+ menu: misc | olai tannon
 

Artikel Pilihan

Terbit di Berita Harian: 7 Februari 2004

- Sastera -
Bicara Pengarang: Novel fantasi, sains fiksyen ramai peminat: Ahmad Patria

AHMAD Patria Abdullah dianggap sebagai pelopor penulisan novel fantasi dan sains fiksyen di negara ini. Kemampuannya menghasilkan enam novel fantasi berkonsepkan kehidupan dan perjuangan seorang pahlawan, Artakus, membuka mata pembaca, terutama peminat novel fantasi. Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, HASSAN OMAR, dengan beliau, di Bangi, baru-baru ini.

AHMAD Patria setakat ini menghasilkan enam novel fantasi. Mungkinkah Ahmad Patria terpengaruh dengan novel `Lord of The Rings’ (LOTR)?

Saya memang tak ada cita-cita menjadi penulis novel. Kebetulan saya insan yang suka bercerita. Ketika di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) saya macam penglipur lara yang bercerita kepada rakan. Sejak kecil saya dibesarkan dengan novel Inggeris. Cerita penglipur lara ini saya ambil daripada novel Inggeris seperti LOTR yang saya kenali ketika dalam darjah dua.

Benarkah Ahmad Patria menulis novel pertama Permata Aurorius ketika berusia 18 tahun?

Novel itu ditulis selepas saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Satu malam ketika berjalan kaki pulang dari rumah kawan di Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam, ketika melalui jalan yang sunyi, tiba-tiba saya ternampak sebuah negeri yang cantik dan datang bagaikan mimpi. Sukar untuk saya menggambarkan keadaan ketika itu. Bila sampai di rumah, saya terus menaip dan siap 200 halaman dalam masa dua bulan.

Ayah Ahmad Patria tidak campur tangan?

Ayah pada mulanya tidak perasan. Ketika kekurangan kertas saya menggunakan kertas terpakai ayah. Selepas lebih kurang 90 halaman, baru ayah bertanya, melihat dan membacanya. Ayah selalu memberi sokongan dan hanya membaiki bahasa serta memberi cadangan pada peringkat awal penulisan. Saya akui ramai orang boleh menulis tetapi untuk menyiapkannya susah. Kerja menulis memerlukan kita mengasingkan diri. Kita amat kesepian ketika menulis. Sebab itulah penulis memerlukan ketabahan. Selepas dua setengah bulan menaip, manuskrip itu siap. Bagaimanapun saya membuangnya dalam tong sampah. Saya mula menulis novel lain. Ayah mengutipnya dan bertanya mengapa saya berbuat demikian? Saya jelaskan saya tidak puas hati dan ayah mengatakan bukan hak saya untuk mengadilinya serta mencadangkan ia dihantar kepada penerbit. Saya memang tak suka novel itu. Saya menganaktirikan novel pertama itu.

Bagaimana boleh menulis novel kedua?

Saya menghantar novel pertama itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tak sangka Permata Aurorius dipilih sebagai buku terbaik Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) pada 1987. Novel kedua ditolak DBP.

Bagaimana dengan novel ketiga?

Saya menulis Kota Arialun pada 1987. Diikuti Kembar Artakus (1988), Petua Azkram (1991) dan Puteri Alindalia serta Pedang Aurora (1993). Semuanya cerita bersiri. Ceritanya bermula dengan seorang budak bernama Rizal yang baru pulang dari sekolah dan dilanggar kereta. Apabila sedar, dia berada di negeri asing, Aurora. Orang memanggil Rizal Artakus. Muka orang di negeri itu, muka Melayu tetapi bermata hijau. Rizal dipanggil Artakus kerana mereka menganggap beliau pemimpin agung yang dinanti-nantikan. Bangsa Aurora ada lima kelana berpecah-belah dan dijajah Morok. Artakus diangkat menjadi pemimpin tertinggi. Dalam alam itu ada masalah politik dan metafizik. Ada satu entiti masyarakat enrokus iaitu orang jahat seperti Sauron dalam LOTR. Mereka ini berhasrat memusnahkan dunia.

Jelas Ahmad Patria terpengaruh dengan LOTR.

Memang saya dipengaruhi oleh novel itu. Saya amat meminati LOTR sejak 1977. Saya menulis novel pertama saya pada 1986, sebelum orang mengenali filem LOTR lagi.

Bagaimana dengan susunan plot dan teknik penulisan yang lain?

Ini semua ilham daripada Allah swt. Bila DBP menerima manuskrip saya, saya sungguh seronok. Bagaimanapun, saya dibatasi oleh kesedaran bila kita menulis novel, kita tidak boleh mengatakan yang kita ini bagus. Ia kurniaan Ilahi. Ibu memang menggalakkan saya menulis tetapi tidak mahu saya menjadikan penulisan sebagai kerjaya. Ibu lebih suka saya mendalami ilmu farmasi. Di USM pun, saya mengambil bidang farmasi.

Bagaimana dengan penerimaan pembaca terhadap novel fantasi?

Pada sekitar 1980-an, novel fantasi memang kurang. Saya dikatakan sebagai pelopor novel fantasi di Malaysia. Pada peringkat awal, saya banyak menerima kritikan daripada pembaca. Mereka tidak begitu faham apa itu novel fantasi. Ada yang memandang remeh novel fantasi dan menganggapnya tidak bermutu. Apabila saya dipelawa menghadiri program anjuran DBP, saya ditanya bermacam-macam perkara. Ada yang mengkritik dan ada yang memberi sokongan. Ini lumrah kehidupan sebab ia benda baru.

Apa yang Ahmad Patria ingin sampaikan dalam novel fantasi?

Mesej yang ingin saya sampaikan ialah mengapa sesuatu bangsa itu dijajah? Sebabnya mereka berpecah-belah. Di hujung cerita, hero tak dapat apa-apa sebab dia ikhlas. Orang yang ikhlas selalunya mengharapkan balasan daripada Allah.

Apakah Ahmad Patria mempunyai laman web sendiri?

Sebenarnya laman web itu peminat yang usahakan dan sudah menerima 2,000 pelawat sejak diwujudkan Jun lalu. Saya terkejut kerana pengunjung laman web itu ada yang berusia 20 hingga 30 tahun. Mereka sekarang sudah menjadi jurutera, doktor dan peguam. Mereka membaca novel fantasi saya ketika berusia belasan tahun.

Bagaimana dengan karya terbaru Ahmad Patria?

Hari ini, saya sudah menyiapkan novel ketujuh, Lagenda Numerius. Saya mahu mencetak 500 naskhah dan kini pada peringkat penyuntingan. Novel ini sudah menerima tempahan 200 naskhah dan berharga RM 23.50. Paling tebal buku ini saya anggarkan sekitar 200 halaman.

Apakah Ahmad Patria ada cadangan menerbitkan kompilasi novel?

Cadangan itu memang ada tetapi saya perlu membuat bermacam-macam persediaan.

Bagaimana Ahmad Patria melihat prospek novel fantasi di negara ini?

Novel fantasi memang ada prospek. Tambahan pula, sekarang sudah banyak filem fantasi seperti LOTR. Keenam-enam novel saya kini tidak ada di pasaran sebab sudah tidak dicetak lagi. Pernah satu ketika, anak syarikat DBP, Dawama, mengiklankan novel saya dalam laman web, tak sampai dua minggu, habis dijual.

 
 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.