+ menu: books | gbook
 

Sinopsis: Petua Azkram

Azkram, kau datang membawa harapan...

Kejayaan Artakus menewaskan makhluk yang dihantar oleh Herakos di hadapan Hojainan secara tidak langsung telah menjadikan Armorikus, Argida, Inkatus dan Jegadai bersatu di bawah satu panji-panji, Aurora dan kehadiran Artakus diterima dan diakui oleh Aurora. Namun tidak mudah bagi Darumir kerana maruahnya terjejas akibat sumpah setianya kepada Artakus palsu yang telah dilafazkan di hadapan wakil-wakil Aurora sebelum pertarungan antara dua Artakus terjadi. Darumir menyerang Artakus tetapi pedang biasanya tidak mampu mengatasi kehebatan Arkus yang sentiasa menjadi nadi kekuatan perjuangan Artakus dan nilai kepimpinan yang ditunjukkan oleh Artakus berjaya membuka mata Darumir untuk menerima hakikat bahawa Artakus telah tiba untuk membawa Aurora keluar dari genggaman penjajahan Morrok.

Masa yang terus berlalu membuatkan Artakus tidak menunggu lama untuk merancang langkah seterusnya bagi menggempur Morrok di seluruh Aurora. Suatu mesyuarat diadakan di Olai Tannon dan hasil dari pengintipan yang dijalankan, Artakus merancang untuk menyerang kota-kota Ersius, Illan dan Zassius kerana kota-kota ini terletak di laluan yang strategik di seluruh Aurora. Untuk mencapai sasaran itu, Artakus mencadangkan tentera Aurora yang baru dibentuk menyerang kota pelabuhan Sarrium sebelum musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi. Sarrium menjadi sasaran berdasarkan peranannya yang menjadi pintu masuk bekalan makanan kepada kota Ersius. Cadangan ini diterima oleh semua ketua puak tetapi dengan kedudukan mereka di Olai Tannon, hanya pasukan dari Jegadai dan Inkatus sahaja yang mampu menyertai serangan ke atas Sarrium sementara Armorikus dan Argida pula akan menyerang Illan pada penghujung musim dingin. Artakus mengambil keputusan untuk tidak mengikuti Atinius pulang ke Arialun tetapi beliau menyertai pasukan Inkatus-Jegadai untuk menyerang Sarrium. Artakus mengambil peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi sokongan Jeenusix dan Darumir kepadanya dan membuktikan kepada mereka bahawa kehadirannya di Aurora adalah untuk seluruh Aurora, bukannya semata-mata untuk Armorikus.

Setibanya di kawasan bukit Hartiot, Artakus dan Esis segera menjalankan perisikan ke atas kota Sarrium. Hasil dari pemerhatian mereka, Sarrium mempunyai kekuatan tentera yang kecil jika dibandingkan dengan gabungan tentera Inkatus-Jegadai, tetapi tembok kota Sarium menjadi penghalang mereka yang utama. Tiada jalan lain yang boleh dambil melainkan menghantar seseorang untuk masuk ke dalam kota dan membuka pintu kota dari dalam. Dan hanya seorang sahaja yang mempunyai kecekalan hati, kekentalan jiwa dan ketajaman akal untuk melakukan tugas tersebut tanpa ragu-ragu; Artakus. Dengan ditemani Esis, Artakus menyamar sebagai pengembara yang ingin mencari pekerjaan di Sarrium. Mereka berjaya masuk setelah Esis menggunakan kelemahan Morrok yang cintakan kekayaan dengan memberi rasuah kepada pengawal yang mengawal pintu kota Sarrium. Di celah-celah lorong kota, Artakus bertemu dengan seorang perempuan tua misteri yang seakan-akan mengetahui tentang pencarian sebenar Artakus di Aurora iaitu Permata Aurorius dan memberikan Artakus sebuah sajak sebagai tukaran kepada beberapa keping wang yang diterimanya dari Artakus. Di dalam kebingungan untuk mencari jalan membuka pintu kota tersebut, mereka bertemu pula dengan Takron, yang berasal dari Kagal Hud, sebuah kawasan di selatan Morrok. Takron, yang mengikuti pergerakan mereka dari saat mereka menjejakkan kaki di Sarrium, turut mengetahui akan kehadiran pasukan tentera Inkatus dan Jegadai di luar kota dan menawarkan pertolongan kepada mereka untuk membuka pintu Sarrium. Artakus dan Esis tidak mempunyai pilihan lain selain menerima tawaran Takron, yang mempunyai agenda tersendiri bagi memastikan pemerintahan Sarrium tumbang menyembah bumi. Mereka sedar rancangan mereka untuk membuka pintu Sarrium tidak semudah yang mereka sangkakan apabila Takron mendedahkan bahawa pintu masuk Sarrium dikuasai sihir Onggrok, yisyrak hijau yang memerintah Sarrium dan satu-satunya cara untuk menamatkan sihir itu ialah dengan membunuh Onggrok, yang amat ditakuti oleh penduduk Sarrium.

Di Menara Onggrok mereka diserang oleh Honggor, sejenis makhluk dazoka yang menyerupai manusia dan mempunyai kekuatan yang hebat, sewaktu mereka cuba membuka pintu menara yang menjadi sasaran mereka. Di dalam menara pula, mereka terpaksa menempuh perangkap api yang disediakan oleh Onggrok. Artakus berjaya mengalihkan pandangan Honggor dengan melarikan diri ke dalam sebuah bilik yang penuh dengan cermin manakala Esis dan Takron pula terjebak ke dalam muslihat Onggrok dan menjadi tawanannya. Malangnya, Artakus turut sama jatuh ke dalam perangkap tangga Onggrok tetapi kehadirannya tidak disedari oleh Onggrok yang hanya memberi tumpuan kepada Esis dan Takron dan juga seekor jembalang yang jelas membenci Onggrok dan terikat dengan kuasa sihirnya. Artakus segera bertindak membebaskan Esis dan Takron dan memaksa Onggrok keluar dari bulatan sihir dan ditelan oleh jembalang yang diperhambakannya selama ini. Dengan kematian Onggrok, sihir yang selama ini mengawal Sarrium terbatal dan haluan Artakus dan Takron kini berpecah. Takron memperolehi apa yang dicarinya selama ini iaitu pedang Gazgar yang disimpan oleh Onggrok dan juga membawa pergi dazoka yang telah menjadi lemah dan berjanji akan membantu Artakus apabila diperlukan. Artakus dan Esis pula segera bergegas ke menara kawalan untuk membuka pintu kota. Naluri Arasis yang mengalir di dalam diri Artakus menyelamatkan mereka dari dibakar oleh sisa-sisa sihir yang tinggal di dalam bilik kawalan dan juga dari serangan pemanah-pemanah Morrok di puncak menara. Pintu menara berjaya dibuka dan tentera Aurora pimpinan Darumir dan Jeenusix masuk ke dalam Sarrium dan menaklukinya.

Kehebatan Artakus di medan perang tersebar ke seluruh Arialun dan sudah pasti bertambah merisaukan Laira yang sentiasa menantikan kepulangannya. Laira sering mengharapkan agar peperangan dengan Morrok segera berlalu kerana Laira seakan-akan tidak mampu untuk terus ditinggalkan. Sementara itu, kejayaan menakluki Sarrium menaikkan semangat Darumir dan Jeenusix untuk terus membebaskan Aurora sementara Atinius dan Artakus terus mencatur siasah utuk menawan kota-kota lain yang masih di bawah taklukan Morrok. Kata sepakat dicapai untuk Armorikus menawan kota-kota tersebut apabila menjelangnya musim bunga dengan bantuan Argida dan juga sokongan mengejut tentera Arialun yang dipimpin oleh Garilon, yang selama ini hanya menjaga kepentingan di dalam Arialun.

Di dalam kedinginan musim sejuk yang menyelimuti Arialun, Artakus bertemu dengan seseorang yang telah dijanjikan oleh Merkia iaitu Azkram, karman yang terhebat sejak zaman Chandorri, penghulu segala karman dan Artakus dibawa berkenalan dengannya di dalam lekuk yang dibentuk dari arus masa, salah satu kehebatan sihir Arasisnya. Pelbagai maklumat diperolehi dari karman yang sudah berusia lima abad tetapi mempunyai penampilan serta raut wajah seorang pemuda yang sebaya dengan Artakus dan menggunakan sains sebagai asas kepada sihirnya. Beliau ditemani oleh jin biru yang rabun bernama Fasdan yang sering bertengkar dengan Esis dan Olafhul mengenai kejadian dan fenomena alam. Berdasarkan cerita mengenai perempuan tua misteri yang ditemui Artakus di Sarrium, Azkram mencadangkan agar mereka bertemu dengan Olsin-Ai, puteri bulan yang berada di Pulau Urul seperti yang diceritakan di dalam sajak yang diterima oleh Artakus.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.