+ menu: books | gbook
 


Sinopsis: Kembar Artakus

Aurora, akulah Artakus yang sebenar...

Kemenangan yang dicapai oleh tentera bersekutu Armorikus-Arialun telah memberikan nafas keamanan yang segar kepada kota Arialun. Garilon dan Atinius telah memeterai perjanjian kerjasama dan pesta menyambut kemerdekaan Arialun dari Morrok diadakan oleh para penduduk. Namun keriangan ini tidak dapat dirasai bersama oleh Artakus yang semakin gusar dengan detik pertemuan Arasis dan Osria yang semakin hampir, di mana pada waktu inilah, menurut Merkia, akan digunakan oleh Herakos untuk memusnahkan Permata Aurorius dan seterusnya menguasai dunia Aurora. Walaupun permata itu kini berada di dalam tangan Qrokul, namun Artakus tidak pasti samada Yisyrak Merah itu mampu melarikan diri dari Herakos dan kuncu-kuncunya untuk selama-lamanya. Berita penghijrahan puak Jendai ke pelabuhan Hormisusum menambahkan lagi kerisauan yang bersarang di hati Artakus kerana pelabuhan Hormisusum terletak di bawah jajahan Morrok dan kemungkinan ketua puak Jendai telah bekerjasama dengan Morrok adalah tidak mustahil. Tetapi kehadiran Argida ke kota Arialun yang dipimpin oleh Iotan memberikan sedikit harapan kepada Artakus. Kedatangan mereka adalah untuk menamatkan krisis berpanjangan antara Argida dan Armorikus berikutan kejayaan Armorikus merampas kembali Genting Kolossus dari Morrok. Persengketaan yang berpunca dari peristiwa pengkhianatan seorang tentera Armorikus sehingga menyebabkan kejatuhan Kolossus yang dipertahankan bersama oleh Argida dan Armorikus akhirnya ditamatkan dengan upacara pematahan pedang yang dijadikan lambang sumpah Argida oleh Iotan.

Kedatangan Iotan turut di sertai oleh anak saudaranya, Naktai yang jelas tidak menyenangi kehadiran Artakus. Melalui Atinius dan Esis, Artakus mengetahui niat Naktai yang menginginkan takhta Aurora dan juga persengketaannya dengan Olafhul, seorang sahabat Artakus di dalam merebut cinta seorang gadis Argida, Aylanin. Selepas upacara pematahan pedang tamat, Artakus seakan dipanggil untuk meredah keganasan cuaca yang mengiringi pertemuan Arasis-Osria dengan ditemani oleh Esis yang setia, dan di tengah-tengah lapangan Iskariot yang luas itu, Artakus bertemu dengan Herakos. Maharaja kegelapan inilah yang menyeru Artakus dan kemudiannya mereka bertarung dalam satu pertempuran psikologi yang hebat. Menyedari bahawa Artakus tidak boleh ditewaskan dengan permainan minda, Herakos menggunakan Esis untuk menyerang Artakus dan sekali lagi, Herakos gagal.

Pertemuannya dengan Herakos menjadikan Artakus bertambah keliru, namun kehadiran Merkia di Arialun setelah sekian lama menghilangkan diri, segera menepis segala kekacauan yang melanda fikiran Artakus. Merkia menceritakan tentang pertempurannya dengan Herakos dan juga percaturan baru Herakos yang mendapat sokongan dari raja segala jin, Kirrotammagrak dan raja segala jembalang, Ombror. Walaupun Herakos gagal memusnahkan Permata Aurorius sewaktu pertemuan Arasis-Osria, Merkia percaya kitab-kitab Id boleh ditafsirkan mengikut banyak cara. Herakos boleh memusnahkan permata itu apabila dia, yang memerintah tatkala Osria berada di langit, bertemu dengan Merkia, yang berasal dari Arasis tetapi itu tidak dapat dilakukannya sebelum ini kerana permata Aurorius berada di tangan Qrokul. Kota Arialun kemudiannya digemparkan dengan satu percubaan membunuh Artakus di mana Hortas, salah seorang sahabat Artakus, terbunuh ketika cuba menyelamatkan Artakus. Mesyuarat yang menyusul selepas itu antara Armorikus, Arialun dan Argida menyaksikan pertikaman lidah antara Atinius dan Naktai di mana Naktai mempertikaikan kesahihan Artakus sebagai pemimpin Aurora yang dijanjikan. Mesyuarat ini juga mendedahkan ketegangan hubungan antara Iotan dan Naktai yang mempunyai keperibadian dan matlamat perjuangan yang berbeza. Namun yang paling menggemparkan mereka ialah berita kemunculan seorang lagi Artakus di kalangan puak Jegadai di bawah pimpinan Darumir.

Bagi Artakus, kejutan demi kejutan yang melanda tidak berhenti setakat itu dan yang seterusnya tiba dalam bentuk yang amat menggembirakan hatinya. Kedatangan Laira ke Arialun seorang diri dari Lembah Takaryan selepas mendapat tahu tentang berita percubaan membunuh Artakus mengubati perasaan rindunya dan kesanggupan Laira untuk menempuh perjalanan yang sukar itu menjadikan cinta dan kasih Artakus terhadap Laira semakin dalam. Atinius pula telah menerima jemputan Darumir untuk menghadiri perjumpaan puak-puak Aurora, Hojainan di sebuah tempat yang bernama Olai Tannon. Mereka menjangkakan Darumir akan menggunakan Hojainan untuk menonjolkan Artakus yang didakwa muncul di kalangan puak Jegadai. Tetapi persiapan Artakus untuk ke Hojainan terganggu akibat diserang oleh Zardaron si pengkhianat yang terselamat dari badai kemarahan penduduk Arialun sejurus sebelum peperangan dengan angkatan Morrok pimpinan Takhun. Mereka bertempur, Zardaron tewas namun sekali lagi, Artakus gagal mengambil peluang yang ada untuk menamatkan riwayat Zardaron, yang juga mengaku bertanggungjawab atas kematian Hortas dan Zardaron terlepas.

Dengan hanya ditemani Esis, Artakus terpaksa meninggalkan Laira di Arialun dan memulakan perjalanannya ke Olai Tannon dua hari lebih lewat daripada rombongan Atinius. Malangnya, mereka terperangkap dengan sihir Kafrak, seekor jembalang suruhan Herakos dan kemudiannya ditawan tentera Morrok yang diketuai oleh Dartak dan dibawa ke sebuah penjara di Santirran. Segala perancangan dan harapan seakan-akan hancur tetapi dengan pengalaman yang ada pada Esis, mereka berjaya melarikan diri dari penjara dengan dibantu oleh seorang garbrank atau tentera upahan berbangsa Inkatus yang bernama Belakios. Setibanya Artakus di Hojainan, dia tidak segera menampilkan diri dan memilih untuk berbuat demikian apabila tiba masa yang sesuai. Apabila Hojainan bermula, seluruh puak Aurora dikejutkan dengan berita oleh Darumir tentang kemusnahan puak Jendai di tangan tentera Morrok di Iklos. Darumir seterusnya mengambil peluang dari kekecohan itu dengan menampilkan dari kalangan puaknya apa yang didakwanya sebagai Artakus. Hojainan menjadi semakin hangat apabila Atinius turut memperkenalkan Artakus, yang mempunyai kunci sebenar terhadap kekalutan yang berlaku. Hanya Artakus yang mampu melihat akan rupa sebenar jasad 'Artakus' dari puak Jegadai. Makhluk itu dihantar oleh Herakos kepada puak Jagadai untuk mewujudkan perpecahan di kalangan Aurora dan seterusnya memusnahkan Artakus. Makhluk suruhan Herakos itu mencabar Artakus untuk bertarung dan membuktikan kepada Aurora siapakah Artakus yang sebenar. Artakus tidak mempunyai jalan lain untuk membuktikan kebenaran adalah miliknya dan terpaksa bertarung dengan makhluk suruhan Herakos yang mempunyai kuasa sihir yang hebat. Penglihatan Artakus dihilangkan namun dengan Arkus yang dibekalkan oleh Merkia kepadanya, Artakus berjaya membunuh makhluk kegelapan itu, membatalkan sihirnya dan memastikan kuasa Arasis masih terus bersinar di bumi Aurora.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.