~  m y t h s   i n   t h e   h a z e ~ 
P u t e r i  E l a i r a  E l i z a 

[ secangkir madu ]    [ elaira ]   [ taryusis ]   [ arianur ]   [ irionel ]   [ erikas ]  

SAGA ARTAKUSIAD ONLINE [ x ] Dibawakan secara eksklusif ketatapan anda.

31 Julai 2003
::
titisan cahaya mangkat ke langit sudahnya...

Dalam lrt lagi banyak sungguh perkataan-perkataan yang membuak untuk kutuliskan di sini. Semuanya ingin kutuliskan. Kemaruk rindu MitH barangkali! Bermula dengan komen baju baru yang aku pakai hari ini. Kira aku perasan, baju ini cantik. Peduli apa pandangan orang lain, aku rasa cantik... lalu hatiku bahagia dan gembira sendiri. Bukan nak tunjuk-tunjuk pada sesiapa pun... hanya untuk aku bahagia sendiri.

Tapi, tengok... masih ada 'tapi' lagi tu... dasar manusia tidak pernah puas hati. Kaki kain agak sempit! Aku memang tidak betah dibuatnya. Manakan tidak...langkahku kan lebar-lebar! Aduh siksanya. Material yang lembut sedikit menyejukkan hatiku. Aku boleh toleransi di awal pagiyang nyaman ini.

Jadinya pagi ini, langkahku terbatas dan pendek-pendek sahaja, bahana toleransi dengan kain yang sempit di kakinya. Aku sabar... sebab aku rasa ia baju yang cantik. Hadiah dari majikan semperna hari raya yang lalu, baru ini sahaja kujadikan baju.

Semalam, selepas waktu kerja, aku ke rumah Citah. Terdahulu sudah ku talifonkan Jedah, ajak turut sama, kebetulan dia memang ingin ke Pantai Dalam ada urusan dengan adiknya, hah... memang sudah dekat sekali dengan Seputeh. Dia akan datang... itu janjinya.

Sementara Jedah datang, kami masak-masak dulu... empat hidangan bakal disediakan untuk jamuan tiga sahabat setia. Jedah kata dia mungkin bawa adiknya sekali... ahhh... tambah meriahnya!

Masak lemak cili api ikan selar dengan kambas, masak kicap pedal ayam, kerabu taugeh dan pucuk paku, sayur campur goreng kegemaran Jedah... aku tak lupa sayur apa yang Jedah suka... dia memang memilih bab-bab sayur ni. Semua bahan yang kami beli di tmc Bangsar menjadi tamu ruangan sebelah sinki di dapur Citah... senang nak membasuhnya. Semua urusan kami selesaikan di situ sahaja. Maghrib sudah kami lunaskan sebaik sampai di rumah tadi, jadinya urusan kami tidak terhalang kewajiban lain.

Selesai memotong, membersih, dan menyediakan ramuan, kami mula memasak, diantaranya cerita hidup berdozen-dozen terhambur.... mungkin ada antaranya melekat di kuali, periuk dan mangkuk... pinjamlah kalau ia memberi manfaat. Cerita hidup kita ini seringnya menghayalkan dan sedar tak sedar masakan satu persatu sedia untuk dihidangkan.

Jedah sampai, sempat juga dia tolong masak. Dengan senario di kaca tv, kami menjamu selera dengan makan malam yang sempurna. Empat orang di meja makan, ada tiga pilihan air tajaan Citah... soya, laici dan air kosong. Aku jadi jakun pusing-pusing pembeku ais dalam peti sejuk baru Citah... aku pusing saja... aisnya terlerai... hah mudah sekali... aku seronok bermain, Citah dan Jedah keras perut ketawakan aku yang jakun... Nanti aku nak beli peti ais macam Citah... supaya kalau aku bosan... aku boleh habiskan masa pusing-pusing tempat beku ais!

Sambil makan sambil bincang tentang masakan,

"Apasal kerabu ni pahit sikit hah?" soalku.

"Mungkin sengit limau yang kau perah tadi termasuk tak?" soal jedah pula.

"Ke... belacan yang aku letak tadi?" Citah pun jawap dengan soalan.

Apa-apa pun sedap juga. Untuk diperbaiki mutu, rasa dan keunggulan di waktu akan datang... hehhehe

Aku hilang jejak waktu sewaktu melangkah pulang. Derai tawa sepi yang bahagia melenyapkan deria pengesan masa agaknya. Yang aku tahu sebelum itu kami sempat menonton cerita Bollywood 'Raas' dalam 15 ke 20 minit. Menumpang Jedah yang balik ke Shah Alam, tak payahlah Citah terulang-ulang menghatar aku balik... hey diriku, bilalah agaknya tabunganmu akan cukup untuk punya satu mobil?

Aku gembira sekali dalam lingkung sahabat yang sebegini akrab. Tengahari ini aku sudah janji dengan Fiza untuk makan dan ke kedai buku bersama.

++

Pagi tadi aku tukar status di YM:: titisan cahaya mangkat ke langit sudahnya...

Tiba-tiba ada yang menegur...

a: huii statuss
e: :D
e: benar... ia sudah mangkat ke langit... ia tidak akan jadi unggun api...
e mungkin digoresan lain ... saya boleh genggam titisan cahaya... sekadar mungkin...

a: benar...tapi bukan mangkat...cuma lenyap dari segi bentuk cecair kepada gass
e: ia mangkat...
e: ia mati....

a: huii
e: dan kematiannya itu tidak berbekas....
e: kerana itu saya ibaratkan ia naik ke langit...
e: tiada makam.... tiada kenangan....
e: tamat sebelum bermula

a: kenapa berfikiran sedemikian?
e: ia satu cerita
e: bukan berfikiran

a: cerita apa?
e: cerita hidup saya
a: ohhhh
e: rujuk catatan 30 Julai:: MitH
e: :D

Aku tidak rasa apa-apa, kerana ia belum terjadi. Tapi satu yang aku masih fikir, kenapa ia selalu terjadi? Rahsia Tuhan barangkali... bila agaknya aku akan mengerti?


30 Julai 2003
::Lalang-lalang

 

Kau lalang-lalang
mengintai percikan suria di dada bumi
dihembus bayu sebegitu lembut pun
terlentok-lentok kau mengalah.

Kau jadi perlambangan lemah
tanpa pegangan pendirian
mereka lupa,
dalam diam dunia taklukkan mu
satu gerak yang siapa pun tak tahu
sesak bagaimanapun kau jajah
di timbunan batu, di akar cemara berceragah.

Daun tak bertulang hanya penyamaran
bunga yang rapuh menyebarkan berita
akan datang satu raja
sang penakluk yang diam sahaja
hakikat pencengkam yang berbisa
bukankah itu bukti kau gagah?

260403:11.15am Komuter KL-S'ban

++

Alhamdulillah, kesyukuran yang dalam kutitipkan buat Penciptaku. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengasihani... dan semestinya belas dan kasih sayangNya buatku, tidak terhitung sama sekali.

Segala kusut yang masai urai satu persatu. Aku pejapkan kudrat menongkah segala rintangan dan Tuhan tunjukkan jalan, berikan kawan, kurniakan teman.

Justeru itu masa jadi begitu cemburu dan kesempatan mengulit MitH jadi tipis. Aku rindu... rindu MitH, tapi segala urusan di luar MitH agak mendesak, lalu teralihlah sebentar pandangan dari hijau yang aku ronakan.

Bagaimana agaknya sahabar-sahabat di luar sana, doaku agar apa pun jua urusanmu, kemudahan jua yang menjadi permaidaninya.

Artakus.net semakin meriah, adakalanya aku terharu. Kerana kini kutahu, aku tidak bersendirian dalam menjulang karya emas itu. Cumanya ruangan forum agak hambar, apa perlu aku suntikkan agar suburnya sehijau lelalang tak bertuan di sawah terbiar bonda? Sesapan semangat keperjuangannya semakin membara bila penulisnya dengan penuh kesudian mengongsikan sedutan-sedutan dari buku yang bakal membayar segala jerih tagih penantian peminat siri Saga Artakusiad. Aku doakan yang terbaik untuk usaha murni penulisnya, Ahmad Patria Dato' Abdullah.

Semalam aku disua titis-titis cahaya. Benar atau tidak sinarnya belum beradu di keluk jawapan. Cuma aku jadi insaf, dan biarpun ia sekadar titis yang belum pasti, delarnya sudah membunga bahagia di sudut hati. Nyata bukan titis-titis itu yang kukira, tapi gembira dan suka yang di bawanya. Jadilah aku gembira, redha... kalau pun nanti titis itu bakal lenyap, tapi aku tidak lupa gembira yang memberi bekas. Jika pula ia mekar menjadi unggun api menerang kelam dan memanaskan dingin, kepadaMu jua Tuhan semesta alam aku takbirkan kesyukuran dan keinsafan yang berpanjangan.

Segala sesuatu kurniaanMu ada rahsianya, dan aku masih mengutip setiap makna, buat bekal, buat semangat... buat aku bersyukur dan redha, moga nanti jalan di hadapan lebih bererti.


25 Julai 2003
:: Hutang hati budi...

Kau nak tanya apa tentang aku? Aku nak jawap apa tentang aku?

Banyak perkara telah berlaku, tapi tidak kutuliskan di sini. Bukan tidak mahu berkongsi. Tapi hidup benar-benar celaru. Justeru melenakan diri lebih banyak baiknya dari terus berjaga dan menyeksa minda.

Ya, aku sudah cuba, malah masih mencuba untuk tidak terlalu memikirkan sesuatu dengan keberatan yang tidak munasabah dijunjung benakku. Kiranya ia sungguh mendengungkan segala jentera fikirku.

Tapi hari ini, aku ingin khabarkan berita-berita gembira sahaja buat tatapan kalian. Sudah beredar celaru yang berpintal-pintal. Terima kasih yang amat dalam buat sahabat yang datangnya bawa cahaya, dan sikat sakti mengurai segala celaru berpintal-pintal! Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi dengar dan prihatin seperti menyuap gejolak rasa sendiri.

Sudi sama-sama berkabus dalam dingin pagi tolong damaikan aku yang keliru. Aku hutang hati... aku hutang budi...! Semoga titik tolak baru yang bakal menjengah hidupmu minggu hadapan, adalah gerbang gembira yang selama ini berbalam dari mimpimu. Aku doakan kebahagiaan yang diberkati dan diredhai.... aminnn...

Esok aku ingin melengkapkan pengunduran celaru yang haru biru, aku ingin kembali ke daerah kelahiran. Bonda sudah panggil pulang. Ahh... tak usah dipanggil pun aku pulang mencanak.

Sebentar tadi Zali talifon, dia juga tanya aku pulang atau tidak, mungkin ingin sama-sama berpesta di pekan di raja... pestanya belum reda malah masih semarah menyala. Gee sudah pening-pening, tak lama lagi Zali bakal jadi bapa.... aku tidak kurang gembira, dapat anak buah gamaknya. Zali ajak kawan-kawan lain jumpa, mungkin Khairul, Sham, Finas, Raz, Titi juga akan tiba... sembang-sembang ungkai-ungkai semula waktu mula menyebut ea, bi dan see.

Aku kembali kawan... aku rindu siulan burung dan deru angin kampung... pagi esok, aku akan terjah subuh... supaya sebelum kering embun di rumput aku sudah berpijak di halaman rumah Bonda.... aku akan di sana...


19 Julai 2003
:: Aku lah...

Tataplah kawan wajahku yang baru

takkan kau tidak kenal

aku tetap seperti dulu

 

Cubitlah kawan pipi munggilku

ia masih daging yang sama

dulu kau kesat air mata mencemar segarnya

 

Goyanglah bahuku kawan, bangunkan dirimu

aku tidak berlena, adakah kamu?

ya... inilah aku yang dulu

teman gaduh dan sepermainanmu

tika seragam biru membalut tubuh kita

di tengah hari membara menuju jaya

 

Akulah ini kawanku

usah kau pusing lagi tubuhku

mata sudah berpinar lampu sudah layu

sebelum kurebah... ayuh kita sembang dulu...

 

030703


C o n v e n i t e s 2 0 0 3
Allson Klana Resort Seremban
1 9 J u l a i 2 0 0 3


18 Julai 2003
:: bukan senang menjadi aku...

Sedari petang rabu lagi hati sudah berbunga-bunga merancang satu kejutan untuk sahabat yang ke Kuala Lumpur atas satu urusan. Menurut apa yang aku faham dari panggillan ringkas beliau petang rabu lalu, dia seperti beroleh satu peluang kerjaya dengan tawaran yang agak lumayan. Aku, sudah tentulah gembira, tambahan dia tidak ada kerja tetap kebelakangan ini.

"Kau nak jumpa aku tak?" Begitu lah soalnya, bila memaklumkan kedatangannya ke KL.

"Heh... tentulah!" aku menjawap dalam nada paling excited sekali.

Maka dia beri maklumat supaya aku datang jam 7.30malam ke Hotel Dorsett Regency. Menurut apa yang aku faham, dari apa yang dia cakap, urusan dia tu akan habis menjelang 7.30malam. Jadinya aku mula pasang angan untuk bawa dia makan-makan meraikan harijadinya 16hb yang lalu. Sengaja aku tak ucap selamat, aku nak beri kejutan.

Aku ajak Citah, kita menuju Jalan Imbi mencari Hotel Dorsett Regency. Jumpa. Malangnya kami tidak mengambil laluan kanan, bila jalan terbahagi dua... kami akhirnya kembali ke KLCC. Dalam masa yang sama aku hubungi dia. Katanya dia tersekat di jalanraya berhampiran Hotel Mint. Aku mula pening. Jangkaku dia sudah di KL. Temuduga atau apa ini hingga mencecah malam? Mujur Citah tidak pening. Maghrib di Surau KLCC. Dia sudah sampai di Dorsett Regency.

"Kau nak datang ke tidak ni?" Lain bunyi nadanya. Sahabat baik sudah marah padaku.

Aku ulang aju soalan padanya. "Dah habis ke appointment kau tu?"

"Aku nak kau datang sini, join sekali... temankan aku..." Heh... kenapa tiba-tiba jadi lain? Semalam janjinya jumpa sahaja, hari ni join sekali... join apa...? Aku mula rasa kurang enak...

"Ada apa sebenarnya ni, kau cakaplah betul-betul..." aku tanya lagi, ayatnya ayat sekerat dan tak cukup sifat, aku pening berkerat-kerat.

"Tak apalah... " klik... talian diputuskan.

Hah? Sahabat baik putuskan talian, kenapa? Pantas aku mendail semula. Tanya juga... ada apa sebenarnya. Dia tidak mahu beritahu, katanya kalau jadi datang nanti masuk terus ke dewan acara sudah mahu bermula. Aku minta dia jangan tutup talifon, kalau aku datang aku akan panggil.

Aku pandang Citah, Citah pandang aku...

"Ini sudah macam MLM ni Citah, kau nak pegi ke tanak?" Dalam kereta dalam gelap di tempat letak kereta surau KLCC.

"Entah lah..." jawap Citah, kan senang kalau aku jadi Citah... jawapannya pendek sahaja. Susahnya jadi aku, kena jawap panjang-panjang supaya puas hati semua orang!

Akhirnya aku hantar SMS kepada dia, mengatakan kami tidak jadi jumpa dia, mentelah acara telah bermula. Kita jumpa hari Sabtu di Allson Kelana Resort Seremban semperna reunion Sekolah Menengah Convent Seremban.

Aku tahu dia marah. SMS yang aku hantar hilang ditelan malam.

Aku dan Citah balik ke rumahnya. Citah masak, aku makan. Lepas makan, aku minta Citah hubungi dia. Kalau sudah habis acaranya itu mungkin dia boleh sertai kami di rumah Citah atau kami boleh pergi jumpa dia.

Aku lihat adunya pada Citah panjang. Dia ungkit yang aku beriya nak jumpa dia. Hello....! In the first place siapa yang provoke aku untuk jumpa dia? Bukan dia sendiri? Ini sudah pening kuasa sepuluh! Aku tak kisah dan sedia telan salah.

Aku tak pasti apa agenda dia, tapi aku tambah keliru bila dia kata kawan doktor, kawan lawyer dia pun ada. Heh... aku bukan doktor buan lawyer... jadi tak apalah kan? Tapi jelas dia kecil hati, mungkin sakit hati dengan ku.

Teringat Isnin yang lalu, seorang kakak kenalan lama menghubungi dan ingin bertemu. Aku mula berangan, mana tempat nak bawa dia makan. Alih-alih bila jumpa ada seorang wanita Cina turut serta. Aku mula berkerut sebab dia formal semacam. Sah ada agenda ni!

Rupanya dia nak suruh aku beli insurans. Tiba-tiba semua polisi yang telah aku ada jadi tidak elok belaka. Polisi dia saja yang sempurna. Kakak kenalan duduk diam-diam wanita Cina pula petah berbicara. Aku dengar dengan hati terbuka. Terus terang aku kata padanya, aku tidak boleh buat komitmen lain selain yang sedia ada sekarang ini.

Wanita Cina minta nombor hubunganku. Terus terang aku kata padanya, jika aku rasa perlu untuk mempunyai insuran itu aku akan hubungi kakak kenalanku, atau dia boleh hubungiku bertanyakan tentang itu. Tapi aku tidak mahu dia talifon, kerana aku akan rimas nanti, dan takut bicaraku pantas sahaja jadi kasar. Dari air mukanya aku tahu dia kecewa... dan mungkin marah. Tolonglah... kalau kau paksa aku ini... mungkin tidak akan menjadi. Aku sudah punya pengalaman bertahun-tahun mengecewakan agen insuran!

Aku jadi kesal, aku ingin jumpa kakak itu kerana sudah lama tidak bertemu dan sesekali aku ingin belanja dia makan. Tapi lain pula jadinya. Pendek kata aku rasa tertipu! Mungkin lain kali kita bisa jumpa tanpa sebarang urusan perniagaan. Sekadar berbual dan menyelak waktu dan masa yang tidak kita kongsikan.

Adakah sahabat baik ingin berbuat begitu juga padaku? Ahhh... tak sukanya. Apa salahnya terus terang sahaja, Kalau aku suka nak cari duit lebih aku akan beritahu, kalau tidak kau tak buang waktu ajak-ajak aku. Tapi aku tidak menolak sebenarnya sahabat baik hanya ingin bertemuku dan acara itu satu hal yang lain.

Apa jualan langsung sudah buat pada persahabatan kami? Sekarang dua-dua sudah kecil hati! Kalau aku sertai julan langsung pastinya aku akan sakitkan hati kawan-kawan, jumpa mereka tidak ikhlas, sekadar untuk jual barang dan tarik orang? Teknik apa MLM sudah ajarkan, aku dan kawan-kawan sudah bertebaran?

Aku fikir, kalau aku sertai MLM... aku akan cakap terus terang, biar sukar mencari orang dan menjual barang, asalkan kawan-kawan tidak pencilkan aku dan mengelak bila diajak bertemu.

Duhai kalian, jangan biar sahabat merasa dirinya mangsa tipu orang yang mereka percayai.

Aku tidak marah sahabat baik. Aku doakan dia berezeki. Pagi ini, sambil kemas-kemas rumah aku hantar SMS...

So sorry 4 miscomm yday i was dsptd when i know u hd an evnt coz im prep smthg 4 ur bday. nwy still procd wf umah ipah at 4pm tmrw, hope 2 c u thr, bring evry1.

She replied..
"no prob babe!"

I wrote her back.
Thanks dear, I love you! I know that im always a bad friend of urs. and ur being an angel 4 forgiving me.

She replied...
"u r part of me will never hurt an inch"

Aku sedar mataku berkaca, terharu atas kemaafan dari sahabat baik. Sesungguhnya bukan semudah itu untuk kami membina persahabatan 19 tahun ini! Dan kami sudah berjanji... untuk sematang-matangnya berfikir sebelum memusnahkan persahabatan emas yang terpupuk selama ini.

Sahabat, kau benar-benar lulus ujian persahabatan in, dengan kepujian tahap tertinggi... cumanya berterus-teranglah lain kali...

[ kalian sudi aku temui untuk acara jualan langsung??? kekekek... wah lajunya lari... kawan ke macam ni??? kekkekek

mungkin lepas ni... ramai yang takut nak ajak aku ronggeng-ronggeng... hah... marilah diriku menyusun sepi... mereka semua sudah lari...

wei... aku tak tangkap mereka yang tidak sudi!!! Justeru... ayuh kita ronggeng lagi... ]


15 Julai 2003
:: cinta kampus

mekar...
dari meja perbincangan
berbincangkah bila pena di tangan
nota kuliah berserakkan
yang direnung mata dalam-dalam
berbincangkah kalian?

ahh... aku buta cinta kampus
apa yang aku tahu
tentang meja perbincangan
tentang pena di tangan
tentang renungan mata yang dalam...

sarat benar bincangnya
topik terpayah kuliah semalam?
redup meniti dari wajah ke wajah
minuman setengah gelas terbiar
kuteguk gejolak hati kamu dulu
pena tergawang di awangan

kemas nota-nota kuliah
susun dalam beg
perbincangan sudah selesai
melangkah dan pergi
minuman setengah gelas tinggal berbaki

cukuplah untuk petang ini
esok kita bincang lagi
dengan pena tergawang-gawang
di antaranya kurenung matamu dalam-dalam.

 

130703:4.08pm cafe kolam renang uitm ~sekadar memerhati kamu adik-adikku di perkampungan ilmu

||:.

KepadaNya jua kita kembali...

Bonda sahabatku pulang ke rahmatullah malam Sabtu lalu (12 Julai 2003). Aku kenal baik dengan makcik. Sewaktu sahabat menalifon, waktu menunjukkan suku jam ke tengah malam. Arwah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah anak lelakinya, di Seksyen 27 Shah Alam. Aku pernah ke sana sekali.

Seperti kebiasaan sesiapa pun menerima berita sedih begini, perasaan akan bungkam, lagi-lagi jika kita kenal mesra dengan mereka yang pergi itu. Ya... aku terduduk dan suara makcik mesra sahaja terngiang di telinga. Kali terakhir aku bertemunya pada penghujung Febuari lalu. Semenjak itu aku tidak pernah sempat ke rumah sahabat, sekadar berkirim salam dan pesan.

Makcik memang selalu tidak sihat, masalah jantung... sudah lama, semenjak aku mengenalinya di tahun-tahun sekolah menengah. Dia selalu keluar masuk hospital. Anak lelaki sulung bergelar doktor, dia memang mendapat perhatian sempurna.

Aku terus menalifon Jedah dan Citah, memaklumkan. Hajat di hati ingin berziarah. Oleh kerana sudah lewat tengah malam, dan masing-masing tinggal di tempat berasingan maka kami sepakat akan pergi berziarah pagi esoknya.

Seawal pagi sahabat telah memaklumkan jenazah ibunya dibawa pulang ke Mantin. Mungkin mereka ingin semadikan di sisi arwah ayah mereka yang sudah lebih awal menyahut panggilan Ilahi. Rancangan kami jadi tergendala, kerana dalam masa yang sama dua sahabat bekerja. Jadinya tidak sempatlah aku ingin ziarah makcik buat kali terakhir. Yang termampu doa kuhadiahkan dari jauh sahaja.

Melalui pesanan ringkas sahabat-sahabat yang lain kumaklumkan. Ita di Seremban sempat berziarah, aku di sini hanya berkirim salam takziah. Sayu hati mengingati mata redup makcik. Dia juga seorang ibu padaku. Adakala aku jadi tidak selesa dengan jarak dan waktu. Satu-satu suara dan pesanan makcik terngiang di telingaku. Aduhai... aku rindu...

Aku harap sahabatku Zarina tabah. Aku harap suami dan dua cahayamatanya dapat mengurangkan duka nestapa. Menitislah hibaku bila mengerling masa muka, aku juga tidak terkecuali dari perpisahan hakiki. Aduhai... tabah apa yang akan kuusung, jika tiang berdiri tidak berpaut di bumi lagi? Hibalah aku...

Al-Fatihah untuk makcik, semoga tenang di sana. Kita semua pun akan pergi, cuma menanti masa jadi nyata. Untuk sahabat tersayang, tabahlah. Aku tahu sepatutnya aku di sisimu, seperti mana engkau selalu di sisiku... tapi alasan jarak yang waktu jadi jitu... aku harap engkau tahu. Aku benar-benar harap engkau tabah, walaupun aku yang mengucapkannya ini terlalu mudah... tapi apalah lagi ucapan yang bisa kututurkan.... teman bersabarlah.

||:.

Julai 2000, arwah nenek kesayanganku kembali ke rahmatullah. Ada satu anjakan besar kedalam diriku dari kepergian nenek itu. Hari terakhir nenek begitu sempurna dan tenang. Begitu pantas dan teratur. Membuat aku lama berfikir dan menginsafi, kalau aku mati... aku juga ingin macam itu.... tenang dan penuh keinsafan buat yang ditinggalkan... Al-Fatihah untuk arwah nenek yang sangat kusayangi... 'uwan... saya rindu...'


13 Julai 2003
:: memori rebung & kolam renang

Awal pagi bersama Citah ke Taman KLCC jogging. Udara segar, matahari pula malu-malu sahaja menampakkan sinarnya, justeru aku cukup selesa. Seperti kebiasaan bersama Citah, aku akan lebih banyak bercerita dan dia lebih banyak mendengar.

Bersarapan pagi di Bangsar. Seorang sahabat berkesempatan untuk turut sama. Kesihatannya agak tidak stabil kebelakangan ini, langsung kerunsingan di hatiku terundang. Aku benar-benar berharap dia segera sembuh.

Singgah pula ke rumah Citah mengutip biji saga. Nanti-nanti kukutip lagi. Jika tidak kerana nyamuk peliharaan Citah yang begitu banyak mungkin aku boleh bertahan... tapi kuantitinya yang agak besar (jumlah sebenar gagal dipastikan kerana nyamuk tidak mahu beratur dan dikira bilangan mereka).

Setiba di rumahku Jedah pula menalifon, ajak pergi berenang di UiTM. Aku takut air... air 5 inci pun aku boleh lemas! Selang beberapa ketika Jedah talifon lagi. Dia minta kami datang awal, dia sudah masak-masak dan jemput kami berdua makan tengah hari.

Sampai Shah Alam terus makan! Enak sekali... bermenukan masak lemak cili api rebung masam dengan udang segar, asam pedas ikan patin dan sayur celur. Buah tembikai untuk acara cuci perut mulut.

Tegak! Aku ingin juga ikut mereka... aku boleh baca buku! Yang benarnya aku rindu perkampungan ilmu itu.

Melalui jalan-jalan kenangan bersudutkan roundabout membawa kembali tahun-tahun sekitar 1994-1999 ke depan mata, di mana aku menghuni Kota Anggerik ini. Walaupun aku tidak pernah meninggalkan tempat ini secara total, aku tetap rindu. Entah, usah tanya... aku tidak punya jawapan khusus, tau-tau ia jadi begitu istimewa.

UiTM banyak ubahnya, walau hatiku tetap kata "Seperti masa dulu juga, udaranya berbau buku dan nota kuliah!". Ubah suai landscap dan bangunan tidak melenyapkan lagu-lagu popular yang tersangkut di birai masa waktu itu. Jalan-jalan yang dulunya kulangkahi dengan keringat di dahi menjelajah bangunan-bangunan ilmu, mengingatkan senda tawa bersama teman-teman, jalan pintas dan cerita-cerita sensasi.

Sepanduk dan bendera kecil warna warni di sepanjang jalan, mereka sedang dalam pesta meraikan graduan. Teringat pula sewaktu aku dan rakan-rakan ditauliahkan. Aku ingin kembali, benar-benar ingin kembali... meneguk setitis dari lautan ilmu Tuhan di muka bumi.

Kenangan selalu saja ku ingat indah, walaupun sewaktu melaluinya penuh pahit dan airmata.

Aku pulang puas... dua puisi lahir memberi hadiah kunjunganku di perkampungan ilmu itu. Minum petang dan rehat-rehat di rumah Jedah lagi. Semua siaran tv membosankan. Netty putarkan karaoke Jamal Abdillah, kita ketawa senak perut menarik suara sumbang dan juga kenangan bersama sewaktu kali pertama lagu popular 'Sandarkan pada kenangan' mengisi ruang masa sewaktu sekolah menengah dan menghuni *MGH!

'Hospital' Zaidah dan Netty tidak pernah kekurangan, aku dan Citah tak berhenti-henti makan! Ada-ada saja yang disuakan. Buah rambutan, kerepek pisang, kerepek ubi pedas, tumpi... aku dah Citah sudah tegak, tapi masih ingat lauk rebung dan ikan patin yang berbaki! Ketawalah lagi sambil menambah kenangan manis persahabatan indah kami, buat nostalgia masa depan. Makan sepinggan lagi kita hari ini, pinggan ditatang kita duduk rapat-rapat, curi-curi rebung orang ketawa kuat-kuat. Aduhai... nostalgia apa yang kita lakarkan, tidakkah nanti aku bakal hiba bila kalian semua tidak punya masa untuk rehat santai bersamaku seperti ini lagi?

Kata Citah sebab itulah kami begitu akrab, selalu tidur sebantal dan makan sepinggan! Tapi aku pantas buat lawak... sebab air liur percik-percikkan walaupun makan mulut tak pernah diam! Pedasnya... mata dan hidung berair-air... di celah hela pedas yang panjang-panjang kita ketawakan diri sendiri lagi. Bukan tidak tahu tahap kepedasannya, tapi ... sedap punya hal, merana sekejap apa salahnya.

Melepasi jam 8 malam aku dan Citah menuju pulang mengusung perut yang kekenyangan. "Makan banyak pun boleh mati!" komersil ring-ring card menambah tawa kami.

*MGH - Malay Girls Hostel (Asrama Puteri Melayu), Jalan Dato' Abd Malek Seremban.


10 Julai 2003
:: Satu Hangat dan Dingin

Satukan hangat dan dingin!
Tinggalkan loba dan ingin!
Hancur hendak seperti lilin
Makanya dapat kerjamu licin

Hapuskan akal dan rasamu!
Lenyapkan badan dan nyawamu!
Pecahkan hendak kedua matamu,
Di sanalah lihat permai rupamu.

[ dari buku lama arwah abah, karya:: Hamzah Fansuri ]

[ jika tidak dibakar dan dimusnahkan karya-karya Hamzah Fansuri, mungkin lebih kaya lagi Nusantara kita dengan ilmu kesusasteraan Melayu.]


9 Julai 2003
:: Hujan airmata

Bayangkan lah laman mu berhias api
Sampai bila rumah mu mampu berdiri
Sebelum di punahkan

Bayangkanlah lahirmu ke alam ini
Sampai akhir hayatmu masih merintih
Menagih kedamaian

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang keinsanan

Bayangkan lah lautmu dilanda taufan
Sampai bila layarmu mampu bertahan
Sebelum kau tenggelam

Bayangkanlah jaga mu tak pernah aman
Sampai malam lena mu rasa terancam
Kau dalam ketakutan

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang keinsanan

Mana hilang kasih sayang
Diberikan tuhan pada kita insan
Hingga kita biar saja
Hujan airmata kian melimpah


[ dengar ]

||:.

Tiga gusar

Ada tiga gusar membuat aku gundah
aku tak tergamak gembira
jika sahabat gulana

Lama termanggu di pinggir hari
belum usaikah gejolak dan mega kelabu
dari peti mimpi mu

Mengunyah sarapan pagi
dalam dada aku mengunyah hati
sudah sarapankah mereka
atau masih bergelut merungkai mimpi ngeri

Sungguh terasa walaupun sangkar tubuh kita berbeza
walau hati masing-masing yang punya
jika walang enggan pergi
jika duka terus-terus mengungsi
teruntukkah bahagia buatmu petang nanti

Tiga gusar di dada tiga sahabat
nyahlah pergi
jangan kau huni... pintu itu sudah ku kunci
pergi... dan jangan datang lagi!

090703:11.34am


8 Julai 2003
::
Menunggu Along tiba...
  
Stesyen Keretapi Seremban.
4 Julai 2003, 8.50pm.

Menunggu Along di Stesyen KTM Seremban. Aku tak telefon awal, kredit prepaid sudah habis. Aku duduk di meja minum, tapi aku tak minum... sekadar meratah sekotak bertih jagung sambil menghabiskan bait puisi di dalam keretapi sebentar tadi.

Sekejap lagi Along sampai, dia akan cari atau telefon aku di sini. Sementara itu aku lihat manusia sana sini, baju biru, hijau dan warna-warni. Aku tidak nampak cantik ke tampan... mata aku kabur lah katakan.

Sebutir-sebutir pop-corn ku sua ke bibir... tekak terasa kering tapi aku tak ada air. Along sudah khabarkan asam pedas ikan banyak tulang. Tambah tembolok kulapar. Sekejap lagi Along sampai, sementara itu kupujuk perut dengan bertih jagung.

Aku toleh-toleh juga ke kiri ke kanan, mana tahu ada orang perhatikan, aku yang ganas asyik menelan, sedang di jariku pena menari-nati.

Kalau benar ada yang ingin perhatikan... rasanya tiada. Ahh... bukan salah apa pun yang aku lakukan sekadar bahan catitan untuk kalian.

Kelibat Along tak nampak lagi, mataku tambah kelabu darisebentar tadi... jangan sampai tertidur di atas meja ini!

Bertih jagung tak kena gula! Amboi lancangannya hatiku berkata... tak sedar diri tak sedar dunia, melintas cela pantas saja dia mengata!

Eh... Along sudah sampai... sudah terasa di tekak, asam pedas ikan terubuk!


7 Julai 2003
::
SAGA ARTAKUSIAD ONLINE!!!

Inilah hari yang dinantikan, ayuh sahabat... kita jengah imbasan Aurora yang tidak pernah lekang dari minda.

http://www.artakus.net

Semoga terintis jembatan merintas pelangi. Membawa mimpi dan ilusi ke ribaan hati. Salam sayang untuk semua... ayuh meriahkan ArtakusDotNet!!!


4 Julai 2003
:: Selamat Hari Lahir Sifu...

Happy Birthday M Nasir.... semoga Tuhan memberkati kehidupanmu...

Hari ini hari lahir beliau. Kebanyakkan ahli kelab sahabat sudah merangka-rangka sesuatu untuk hari ini. Dan mereka semua juga sudah cukup maklum Sifu tidak suka akan acara sambutan sebegini. Mereka merangka sesuatu... tapi aku tidak bisa hadir, masih waktu dinas. Mungkin mereka sempat serang Sifu di Luncai Emas... ah... cemburunya!

Untuk seniman kegemaranku ini.... Selamat Hari Lahir. Sesungguhnya ia bukan sekadar hari untuk acara tiup-tiup lilin, makan-makan dan tepuk tangan sahaja... erti yang sebenar ada dalam hati kita sendiri. Tak perlu lebih lengkap dari itu... Sifu lagi lebih tahu...

Selamat hari jadi
Selamat hari jadi
Selamat hari jadi... Sifu
Selamat hari jadi

Semoga segala yang terindah mampir buat Sifu sekeluarga, dipermudahkan Allah dalam segala urusan, dijadikanNya seorang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.

Terima kasih kerana dalam kehidupan anda, anda telah dan selalu membuat seorang Elaira bersemangat, tersenyum, dan gembira dengan segala bentuk hasil karyamu. Terima kasih untuk gembira yang tersadur dari karya senimu itu. Semoga Tuhan membalas segala kebaikan dan beri petunjuk untuk setiap kelemahan.


3 Julai 2003
:: kemabukan...

Hari ini aku kemabukkan puisi, bertamu ke blog kalian tumpah-tumpah sahaja puisi... maka selain di sana marilah kuabadikan disini...

bicara sepi

sepi lagi bicaramu
setelah sekian hari
sepi...
jatuh dari langit lazuardi
membawa mimpi yang tak sampai
berguling mencari takung
lembah duka berkurun
berjujuk merantai kasih layu
menabung semadi abadi di katil hati.

... dari gesbuk encik

||:.

pindah

ada masa kita perlu pindah
supaya dagu tidak goyah
ada masa kita perlu tepis semua masalah
agar nampak jalan berlampu yang cerah
hidup kita ada ketika bak tempayan
mulutnya kecil dalamnya kelam
melihat keluar tidak banyak yang nampak
duduk di dalam sedikit sempit tapi nyaman
ada waktu tempayan perlu pecah
supaya kita bolos keluar dan mengeliat
membetul lutut dan urat-urat bengkok
menggapai cahaya menyulam pelangi hujan
mengutip titis rezeki dari daun emas bumi Tuhan
ruang berdiri bukan di situ semata
ada masa kita perlu melangkah gah
biarpun yang menunggu duri berceracakkan.

... dari gesbuk cik

||:.

mencari-cari kata untuk seorang sahabat, di antaranya aku menulis begini...

hidup penuh liku
jalan penuh rona
tasik penuh tuba
tayar pancit setiap pagi
roti tumpah tiada kari
...

p/s: siapa pandai buat roti jala dan kuah kari?

||:.

Seorang sahabat tiba-tiba mengekang bicara, di kertas tiada tinta, di maya tiada suara... mujur saja salam berjawap... jika tidak pasti aku akan terus tertanya-tanya... sihatkah dia, dalam susahkah hidupnya? Semoga sahabat, Tuhan permudahkan apa sekali kesusahanmu.


2 Julai 2003
:: today..., I do judge the book by its cover...

Tergamit ke kedai buku sehabis kerja... tiga buah buku kuusung pulang. Tidak sempat sampai rumah di atas jalan pulang aku terus membaca.

Walaupun aku suka puisi... seperti yang kalian bincangkan di forum GeJu, aku agak jarang membaca puisi orang, antara sebabnya aku takut terpengaruh. (jadi mungkin selepas ini puisi ku punya pengaruh puisi-puisi yang kubaca?)

Aku beli buku yang cantik kulitnya... hijaunya begitu lembut... ah... hijau selalu menarik minatku akhir-akhir ini. Pemenang kategori cerpen, puisi dan rencana sastera Kumpulan Utusan 2002, Jangan Kau Menangis. Walaupun bukan seratus-peratus kandungan puisi, hanya sepuluh, aku beli juga, aku mahu tau bagaimana orang bagus-bagus menulis puisi mereka.

Entah... jangan tanya... minat mendalam begini baru-baru saja mampir. Seperti yang aku kata tadi, aku mahu tahu bagaimana orang bagus-bagus menulis puisi mereka. Mungkin ini tanda aku ingin tumpu penuh perhatian dalam menambah khazanah alam penulisan yang semakin sendat? Masakan sendat, aku punya ruang sendiri. Benarkah...? Entah... tapi di MitH aku ada ruang... sekurang-kurangnya untuk diri sendiri, melepas gian jejari yang kegatalan.

Lagi... aku pilih Pertemuan Abadi. Selalu lihat-lihat sahaja, kali ini aku ingin memiliki. Redup mata tua sasterawan negara yang sering kubicarakan di sini kerana kegilaanku terhadap novel-fantasia tulisan anaknya, seperti mahu aku memahami tulisan generasinya... ya generasi arwah abah dulu... ah... arwah abah, terlalu banyak tentang dirimu yang aku tidak tahu. Aku ingin menulis tentangmu... ingin sekali... semoga jadi nyata.

anak sudah pesan
bapa tulis terus terang
bahasa teratur tidak lintang pukang
maksud jelas tidak selindung lalang
aku tahu sekali pandang
koleksi terpilih seluas bendang berbalam
terangkum antara yang terindah
semoga yang kucari di sini ia bemadah.

Kemudian satu kumpulan puisi dwi-bahasa. Mungkin ini bagus, menambah nahu bahasa sendiri dan bahasa orang putih. Puisi-puisi kontrovesi... sinis... juga bahasa kasar yang bisa menyentak jika tidak dibaca dengan minda terbuka. Susunan bahasanya yang indah... kalaulah aku boleh menulis begitu... Walau isinya sua kata kasar kurang sopan, tapi kulitnya enak sekali kupegang!!!


1 Julai 2003

Pagi-pagi lagi aku sudah merayap ke blog-blog GeJu yang biasa kukunjungi. Penyakit baru dua hari ini barangkali. Punya kesempatan, jika tidak punya...

Seperti biasa, harapan semoga Julai 2003 merona bahagia dlam hidup tidak kira apa pun yang bakal mencorakkannya. Tugas-tugas menghimpit dulu kian usai dan terkawal. Sekali-sekala jadi jurugegas tidak apalah. Kalau tidak tebal pula lemak.

[ Okt ' 02 ] [ Nov ' 02 ] [ Dec ' 02 ] [ Jan ' 03 ] [ Feb ' 03 ] [ Mac ' 03 ] [ Apr ' 03] [ Mei ' 03 ] [ Jun ' 03]

this is where rhyme and courage being spoken... where life uncertaintiness being discuss... where friendships fill the air... where love blooms all year through...