+ menu: books | gbook
 

Sinopsis: Puteri Alindalia

Kedatanganmu telah lama aku nantikan, Artakus, lebih lama dari yang kau sangkakan...

Sepanjang masa Artakus mengembara bersama Esis mencari Puteri Alindalia dan permata Aurorius, seluruh Aurora telah mula bangkit membebaskan tanah dan bangsa mereka dari genggaman Morrok. Semangat perjuangan dan gerakan penyatuan yang ditiup Artakus telah membawa gelombang kejatuhan Morrok di bumi yang telah dijajah mereka sejak sekian lama. Atinius, Darumir, Iotan dan Jeenusix telah mengasaskan gerakan bawah tanah di kota-kota yang masih di bawah kekuasaan Morrok dan hasilnya, kota-kota Zilla dan Zenon telah berjaya ditawan sementara Jeenusix telah memimpin Inkatus menawan Zassius. Walaupun masih ada kawasan yang belum dibebaskan, kekuatan Morrok yang tinggal di Aurora tidak mampu untuk menghalang kebangkitan rakyat Aurora. Berikutan dengan tumbangnya Morrok di Aurora, Herakos telah menghantar Osrakhun untuk memimpin sejumlah tiga puluh ribu tentera berjalan kaki bersama lima ribu tentera berkuda ke banjaran Makarios dan menawan kembali Aurora.

Osrakhun, Panglima Tertinggi Sempadan Timur, dibantu oleh dua orang panglima Morrok yang terkenal, Takaranda dan Jundak. Untuk menghadapi tindak balas Morrok ini, para pemimpin Aurora telah mengumpulkan sejumlah lima belas ribu tentera bejalan kaki dan lapan ribu tentera berkuda dan kini mereka berkumpul di Lembah Akturius di barat Aurora, laluan yang mereka jangka akan digunakan oleh Morrok untuk masuk semula ke Aurora.

Selepas bebas dari sihir Godorojo yang hilang akibat kematian penjaga teka-teki Tiarra itu, Karum membawa Esis ke Pulau Urul dan mengharapkan akan bertemu Artakus di situ. Namun dalam perjalanan ke sana, Karum bertemu dengan Hunkrakar dan terjadilah satu pertarungan yang mengegarkan Selat Tarminnon. Hunkrakar hampir tewas dan naga hitam tesebut melarikan diri ke Pulau Urul untuk mengambil Jundak sementara Karum dan Esis menyusul untuk mencari Artakus. Tanpa diberitahu, Karum menggunakan firasatnya membawa Artakus dan Esis ke lembah Akturius untuk menyertai Atinius dan para pemimpin Aurora yang lain menghadapi Morrok. Walaupun kehadiran Artakus dapat menyemarakkan lagi semangat tentera Aurora, Artakus dapat mengesan suasana yang tidak stabil berlaku di kem tentera Argida dan nama Naktai muncul sebagai dalang di sebaliknya.

Di dalam suasana tegang yang menanti peperangan di Lembah Akturius, Artakus bertemu dengan Merkia dan menyerahkan permata Aurorius kepada makhluk yang berasal dari kuasa Arasis itu. Merkia seterusnya memindahkan permata yang menjadi kunci keseimbangan alam Aurora ke Assalinggi, suatu tempat yang dilindungi tujuh dinding perisai sakti dan tujuh lapis tembok mantera yang tidak akan dapat ditembusi Herakos. Merkia memberi pilihan kepada Artakus untuk kembali sebagai Rizal ke dunia asalnya kerana tugasnya untuk menghalang Herakos menggunakan permata Aurorius sebagai alat untuk memusnahkan Aurora telah selesai.

Namun, bukan sifat seorang Artakus untuk meninggalkan sesuatu dalam keadaan musnah, Rizal memilih untuk kekal sebagai Artakus di Aurora dan memimpin tentera Aurora mengharungi lautan tentera Morrok di Akturius. Melalui bola kristal Merkia, Artakus dapat melihat usaha Azkram bersama Fasdan untuk menutup pintu Erta, pintu yang akan digunakan oleh Ombror, raja segala jembalang dan Kirrotammagrak, raja segala jin bersama bala tentera mereka untuk masuk ke Aurora. Azkram telah berjaya mendapatkan bunga Warsali yang menyimpan nama Ota, penjaga pintu tersebut dan dengan menggunakan ilmunya, dia berjaya menyeksa Ota dan memaksanya menutup pintu tersebut walaupun cuba dihalang oleh Ombror.

Tindakan ini berjaya menghalang Morrok mendapat bantuan dari kerajaan jembalang dan jin tetapi Merkia turut membawa satu lagi berita yang mengemparkan Artakus; sebuah lagi ketumbukan Morrok sedang mara ke Akturius dari selatan Aurora. Idea yang dicetus oleh Jundak ini langsung tidak diketahui para pemimpin Aurora dan ini bermakna tentera Aurora tersepit antara dua buah angkatan perang Morrok yang besar.

Walaupun begitu, Artakus mengetahui melalui Merkia, kedudukan Jundak selepas peperangan di dalam kerajaan Morrok tidak selamat kerana reputasinya yang hebat di kalangan rakyat Morrok dan hampir menenggelamkan nama Herakos dan para pemimpin Morrok yang lain seperti Osrakhun, Takaranda dan Erkhun. Jundak juga mempunyai musuh dalaman yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya dan berita ini mungkin boleh digunakan Artakus untuk menghadapi musuh yang dihormatinya itu. Jangkaan Artakus mengenai Naktai akhirnya terbukti apabila bakal pemimpin Argida itu menimbulkan kekacauan di perkhemahan Armorikus dengan menuduh Olafhul melarikan Aylanin, gadis Argida yang menjadi rebutan antara Naktai dan sahabat Artakus itu. Naktai dengan sengaja cuba mewujudkan perpecahan di kalangan tentera Aurora apabila menuduh Olafhul sebagai pengkhianat Aurora dan sekaligus cuba menggugat perpaduan yang dicapai Atinius dan Iotan di Arialun.

Artakus menghalang Olafhul dari menyambut cabaran Naktai kerana Artakus tahu Naktai menginginkan tindakbalas dari puak Armorikus bagi memudahkannya menyulam jarum kebencian ke dalam hati puak Armorikus dan Argida dan kehadiran Iotan ke perkhemahan Armorikus berjaya menghalang perkara buruk terjadi. Kemunculan Belakios, garbrank yang membantu Artakus dan Esis melarikan diri dari penjara di Santirran, membawa berita yang menjelaskan segala tindakan Naktai selama ini sering membangkitkan peristiwa pengkhianatan seorang tentera Armorikus di Kolossus sebelum kebangkitan semula Aurora. Selepas pengkhianatan Babusyka dan Zardaron, Aurora kini berhadapan dengan satu lagi musuh dalam selimut. Belakios mengetahui tempat dan masa Naktai, yang begitu mengidamkan pemimpin Aurora, sering berjumpa dengan perisik Morrok dan seperti biasa, Belakios meminta bayaran dari Artakus. Bagi Artakus, Esis dan Olafhul, bayaran tidak menjadi masalah kepada mereka dan mereka hanya menunggu masa untuk mendedahkan pengkhianatan Naktai sebelum ia menjadi barah yang tidak boleh dihalang yang bakal membunuh kebangkitan Aurora.

Hari demi hari dan Morrok semakin hampir ke kedudukan angkatan tentera Aurora. Semangat tentera Aurora berada di tahap yang tertinggi tetapi keresahan semakin menghimpit hati dan fikiran Artakus kerana Aurora memberikan seluruh kepercayaan kepadanya untuk memimpin Aurora kepada kebebasan mutlak yang telah lama diimpikan oleh bangsa Aurora. Impak kegagalan yang mungkin dihadapi Aurora mungkin lebih teruk kerana Morrok akan memastikan Aurora tidak akan bangkit untuk selama-lamanya. Dan waktunya semakin hampir kepada Artakus untuk membalas kepercayaan Aurora kepadanya. Sebagaimana yang diucapkan oleh Laira, seluruh Aurora telah lama menanti kehadiran Artakus dan dialah pedang Aurora yang akan memukul Morrok kembali ke negara asal mereka.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.