~  m y t h s   i n   t h e   h a z e ~ 
P u t e r i  E l a i r a  E l i z a 

[ secangkir madu ]    [ elaira ]   [ taryusis ]   [ arianur ]   [ irionel ]   [ erikas ]  

1 Julai 2003
::

Pagi-pagi lagi aku sudah merayap ke blog-blog GeJu yang biasa kukunjungi. Penyakit baru dua hari ini barangkali. Ini kerana punya kesempatan, jika tidak punya... aku pun tidak boleh kata apa.


30 Jun 2003
:: hingga nanti, daffodil...

Timbunan tugas mula menampakkan tanda usai, lega, walaupun yang baru bakal 'berdoyon' tidak lama lagi. Gendang perangnya sudah kudengar, awalnya sayup dan semakin hampir. Aku tidak mahu melepaskan nafas tersumbat panjang-panjang. Semua ini timbal balik rezeki hujung bulan yang membereskan hutang-piutang dan jentera membawa ku pulang bertemu bonda.

Ya... aku harus bersyukur dan gembira. Kerana jika tidak punya kerja, entah bagaimana pula pintalan resahnya. Sekarang bukan senang ingin cari kerja...

Ya... aku sudah lega, dan sudah mula nampak aturan tugas agak teratur, mengikut cara dan keselesaan aku. Hari ini aku ingin pulang tepat waktu!

Sabtu dan Ahad lepas, aku pulang ke kampung... seperti yang telah kucanangkan dicatatan 27 Jun. Sememangnya itu adalah keputusan yang bagus sekali. Semua masalah cicir... entah di mana, aku tak tahu. Along juga balik. Aku masak-masak. Kita makan banyak-banyak! Di rumah mak, semuanya sedap-sedap sahaja.

Petang semalam kembali semula ke kota debu ini. Di hentian lrt, sewaktu menunggu teksi pulang ke rumah, seorang lelaki cina lingkungan 30-an menghampiri. Mulanya aku tidak tahu butir tuturnya, rupanya dia minta RM3.00 untuk tambang teksi balik ke Taman Tun. Aku lihat pakaiannya, terurus malah sempurna. Dia nampak seperti seorang yang bekerjaya baik. Memakai kemeja-t Window2000 maroon.

Aku fikir-fikir lagi, dia mendesak juga. Sepanjang itu orang beratur menunggu teksi, insan yang sebangsa dengannya juga ramai... aku pula yang dipilihnya. Aku memang berkira-kira ingin memberi sahaja RM3.00 yang dipintanya. Mesti kalian kata aku berbelas kasihan. Teksi giliran aku sudah sampai. Dia mengekor aku ke teksi. Cepat-cepat aku tutup pintu teksi.

Ya... aku tidak beri dia RM3.00 yang dimintanya! Bukan kerana dia berbangsa Cina. Bukan kerana dia kelihatan sehat dan sempurna. Bukan juga aku lokekkan sangat duit RM3.00!

Tahu kenapa...?

Dalam masa yang sama aku beruja-uja ingin mencapai dompet, aku jadi terfikir...

Andaikan dia sebenarnya bukan dalam kesusahan, tapi bertujuan untuk merampas dompet duit yang bakal aku keluarkan nanti dan melarikan diri? Aku nak kejar? Sah aku tak terkejar.

Aku pernah mendengar cerita seumpama ini terjadi, diceritakan oleh DJ Radio ERA, Seelan Paul. Menurut beliau, bapanya telah datang ke KL, melawat dia sekeluarga. Di sebelah petang bapanya telah keluar bersiar-siar di kawasan perumahan itu, bila dihampiri oleh seorang pemuda yang kononnya motorsikalnya kehabisan minyak dan meminta RM5.00 bagi membolehkannya pulang ke rumah sebelum hari gelap. Sewaktu ingin menghulurkan RM5.00 itulah dompet orang tua itu disambar dan dilarikan mergastua pemuda itu tadi. Hajat ingin berbuat baik, dibalas bala.

Pemandu teksi itu juga jadi setuju dengan tindakkanku. Tidaklah rasa bersalah tidak membantu. Terbayang juga jika kamera tv tersembunyi di mana-mana, kaji selidik keprihatinan warga. Buat apa bermuka-muka, aku tidak yakin kejujurannya.

Aku tidak jadi berbuat baik. Aku tahu juga kita tidak boleh bersyak wasangka. Tapi dalam dunia hari ini, harus bagaimana?


27 Jun 2003
:: Bosan menungguku di pintu...

Seawal pagi sudah bosan. Bila buka pintu pejabat.... aku nampak katil berderet-deret. Hati pula tak sabar hendak balik ke rumah semula. Betul-betul tidak ada mood hari ini.

Jadinya aku mula buka blog kalian. Satu persatu. Sehingga sampai ke ipts dan ke jurnal keili. Cemburu sungguh membaca perancangan perjalanan ipts dan percutian indah cik keili! Sempat ke Vienna bertemu Muring tu.... bestnya... Aku jalan-jalan lagi ke jurnal yang lain...

Citah akan ke Langkawi petang ini. Sudah lama dia beritahu, tapi hari ini aku sudah lupa. Aku harap dia gembira berkunjung ke pulau lagenda itu.

Anak buah telefon malam tadi, ajak pergi tengok Sure Heboh. Aku belum ada jawapan lagi. Aku bayangkan orang ramai-ramai... dan aku pening!

Aku bayangkan pergi berbasikal di rimba Cerakah... dengan Jedah... tanpa Citah... macam gulai tak cukup garam!

Aku balik kampung? Pagi esok ada hal... hal rasmi. Mungkin tamat sekitar jam 12 tengahari. Agak lewat untuk balik kampung.

Duduk di rumah sahaja? Aku boleh mati kebosanan.

Errkkk... harus bagaimana? Balik kampung sajalah... confirm!

*wink* tiba-tiba saja hati berbunga gembira... ho hoo ho... balik kampunggg... tata kawan, saya mahu balik kampung...


26 Jun 2003
::
The Lion Sleeps Tonight...

Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey,

In the jungle the mighty jungle
The Lion Sleeps tonght
In the jungle the mighty jungle
the lion sleeps tonight

Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey

Near the village the peacful village
The Lion Sleeps tonight
Neer the village the peaceful village
The lion sleeps tonight

Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey

Hush my darlin' don't fear mydarlin'
The lion sleeps tonight
Hush my darlin' don't fear my darlin'
The lion sleeps tonight

Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey

 

 



[ Seharian asyik benar mendengar lagu ini.... rasa seperti bermain-main dan menyanyi bersama Simba di hujung rimba...

ayuh.... Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey.... Wimowey, Wimowey, Wimowey, Wimowey.... ]


25 June 2003
:: When the clouds dispersed ...

Tuhan kurniakan kita macam-macam
tercongak atau tidak hukum alam
tergarap atau tidak oleh pandangan
terhitung atau tidak oleh tangan
terjejak atau tidak kawasan.

Bila menyisir jangan sampai berdesir
bila mengelus jangan biar putus
bila bersumpah jangan harus tumpah
bila berkasih relakan jika ada sedih
bila berjanji jangan sebut soal mati!

Perasaan kita lain-lain
usah samakan aku dan dirimu
tapi aku perlu...
kata pendapat
dan pandangan tulus darimu...

 

++

Lain benar rasanya minggu lepas. Seperti tidak tertelan dek rohani, setelah jasmani dikerah, dipaksa mengelilingi waktu setiap angka yang dilewati jarum jam. Setelah minda dipadatkan pejap, hingga jus otak melakar warna segala erti.

Aku sudah lelah di saat hari sepatutnya libur, menatang mentari merah di ufuk timurnya. Kudrat yang bersisa sedikit cuma, kususuli tanggungjawap dengan tergesa. Barang pentingnya sudah nyata.

Mengejar waktu yang tipis sekali, hari sedikit pun tidak simpati, meninggalkan aku tanpa peduli. Mengejar dalam erti berkejar. Bersedia dalam maksud ingin segera. Dan keciciran dokumen-dokumen penting melengkapkan penafian berkhidmat alat komunikasi tunggalku!

Bungkam di satu sudut alam. Jus minda yang sehampir kering enggan beri kerjasama. Lama aku di situ, biarkan masa pahit berlalu, kutip sinar suria buat kuatkan bateri di kepalaku. Untung sekadar dokumen, medium puja jiwa, khidmat dan kuasa tersimpan di ruang yang lain. Jika tidak tanggungjawap harus kugadai, mencari medium puja jiwa, khidmat dan kuasa mungkin bergoncang takhtanya.

Maka, lelah yang berlarutan semingu-minggu, malah langsung ke hujung minggunya... mengeringkan sama sekali jus otak. Sudah... apa elektrolit litar utamaku? Jadinya... neon sinar mata jadi malap dan semakin malap. Syukur tidak sampai hilang terus pandangan. Prosesan akal juga tergugat, jadi lembab... syukur tidak sampai terus gelap!

"Semua akan kembali biasa, jangan sampai rasa tiada sahabat dan keluarga... hari ini bukan hujung dunia...!"

Keras teguran sahabat, tapi cukup lembut merawat resah. Aku akur... dan kutip satu persatu jalan selesai. Hati nyaman beradu dimalam minggu.

Ampun Bonda, anakanda kalut dihambat beban kerja. Lupa beritahu alat komunikasi mogok bekerja. Usah risau anakanda tidak apa-apa. Tapi Bonda sudah gusar, sudah pasti yang buruk-buruk saja di minda. Tiada di pejabat, tiada di mana. Aduhai mengapa sampai lupa penuh satu dunia!

Bonda sudah kerah angkatan tenteranya. Along dan Ongah semua digera. "Cari adik kau sampai berjaya, takut Bonda dibaham naga menganga!"

Ampun Bonda, bukan niat anakanda enggan Bonda tahu. Itu bahana jus otak kurang terjana dan kalut dibiar mengaburi pintu. Luluh hati mendengar adu Bonda, runsing hatinya tidak pernah aku mahu. Entah bala apa, jembatan rosak tidak diberitahu. Selalunya akulah yang ingat dulu! Sedih mengalir, barang hati Bonda diguris curiga. Ampun taubat... anakanda tak buat lagi.

Tika tentera Ongah di muka pintu rumahku, aku sudah berpanas-panas di ka-but-sil, mencari penawar dalam pagi berjerebu. Cuba-cuba cari sahabat tidak ketemu, di mana pula Tuan punya sabun dari susu?

Tiba di rumah pesan sahaja yang tinggal, harus bagaimana suaraku tidak terbawa oleh angin, harus ada kerahan teknologi.

Hari terakhir minggu lalu, mengikut kiraan Yahudi... (dalam terang agenda tersembunyi). Di hari terakhir itu teruntuk sebuah kebahagiaan buat sahabatku, mungkin muda kita langkah melulu, sebutan tidak sampai makna, aku benar-benar harap hadirku tidak terus mencacat-cela jalan menuju hari bahagia! Ingat ya pengajarannya.... sebutan harus sampai makna... Aku tumpang gembira, aku harap tidak mengapa... kerana untuk gembira sendiri belum ada tandanya...

Semalam... kuuruskan soal keciciran. Tidak ke pejabat, jus otak belum cukup terjana. Usaha pertama pengenalan diri. Seawal pagi sudah sesak satu bangunan. Takkan semua orang hilang kad pengenalan??? Dengan nasihat supaya tiba seawal terdaya pagi berikutnya, aku melangkah seperti entah kemana. Untuk beberapa ketika aku duduk menjana jus otak.

Hebat sungguh kesan teknologi, penafian berkhidmat alat komunikasi seperti mematikan ikhtiar dan arah. Mujur saja ada alat komunikasi awam... menuju ke arahnya dalam hati mencongak kebarangkalian boleh digunakan atau hanya sekadar perhiasan di pinggir jalan.

Berita gembira saja rupanya di hujung talian. Bingkis yang keciciran di tangan orang budiman. Dengan senyum aku melangkah ke tempat yang dijanjikan. Sepanjang jalan aku tercari-cari jika bertemu sesuatu boleh dijadikan buah tangan. Budi orang molek dihargai. hampir setengah jam berpusing mencari... mungkin bukan rezeki dia dan aku, habuk... satu pun tidak ketemu!

Orangnya ramah mesra sekali. Usia dalam tangan empat puluhan. Terharu pun ada, tersedar pun ada. Masih ada manusia budiman, di celah Kota Metropolisetan! Berlainan bangsa pun tidak jadi ukuran. Sembang kami jadi berjela. Ceritaku menjadi ceritanya. Bertukar alamat dan nombor hubungan... ini jalan menuju persahabatan!

Syukur Ya Allah Tuhan semester alam... kau beri susah, kau beri senang. Kau beri akal fikir yang dalam. Aku ingin fikir dalam tenang yang panjang, supaya ihsanMu tidak ku salah mengertikan. Supaya tidak terubah nikmatMu jadi kemaksiatan. Bedung nikmatMu jadikan ia imanku, terangi jalanku diakhir zaman.

[ jus otak sudah kembali normal... aku mahu sambung lena terganggu dua jam tadi... sebelum dunia cerah dua jam lagi.. ]


19 Jun 2003
:: Ukiran Jiwa di Raja

Sewaktu aku menaip entri ini, memanglah belum ada yang menekanya. Cist! Teh tertumpah di baju tidurku! Tidur? Eh... pukul berapa ya... hmmm baru 1.04pg, 18 Jun, masih awal. Mungkin selepas ini aku masih sempat menghabiskan kerja pejabat.

Jadinya jawapan untuk soalan semalam ialah 'tiang Istana Lama Seri Menanti'! Benar... ini gambar asalnya. Kali ini aku tidak akan menyentuh dari segi sejarah, pembinaan, myth dan sebagainya tentang Isla. Aku cuma ingin berkongsi kisah melawatnya. Terlalu banyak ingin kuceritakan tentang tempat, adat istiadat dan keistimewaannya. Juga ingin berkongsi sejarah keluarga serta adat istiadat perlantikan dato' pembesar, sambutan Maulud Nabi, pertandingan lancang dan macam-macam lagi. Bahan bergambar sudah lengkap, cuma jalan ceritanya... mak sudah hampir lupa. Mungkin di lain masa.

Tiada siapa yang menjawap nampaknya, maka biar saja soalan itu ditelan sejarah. Tapi.... satu saja yang yang tak dapek den nak nolong eh doh.... permintaan Fajar... dia nak penanda buku tu? Anyone can help aaaa? Tolong potong tiang Isla, tebuk lubang dan bubuh riben? kekekkekke

Marilah kuceritakan. Sekembali dari Ronggeng Geng Jurnal di PD tempoh hari, Citah dan Ariesa ikut aku balik kampung. Kali pertama buat Ariesa dan kali yang ke entah berapa puluh kali untuk Citah... hehehe.... (ko kira ke Citah?). Jadinya, aku berhasrat ingin bawa Ariesa pusing-pusing kampungku, yang sering didengar, kalau dilihat mungkin lebih-lebih lagi indahnya. Melawat Islana Lama (Isla) - jadi terikut-ikut Muring yang selalu punya nama ringkas untuk sesuatu, maaf ya Pak Muring!

Ahad, kami jadi melawat Isla dan kawasan sekitarnya. Kupotretkan mereka di monumen di pinggir tasik.

Di belakang gambar Ariesa dan Citah ini ialah Masjid Tunku Munawir, sementara di sebelah kirinya adalah bangunan Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir, sekolah rendahku dulu. Cumanya sekarang ia jauh lebih cantik dari masa-masa aku menjadi muridnya. Cuaca tidak berapa panas hari itu (don't trust your eyes, those images had been edited), jadi kami agak selesa bergerak walaupun matahari tegak di atas kepala.

Aku sudah kata padanya, aku suka sangat gambar candid ini dan minta izin untuk letak di sini, alhamdulillah beroleh kebenaran.

"Awak! Tak nak buat wallpaper ke?"

Ingin terbang barangkali empunya diri? Bunga-bunga teratai masih kudup lagi, mungkin minggu ini baru kembang. Kalaulah semasa kunjungan itu semuanya sudah mekar, hah! pasti lebih-lebih lagi indahnya.

Tasik ini diberi nama Tasik Londar Naga. Ada naga di dalamnya? Setahu aku hanya ikan-ikan dan udang yang dilepas Tuanku, dan menjadi habuan pertandingan memancing di hari Keputeraannya. Tidak kurang juga orang kampung yang mencari lauk bila-bila saja. Kalau aku tidak silap, londar membawa erti bekas laluan yang terlalu kerap sehingga kawasan itu 'pasar dek ditompuh' (Toksik faham ayat ini, sila tanya dia). Jika kawasan laluan itu berair atau dibasahi hujan, ia akan menjadi kawasan berlumpur, beserta dengan kesan-kesan laluan 'naga' itu tadi. Kata tadi tak mahu tulis tentang myth.... heh heh... I just did!

Iklan ini tidak dibayar paparannya!Aku suka hijau pepohon, lagi-lagi bila redup dan angin deras seperti ini... nyaman sekali.

Nampak jalan yang dipagari deretan pokok pinang tu? Itulah jalan menuju Istana Besar (Isba). Isba kelihatannya sedang dalam ubahsuai, sempat ke Tuanku? Hari keputeraan bulan depan saja? Sebab itu juga aku tidak mengabadikan Isba, huru-hara (pinjam kata Adi) saja nampaknya.

Taman Isla, Panca Persada kuning di luar pagar Isla adalah untuk upacara bersiram Di Raja.              Isla dari sisi...

Pentas di perkarangan Isla utk pertunjukan kebudayaan, di belakang (beratap merah) adalah Istana Cik Lijah.              Antara ukiran awan larat yang unik...

di sudut dinding.... pemeliharaan yang kurang kemas, dua keping ukiran yang tidak di selaraskan.              berbeza antara satu dan lain

Setiap tiang, pinggir bendul, cucur atap dan sebagainya dihiasi ukiran awan larat yang tinggi nilai seninya. Awan larat ini berbeza dari sebatang tiang ke sebatang tiang yang lain. Dalam keadaan baru dicat emas, teserlah sungguh serinya. (Dulu sewaktu kecil, bermain-main di sini, tidak pernah pula terasa Isla ini unik dan cantik... hmmm... people change... right?)

Semasa kunjungan itu kami tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke dalam Isla (ia sudah dijadikan Muzium Di Raja). Tetapi sebelum itu, semasa kunjungan rakan dan sahabat dulu, aku sudah sempat mengabadikannya. Untuk diletak di sini, makanya aku perlu selongkar koleksi gambar di kampung. Cukup sekadar paparan ini sahaja dulu ya, ini pun sudah berjela. Jika ingin melihat bahagian dalam Isla, silalah ikut Puteri balik ke istananya... heh heh!

k . r . e . d . i . t . a . s . i

model:: Citah dan Ariesa
lokasi:: Bandar Di Raja, Seri Menanti
jurusolek:: Sendrik-sendrik Berhad
dandanan:: bidal monsun
pakaian:: koleksi peribadi
skrip:: puteri elaira eliza
jurukamera:: puteri elaira eliza
susunatur text:: puteri elaira eliza
suntingan imej:: puteri elaira eliza
lampu dan hiasan:: matahari dan alam semulajadi
pemandu pelancung/ pemandu arah:: puteri elaira eliza

Cerita ini tiada kaitan dengan yang masih hidup mahupun dengan yang masih mati, jika ada sebarang kaitan, itu adalah tidak disengajakan dan kebetulan sahaja. Terima kasih kepada pelakon pembantu yang tidak dapat dituliskan nama mereka di sini kerana masalah ingatan meruap.


18 Jun 2003
:: Ukiran Jiwa

Aku ingat, tidak lupa. Aku sudah janji untuk tulis semalam, tapinya ada kerja prioriti tinggi dan LIFO! brrrppp! Kenyang dengan alasan...

Tiba-tiba aku dapat satu idea, apa kata kalian cuba teka gambar apa sebenarnya di sebelah kiri ini? Jika Cik KayuSakti mahu hadiah lagi, maka cuba-cubalah teka.

Justeru aku tidak akan bercerita, simpan untuk esok saja. Kerja bertangguh? Tidak... sekejap lagi aku tulis, tapi esok saja aku naikkan... boleh?

Maka hari ini, hari santai-santai sahaja di Myth in the Haze... ahhh... tunggul di hujung rimba,
tak cendawan,
serangga pun datang jua bermesra!

Jadi sandarkan belakang anda di kerusi empuk itu, renunglah sepuasnya penanda buku ini dan fikirkan jawapannya!


15 Jun 2003
:: Geng Jurnal di Teluk Kemang, Port Dickson

kenduri kendara kita!!!

Terima kasih Geju yang hadir di PD semalam. Kalian benar-benar buat aku gembira! Hingga ketika ini gembiranya belum luntur sedikit pun.

Kali pertama bertemu tOKSIK, Insyirah, nonamanis (+ suami), ungkuNorfaizah (+ family), Spyz (+ family) dan TokRimau (+ family). Geju yang kutemui sekurangnya dua kali; Fajar, Rudy, Mie, Saljubiru, Amyz, Nettbiru, Pikor, erk... ada lagi ke? Haa... TukGawo, Edm dan housemate Rudy. Terima kasih untuk sahabat yang sudi temankan; Citah dan Ariesa. A ride with joy... all the way.......!

---

Sesampai di pantai Teluk Kemang, kebanyakkan Geju sudah cukup masin ditiup bayu laut. Alhamdulillah, kami tidak terlewat. Semua pun baru-baru sahaja sampai.

Meriahnya! Kenal-kenal dengan Geju yang pertama kali bersua. Sebahagiannya sudah kukenal melalui gambar-gambar mereka samada semasa Gathering Geju ataupun acara ronggeng sebegini. Pun begitu aku masih bertanya pada mereka yang kukenal untuk pastikan tekaanku benar.

Entah... tiba-tiba seperti sudah lima tahun aku kenal kalian semua. Jika dulu aku sekadar membaca, pendapat serta catatan jurnal, tentang betapa baik dan mesranya ahli-ahli Geju ini sebenarnya, sekarang aku percaya! Sungguh-sungguh aku percaya! Kerana walaupun baru pertama kali menyertai mereka yang sudah punya nama dalam Geju, aku turut merasakan kasih-sayang yang terpupuk dari senyuman yang berantai, gurau senda yang bersahaja, derai tawa yang berderai... oh aku lupa... bukankah kita sudah lima tahun mengenali?!!

Terasa sayu, cuaca cerah serasa mendung sahaja. Kalau boleh ingin sekali masa kekal dalam gembira sebegini. Tapi aku harus pulang, perjalanan jauh lagi, menuju kampung bertemu bonda. Dalam enggan yang dalam salam perpisahan kita ucapkan, kasih sayang sudah terbenam, dalam hati kalian yang merasakan. Rasa begini melangkau persahabatan, ini kasih sayang kekeluargaan!

Meluncur di jalan pulang, mentari petang sudah lesu. Aku masih segar dan bertenaga. Memori sebentar tadi berputara terus di depan mata. Senyum kami masih di bibir, mengulang jenaka kalian kami tertawa lagi, mengimbas potret-potret kalian, kami tertawa lagi. Aku ingin simpan seluruh tawa ceria ang kalian hadiahkan ini, supaya bila sedih lagi, ada tawa menghalaunya pergi.

Seluruh-seluruhnya memang bahagia, gembira hingga tidak terkata. Terima kasih sejuta kali seterusnya, buat kalian yang sungguh-sungguh istimewa. Lain kali aku nak ikut lagi!

||:.

... something to talk about...


12 Jun 2003
:: titisan gerimis mimpi yang kian pudar...

aku mimpi lagi malam tadi
di jeram damai penuh teka-teki
di tengahnya dua buah kenu sedia di air
tersedia pendayung jika ingin mengemudi
tampak sempurna dan terlintas di minda
kenangan berkenu jauh ketengah lautan
bersama teman kesayangan

tapi mimpi tamat di situ
air yang berderu tidak terasa pun dinginnya
kenu yang teroleng-oleng tidak tercuit pun pinggirnya
dayung yang melambai tidak tercapai kayuhnya...

... mungkin aku sebenarnya bermimpi... saban hari dan waktu. Kerana itu mudah jadi gundah, mudah pula terpingga-pingga? Kerana itu satu apa pun tidak jadi, kerana terus-terusan leka didodoi lena dan mimpi, yang jelas nyata bukan hakiki. Biarlah seberapa sukar sekali pun, aku sudah rangka-rangkakan jalan selesainya, supaya yang kusut tidak bersimpul mati, supaya yang kekaburan tidak terus kelam abadi.

Alhamdulillah... mencari jalan, ketemu sudah lorongnya. Walau sedikit beronak, dan banyak momok bergantungan di reranting mati, langkahku lancar walau hati sedikit bergetar.

'Hidup ini mudah..... jangan engkau berat-beratkan....' [ samba apa saja - hattan ]

Atas setiap usaha, kecekalan dan ketabahan, Tuhan sudah janjikan balasan. Maka... ayuh bangun segenap urat nyawaku, kita belum boleh santai... tertalu banyak yang belum kita teroka dan diami, terlalu banyak luka-duka yang belum kita tempuhi. Jika hendak ditempuh pun... biarlah tika muda, tika minda masih mampu mengukir rintis jalan selesainya.... di hari tua biarlah jadi memori [ lelah ].....


10 Jun 2003
:: tidaklah begitu teruk...

Diasak tugas rasmi dan peribadi. Hah! Nampaknya aku sudah mula pandai memberi alasan.

Entah mengapa, semenjak dua menjak ini terasa seperti dibelenggu masa yang tidak pernah cukup. Ya, aku tahu jawapannya, tidak bijak mengatur masa. InsyaAllah semuanya akan dapat kuatasi sedikit masa lagi.

Seperti aku melayan kalut yang berlebih-lebihan, justeru semua urusan rasmi dan peribadi juga menjadi mangsa. Aku perlu tenang, seperti yang selalu kusampaikan pada kawan-kawan. Menyusun atur mengikut kepentingan, dengan izinNya akan terlunas satu persatu kerawang tugas yang mengasak dari tiap arah.

Hari ini tidaklah begitu teruk, sekurangnya gembira bertandang juga seawal pagi, setakat ini ia masih belum pulang lagi, aku ingin ia meneman aku sampai lena menggamit.

Ada beberapa tajuk yang ingin kutuliskan di sini, berlegar-legar sahaja seminggu dua ini, belum ketemu sempat! Dan nyatanya bukan hari ini, ada yang perlu kuselesaikan terlebih dahulu sebelum berehat dan mengetuk dada papan kekunci seenaknya.

||:.

dari erikas,

paicowan - 'Dari masa hingga masa' bukan puisi saya, ianya sebuah lagu pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan juga Dato' Syarifah Aini. Lagu tulisan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, lirik pula oleh S Sudarmaji.

adi beruang - gambar kat sebelah kiri ni memang aku tukar tiap2 bulan... bosan ahh tengok bunga tu jer... tapi memang hebat mov. clip ko tuh... selaras dengan jiwa dan peribadi ko... syabas!

rudy, amyz dan toksik - insyaAllah kalau ada rezeki nanti kita jumpa di sana... di sanaaa... di sanaaaaaaaa...... tapi kalau aku tak muncul... ada sebab lah tu ;)

muring - terima kasih untuk puisi-puisi indah itu...

untuk cik kayusakti, shauki, idzwan, surfer, uipts, shah, manjalara, wawa, nonie dan semua yang sudi singgah - thanks for visiting MitH....

untuk mentor... terima kasih selamanya kerana selalu monitor MitH... kekekke


6 Jun 2003
:: Dari masa hingga masa...

dari masa hingga masa
lamaku tanggung derita
akhibat angkara dusta
aku tersiksa

kucari puspita jiwa
serata kampung dan negeri
ke rimba, lembah dan ngarai
siksanya di hati

kuharapkan belas kasih
hapuskan racun bisa
kalbuku merintih
jiwa lara

berikan daku penawar
sekuntum bunga yang indah
agar kembalilah segera
siksanya di hati...

 

||:.

6698, ku kira ia bisa jadi tarikh keramat, memang keramatlah juga akhirnya. Keramat kerana sudah kiamat. Kalau boleh, semahunya tidak mahu teringat lagi, malangnya sel memori write protect, tak boleh over write, tak boleh erase! Aaaarrrghhhhhhh.......!

Imbasan menyapa kenangan, bukan hanya sekadar imbasan... apa rangkumannya aku tak mahu ambil peduli. Untungnya, hari ini ia tidak merangkum rasa getir berpetir seperti tiga tahun dulu. Bezanya pula, aku hari ini sudah menjadi aku yang baru. Jadinya terimakasih sahajalah kenangan. Hari ini ia tidak memberi bekas. Tak tahulah pula esok...?

||:.

Tiba-tiba terasa ingin menyertai acara GeJu ke PD... hmm... menarik juga, minggu depan ya...?


3 Jun 2003
:: Sinar dari Aurora...

Terasa sudah bahangnya...

"Kebangkitan semangat peminat siri Saga Artakusiad ketara!"

Begitulah tajuk akhbar utama Aurora hari ini. Sokongan serta buktinya telah ditemui oleh semua pengunjung SuriaAtasTalian. Sokongan padu pengikut saga ini telah diberikan kepada pengasas dunia Aurora, Ahmad Patria Dato' Abdullah dalam usaha beliau meneruskan penulisan buku Saga Artakusiad bagi siri yang ketujuh.

Apapun rintangannya, pengikut saga ini telah melafazkan sumpah setia mereka, akan membantu, memberi ide, galakkan dan peransang, juga bersedia untuk perbincangan dari masa ke semasa, secara berterusan bila sahaja diperlukan.. Sewaktu membaca dorongan yang disampaikan melalui ruang bukutamu SuriaAtasTalian, saya dapat merasakan aura-aura semangat perjuangan yang membara di kalangan pengikut saga ini berantakkan dan begitu bersungguh-sungguh dalam usaha membawa kembali siri saga ini kepuncak kegemilangannya seperti yang pernah dilaluinya kira-kira lebih sepuluh tahun yang lalu.

Selain dari itu, usaha membangunkan laman web berinfomasikan siri fantasi kreatif ini iaitu SagaArtakusiadOnline, sudah pun memasuki tahap kedua, di mana proses penyuntingan dan pemilihan isi kandungan sedang diusahakan. Terdapat rangkaian mel elektronik yang sedang beredar di kalangan ahli Kelab Aurora, membincangkan serta mengupas semula khazanah Aurora bersama mistik, magis, watak-watak, pahlawan dan pemimpin, juga bentuk mukabumi dan segala yang terkandung di dalamnya (insyaAllah). Tahniah dan terima kasih untuk semua Auroran di atas sumbangan serta masa anda.

Jelas sekali apa yang pengikut siri saga ini ingin sampaikan adalah semangat untuk penulisnya, bagi meneruskan usaha-usaha murni menghasilkan karya fantasi yang jarang sekali sehebat siri saga ini (di negara ini), walau apapun rintangannya...

Nantikan... kemunculan.... SagaArtakusiadOnline™ ... di tetingkap internet yang berhampiran dengan anda!!!

||:.

TAHNIAH buat Cik Kayusakti kerana telah berjaya kembali ke tahun 80-an untuk mendengar radio musik seterusnya menjawap soalan yang saya kemukakan semalam. Hmmm... naik hairan juga, kalau tak silapnya Cik Kayusakti pada waktu itu baru menjengah usia 9 atau 10 tahun... atau mungkin lebih muda dari itu. Ternyata dia tidak pernah menghampakan setiap orang yang bertanya, terutama yang berkaitan dengan teka lagu. Walau bagaimanapun beliau masih berhutang satu lagu dengan saya??? Jangan buat-buat lupa Cik Kayusakti ya... kekekeke... Sebagai menghargai sumbangan anda.... elaira.inc dengan rasa gembiranya ingin menghulurkan secopot tanda penghargaan kepada anda. Sila kirimkan alamat penuh, atau berhenti di depan rumah saya (dalam perjalanan pergi kerja), atau anda terpaksa merangka sesi jumpa-jumpaan, bagi membolehkan saya menyampaikan tanda penghargaan tersebut. Boleh saya bertanya lebih lanjut tentang Dato' Shake dengan anda?


2 Jun 2003
:: Kau tunjukkan sesuatu...

"Kesyukuran yang dalam dan kudus buat Penciptaku. Dia menitipkan kasih sayang yang tidak terbanding untukku. Menyematkan kesedaran dan keredhaan untukku, berbagai pula ihsan dan pertunjuk dalam membimbing kekurangan dan cacat cela hambaNya ini. Sungguh, aku benar-benar rasa terharu. Syukur kerana sejalur sinar, aku mohon ampun dariMu Ya Allah... ada masanya aku alpa dan kecundang. Sedang semuanya adalah kasih sayangMu yang tidak pernah reda, memimpin jalanku agar lurus dan bercahaya."

 

Ada masa, resah dan gelisah menakluk seluruh peribadi. Hilir mudik di meja sarapan pagi. Apa yang kurang, apa yang terlebih. Apa tanggungan yang membebani bahu, apa masalah memaut degup jantung? Sunyi. Tiada jawapan menyahut di situ. Hilir mudik lagi. Dingin sudah bertinggung di bibir cawan kopi pekat, asap yang tadinya berkabut sudah menipis.

Di suatu pagi minggu
ku duduk termenung
di meja sarapan pagi
terhidang memori...

Apa tugasan yang terhutang, temu janji siapa hari ini? Bertemu bidadari turun syurga, atau Puteri Bunian dari kayangan? Bukan, bukan!. Mentega keras mula cair. Roti bakar garing sudah liat diuli angin. Ahh... rimasnya jiwa...

Hutang pada siapa yang belum dibayar, mana tahu jika diseru nafas geram pemiutang? Tidak... tidak! Sudah lama pula tidak berhutang.

Ku capai pisau mentega
bak sebatang pena
lalu disapu ke roti
bak menulis puisi...

Duduk di meja, keluhan sudah keluar... mendengus-dengus seperti lembu jantan jumpa rumput panjang. Kopi sejuk jadi diteguk, berkerut dahi rasanya sudah lari. Sekeping roti disuap paksa ke mulut. Sebahagian lagi melayang ke luar tingkap, anak ayam turun sepuluh berebut rezeki datang menggolek. Matahari sudah tinggi. Kasut ke kebun bakal tidak dijamah embun pagi dihujung rumput.

Siapa menggodak jantung dan hatinya, siapa memutar kepala kerasnya? Berdebar dan pening. Mana selesainya, punca pun tidak tahu di mana kepalanya?

Ingatan membara
ingatan menyala
selagi wajahmu
menari di hati oh setiap hari...

Jalak di rumpun pisang berderai kokoknya. Gembira kau Jalak... bertemu anak-anai satu koloni! Dia tidak jumpa anai-anai satu koloni, sebab itu dia tidak gembira? Mak Jah sudah pagi-pagi siapkan rezeki, dia pula hilir mudik, sudahlah anak-anak Jalak berezeki roti mentega terbang, beroleh anai-anai satu koloni pula tu. Ayam sereban pun difikirkan?

Mengeleng-geleng sendirian. Matahari sudah tegak di ubun-ubun. Parang di pinggang dilucutkan. Tidak payah ke kebun lah jawapnya. Hati tidak sedap, mungkin bahaya menganga di kebun... siapa tahu?

Corong masjid melagukan azan yang merdu, tersedar dari lamunan, bersegera wuduk dan mengangkat takbir sejurusnya. Panjang pula doanya, minta Tuhan bawa pergi gelisah yang bertamu. Bila tiba-tiba hatinya bercahaya, yang tersirat pun mampu dijamahnya. Insaf jauh dalam hati, kerja Tuhan segala jadi, menguji kita tika berdiri, mana pendirian dan pegangan, sudah lupa atau masih bermimpi?

Dalam helaan nafasnya, kelopak matanya bertaup seketika, terbutirlah sebentuk intan, berlari deras dan berderai. Sedar salah sendiri, sedar alpa, sedar tidur dalam jaga, sedar dirinya masih di bumi. Berangkai-rangkai syukurnya, punya nafas dan punya nyawa, menebus semula yang tercicir lama. Ujian Tuhan ada masanya tidak nyata, jika diberi mengutip ertinya kau sendiri akan terasa, faham dan redha... itulah ingatan kasih sayang Tuhan pada hambaNya.

[ untuk sahabat tersayang, usah gundah berlanjutan... semua pun ujianNya, jika tertakdir pula begitu... redha sahajalah ubatnya. Sesungguhnya niatmu yang baik mendahului semua itu. Harga diri kita yang pelihara, bukan ditempa dari tembaga. Jika luas mata manusia, tidak buta memandang kamu, pasti mereka ketemukan peribadimu yang sebenar... ahh... Tuhan tahu siapa kita! Semoga semuanya sudah selesai dan baik-baik belaka tika aku menulis patah-patah perkataan ini. ]

[ untuk sesiapa yang tahu lagu serta penyanyi bait kata tiga rangkap itu, ada sesuatu menunggu kamu.... ]

 

[ Okt ' 02 ] [ Nov ' 02 ] [ Dec ' 02 ] [ Jan ' 03 ] [ Feb ' 03 ] [ Mac ' 03 ] [ Apr ' 03] [ Mei ' 03 ] [ Jun ' 03 ]

 
this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...