+ news | books + order | aurora | him + words | club | misc | about | forum | olai tannon
 


"Kau sepatutnya tahu Artakus. Bukan orang-orang Aurora saja yang telah menanti kedatanganmu."
Pedang Aurora

[+]

Sewaktu mula menurunkan mata penanya untuk siri-siri Saga Artakusiad, beliau masih remaja. Jika diukur melalui penulisannya yang begitu unik, tidak keterlaluan jika dikatakan bakatnya mendahului golongan segenerasinya. Kematangan gaya penulisan dan daya imaginasi yang kuat merupakan aset yang tidak di miliki oleh semua orang. Justeru ketika itu, beliau telah diwar-warkan sebagai pelopor kepada perkembangan novel fantasi di tanah air kita ini.

Ulasan buku pertama beliau, Permata Aurorius, tersiar di akhbar utama negara, juga merupakan salah satu titik pendorong bagi penulisan serba kreatif ini. Cerpen-cerpen beliau tersiar di majalah Dewan Siswa, begitu juga dengan Saga Artakusiad (tidak semua buku dalam Saga Artakusiad), yang telah disiarkan secara bersiri di dalam majalah ilmiah yang lainnya, seperti Dewan Kosmik. Selain menghasilkan Saga Artakusiad, beliau juga ada menghasilkan novel lain seperti Bunga Arianur dan Spesimen Alpha.

Merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain. Bagi mereka (terutama penggemar tulisan beliau) yang tertunggu-tunggu penulisannya dari masa ke semasa, pasti telah menyedari 'kehilangan' beliau dari dunia penulisan tanah air. Dalam tempoh yang agak lama (sekitar 17 tahun) beliau telah tidak menerbitkan mana-mana hasil karyanya lagi, kalau adapun sekadar simpanan peribadi. Dan beliau sendiri punya sebab musabab kenapa semua itu berlaku.

Keengganannya itu terlebur bila mana mengetahui walaupun sudah 17 tahun berlalu, peminat-peminat siri Saga Artakusiad serta pengikut-pengikut beliau, masih lagi setia dan mencari-cari buku-buku tersebut (yang sudah tiada di pasaran lagi). Mereka masih lagi menyimpan ingatan yang segar dunia Aurora serta kisah-kisah yang bersenandung di situ. Lebih-lebih lagi kesetiaan menanti sambungan serta kesudahan cerita tersebut. Beliau secara tidak langsung pernah menyebut, betapa terharunya beliau terhadap sokongan padu yang diberikan oleh peminat-peminat Saga Artakusiad.

Agak sibuk dengan tugas dan tanggungjawap adalah antara jawapan beliau bila diajukan soalan, kenapa beliau tidak menulis siri-siri Saga Artakusiad lagi, sedangkan setakat buku ke-6, sequel itu belum bertemu titik tamatnya. Namun, rasa syukur berputik di hati apabila mengetahui kesudian beliau untuk menghasilkan sambungan siri Artakusiad tersebut.

Untuk membaca beberapa sedutan (teasers) karya beliau yang terkini, silalah menjenguk di menu words.

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.