+ menu: misc | olai tannon
 


Antiga Prima : Kemusnahan Gerbang Safrikin
by Orzailly the Zukkiri

…Akhirnya aku sampai di plat Harogath, lembah terakhir yang mendatar ke pintu Kota Akkordeon. Deraian salju nipis yang jatuh dalam gerak perlahan bagai menyambut kedatangan yang tidak diundang di bumi terjajah yang penuh dengan tangisan ini. Aku menyisir rambutku yang berpasirkan salju, menggugurkan beberapa butir salji nipis yang jatuh lantas terselit dalam helaian rerambutku yang panjang. Diusir jatuh ke bumi, kerana kehadirannya juga tidakku undang.

“Lihat, Akkordeon di depan mata!” ujar Alpisa sambil memacakkan javelin titaniumnya ke tanah.

Aku menarik nafas panjang, memenuhkan ruang dadaku dengan udara segar Harogath. Kakiku bagaikan terpaku apabila mataku takjub melihat keanggunan sebuah kota batu gunung yang amat besar dan unik binaannya. Tersergam indah di puncak bukit, kota itu dibina bertingkat-tingkat persis sebuah menara besar dan tinggi dari jauh. Terdapat satu koridor bertepi yang sederhana lebar, menghampar panjang dan semakin meninggi menuju ke arah pintu masuk, memungkinkan dua pedati berkuda berselisih sekali lalu. Pintu masuknya pula dikepit oleh dua buah menara bersegi empat, berwarna agak kelam ditumbuhi lumut hitam yang mati. Manakala di belakang pintu masuk utama tersebut berdiri gagah sebuah menara balistik separa bulat yang besar. Susunan koridor yang panjang, pintu masuk yang besar serta tiga menara di tepiannya itu membentuk satu formasi laksana sebuah gerbang.

“Gerbang Safrikin,” kata-kata itu keluar dari mulutku. Ada satu perasaan gerun di sebalik kekaguman yang cuba diluahkan.

Nazril menghentikan langkahnya, memerhatikan kota itu dengan satu pandangan hitam. Kami turut mengikut jejak Nazril, melihat sambil melakukan perhitungan peribadi mencari siasah yang mantap untuk menggempur kota ini hanya dengan kekuatan seorang Karman, seorang Zukkiri dan empat orang Qarzaig yang setia bersamaku.

Kami sememangnya telah bersedia untuk menerima apa sahaja kemungkinan dan risiko yang mendatang, kerana hanya itulah pilihan yang ada demi untuk merampas dan menyelamatkan kembali Dewi Zurenna yang disembunyikan di dalam kota ini. Dan masa tidak diberikan terlalu lama kepadaku untuk menyelesaikan misi ini. Ah, peperangan semakin hampir di lembah Akturius. Kehadiranku amat diperlukan oleh orang-orang Aurora, lebih-lebih lagi oleh seluruh armada Antiga Prima yang kini di bawah kepimpinan Artakus.

Aku tidak akan memungkiri janji untuk berperang di sebelahnya kelak, mempertahankan seluruh kelana Aurora daripada genosid Morrok durjana. Itulah titah yang kujunjung, ikrar yang kulafaz bersama sumpah yang setia di hadapan Maharaja Tarsonis IV tatkala baginda menyerahkan Zaradilan kepadaku…pedang Tarsonis yang membawa seribu kekuatan serta ketangkasan Zukkiri-zukkiri yang pernah gugur tatkala bersabung nyawa bergolak gadai mempertahankan Kerajaan Tarsonis di medan perang semenjak beribu-ribu tahun yang lepas. Semangat mereka kini bersamaku, dan tidak pernah mati serta sentiasa menghidupkan api perjuanganku dalam setiap pertarungan.

“Gerbang itu harus diselesaikan terlebih dahulu,” ujar Nazril tanpa melihatku. Pandangannya masih difokuskan ke arah kota batu gunung itu.

“Adakah kota ini masih berpenghuni? Siapakah yang mendiaminya kini?” soal Kantera, Qarzaigku yang termuda.

“Krawk,” jawabku sepatah.

Kantera menyambut jawapanku itu dengan mata yang semakin mengecil dan kening yang semakin berkerut. Aku faham.

“Makhluk-makhluk hodoh berdarah hitam, bertaring, berduri di seluruh badan, bermata merah serta bertanduk dari dunia hitam yang memuja kegelapan. Bersayap, tetapi tidak boleh terbang,” tambahku tersenyum. Namun, senyumanku itu menambahkan kerut di dahinya.

“Sekutu Herakos?” soalnya lagi. Vladarek yang dari tadi mendengar mula menunjukkan minat untuk mengambil bahagian mencurahkan ilmu pengetahuan kepada Qarzaig kesayanganku ini. Tetapi minatnya tidak serius.

“Herakos tidak mempunyai sekutu yang tampan dan kacak seperti kita,” pintas Vladarek, memberikan satu jawapan yang membuatkan aku dan Wulfkar tergelak kecil. Kantera hanya tersenyum.

“Semenjak empayar Kyri yang memerintah Kota Akkordeon jatuh digempur tentera Krawk, seluruh kota ini telah menjadi sarang mereka. Krawk hanya bertuankan Ungkrai, sang penunggu kota yang telah mengkhianati seluruh kelana Kyri dengan membuka pod sihir di Gerbang Safrikin. Dan kerana itulah, Kota Akkordeon jatuh dan seluruh penghuninya disembelih dan dimakan,” ujarku tanpa senyuman seperti tadi. Serius. Aku menyisir rambutku, menepis gumpalan salji yang semakin menebal.

“Dan itulah matlamat pertama kita untuk memasuki kota ini. Memusnahkan Gerbang Safrikin terlebih dahulu dengan menewaskan Ungkrai yang menjaga pod sihir,” celah Nazril. “Terdapat sembilan pod sihir yang harus dinyahaktifkan sebelum kita boleh memasukinya. Namun, dengan membunuh Ungkrai, secara tersendirinya kesemua pod itu akan lenyap dan kita hanya memerlukan pedang dan perisai sahaja untuk berhadapan dengan Krawk yang hanya kuat pada bilangan,”.

“Apakah Krawk tidak memiliki sebarang kekuatan magis?” soal Kantera lagi.

“Tidak. Tubuh mereka bisa dicederakan dengan tikaman pedang dan tusukan panah. Cuma mereka sangat rakus dan bilangan mereka pula ramai. Namun, berhadapan dengan mereka ku kira bukanlah satu masalah lagi untukmu, sekiranya kita berjaya menewaskan Ungkrai.”

“Mengapa pula demikian?”

“Kerana Ungkrai adalah nyawa mereka. Membunuh Ungkrai akan menghapuskan seluruh Krawk dari dunia ini. Dan kerana itu, kita harus menewaskan Ungkrai secepat mungkin,” jawab Nazril memenuhi pertanyaan Qarzaigku itu.

Aku mengerti apa yang cuba dilakukan oleh Kantera. Menganalisis. Mengenalpasti siapakah musuh kita akan memberikan kita kekuatan untuk berhadapan dengannya. Menilai kekuatan musuh pula, akan menjadikan kita lebih yakin dengan kemampuan diri. Kemudian, barulah satu percaturan siasah yang mantap dapat diilhamkan, hasil daripada persebatian antara kebijaksanaan dan kekuatan. Aku kira, persediaan peringkat pertama untuk bertempur telah selesai secara peribadi bagi dirinya.

Keadaan kembali menjadi sepi. Fikiran masing-masing melayang jauh ke dalam kota itu. Sesekali angin sejuk bertiup nyaman bersama kesejukan Harogath yang dilanda salji rahmat. Dalam masa yang sama, aku juga turut membuat perhitungan agar pertempuran yang bakal terjadi nanti tidak memakan masa yang lama supaya risiko pertempuran tidak menjadi terlalu berat. Menghadapi seluruh angkatan perang sebuah kota dengan kekuatan enam karektor pahlawan adalah sesuatu yang mungkin gila dan tidak munasabah. Namun, aku yakin dengan kemampuan yang tersendiri, setiap Qarzaigku mampu membentuk satu kombinasi pertahanan dan serangan yang mantap dan padu apabila bertarung secara bersama. Malah, dengan kehadiran Nazril, restu Arasis bersama kami.

Kami meneruskan langkah menuju ke koridor masuk kota Akkordeon. Semakin kami menghampirinya, Zaradilan bergegar kuat dalam sarungnya, minta dikeluarkan. Angin pula bertiup sayu, meniup rerambutku yang sekali-sekala dilekati salju. Langkah Nazril mendahului kami, tenang dan yakin walau jubah putihnya menggerbang dihembus sang bayu. Tiba-tiba, dia menghentikan langkahnya tatkala kami hanya sepelaung dari koridor masuk. Dia memandang ke timur, melihat Arasis sudah mula terbit dan cahayanya sesamar pelita yang cuba menelan gelita sang malam. Aku melihat dia mengecilkan mata dengan wajah tuanya yang dipenuhi gegaris usia, kemudian mulutnya terkumat-kamit persis mengungkap kalimah sihir dan seraya itu menganggukkan kepalanya. Dia seolah telah mengesan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh pandangan biasa. Lantaran perasaan ingin tahu, aku menyuarakan pertanyaan kepadanya.

“Kita tidak bersendirian,” ujarnya ringkas.

“Apakah maksudmu, wahai Karman?” soalku pula meminta penjelasan.

“Merkia sedang memerhatikan kita, bersama Azkram dan Artakus di Lembah Akturius,” jelas Nazril kepadaku.

Pasti melalui bebola kaca milik Merkia. Bukankah dia yang telah menghantar Nazril kepadaku, dan pertemuan dramatik kami di Lembah Arsilliath tempoh hari adalah di bawah perancangannya. Sekurang-kurangnya, mereka turut memberikan sokongan moral kepada kami dari jauh.

Tiba-tiba, angin bertiup semakin kuat. Jeritan mula kedengaran dari arah kota diikuti bunyi hiruk pikuk yang mengerikan. Deria betazoidku mengesan bahaya, lantas tangan kananku menghunus Zaradilan keluar dari persarungannya. Kesemua Qarzaigku turut mengikuti jejakku. Aku memerhati ke arah kota, mencari sebarang pergerakan musuh yang masih belum nampak.

Vladarek mula mengeluarkan beberapa batang skepter kromiumnya yang bercerai dan memasangnya bersambungan menjadi satu platform ringkas. Kemudian dia mencantumkan panah stagnan miliknya di pertengahan platform itu, lantas menjadi sebuah katapult yang mampu memberikan jarak sasaran yang lebih jauh dengan momentum yang lebih kuat pada halaju yang tinggi. Dia kini bersedia mensasarkan anak panah vulkirnium, sejenis anak panah tersihir yang mencari sasaran sendiri dan punyai tahap kemusnahan laksana halilintar. Jaringan sihir yang telah membelenggu seluruh kota tersebut tidak akan membenarkan panah biasa menghujaninya.

“Masanya telah tiba,” ujar Nazril dalam kelantangan suara yang ditelan angin.

“Vladarek, binasakan menara tengah, Ungkrai pasti di situ!” arahku kepada Vladarek, menegaskan kembali betapa pentingnya menewaskan penunggu kota itu secepat mungkin sebelum lebih banyak makhluk-makhluk Krawk itu keluar melalui koridor kota dan menuju ke arah kami. Sememangnya, itulah siasah Nazril. Menggempur pertahanan sihir kota dari jauh, memaksa Ungkrai keluar secepat mungkin sementara kami bertahan disini sambil menanti kedatangan Krawk yang akan muncul pada bila-bila masa sahaja.

Vulkirnium yang pertama dilepaskan menghala ke arah menara ballistik, meninggalkan desingan bingit laksana petir yang menyambar di depan mata. Semakin jauh panah sakti itu melayang, semakin mampan ia menuju ke sasarannya dalam kepantasan yang amat, memustahilkan sebarang perisai pun menahannya. Tatkala ini, ia kelihatan umpama cahaya putih persis halilintar deras membelah udara, dan cahaya putih itu kini berpecah-pecah sehingga menjadi tujuh bahagian yang semakin menghampiri sasaran.

Bumi seakan bergegar ketika kesemua vulkirnium itu menghentam dinding menara ballistik satu per satu, diiringi bunyi kuat dan letupan api yang dahsyat. Batu-batu gunung yang selama ini diikat jitu menjadi susunan geometri kota kini berterbangan, laksana debu kering yang ditiup angin dataran. Dalam gerak perlahan, menara ballistik itu mula dilanda keruntuhan ketika makhluk-makhluk Krawk itu mula muncul dari celah kota, berlari rakus menuju ke arah kami. Semakin lama mereka semakin hampir, dan semakin jelas wajah mereka kulihat. Tubuh hitam mereka seperti manusia kerdil yang cacat di sana sini dan kelihatan bongkok, berlari melalui koridor kota sambil galak menjerit kemarahan. Pandangan mata merah mereka dengan kepala yang bertanduk satu di depan persis sang singa yang kelaparan daging merah berdarah.

Tatkala itu, telingaku pekak mendengar satu jeritan besar yang amat mengerikan. Seluruh kota yang bermandi api kini bergegar sekali lagi, seakan terdapat seekor naga besar yang ingin keluar dari belenggu perut kota. Dan Krawk itu semakin menghampiri!

“Ungkrai sudah mula bangun!” jerit Nazril, memegang erat tongkat sepunggurnya yang dihalanya ke atas.

“Orzailly! Halang mereka daripada mendekatiku!” jeritnya lagi dan terus duduk bersila di atas tanah lalu memejamkan matanya dan mula membaca mantera. Maka, bermulalah tugas Karman Armorikus ini menguruskan Ungkrai. Manakala tugasku bersama yang lain ialah melindungi Nazril daripada serangan Krawk, dan melengahkan Ungkrai sementara memberi Nazril masa yang secukupnya untuk dia menyelesaikan mantera sihir khas untuk membunuh Ungkrai.

Vladarek melepaskan vulkirnium kedua, yang kemudiannya telah berpecah menjadi sembilan cahaya kuning emas. Kali ini sasarannya setiap satunya ialah ke arah kesembilan pod sihir Gerbang Safrikin yang mesti dimusnahkan sebelum Nazril bisa meragut nyawa Ungkrai. Dalam masa yang sama, Kantera, Wulfkar dan Alpisa bertubi-tubi melepaskan panah masing-masing ke arah musuh yang berduyunan menuju ke arah kami melalui koridor kota, laksana segerombolan semut yang melintasi sebatang dahan, dan mereka semakin mendekatiku yang berdiri di depan bersama Zaradilan dan perisai gothic yang kemas dalam genggaman. Kelihatan beberapa puluh ekor Krawk rebah ditusuk panah dan jatuh ke bawah gaung. Namun, asakan mereka yang lain terlalu ramai untuk dijamah oleh panah-panah Qarzaigku.

“Mereka bersenjatakan kayu dan logam!” seru Wulfkar berdasarkan pemerhatiannya yang semakin jelas, memberi amaran.

“Dan bertubuh tanpa perisai!” balas Kantera, masih lagi dengan analisisnya. Mungkin yang terakhir dan lebih berbentuk kesimpulan barangkali.

“Bersedia wahai Qarzaigku sekalian! Lindungi Nazril!” tempikku tatkala melihat musuh hanya sepergalah dariku. Serentak dengan itu, panah dijatuhkan dan senjata masing-masing dihunus keluar.

Buat pertama kalinya semenjak meninggalkan Tarsonis, aku menghayunkan Zaradilan ke arah musuh di depanku sambil tubuhku berpusing-pusing mengelak terjahan musuh yang menggila, menangkis beberapa senjata logam dan belantan duri yang dihalakan ke arahku, dan disambung dengan hayunan kedua yang berjaya memutuskan kepala tiga ekor Krawk. Ternyata aku masih belum kehilangan rentak tarian bertarung bersama keserasian Zaradilanku yang kini sudah mula bertintakan darah hitam.

Hayunan seterusnya menyebabkan seekor lagi Krawk gugur di tepiku, sebelum perisai gothicku menepis beberapa tikaman belantan musuh dan diakhiri dengan robekan pedang di dada mereka. Kemudian aku berpusing ke kanan sambil menarik Zaradilan dari dada musuh, memberikan satu tendangan di perut seekor Krawk yang cuba menerkamku dari arah belakang. Dalam masa yang sama, aku menghentakkan perisai gothic ke kiri di kepala seekor Krawk yang pening-pening lalat sebelum aku menikam leher Krawk yang kuterajang sebentar tadi. Untuk Krawk yang masih pening-pening lalat tadi, aku menghadiahkannya satu tumbukan tangan kananku yang masih menggenggam Zaradilan, lalu menyebabkan ia tersungkur jatuh. Kemudian Zaradilan kuhayun ke kiri menikam belakang seekor Krawk, diikuti satu hayunan ke depan, ke atas dan ke bawah, menjadi seperti satu formasi tarian yang berjaya meragut nyawa lima ekor Krawk sekaligus. Namun, tumpuanku masih terhadap Krawk yang pening-pening lalat sebentar tadi di belakangku. Deria betazoidku mengesan pergerakan terbarunya cuba menghayunkankan belantannya ke arahku. Aku tidak mengelak, tetapi hanya menundukkan sedikit kepalaku untuk memberikan laluan sebatang panah vulkirnium melintasi kepalaku lalu menembusi tubuh Krawk itu. Aku menjeling ke arah Vladarek sepintas lalu sebelum meneruskan pertempuran.

Dalam masa yang sama, kulihat Alpisa begitu lincah menghayunkan javelin titaniumnya di sebelahku, memancung dan menikam tubuh musuh manakala Wulfkar pula adalah yang paling bersemangat dan agresif sekali, dengan jeritan kuat dan laungan nyaringnya yang penuh dengan perasaan kegeraman dan api kemarahan. Ganas. Kantera pula kulihat begitu tangkas dan lincah menghayunkan Tharsis, pedang kuprum dua tangan yang panjang dan ringan. Dan Qarzaig muda ini hanya memiliki satu tabiat teknik membunuh musuh, pemenggalan kepala. Hampir semua Krawk yang gugur kerananya kulihat tidak berkepala lagi. Kerana itulah dia tidak pernah kuberi sebarang tugasan untuk menangkap hidup-hidup seseorang musuh, kerana biasanya apa yang akan dipersembahkan kepadaku hanyalah kepala.

Musuh semakin hebat mengasak, semakin bertambah bilangannya. Dan aku semakin tertekan. Tumpuan Qarzaigku mula berubah ditenggelami musuh yang ramai. Pertahananku terhadap serangan mereka laksana menahan air dari empangan pecah. Kalori tubuhku terbakar di tahap maksimum dalam setiap sel otot lantaran kardiovaskular yang semakin meningkat. Arus respirasiku bertambah, nafasku sekencang taufan, mengikut rentak jantung yang semakin ligat berdegup mengepam darah segar ke segenap pelusuk tubuh, membawa oksigen dalam setiap plasma merah. Ah, mataku bertukar putih laksana mutiara yang berkilau dalam bayang air. Deria betazoidku kini mengatasi peranan otak dan saraf tunjang, mengawal setiap pergerakanku, hayunan Zaradilan dan rentak kakiku yang menjadi semakin lincah mengadaptasi tarian perang. Mengelak, menepis dan menikam. Dalam keadaan ini, genggaman pedangku menjadi semakin erat, momentum hayunan Zaradilan bertambah berat. Aku semakin tangkas, semakin kuat tatkala rentak Qarzaigku yang lain semakin ke belakang. Aku ibarat dibantu oleh suatu kuasa, yang mungkin datangnya dari Zaradilan, persis terserunya segala roh Zukkiri Tarsonis di alam barzakh yang bangkit dan datang kepadaku. Raungan perangku menelan dingin salji, mencetus bara dan menyalakan kembali semangat peperangan para Qarzaig.

Arus pertempuran kembali berubah. Alpisa kembali mengorak langkah depan. Kelihatan javelin titaniumnya semakin ligat meragut. Wulfkar semakin tegar. Pertahanannya semakin mantap, dan serangannya kian padu. Vladarek dan Kantera pula kini berganding melakukan pertempuran satu-dua dalam kombinasi yang berpusing-pusing. Namun, arus peperangan tidak lama berpihak kepadaku apabila secara tiba-tiba Kota Akkordeon kembali bergegar. Dari jauh aku melihat satu letupan yang besar, merobohkan dinding kota laksana digempur gergasi besar. Dan apabila bebatu kota itu habis jatuh ke tanah bersama debu yang berterbangan, dalam pergerakan yang amat laju melayang ke arahku, aku melihat satu bayangan gergasi hitam yang hodoh dan besar, cukup menyebabkan aku tergamam dan lemah seketika. Ungkrai!

Dalam asakan Krawk yang semakin menggila, arus pertempuranku kembali terhimpit, dan semakin terhimpit melihat junaman Ungkrai ke arahku. Bagai nyawa di hujung tanduk, namun berpantang ajal tidak sekali sebelum maut! Aku melibas musuh di sekelilingku, sebelum melontarkan Zaradilan ke arah Ungkrai. Tatkala Zaradilan membenam dadanya, satu cahaya putih yang amat terang, sekilau sinar teras mentari, menjamah tubuh hitam Ungkrai lalu menghasilkan satu letupan yang bisa memecahkan gegendang telingaku dan membutakan mataku. Dan pandanganku semakin lama semakin kabur, duniaku putih seketika sewaktu aku melihat bayangan Dewi Zurenna di depan mata. Kemudian segalanya menjadi gelap....

   
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.