
hidup berbakti mengasihimu
persembahkan ingin dan pintamu
selagi kudrat tersandang dibahu

dari hangat telaga kasihmu
yang tidak pernah layu
kutangguk kekuatanmu ibu
buat bekal perjalanan beraneka corak

setiap cebis pesananmu
aku kenang dan ingat selalu
agar sentiasa sedar
bumi mana kupijak
sungai mana kuredah
Tuhan mana kusembah

untuk kasih sayang ibuku
semurni tulus kasih Siti Mariam
sesuci sekudus syurga
selembut bayu desa yang halus
sehangat mentari memesrai bumi
sedingin hujan menyirami bumi
kujunjung utuh serata langkahku
kerana kasihmu aku bernyawa
bernafas dalam ceria
kasih sayangku teruntuk buatmu ibu selamanya...

[ istimewa untuk bondaku Siti Mariam... semoga sejahtera dan dilimpahi rahmat Tuhan sepanjang hidupmu, Selamat Hari Ibu! Salam kasih tak terhingga atas jasa-jasamu membesar dan mendidikku, atas segala tunjuk ajar yang tidak pernah putus sehingga hari ini, terima kasih ibu untuk kasih tulusmu sesuci syurga. Mak, saya sayang makkkk... forever!!! 110503 ]


9 Mei 2003
:: Ribut kacang hijau di Kuching...

mari dengar satu cerita
selahir bayi terus berkata-kata
gejala SARS jadi sebutannya
beri pesanan juga petua

kacang hijau di rebus seketika
sebelum pecah di ambil airnya
buat minum seisi keluarga
sebelum jam 12mlm katanya

gemparlah Kuching dengan berita
semua kedai laku kacangnya
beratur orang panjang berjela
bersedekah pula orang yang menyimpannya

benar atau tidak otak kuligat berbicara
banyak menafikan dari percaya
apakah ini dinamakan petanda
akhir zaman yang hampir tiba

terfikir juga manalah tahu
tokeh kacang punya angkara
hendak dijual kacang yang tak laku
buat menebus hutang berjuta

atau hanya iblis dan syaitan menjelma
merosak aqidah yang semakin luntur warna
dari wajah muslim seisi dunia
lalu menjelma sebagai bayi berkata-kata

ingin difikir dan dirungkai semua
kenapa dunia dilanda bencana
mengapa tidak semuapun boleh saja
jika Allah berkehendakkannya

virus ini umpama racun percuma
menuba manusia dari udara
sehingga kini belum ada penawarnya
muka ditekup sebagai menghalangnya

duhai teman dan seluruh umat manusia
jika nafsu menjadi raja
pelik-pelik pula makanan di meja
kamu sendiri yang memperjudikan nyawa

terfikir juga satu bahana
mungkin kajian sains menabur baktinya
kuman pembunuh untuk melindungi negara
malang tersasar dan terlepas dari balangnya

dunia ini Tuhan yang punya
jika sudah degil tak mengikut suruhannya
jangan ditanya mengapa Dia timpakan bala
itu peringatan sebelum tiba akhir masa.

||:.

Malam tadi, sehampir jam 10 malam, aku menerima panggilan dari kakak rakan sepejabat. Ibunya baru sahaja menalifon dari Kuching, Sarawak. Memberi khabar tentang kelahiran seorang bayi yang terus boleh berkata-kata. Menurut bayi itu, untuk mengelakkan dari dijangkiti kuman SARS, minumlah air rebusan kacang hijau sebelum tengah malam tadi. Kacang yang di rebus itu pula jangan sampai pecah bijinya.

Meremang bulu roma mendengar perkhabaran ini, jika benar Tuhan mengkehendaki perkara sebegini terjadi, tiada yang mustahil. Berapa kali aku beristighafar dan mengucap bila kakak bercerita satu persatu dalam panggilan yang ringkas itu.

Seorang bayi baru lahir... berkata-kata? Secara logiknya memanglah ditolak mentah oleh otakku. Tapi ... ya lah... kalau Tuhan mahukan ia terjadi begitu, maka akan terjadilah. Subhanallah...

Lama aku terduduk di sofa memikirkan perkhabaran itu, cucianku belum disidai. Terasa sungguh seluruh tubuh berdelar-delar remangnya. Bukannya apa, kerana fikirku sudah jauh dari sekadar kacang hijau. Jika bayi berkata-kata, dan yang dicadangkan ialah kacang hijau, maka terus-terus sahaja minda membincangkan kaitannya pula. Dulu, aku pernah mendengar orang tua-tua berkata, kacang hijau kesukaan 'hantu raya'... heh... mana aku tak seram. Nana yang sudah tidurpun aku gegar biliknya. Dia tidak kisah pun. Errrrkkkk.... hantar pula sms pada Citah. Lambatnya dia nak balas. Dalam hati berkata lagi, aku memang tak percaya perkara ini sehingga ada bukti kukuh. Percaya tak tentu hala cerita begini boleh jadi tahyul.

Akhirnya aku berjaya menidakkan sendiri. Dulu sewaktu minggu-minggu terawal serangan SARS di sekitar negara kita, aku memang benar-benar ambil kisah, aku rela menunggu 10 minit untuk lif yang kosong. Hah... kalau lif kosong pun... di takdirkan kuman itu ada... ia masih ada di situ sehingga aku menyedutnya. Semenjak seminggu dua yang lalu, aku jadi tidak begitu kisah. Entah... tiba-tiba saja naluri mengatakan, keadaan agak selamat. Penyakit itu sekadar penyebab sahaja, ajal kalau dah sampai, bagaimana sekali pun akan terjadi juga. Walaupun tidak begitu kisah, aku masih juga berjaga-jaga.

Berbagai bicara telah bermain diminda, dan semua jawapan yang dikeluarkan dari minda, membuat aku akur ianya terjadi. Bukan salah siapa. Semenjak tahun-tahun kebelakangan ini, seringkali aku dikejutkan oleh emel-emel yang dipanjangkan kepada aku. Imej-imej yang tidak ingin aku lihat tertera megah di situ, ada kalanya seperti hendak termuntah pun ada. Makanan mereka pelik-pelik... usahkan binatang yang di luar kebiasaan, manusia pun mereka hentam. Bayi-bayi dijadikan sajian. Memang manusia sudah gila, ingin mengulang sejarah lama barang kali.

Perbuatan memakan daging manusia itu bukan baru dalam dunia, zaman-zaman dahulu sewaktu manusia belum bertamadun kukira ia adalah biasa. Manusia karnibal ini tercerita dari seluruh pelusuk dunia, bukan hanya di tempat-tempat atau negeri tertentu sahaja. Ada antaranya kerana menunjukan kuasa, tidak kurang juga kerana kebuluran akhibat dari peperangan yang amat dahsyat, justeru mereka tidak ada pilihan lalu berbunuhan sesama sendiri dan yang kalah pasti menjadi mangsa santapan yang menang.

Oleh kerana kecenderungan yang 'mengada-ngada' maka selalu sahaja aku menerima berita dan gambar-gambar tentang tabiat yang berulang semula ini, kebanyakkan terjadi di negeri-negeri yang dipercayai mula-mula sekali menyebarkan virus pembunuh ini - Hong Kong, China, Vietnam dan beberapa negeri lagi. Cara hidup manusia juga sudah terlalu berbeza, kejahatan dan maksiat berleluasa, malah berlaku di tempat terbuka, tanpa segan silu atau rasa apa-apa, dan manusia yang melihat akan buat-buat buta. Mungkin ini juga suatu pembalasan Yang Esa. Menyelak kembali rentetan sejarah zaman dahulu kala, pasti terjumpa tentang pembalasan Allah kepada manusia yang tidak tahu dosa pahala.

Aku menghela nafas panjang-panjang, berdoa agar Tuhan berbelas kasihan, menjauhkan segala pancaroba dari mereka-mereka yang kusayang. Sesudah melepasi tengah malam, mata pun sudah kelat dikulum ngantuk yang dalam. Dengan izin Allah, dapat aku melihat lagi mentari pagi esok.

Syukur bernafas lagi hari ini, dan... di dada akhbar memaparkan berita permintaan terhadap kacang hijau yang begitu tinggi di Phnom Penh. Hah! Hampir saja berhamburan gelakku, mungkin kisah bayi dan kacang hijau itu mengambil inspirasi dari berita di Phnom Penh! Di sana harga kacang hijau mencanak berganda-ganda, dari 95 sen menjadi $9.50! Kalau aku tahu begini ceritanya, daripada kerja tak bergaji dulu, lebih baik aku tanam kacang hijau! Dan khabarnya lagi bayi yang lahir di Kuching itu, meninggal dunia selepas berkata-kata.... nampak sungguh bohongnya? Wallahualam....

[ Dan aku sudah bayangkan bandar Kuching kekontangan kacang hijau dan tokeh kacang hijau berseri-seri muka, dapat untung berlipat ganda?. ]


7 Mei 2003
:: Kehidupan, perjuangan... penyelesaian

Rupa-rupanya itulah sebab musabab lrt yang kutumpangi malam tadi tergendala. Segalanya terjawap di dalam akhbar hari ini. Seorang pemuda warga Indonesia berumur 24 tahun telah terbunuh dalam cubaan meragut talifon bimbit seorang wanita di Stesyen Universiti, apabila gagal untuk melarikan diri, maka dia telah melompat ke atas trek bervoltan tinggi. Di situlah berakhirnya kehidupan pemuda tadi.

"Sia-sia..." getus hatiku. lalu akupun terfikir tentang realiti kehidupan dan pengisiannya. Kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia tidaklah terlalu sukar hingga kita tidak mampu meneruskannya. Tidak perlu untuk jadi cerdik pandai untuk menjalani sebuah kehidupan, tidak juga perlu menjadi kaya raya, yang miskin jua ada cara dan ruangnya. Yang perlu perancangan dan berada di garisan yang betul. Jika perancangan kita itu tidak berjaya, kita berkebolehupayaan menerimanya dengan fikiran yang terbuka dan berusaha lagi.

Aku tertanya sendiri, mengapa sehingga begitu tindakkan pemuda itu? Satu usaha yang salah dan sungguh tidak berbaloi. Sememangnya itu adalah takdirnya, tetapi apa yang ingin aku tuliskan di sini ialah atas desakkan kehidupan yang bagaimana menjadikan dia seorang peragut? Kita sekadar mendengar kisah hidupnya berakhir, kehidupan yang dijalaninya bagaimana? Mungkin dia punya anak isteri yang sudah seminggu tidak menjamah makanan atau dia sendiri dibebani hutang piutang? Sekali imbas, mereka yang terlibat dengan jenayah, tidak kira dalam bentuk apa sekali pun, selalunya samada terdesak berkehendakkan wang ringgit atau kecintaan atas kekayaan melebihi segalanya.

Orang akan mencuri kerana dia tidak punya. Harus bagaimana sampai semua orang punya harta dan tidak sampai melakukan jenayah untuk sebuah kehidupan. Ada juga yang mengatakan ia sekadar memenuhi masa lapang? Bermacam sungguh perangai manusia ini.

Aku faham kerana apa kita mengeluarkan zakat dan sentiasa disarankan untuk bersedekah. Supaya golongan yang lagi satu tidak sampai tersepit kehidupannya justeru mengambil langkah yang salah dalam usaha memperjuangkan sebuah kehidupan. Kerana kesempitan yang terlalu, pantas sahaja menjadikan seseorang itu berfikiran pendek dan mengambil jalan mudah.

Sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan sebuah kehidupan yang tidak menghimpit segala ruang, masih lebar ruang untuk bergerak dan melunaskan penyelesaiannya. Cuma terkadang pantas sahaja keluh kesah dan merasakan nafas sudah dibentengi dinding berbatu. Yang tersepit klasifikasinya jiwa dan perasaan, berdolak-dalih dalam diri, dan menyesali, sedangkan hamparan tenang dan lapang sentiasa terbentang, kenapa harus memilih jalan yang kelam? Tuhan telah tunjukkan aku jalan terbentang... diriku, di lain masa, jangan pernah mengeluh lagi.

Hidup ini satu perjudian, pendapat setengah orang. Malangnya kedua-dua kebarangkalian adalah milik kita... samada kita kalah atau menang dan sering juga bertukar ganti. Lalu kehidupan bagaimana yang kita kira sebagai kalah? Kukatakan kekalahan itu apabila kita mensia-siakan nikmat Allah, tidak melihat rahmatNya, tidak redha dengan takdirNya, tidak meminta kepadaNya, dan berputus asa (banyak lagi musabab lain). Kita tidak dibiarkan di muka bumi ini tanpa panduan. Dan untuk memahami panduan ini manusia tidak perlu mengaji sehingga menara gading dan menyertai kursus-kursus professional yang harga penyertaan sahaja mencecah ribuan ringgit. Kita tidak terpaksa. Semuanya atas pilihan, mengikut kemampuan dan kesesuai setiap individu itu sendiri, asalkan ada kemahuan.

Sebenarnya.... alangkah longgarnya sebuah kehidupan. Semuapun mampu memenuhinya dengan cara dan tindakkan mereka sendiri. Cuma yang perlu ialah pengertian dan usaha untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna dari masa ke masa, dan dengan penuh rasa rendah diri menyedari hak Pencipta serta tuntutan sebagai seorang hamba kepada Pencipta. Mempersiakan kehidupan untuk sesuatu yang tidak pasti adalah satu kekalahan yang nyata.

Tidaklah pula kehidupan itu semudah ucapannya. Kita didatangkan kepayahan dalam berbagai bentuk sebagai dugaan dan ujian. Seperti juga markah untuk peperiksaan akhir. Jika kita beroleh jawapan dan penerangan yang sempurna, maka secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada pemarkahan yang tinggi. Kenapa perlu markah tinggi? Semestinya, melaluinya kita tahu prestasi kita, samada berjaya ataupun gagal. Sememangnya getir untuk mendapat markah tertinggi dan memuaskan hati, tetapi Tuhan sendiri telah menjanjikan ganjaran untuk setiap usaha... setelah berjaya, kita akan rasa lapang, dan tidak mustahil di satu masa kita akan lupa betapa peritnya perjalan untuk sampai ke tahap itu. Maha Kaya Tuhan semesta alam.

Tidak pula semua orang boleh memikirkan sedemikian rupa, justeru itulah, bagi mereka yang mampu berfikir demikian rupa agar membimbing golongan yang lagi satu supaya berjaya juga dalam kehidupan mereka. Kalaupun tidak secara harta benda, sekurang-kurangnya mengubah tahap pemikiran mereka ke ruang yang lebih luas lagi.

"Manusia perlu peluang." Menunggu peluang datang menggolek hampir mustahil, kerana itu Islam menyeru kepada keberusahaan dan kegigihan. Kepada rakan-rakan dan adik-adik yang menghadapi kesukaran serta rintangan dalam proses pembelajaran umpamanya, janganlah berkeluh kesah, betulkan niat kenapa perlu belajar dan corakkan pemikiran supaya menerima segala kesukaran itu (bukan hanya dalam pelajaran) dengan hati yang terbuka dan bermanis muka. Redha... yakni ikhlas menerimanya dan mencari penyelesaian sebijak mungkin. Dan jangan sesekali lupa 'membantu' khalifah-khalifah yang lain.

Kita sebenarnya tahu kelemahan-kelemahan sendiri dan melalui kekurangan itu, kita juga tahu bagaimana untuk mengatasinya (insyaAllah). Yang menjadikan kita buntu dan tertekan adalah kerana kita kerap kali memikirkan sekitar perihal permasalahan itu sahaja bukan memikirkan bagaimana penyelesaiannya. Jika kita fikirkan penyelesaiannya, InsyaAllah belum pun kita melaksanakan jalan-jalan penyelesaian, hati kita sudah rukun dan damai. Justeru hidup juga akan jadi lebih bermakna dan ceria.

Hargai sebuah kehidupan, kerana ia menentukan lulus atau gagalnya kita di dunia yang sementara ini, juga di akhirat yang kekal kelak. Wallahualam...

p/s:: Yah, I know you have opinions on this, don't just read.... say something! You too Citah and Nana...


6 Mei 2003
:: Irama dan wajah...

Bertemu Citah selepas waktu kerja. Lama sungguh tidak bersua, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Bukan tidak merancang, cuma semuanya tidak pernah menjadi dan terpaksa dibatalkan. Hari ini setelah berbual panjang di MSN, Citah terdorong untuk bertemu, aku sekadar menunggu di pejabat.

Mulanya dia minta aku temankan dia ke KK. Dia ditugaskan menjaga peperiksaan di sana dari 16 - 20hb. Aku memang tidak keberatan, mungkin inilah juga peluang ingin terbang dan melihat negeri orang, Citah kerja, aku boleh merewang-rewang. Tiba-tiba teringat pula lapangan terbang menjadi pintu masuk kuman pembunuh SARS. Kejut juga aku dan Citah. Tapi kami sepakat berpendapat, kalau dah rezeki kuman tu nak berumah dalam dada, di mana-mana pun akan terkena juga.

Citah masih pujuk, aku hampir setuju saja. Tiba-tiba teringat pula panggilan rakan sekolah rendah malam tadi, Rusdi... dia menjemput ke kenduri kahwinnya pada 18hb ini. Aku sudah keberatan, tambahan Yah sudah bersetuju untuk temankan aku pergi kenduri itu. Tapi kalau aku tak pergi pun.... ya... mungkin tak mengapa. Ini semua gara-gara ingin ke KK. Citah kembali lega...

Selang beberapa ketika, aku ingat satu lagi 'event' yang tak mungkin dapat aku elakkan. Hah... Citah... confirm aku tak pergi! Aku nak pergi Astro 16hb tu. Citah tak mungkin pergi sendiri. Dan aku tidak mungkin pula sanggup meninggalkan 'event' di Astro itu. Aku menarik diri. Di hujung petang Citah beritahu, dia telah membatalkan pemergiannya ke KK. Aku janji kita akan pergi di lain masa.

Hampir 6.30 petang aku sampai di tempat yang dijanjikan. Dia di celah-celah orang ramai. Ke Rain Nudle House mencari bahan penyenyap perut yang berbunyi-bunyi. Setelah itu misi merisik bakal Tun Fatima diteruskan.

Entah kenapa.... aku rasakan sedikit kepelikkannya, jurujual berbangsa Cina itu begitu ramah melayan semua pertanyaan kami. Dia menerangkan fungsi dan jenama yang agak bagus. Citah sudah jatuh hati dengan si biru. Aku... masih ingin merisik-risik lagi, sehingga aku benar-benar dapat membezakan antara satu dengan lain.

Kita ke kedai yang lagi satu. Bermain mata dengan bakal Tun Fatima dari luar kaca pamerannya, si biru pun ada jua di situ. Citah sudah menghasut supaya aku jadikan saja si biru Tun Fatima, bila tiba-tiba satu alunan yang cukup segar memesrai udara.

Hah! Live performance! Aku tarik Citah ke tingkat bawah. Lari-lari supaya sempat menyaksikan lagu 'I rather be a sparrow than a snail'. Citah yang memang tak suka live performance mengikut saja. Benar kali ini mereka buat persembahan lagi. Dua minggu dulu aku sempat menyaksikannya juga, malangnya peristiwa yang kurakam bersama mereka ditimpa musibah.

Begitu pun, aku masih punya sesuatu untuk dikongsi bersama kalian.

Dia memang berbakat dan sudah ternama. Kiranya mungkin boleh kutuliskan sebagai pengganti Dato' Ahmad Nawab. Seorang peniup seksafon, flute dan berbagai alat musik tiupan yang lain, yang aku sendiri tidak tahu namanya. Dia menggunakan nick Jari, menyumbangkan bakatnya untuk memeriahkan lagi pesada seni tanah air kita. Mengenali beliau sudah lama, menerusi kaca tv, majalah dan surat khabar. Persembahan secara langsung begini sudah tentu berlebih-lebih lagi enaknya. Sempat bertanyakan adiknya, yang juga seorang penyanyi, suaranya juga bagus sekali, terutama jika menyanyikan lagu-lagu keroncong dan asli. Setelah berumah tangga dia seakan menghilang terus, tapi menurut Jari dia masih menyanyi. Penyanyi yang aku maksudkan ialah Adila. Mungkin ramai yang sudah lupa. Aku sendiri sudah lupa tajuk lagunya yang popular satu masa dahulu.

Kalian mungkin akan tersengih-sengih melihat beliau berendam mengintip buaya, atau berlagak ala Pua Chu Kang dalam iklan-iklan TV3. Adibah Noor mengejutkan ramai penggemar seni suara tanah air sewaktu beliau muncul bersama Ning Baizura menyampaikan lagu 'Falling' dalam Anugerah Bintang Popular sedikit masa lalu. Adibah Noor punya persembahan vocal yang begitu mempersonakan. Dua minggu lalu aku terpanggil dari jauh bila mendengar lagu kegemaranku sepanjang masa 'Killing me softly'. Memang hebat bakatnya. Mereka mempersembahkan beberapa lagu, keseluruhannya berentak jazz. Terus terang aku memang tak suka jazz, tapi when it comes to live performance, aku compromise! Alunan lembut berupaya meredakan kepenatan seharian.

Aku sangka mereka agak pendiam terutama Jari, hah! nyata meleset sekali... mereka peramah tanya aku itu ini, dan sempat juga berjenaka. Minggu lalu mereka juga ada buat persembahan, tapi aku sudah terlalu penat berjalan seharian di KL. Hari ini Adibah tidak ada, sekadar Jari bermain flute, pemusik-pemusik lain termasuklah seorang pemain double bass, seorang pemain acoustic guitar dan seorang pemain violin. Tidak ada orang bermain piano hari ini. Pun begitu persembahan mereka tetap menghiburkan, dan dari telinga aku yang buta tona musik ini semuanya begitu sempurna sekali.

Bila persembahan tamat, kami kembali merisik bakal Tun Fatima. Ke kaca pameran semula dan akhirnya bertanya panjang lebar tentang peribadi mereka yang diperagakan di situ. Menarik sekali tawarannya, ahh... aku tidak mahu tergesa-gera membawa Tun Fatima pulang, biar aku timbang-timbangkan semuanya semula, nanti aku bawalah pulang. Berbaik hati mereka abadikan kegembiraan yang kami kongsikan berdua bersama... terima kasih tuan punya kedai... jika hatiku benar-benar terpaut nanti... aku datang lagi... masa itu nanti aku bawa duit hantarannya sekali... heh heh....

Mencuba Cinnabon dengan blueberry buat kali pertama, blueberry adalah kegilaan kami berdua... best! Dan menuju pulang dengan lrt. 'Kersheng' Citah dalam ubah suai yang terlalu, tak mungkin bersua seminggu ini, maka mari kubawa kau naik lrt. Seloroh berpanjangan, kita menekan-nekan perut ketawa, dan bila tiba-tiba selepas Pasar Seni, corong informasi melaungkan hentian seterusnya adalah Bangsar, erk... Citah sepatutnya turun di hentian Sentral.

Aku ketawakan Citah sungguh-sungguh. Kononnya dia telah terlangsung hentian. Bila tren berhenti... memang pun di Sentral. Aku sudah pelik, Citah sudah turun. Lagi bertambah pelik bila tren gostan menghala ke Pasar Seni semula. Erk?? Kenapa?? Di Pasar Seni aku pun turun.... aku mahu pulang, tak mahu lah jalan bertentangan. Sebentar kemudian pengumuman dibuat, aku terpaksa menaiki bas untuk meneruskan perjalanan. Mungkin tren rosak.

Gembira bersama Citah masih berbaki, jadinya aku tak sakit hati, sekadar senyum dan nyanyi-nyanyi dalam hati. Tren sampai dan kami kena menaikinya ke Sentral semula, di sana kami perlu mengambil bas. Sebaik terbuka sahaja pintu tren di Sentral, aku terus turun dan meluru ke bawah, sudah hampir setengah jam aku terkandas. Tiba di bawah pegawai jaga tiket tu kata, kami boleh menaiki tren itu semula kerana kerosakan sudah dibaiki. Arrrggghhhh.... kenapa tidak diberitahu awal-awal! Naik semula ke platform, pintu tren yang sedia ada pun tertutup pintunya, bermakna aku harus menanti tren berikutnya.

Ya... bulan ini bulan gembira sahaja.... nothing else matterrrrr..... Duduk di bangku alumunium sambil nyanyi "This old man, he played one, he played knick knack on my thumb, with...." hehehhe...tidak lah aku menyanyi macam Adibah Noor, sekadar humming the rhymes.

Thanks for the beautiful day, and a warm companion Citah. Lain kali kita buat lagi... Wah... berjela nampaknya entri hari ini... hmm... itu kena tanya Tuah... Tuah, kenapa entri hari ni berjela?


5 Mei 2003
:: Bersabarlah...

"Bersabar sekejap... insyaAllah, nanti dapatlah."

Itu adalah antara kata-kata mak, pesannya dari aku kecil lagi hingga ke hari ini, menuju maksud yang sama, jika aku inginkan sesuatu, perlu tunggu dan bersabar. Tunggu hingga cukup wang yang disimpan atau diuntukkan bagi tujuan tersebut.

Alhamdulillah, aku sudah cukup biasa menangguhkan keinginan. Jika tertunai bererti aku sangat beruntung, jika tidak, bermakna bukan rezeki aku untuk memilikinya. Arwah abah meniggal ketika aku masih kecil lagi, belum bersekolah, dan kakak serta abang pula belum bekerja. Menjadikan mak, ibu tunggal suri rumah sepenuh masa, terpaksa merencana dan mengatur segalanya untuk masa depan kami. Menurut mak, sebelum itu, semua urusan diselesaikan oleh arwah abah, dia tidak tahu menahu satu apa pun.

Aku masih kecil untuk tahu semua yang mak dan kakak cuba uruskan, tapi aku ingat perbincangan mereka. Kadang-kala airmata mak menitis, kakak pun begitu juga. Aku main terus dan buat-buat tak tahu.

Bila dapat sesuatu pun, seperti pensil warna yang panjang (selalunya mak akan beli yang pendek saja), aku berusaha untuk berhemat menggunakannya, kerana sebaik pensil warna tersebut dihulurkan ketanganku, mak akan berpesan...

"Guna elok-elok, jangan jatuhkan nanti habis isinya patah-patah, lain kali mak tak beli lagi."

Memang, sungguh berjimat aku menggunakan pensil warna itu, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, selepas sekolah pun ada lagi. Cuma kotaknya sahaja yang tinggal panjang, isinya sudah kontot-kontot. Mungkin tabiat, aku memang suka 'preserved' sesuatu... begitu juga dengan alat tulis dan lain-lainnya. Dan mak jarang sekali membuang barang-barangku begitu sahaja. Jadinya semua permainan dan kegemaran lain tetap ada tersimpan di almari buku.

Sehinggalah kehadiran anak-anak buah yang comel-comel itu. Aku telah mula menjumpai gerabak keretapi berwarna pink dibawah pokok kelapa, yang berwarna hijau di tepi tangga, yang biru dibawah rumah dan kepalanya sudah tercabut serombongnya. Dua tiga bulan selepas itu kelibat kereta api itu lenyap sama sekali. Begitu jua nasib kapalterbang merah, jeep tentera hijau, pistol pink dan hijau, set teh biru dan pink, kerusi meja biru... lenyap satu persatu. Kemudian apabila mereka pandai memegang pensil.... pensil warna kontot juga tidak ketinggalan jadi mangsa. Entah... aku sudah tidak kisah lagi... kemajuan kreativiti kanak-kanak sekarang jauh sungguh bezanya dengan kanak-kanak di zamanku. Heh heh... aku selalu lihat kereta mainan mereka hilang tayarnya. Mungkin dihantar ke workshop untuk 'dibaiki'. Mungkin juga kerana mereka mudah memperolehinya. Begitulah adanya, walaupun sukar mak akan cuba penuhi keperluan dan permintaanku.

Hari ini, apabila sudah bekerja sendiri, sudah menguruskan hal kewangan sendiri, aku bebas merencana apa yang ingin kubelanjakan. Pun begitu mak tidak pernah sunyi dari mengingatkan supaya tidak berbelanja berlebihan. Mungkin sememangnya takdir, walaupun sudah mempunyai pendapatan sendiri, masih ada kesukaran di sana-sini, lumrahlah tu. Dan jika ingin sesuatu pun... dalam hati aku masih mengulang kata-kata mak...

"Sabar, insyaAllah nanti dapatlah tu."

Dan kadang-kadang keinginan itu jadi seperti mimpi, sukar sungguh untuk menjadi realiti. :)

Semalam, salah satu dari mimpi bertahun lama terkota. Aku sepatutnya gembira melonjak-lonjak, tetapi aku jadi biasa sahaja. Mungkin sudah hampir muak menunggu, excitementnya sudah berkurangan. Pun begitu aku tetap gembira dan bersyukur sekali... kerana ia berjaya kumiliki. Alhamdulillah...

Selamat datang ke duniaku... Black Velvet Arques a.k.a Tuah....! Kau benar-benar merona warna ceria, bila Myths in the Haze mekar dari dadamu....


2 Mei 2003
:: sudah berlalu...

telah kuturuskan gejolak mual
bersandang kepinggiran
biar licin hentakku pulang
walau terbentang semak nan garang

telah kuhambat sejuta wajah
menggonggong pelita ayan tinggalan ayah
maju lagi jika tidak terasa pedihnya
biar kutaburkan garam bersabun di lukamu

aku rela jadi batu
dikeping ditetak aku utuh menadah hari
gentar itu tidak milikku sama sekali
kau tikam bertubi-tubi
bukan kerismu yang patah menyembah bumi?

tertiup pun imbauan
bekas apa yang mampu kau tinggalkan
aku sudah batu
pahat manapun kematu
bergulung matanya mengadap tuan
ketuklah lagi
kelak matamu yang calar.

||:.

Ini hari baru, tersenyum menyelak dedaun tingkap, mengundang udara segar ke dalam kamar. Sapa mesra dedaunan hijau.. mekar jauh ke dalam lubuk hatiku. Jadi penawar robek yang semalam.

Aku 'pulih'... syukur. Dan senyum gembira mekar seawal pagi. Yang sudah itu... biarlah, semestinya perjalanan kita diwarnai perbagai adunan. Dan ketabahan serta kesabaran adalah pertahanan utuh yang perlu kita kekalkan. Terima kasih untuk semua sahabat... kerana kalianlah aku bisa beroleh kesabaran dan ketabahan sebegini...

||:.

Semalam... seawal pagi aku sudah bersedia untuk acara menjelajah sekitar Jalan TAR yang sudah lama sekali tidak kukunjungi. Semua ahli pesawat 204 hadir! Dengan tiada rancangan tertentu... kita menghela kaki semahu-mahunya... melihat yang indah yang memillikinya.

Jika beberapa tahun dulu, sewaktu masih ditatang UiTM, aku , Nana, Yah dan Ainnie jarang sekali mengenal erti letih... langkah kami laju-laju... habis di jalan TAR... Bukit Bintang kami tuju! Tidak berakhir di situ... dalam perjalanan pulang masih gagah di Subang Parade dan Carefour!

Jelas... stamina tidak seperti dulu... sudah tua aku! Sudah tua kita ini, Nana! :( Ahh... jika tua sekali pun... ia tidak datang percuma, kita dibayar pengalaman berharga!

Lebih jam 5ptg baru kita tiba di rumah, letih kaki... dan sebuah buku tentang 'Serangan Mongul ke atas Dunia Islam' yang kubeli benar-benar meratah seluruh deria ingin tahu. Memang sedari dulu aku kurang minat dengan pelajaran sejarah, tapi nampaknya sekarang sudah berbeza. Aku ingin mengetahui sejarah, mengutip asal usul, mengenali jejak yang ditinggalkan. Supaya nanti aku jua boleh mememahami, dan mengerti kenapa itu dan ini terjadi. Juga menitip keinsafan sesuatu kejadian, serangan demi serangan, kenapa berlanjutan jadi cemuhan, ada pengajaran yang cuba diceritakan. Kebencian sudah lama, mereka pandai menyimpan rasa walau terkandung dalam masa lampau yang sudah berhabuk. Ya, kita mudah lupa, tapi mereka tidak pernah lupa. Dan aku juga, sedang belajar untuk tidak m e l u p a k a n n y a .

 

[ Okt ' 02 ] [ Nov ' 02 ] [ Dec ' 02 ] [ Jan ' 03 ] [ Feb ' 03 ] [ Mac ' 03 ] [ Apr ' 03]

 
this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...