+ menu: misc | olai tannon
 


Antiga Prima : Pertemuan di Lembah Arsilliath
by Orzailly the Zukkiri

Hembusan udara segar pergunungan Arsiliath mencipta ruang percubaan untuk mewujudkan satu kedamaian jiwa yang sementara di dalam hatiku. Aku menarik nafas sedalam mungkin lantas memenuhi segenap perspektif dadaku dengan bau wangian orkid liar serta kehijauan dedaun hutan. Namun, kehadiran sejumlah adrenalin di dalam sistem transmisi sel-sel plasma menggagalkan segala percubaan alam semulajadi untuk merendahkan kadar denyutan jantungku yang semakin berdebar menunggu masa untuk bermulanya sebuah pertempuran besar. Aku diiringi ke empat-empat penghulu Qarzaig Antiga Prima. Wulfkar, Alpisa, Vladarek dan Kantara berhati-hati berjalan di sekelilingku membentuk satu jaringan sihir halimunan, memustahilkan diri kami daripada dilihat oleh musuh .

Aku terus menyusuri celahan pokok-pokok hutan dengan aura waspada yang tinggi. Seluruh rangsangan betazoidku tertumpu kepada sebarang pergerakan. Secara tiba-tiba, aku boleh merasakan ratusan pasang mata memerhatikan pergerakanku dengan seribu ancaman tersembunyi. Pedang Zaradilan ku bergegar minta ditanggalkan sarungnya agar dapat menyerap bahaya yang mungkin menjelma. Aku memandang ke arah Vladarek dan mengerutkan keningku.

"Zukkiri, ada sesuatu yang mengganggu kosmik sihirku," ujarnya resah sambil memandang ke atas langit memerhatikan pergerakan awan.

"Kehadiran kita bukan lagi rahsia," bisik Kantara lantas menegangkan panahnya.

Wulfkar, Alpisa dan Vladarek turut meningkatkan tahap kesiagaan diri. Zaradilan dikeluarkan dari sarungnya. Serentak dengan itu, guruh pun berbunyi diikuti kilat sabung menyabung. Seluruh peterana alam kini bertukar menjadi suram. Dan dari jauh, aku dapat melihat sejalur cahaya putih menuju deras ke arahku. Pasti penunggu istana Maharaja Akkordeon, Ungkrai. Tiada sesiapa pun yang akan mengambil jalan untuk berhadapan dengannya jika boleh. Namun aku tidak punya pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan Dewii Nezilta, empayar Akkordeon harus ku tujui. Dan ini bermakna Ungkrai harus diuruskan terlebih dahulu. Untuk itu, aku telah memilih Wulfkar, Alpisa, Vladarek dan Kantara untuk membantuku berhadapan dengan makhluk jembalang itu nanti. Sementara itu, seluruh Antiga Prima kini berada di bawah kepimpinan Artakus. Menanti gendang perang berbunyi di Lembah Akturius, manakala aku pula harus menyelesaikan satu misi peribadi di Arsilliath.

Cahaya putih itu semakin dekat, membawa seribu ancaman dalam bentuk kemusnahan yang tidak aku ketahui. Semakin dekat cahaya itu menuju ke arah ku, aku merasakan segala urat dalam tubuhku menjadi kaku lantas mengikat segala pergerakanku. Radius cahaya pemandanganku menjadi semakin kabur. Kesaktian perisaiku pula semakin lemah. Hebat. Itulah yang boleh aku gambarkan mengenai kekuatan sihir ini.

Serangan musuh bermula dengan sihirnya. Namun, aku tidak mengesan sebarang bau busuk dari sihir itu, malah aku merasakan keharuman bunga-bunga Aurora terlekat dalam lubang hidungku. Kekeliruan mewarnai pemandanganku yang semakin kabur lantas memincang keputusan untuk bertarung. Hanya sihir seorang Karman sahaja yang berbau harum seperti ini. Namun, aku mengambil langkah untuk bersedia sekiranya diserang. Mindaku cuba memikirkan siapakah Karman yang masih wujud di dunia ini selain Azkram. Atau, mungkin ini adalah helah semata-mata. Zaradilan semakin erat dalam genggaman kananku, manakala perisai Gortik disoket kemas dalam genggaman kiriku.

"Bersedia wahai Qarzaig ku semua!" jeritku meningkatkan waspada mereka. Ketika itu juga, cahaya putih tadi menjadi seperti satu tangan besar mencakari segala apa yang ada di depannya. Sinar cahayanya yang terang menyilau pemandanganku. Aku masih gagal mencari subjek sasaran di dalam cahaya putih itu.

Vladarek memulakan serangan. Busurnya dilepaskan manakala Kantara cuba memecahkan struktur cahaya putih itu dengan sihirnya sambil dibantu oleh Wulfkar dan Alpisa. Bunyi letupan yang kuat kedengaran apabila dua kuasa sihir itu bertemu diikuti sebuah letupan lantas menerangi setiap inci ruang pertempuran. Dalam masa itu, cahaya putih tadi berpecah-pecah membentuk seperti satu rantai halimunan dan terus mengikat segala pergerakanku. Aku seolah-olah bagaikan ditekan oleh sebuah batu besar yang cuba membenamku ke bumi. Kesemua Qarzaigku telah terpelanting ke kawasan sekitar, ditepis bagaikan seperti seekor nyamuk oleh kuasa cahaya putih itu. Mereka tewas....

Aku mengangkat Zaradilan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kemungkinan yang tiada kebarangkalian untuk selamat.

"Bagaimana seorang Zukkiri boleh tersesat jauh hingga ke Arsiliath??" tiba-tiba kedengaran satu suara besar, lembut dan tegas menyoalku lantas menghentikan segala pergerakan yang mengancamku. Aku rasakan keadaan seolah-olah sudah selamat. Belenggu sihir ditubuhku kian lenyap.

Suasana menjadi hening. Bahang pertarungan tadi telah lenyap ditelan gema suara tersebut lalu mengikat kesunyian alam. Keharuman bebunga Aurora semakin kuat disekitarku, membunuh segala ketegangan seketika tadi dan membawa seribu ketenangan dan kedamaian jiwa. Dari kepulan asap putih, muncullah seorang lelaki tua berpakaian serba putih. Berjanggut, bertubuhnya tinggi dan cengkung dimamah usianya yang jelas telah lanjut, barangkali sewindu berganda dasawarsa. Dia memakai jubah badar raja yang labuh ke hujung kaki, berbelah tepi. Tangan kirinya menggenggam tongkat sepunggur yang dihayunnya dengan kemas dan selesa, penuh dengan keyakinan yang diasah oleh kebiasaan. Wajahnya redup, dijana catur-catur pengalaman yang bisa membuatnya dihormati.

"Perkenalkan dirimu...!" arahku kepada orang tua itu. Dia memandangku dengan pandangan yang tenang, Vladarek, Alpisa, Wulfkar dan Kantara mula bangun dari kejatuhan dan berdiri di belakangku dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Aku masih menunggu jawapan si tua itu.

"Dan engkau tidak dapat membezakan keharuman sihir seorang Karman, wahai Zukkiri?" soal lelaki tua itu, cuba menggugat pengetahuanku mengenai sihir dan selok belok ilmu kesaktian. Sebenarnya, aku memang keliru dengan perbezaan sihirnya yang unik dan tidak terjangkau oleh deria betazoidku. Pendirian diplomatikku berubah. Aku mengesyaki dia bukan seorang Yishkrak. Bukan musuh.

"Akulah ahli sihir yang menjadikan kuasa Arasis sebagai asas kesaktianku. Akulah ahli sihir yang membawa sekali keharuman bebunga Aurora. Dan akulah ahli sihir yang bergelar Karman, ..... Karman Arasis yang digelar Nazril!" ujar lelaki tua itu sambil mengurut janggut putihnya.

"Dari Merkia, aku datang kepadamu untuk menjunjung titah Arasis. Membantu membebaskan Dewi Nezilta dari sumpahan Maharaja Akkordeon. Bukankah itu misimu, wahai pahlawan Tarsonis?" sambungnya.
Aku menyarung kembali Zaradilan ke dalam sarungnya. Qarzaig yang lain turut menurunkan senjata masing-masing, menghilangkan segala maksud ancaman dan mencipta mesej keamanan untuk seorang sahabat baru yang hebat. Perlahan-lahan aku melangkah ke arahnya.

"Nampaknya, tujuanku ke Arsilliath kau tahu. Sihirmu pula memang dapat kubezakan kelainannya. Demi Arasis, aku terima tawaranmu sebagai sekutu. Tetapi, sebentar tadi bukanlah cara sebenar menyambut seorang sahabat , wahai Nazril," ujarku pula menjawab segala persoalan sinis si Karman sebentar tadi lantas menghulurkan tangan kepadanya. Nazril tersenyum, setelah mengujiku.

"Gembira dapat bertemu denganmu semula, Nazril". Kami mengorak langkah menuju ke Kota Akkordeon.

Nezilta, aku datang untuk menyelamatkanmu, sayang!

   
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.