1 Apr 2013

29 Mac 2013

bangunlah sayangku
matahari telah lama memberi salam
burung syurga telah menanti untuk sarapan pagi
secangkir kopi pekat dan sepotong roti bermentega
moga harimu indah berwarna-warni dilukis ceria.

16 Mac 2913

                 

 

8 Mac 2013
:: My First Ever Laksa Johor

 

dan bila bahagia itu menemuiku
semua calar balar silam terhapus
tak berbekas.

 

4 Mac 2013
:: Al Fatihah

Untuk kaum Muslimin yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu dan Semporna Sabah. Hari ini hatiku benar-benar merasa kesedihan dan sayu yang dalam. Betapalah aku menginginkan semuanya dapat diselesaikan dengan aman. Kita sama seagama, dan kejadian ini ibarat berbunuhan sesama adik beradik sahaja.

Sedari minggu lepas, sebelum serangan dan pertumpahan darah ini berlaku, aku mula mencari-cari maklumat di internet, aku mahu faham kenapa mereka (Sulu) begitu. Lalu aku jadi faham sejarah mereka. Kebetulan Silsoh sahabat Auroran adalah berketurunan dari sana, maka aku secara terus memikir untuk merujuk dan bertanya kepadanya apa saja yang aku ingin tahu.

Dia telah merujukku ke beberapa sumber bacaan, demikian aku sedikit sebanyak mengerti. Ketika itu aku masih mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan aman. Namun yang terjadi ialah disebaliknya, keadaan menjadi bertambah buruk dan semakin ramai yang menjadi korban.

 

20 Feb 2013
:: Al Fatihah

Kak Linda dah pulang ke rahmatullah pagi ni. Mungkin ketika aku sedang chat dengan Aeen tentang dia. Hening terasa dalam hati. Aku tak sempat menziarahinya di hospital, dan hari ini juga aku tak sempat menziarahi jenazahnya.

Semoga roh arwah ditempatkan di sisi roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah...

 

18 Feb 2013

Sekitar pukul 6.30 petang semalam aku selamat tiba di rumah dari perjalanan jauh menghadiri perkahwinan Wana rakan sepejabat.

Perjalanan jauh sabtu lalu bermula awal pagi jam 5. Juita jemput ku di rumah dan kami bertolak ke utara yg terlebih dahulu kami singgah di USJ menjemput kawannya, Edda.

Kami sampai di rumah pengantin sekitar jam 1 tengahari, serentak sampai dengan En. Adnan (bos) serta keluarga dan juga Muz, rakan sepejabat yang ke Penang bersama dengan En. Adnan sehari sebelumnya.

Ayahandanya baru meninggal minggu sebelum tu, jadi ketika bertemu airmataku mudah saja mengucur, sedaya upaya kutahankan, tak mahu majlis yang indah menjadi hiba tak ketentuan. Bersalaman dengan kakak dan adik perempuannya serta ibunya sambil mengucap takziah, perasaan benar-benar berbaur antara gembira Wana selamat diijabkabulkan dan kepiluan atas kepulangan ayahandanya ke rahmatullah.

Majlis yang sederhana itu terasa meriah, kami dijamu dengan juadah yang sungguh enak. Laksa siam benar-benar membuatku termimpi-mimpi akannya. Terasa ingin merasa lagi. Ia persis laksa Johor cuma ia menggunakan bihun yang kasar dan lembut.

Lama juga kami di rumah Wana, lebih kurang 3.30petang kami pun beredar, bergerak menuju ke Bukit Kayu Hitam. Selama ini mendengar orang bercerita tentang kunjungan mereka ke sana, termasuk tentang barangan bebas cukai, jadi kami berempat sepakat menuju ke sana.

Mungkin kerana jangkaan aku tinggi, maka apa yang ada di sana tidak memenuhi jangkaan itu. Tak banyak barangan yang dijual, semuanya biasa-biasa saja. Cepat saja aku membandingkan dengan Padang Besar yang lebih banyak pilihan. Tak apa lah, sekurangnya aku sudah sampai sini dan tau keadaannya.

Lebih kurang 5.30 petang kami bergerak keluar dari Bukit Kayu Hitam menuju ke Butterworth, Pulau Pinang dan akan bermalam di Hotel Pearl View. Aku tak ingat pukul berapa kami sampai di sana tapi hari memang sudah gelap, mungkin sekitar pukul 8 malam.

Di sepanjang perjalanan aku dapat melihat jerami yang dibakar di sawah-sawah sekitar lebuhraya. Satu permandangan yang indah, yang telah lama luput dari kampungku.

Mentari petang di sepanjang lebuhraya benar-benar mempersonakan, agak sukar merakam dari dalam kereta yang bergerak >< 120kmj.

Sesampai di hotel, kami masuk bilik mandi, tukar pakaian dan keluar semula ke Sungai Dua, malam ini kami mahu merasa mee udang Sungai Dua, En. Adnan sudah pesan supaya kami tunggu di lobi dan dia serta keluarga akan datang dan bawa kami ke sana.

Mee udang Sg. Dua memang membawaku bermimpi, keenakannya membuatkan aku sering teringat-ingat. InshaaAllah moga satu hari nanti aku dapat ke sana menikmatinya lagi.

Keletihan dan kurang tidur malam sebelumnya buat aku lena tak bertangguh sebaik merebahkan badan di kasur hotel.

Esoknya seawal pagi menerima sms dari Wati, memberi tahu Mak Nyah telah pulang ke rahmatullah, sedih benar hatiku, kebetulan gambar Mak Nyah bersamaku ada dalam talifon dapatlah aku melihat dan mengenang Mak Nyah, hendak melawat haruslah tak sempat aku masih di Penang. Sebelum pulang kami sempat ke Tesco untuk membelil jeruk Pak Ali, di sana juga aku sempat membeli beberapa cenderamata untuk diri sendiri.

Selamat sampai di rumah KL jam 6.30petang. Aku dapati mak demam. Panas badannya. Puas kutanya-tanya kenapa sampai demam, dia tidak tinggal sendirian, ada Acap temankan. Dia cuma memberi alasan sekarang musim demam, cuaca sejuk dan sebagainya, tapi akhirnya aku dengar juga jawapan ikhlas dari dia, bila ku tiada dia merasa kehilangan. Mungkin macam-macam yang berlegar dimindanya, memikir yang bukan-bukan hingga dia jadi demam. Kasihan mak, saya bukan berpergian lama, semalam saja.

15 Feb 2013

pada hari yang indah seperti hari ini
aku teringatkanmu,
walaupun pada dasarkan
aku teringatkanmu saban waktu
dan setiap sela diantara waktu
pada sudut detik yang bergulir
biarpun ia merangkaki malam, subuh bening
atau siang yang pucat
aku selalu teringatkanmu
mengiringinya selaksa ingatan yang indah-indah
moga hamparan yang dihadapan kita juga
penuh manikam keindahan.


14 Feb 2013

Sekawanan burung merpati terbang rendah ketika aku dalam perjalanan menuju ke kereta pagi ini. Libasan sayapnya mengadun simphoni bersama layahannya. Seekor demi seekor turun ke permukaan jalan dan mula menapak terhangguk-hangguk, sesekali memagut ke bumi, mungkin ada makanan di situ.

Seketika kesunyian yang lembut hadir bergandingan dengan bayu yang berpuput gemalai, melangkahi pagi sebegini damai membuatkan aku merasa begitu dikasihi seluruh alam, syukur Ya Allah.

Suasana ini indah dengan cuaca yang tenang dan aku mau mengenangnya, menyemai ke dalam hati buat bekal keceriaan sepanjang hari.

 

6 Feb 2013

wahai
kalbu yang berkabus
kabus yang berkalbu
berkuaklah
suakan haluan yang lurus
menongkah yang bertingkah
bertingkah menyusun tapak
memperteguh keberadaan
mengukir tugu kasih dan sayang.

28 Nov 2012

Hospital itu satu tempat di mana kita akan lebih menghargai insan yang kita sayang.

2 Nov 2012

pincang pada perbendaharaan hari
ketika mentari bangun dengan selimut keresahan
dan menghidangkanku sarapan... secangkir kekalutan dan kegilaan.

1 Nov 2012
:: Cintaku...

dia itu cintaku
jantungnya tergantung di awan dengan selendang pelangi
membaluti dada yang membusung diamuk prahara rindu.

jangan begitu merindu
nanti dadamu robek diterjah rasa
aku bakal dingin tak punya bantal untuk lena
dan rindu itu akan terbebas dan bergentayangan tanpa arah.

aku mahu ia tenang berdegup dalam aman
ya, seiring rentak jantungmu yang harmonis
meratipkan Cinta! Cinta! Cinta!

10 Sept 2012
:: Bunga-bunga mekar

Banyak bunga-bunga mekar
harumannya tersebar ke serata alam
di kelopaknya tersemat ceria
buat setiap mata yang memandang

Kembang anugerah Tuhan
tersemat di hati menjadi keronsang
mengerlipkan sinar
menjadi jembatan dan nadi penglipurlara
sebelum masa berakhir.

30 Ogos 2012
:: Bingkisan membawa gembira...

Syukur Alhamdulillah Ya Allah. Setelah berbulan-bulan memendam rasa, akhirnya hari ini ia selamat sampai ke tangan dan dalam dakapanku. Selama ini kononnya aku mahu mengambil sendiri dari tangan penulis, berhasrat mengunjungi beliau di Seremban, tetapi nampaknya masa tidak mengizinkan. Ketika dia berhari raya ke Buyau tempoh hari, dia pula terlupa membawa buku ini. Aku belum membaca keseluruhannya, sekadar flipping-through dan ke halaman 83 di mana "Puteri Elaira" di sebut

Aku belum boleh mengulas buku ini secara keseluruhan, tetapi sekali pandang memang sungguh menarik dengan paparan gambar-gambar di sepanjang perjalanan penulis, dan aku sempat berangan kalaulah aku ada sama pasti akulah yang merakam suasana itu. Apakan daya, tidak semua kemahuan itu dapat dipenuhi, aku mengalah atas alasan-alasan yang tidak boleh kugubal, terutama kewangan.

Sejujurnya aku sangat bangga dengan buku ini, ia lahir dari kegigihan dalam keseronokan berkembara. Buku ini memberi inspirasi. Dan buku ini jelas sebagai panduan bagi para pembaca yang ingin berkunjung ke United Kingdom dan Dublin kelak. Semestinya Nisah telah membuat kajiselidik yang secukupnya sebelum berangkat berkembara. Lebih indah lagi, beliau sempat bertemu rakan-rakan di sepanjang kembaranya itu, aku rasakan itu sesuatu yang sangat istimewa dan aku pasti perasaan bertemu rakan-rakan di sepanjang kembara itu suatu keindahan yang sukar digambarkan.

Aku malah cukup terharu apabila membaca autograf yang ditulis Nisah di muka pertama buku ini. Kiranya ucapan terima kasih juga mungkin kurang mencukupi, sepatutnya kubalas dengan sebuah buku juga. Ah, buku yang kuimpikan itu masih terlalu berbalam dibatas kesungguhan yang rapuh.

Untuk memesan buku ini, sila lah ke www.ujanailmu.com.my

29 Ogos 2012
:: Dedaun masa...

Pagi ini ketika mengemudi kendera memasuki lebuhraya, dua helai daun kekuningan berjatuhan dengan gemalainya melewati cermin hadapan kendera. Satu permandangan biasa yang cukup ringkas, tetapi demikian indah kurasakan, lalu kuhadiahkan senyuman yang meleret pada kasih Tuhan yang menyiramiku dalam berbagai bentuk dan adanya.

Dan, aku mahu menulis semula, biarpun perkara sekecil ini, tetapi inilah yang kuperhati dan kuamati dan ia meninta bahagia di dalam jiwa.

Masih tersenyum bahagia :)

Komen Anda [ Enter Erikas ]


Sila ambil perhatian, semua imej dan karya adalah hakcipta © Elaira.Net. Sebarang penyalinan tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

 

Sedang Menghadami

arkib - apr 11, mac 11, jan 11, dec 10, nov 10, okt 10, mei 10, mac 10 , dec 09
Copyrights © 2002 - 2013
Myths in the Haze
http://www.elaira.net