+ menu: misc | olai tannon
 


Antiga Prima : Establishing ally connection
by Orzailly the Zukkiri

Suasana riuh rendah menyambut kehadiran angkatan perangku di perkhemahan manusia berbangsa Aurora. Sedikit unsur kesangsian mewarnai suasana perasaan lautan manusia ini lantas membisikkan aura waspada. Buat seketika, aku terfikir untuk gementar. Tanganku memegang ulu Zaradilan, pedangku yang tidak pernah membiarkan senjata musuh hinggap ke tubuh. Aku mengikuti langkah Azkram menghala ke arah tempat seseorang dimana aku telah diutuskan kepadanya. Aku cuba melemparkan senyuman kepada beberapa orang yang berada di sekitar, namun mungkin tak cukup untuk menghilangkan wajah bengis ini. Ah, aku ini makhluk Tarsonis. Mungkin selama ini Tarsonian hanya wujud di dalam dongeng manusia-manusia aurora, tetapi kini sejuta mata menjadi saksi kewujudan bangsaku. Mereka melihat rentak langkah Tarsonian dalam kekaguman.

Akhirnya, aku sampai di sebuah khemah besar yang terletak di bawah sebatang pokok Rumdesia. Azkram mendahului langkah perjalanan. Beberapa orang Aurora dewasa kelihatan gembira tatkala menerima kedatangan Azkram. Dari raut wajah tampak mereka inilah merupakan pembesar-pembesar puak Aurora. Kebolehan betazoid dalam hatiku merasakan terbit satu tandatanya dan seribu kehairanan telah wujud di dalam hati mereka setelah melihat siapa yang mengiringi kepulangan Azkram. Namun Azkram membiarkan cetusan kehairanan itu bermain di minda mereka lantas membawa terus langkah ini ke arah Artakus yang sedang menunggu bersama-sama beberapa orang lelaki , duduk di sebuah meja bulat. Di depanku kini adalah Atinius, Jeenusix, Darumir, Iotan dan Artakus. Angkatan perangku di belakang, dalam keadaan senang diri.

“Salam ke atasmu, Artakus. Pertemuan ini telah menunjukkan takdir di pihak kita. Ota telah kutumpaskan. Pintu Erta telah dikunci. Permata aurorius kini terlepas dari garapan Herakos. Sarium telah kau takluki. Dan kini, lihatlah….seluruh Aurora kini kembali bersatu di bawah kepimpinanmu, wahai Artakus,” pintas Azkram memulakan bicara.

“Selamat pulang Azkram,” balas Artakus lantas menyambut dengan pelukan mesra dan menyambung…“ Bicaramu benar untuk setakat episod ini. Tetapi apakah takdir kemenangan akan sentiasa bersama kita selepas ini memerlukan sesuatu yang luarbiasa untuk disiasahkan. Morrok telah menggandakan kekuatan. Seluruh bala tentera jembalang menyertai mereka. Gendang perang Morrok kini telah berbunyi diiringi sihir Yisykrak yang ngeri. Peperangan kali ini amat besar. Dan pasti berlaku”.

Aku menarik nafas panjang mendengar keluhan Artakus. Deria betazoid ku membaca isihati Artakus. Takut? Aku tidak nampak walau seurat benang ketakutan di hatinya. Manusia di depanku ini telah diutuskan oleh Kitab-kitab Id untuk membela nasib Auroran dari cengkaman Morrok dan menyelamatkan permata Aurorius dari persengketaan Merkia Herakos. Dia menakluk Urdakis hanya dengan sepertiga kekuatan berbanding Morrok. Dialah yang membolehkan angkatan perang Jeenusix merempuh Kota Sarium dengan membuka pintu kota bersendirian dari dalam. Dialah yang telah menundukkan Karum dan menjadikan seekor naga merah sebagai sahabat. Lojistiknya sebagai seorang Artakus telah disediakan oleh Merkia dengan item bersoket kesaktian dan mistik. Dia pemilik Arkus, pedang Arasis dan dia menjadi tuan kepada Ilia, raja segala kuda dari kayangan. Dia bukannya takut, tetapi bimbang jika segala siasah tidak menjadi dan dadu-dadu percaturannya tumbang. Aku boleh merasakan berat bebanan yang dipikulnya untuk membela nasib seluruh Aurora yang kini terletak di tangannya.

Aku menghentikan fungsi deria betazoidku untuk mendengar kata-kata Azkram pula.

“Usah kau bimbang , wahai Artakus. Kau tidak bersendirian dalam kegentingan ini. Biarkan Morrok dengan kekuatannya dan Herakos dengan siasahnya. Apa saja yang mendatang, kebijaksanaanmu akan mengatasi segalaa-galanya. Serahkan segala Yisykrak kepadaku, akan kumatikan segala sihir yang melindungi tentera Morrok dan segala sihir yang membelenggu angkatan tentera Aurora. Aku pasti kau tidak gentar dengan bilangan mereka yang ramai kerana kau telah membuktikan bahawa kemenangan boleh dicapai dengan kebijaksanaan dan semangat juang yang tinggi” ujar Azkram sambil melihat ke arahku lantas menyambung,

“Untuk menghadapi tentera-tentera jembalang, aku perkenalkan kau seorang Zukkiri dari kosmos Tarsonis yang akan memudahkan siasahmu…” aku mengerti maksud Azkram lantas menghulurkan tanganku kepada Artakus.

“Salam perkenalan buatmu, Artakus.”aku memulakan bicara perkenalan. Artakus menyambut tanganku dengan rasa hormat.

“Namaku Orzaily, seorang Zukkiri yang mengetuai armada perang Diraja Tarsonis. Aku datang sebagai kawan kepada pihak Aurora. Pengutusan aku ke sini oleh Maharaja Tarsonis VI adalah untuk menghalang Herakos yang memperalatkan Morrok dan jembalang untuk mencapai niatnya yang memusnahkan. Kita berhadapan dengan musuh yang sama, Artakus. Dan kita juga tinggal dialam yang sama. Menerima cahaya Arasis di kala siang dan berkongsi keindahan Osria di kala malam. Maka, perikatan ini adalah sebagai sumbangan kami untuk mempertahankan alam ini dari dimusnahkan Herakos. Ku persembahkan seluruh armada Antiga Prima kepadamu,” bicaraku tersusun dan berhati-hati.

Cebisan harapan mula terbit dari ungkaian persoalan yang semakin terjawab. Wajah kesangsian kini ditinta rasa lega lantas mengundang sedikit kegembiraan dalam mengerti.

“Kekuatan Antiga Prima cukup untuk menghapuskan segala jembalang. Aku diiringi sepuluh ribu tentera di bawah empat unit Qarzaig yang akan setia bersamamu, Artakus. Darah kami adalah untukmu. Perisai Gothic kami akan mempertahankan seluruh Aurora dari sihir jembalang durjana. Pedang kami akan memisahkan nyawa mereka. Antiga Prima takkan mengecewakanmu, kerana ia belum pernah tumpas semenjak dua ribu tahun dahulu.dan kerana itulah aku digelar Zukkiri, yang bermaksud Pahlawan Yang Menang,” tambahku, membiarkan manusia-manusia ini tahu kemampuan kami mampu mengatasi seluruh angkatan Herakos. Letakkan saja kami di barisan hadapan. Sekiranya ada musuh menyerang dari jauh, panah kami akan mengenainya terlebih dahulu. Kiranya musuh datang berdepan, Zaradilan kami takkan biarkan mereka bernyawa selepas itu.


   
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.