+ menu: books | gbook
 

Sinopsis: Puteri Alindalia

Takdirku adalah menjadi seorang Artakus...

Tidak seperti yang dijangkakan Artakus, pertemuan dengan Karum pada hakikatnya bukanlah suatu pertemuan yang diimpikan oleh orang kebanyakan. Mereka terpaksa menunggu detik naga merah itu bangkit dari tidur kerana saat itulah yang terbaik untuk Azkram mengenakan sihirnya ke atas Karum bagi memudahkan mereka menghampirinya. Setibanya mereka di tebing puncak Nakassos yang menyembunyikan pintu Ohhara yang menjadi pintu masuk ke tempat istirehat Karum, mereka bertemu dengan Unggar, yisyrak ungu yang merupakan yisyrak kedua terhandal selepas yisyrak hitam di dalam hirarki yisyrak. Haluan mereka adalah sama, untuk bertemu bertentang mata dengan Karum. Atas arahan Herakos, Unggar turut mencari Qrokul yang melarikan Permata Aurorius untuk kepentingan peribadi.

Pertarungan sengit antara karman terhebat di Aurora dan yisyrak ungu yang dibantu oleh beberapa ekor jembalang hampir menyebabkan Esis terbunuh dan apabila fajar menjelang tiba, Artakus menjangkakan Unggar akan musnah sepertimana tewasnya Gargola kepada kuasa Arasis tetapi itu tidak berlaku. Unggar berjaya melindungi dirinya dari pancaran Arasis dengan menggunakan sihir kegelapan yang dikurung di dalam bekas yang dinamakan loka. Dengan keadaan Azkram yang semakin lemah, Artakus terpaksa memperjudikan Arkus dengan melempar senjata pemberian Merkia itu untuk memecahkan loka dan menyebabkan Unggar tewas. Sebelum Azkram menukarkannya menjadi katak, Unggar memberitahu mereka bahawa Ombror, raja segala jembalang telah mengumpulkan tenteranya dan akan melalui pintu Erta untuk tiba ke dunia Aurora dan Kirotammagrak, raja segala jin pula akan menyusul bersama pasukan tenteranya selepas itu. Berita ini amat mengejutkan Azkram yang kemudiannya meminta Artakus meneruskan perjalanan bertemu Karum bersama Esis kerana dia perlu menutup pintu Erta sebelum Ombror dan Kirotammagrak berjaya melepasi pintu tersebut.

Ketiadaan Azkram dan Fasdan tidak melemahkan semangat Artakus yang tidak mempunyai pilihan lain selain memasuki pintu Ohhara bersama Esis yang terpaksa mengikutinya. Mereka jatuh ke tempat istirehat Karum yang dipenuhi dengan harta karun dan hampir dibakar oleh Karum dengan hembusan nafasnya. Semangat mereka hampir luntur kerana dipermain-mainkan Karum yang sememangnya bukan tandingan manusia tetapi Karum akhirnya bersetuju untuk membantu mereka, bukan hanya disebabkan Hunkrakar, musuh ketatnya yang menjadi penghalang kepada pengembaraan Artakus tetapi juga disebabkan oleh kesabaran, keberanian dan kejujuran yang dimiliki Artakus, nilai-nilai yang tidak pernah ada di dalam setiap manusia yang pernah dijumpainya sebelum ini. Karum juga bersetuju membawa mereka ke Kol-Uion-Kol, untuk bertemu dengan Trazfertrazfer yang tinggal di menara Aidhantor yang menyimpan nama jembalang yang menjadi halangan kedua di Pulau Urul.

Dalam perjalanan mereka ke sana, mereka dihalang oleh sekumpulan hulubalang kazakukai yang menunggang tankrawa, sewaktu terbang melintasi kepulauan Hayan Kadan. Para Kazakukai itu yang bertindak di bawah arahan Godorojo, mengarahkan mereka turun ke pulau Hayan Kadan. Karum terpaksa menurut kehendak mereka walaupun dia boleh menewaskan para kazukaki itu dengan mudah kerana Artakus dan Esis tetap terdedah kepada serangan mereka. Godorojo kemudiaan mengenakan sihirnya ke atas Karum dan Esis dan meminta Artakus mengikutinya ke dalam Istana kaca Martirri. Di dalam istana itu, Godorojo menerangkan segala-galanya, tentang takdir dan pertemuan hidupnya yang bergantung kepada seseorang yang bernama Artakus. Dia, yang dibuang negeri setelah cubaan merampas kuasa di Nazaki gagal, disumpah tidak akan mati selagi tidak berjumpa dengan takdirnya. Dan di dalam mimpinya setelah seratus tahun tiba di Hayan Kadan, dia bertemu dengan Olsin-Ai atau Puteri Alindalia yang menugaskannya menjaga teka-teki Tiarra yang hanya boleh diselesaikan oleh seorang perwira bergelar Artakus. Dan sejak dari itu, Godorojo menahan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya Artakus untuk menyelesaikan teka-teki itu, dan sekiranya mereka gagal, mereka akan bertukar menjadi tankrawa. Dan sekiranya berjaya, Artakus itu akan dihantar ke Pulau Urul untuk bertemu dengan Puteri Alindalia dan Godorojo pula akan menanti maut yang telah dijanjikan untuknya. Bilik yang menyimpan teka teki tersebut telah disihir dan waktu yang berlalu di dalamnya adalah lebih pantas dari di luar.

Artakus perlu bertindak segera menyelesaikan teka teki yang memerlukannya mengeluarkan cincin Karinil dari dalam sebuah bola kristal yang mempunyai liang-liang halus. Dengan pengalaman yang dimilikinya, Artakus berjaya mengeluarkan cincin tersebut dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh Godorojo. Pintu ke Pulau Urul dibuka untuk Artakus dan Godorojo perlahan-lahan menemui takdirnya. Dua halangan telah berjaya ditempuhi Artakus menyusuli kejayannya menyelesaikan teka-teki Tiarra; jembalang api bernama Runtai dan naga hitam Hunkrakar dan kini Artakus harus menempuh halangan seterusnya iaitu Lorong Qoinak. Artakus menjumpai bangkai seekor ular gergasi yang dibunuh dan seterusnya terpaksa menggunakan muslihat untuk menyelamatkan dirinya dari seorang perempuan yang boleh menukarkan seseorang menjadi batu dengan pandangan matanya. Melalui perempuan tersebut, Artakus mengetahui ada seseorang telah mendahuluinya menempuh lorong tersebut.

Dia akhirnya tiba di sebuah kota lama dan di situ, dia menemui sahabat lamanya, Nazril yang parah diserang dari belakang oleh orang suruhan Herakos. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nazril mendedahkan niat Qrokul yang juga ingin mencari Puteri Alindalia untuk memanjangkan kekuasaannya dan kehadiran Jundak, seorang panglima Morrok yang ditugaskan mencari Qrokul dan merampas Permata Aurorius dari yisyrak merah tersebut. Selepas kematian Nazril, Jundak muncul dan berlakulah satu pertarungan fizikal dan mental yang hebat antara kedua-dua panglima perang yang bersengketa ini.

Jundak, yang sebelum ini telah berjaya membunuh Qrokul dan merampas Permata Aurorius daripadanya, mempunyai reputasi yang amat menggerunkan seluruh Aurora dan kemahiran pedang yang amat tinggi dan kini berhadapan dengan Artakus, yang kehebatan namanya telah tersebar ke seluruh Morrok dan dibakar semangatnya dengan kematian Nazril. Pertarungan mereka yang sengit diganggu oleh kehadiran Hunkrakar yang parah diserang Karum. Hunkrakar yang selama ini membantu Jundak di Pulau Urul memaksa Jundak meninggalkan pertempurannya dengan Artakus. Tanpa disedari Jundak, Artakus berjaya mengambil Permata Aurorius dari koceknya sewaktu mereka beradu kekuatan dan kini menunggu kedatangan Karum dan Esis yang berjaya mengesan kehadiran Artakus di Pulau Urul. Permata Aurorius tidak akan terlepas dari genggamannya lagi.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.