+ menu: books | gbook
 


Sinopsis: Kota Arialun

"Adonis, aku pasti kembali..."

Bukan mudah untuk Artakus meninggalkan jasad Adonis tanpa kubur di Arialun, tetapi itulah yang terpaksa dilakukan kerana Arialun dipenuhi oleh tentera Morrok yang masih memerintah kota itu. kepulangan Artakus ke Kolossus (yang telah ditawan oleh Armorikus selepas perang Urdakis) disambut dengan gembira oleh Atinius dan Nazril. Maklumat mengenai Arialun segera dikhabarkan kepada mereka dan siasah baru segera dibentangkan. Namun berita yang paling mengejutkan ialah laporan dari pasukan peninjau Armorikus yang mendapati satu ketumbukan besar tentera Morrok sedang mara dari lapangan Dundinium di selatan Aurora. Pasukan ini dijangka akan bergabung dengan ketumbukan yang berada di Arialun untuk merampas kembali Kolossus dari Armorikus. Esis pula, satu-satunya sahabat Artakus yang tinggal setelah kehilangan Hansis dan Adonis, menceritakan tentang kemunculan Isytarrok, makhluk yang kewujudannya selama ini hanya didengari dari kitab-kitab Id. Kehadiran mereka di sekitar Kolossus amat menggerunkan Esis kerana kedatangan mereka dikatakan pasti diiringi dengan bencana, dan Artakus, walaupun tidak pernah mendengar tentang Isytarrok sebelum ini, merasakan kehadiran mereka pasti mempunyai kaitan dengan Permata Aurorius yang kini berada di dalam tangannnya.

Tekaannya benar apabila dia diserang oleh beberapa makhluk Isytarrok di dalam biliknya. Serangan ini berjaya dipatahkan dengan bantuan Nazril yang juga dapat mengesan kehadiran mereka di sekitar Kolossus. Dengan serangan Isytarrok ini, Artakus terpaksa menceritakan tentang kewujudan Permata Aurorius dan pertentangan antara Merkia dan Herakos kepada Nazril yang selama ini hanya mengetahui kewujudan permata dan makhluk-makhluk itu melalui hikayat-hikayat lama. Untuk memastikan Permata Aurorius itu tidak jatuh ke tangan Herakos, Nazril mencadangkan kepada Artakus untuk melemparkan permata itu ke dunia Underworld, melalui Gaung Hangarang yang terletak di Banjaran Gunung Nakassos. Nazril merasakan inilah tempat yang dirasakan sesuai memandangkan gaung ini tidak mempunyai dasar di mana apa sahaja yang jatuh ke dalamnya akan jatuh selama-lamanya.

Dalam perjalanan mereka ke Banjaran Nakassos, mereka sentiasa diekori oleh Isytarrok dan juga satu bayangan yang amat mengganggu Nazril. Bayangan ini menjadi jelas apabila mereka dihalang oleh Qrokul, Yisyrak Merah dari Morrok yang juga merupakan rakan seguru Nazril, di pintu gua Sarngan yang merupakan pintu masuk ke Gaung Hangarang. Cebisan-cebisan peristiwa yang telah berlaku akhirnya bercantum menjadi jelas. Qrokul menggunakan sihirnya ke atas Isytarrok dan mengarahkan mereka merampas Permata Aurorius dari Artakus untuk kegunaan dirinya sendiri, dan sekaligus ingin mencabar Herakos. Qrokul dan Isytarrok menyerang Nazril dan Artakus. Artakus terselamat dari serangan ini sementara Nazril hilang entah ke mana bersama-sama Qrokul, Isytarrok dan Permata Aurorius.

Kehilangan Nazril dan Permata Aurorius membuatkan Artakus cemas, apatah lagi dengan Merkia yang telah sekian lama tidak muncul dengan khabar berita. Artakus kembali ke Kolossus dan mengambil keputusan untuk menyerang Arialun sebelum ketumbukan tentera Morrok dari Dundinium mempunyai kesempatan untuk bergabung dengan tentera di Arialun. Dengan disertai oleh hanya 300 tentera berkuda (sejumlah besar tentera Armorikus tidak mempunyai tunggangan dan akan hanya tiba beberapa hari selepas tentera berkuda), Artakus tidak mempunyai pilihan lain selain bergerak ke Arialun bersama-sama Esis dengan tujuan untuk menawan Arialun.

Setibanya mereka di kota Arialun, mereka tersentak apabila mendapati mayat-mayat tentera Morrok bergantungan di dinding-dinding luar tembok kota tersebut. Mereka akhirnya mengerti bahawa penduduk Arialun telah memberontak dan menjatuhkan pemerintahan Morrok selepas kematian Gargola (yang sebenarnya mati di tangan Artakus) di Arialun dan kini ia diperintah oleh Garilon. Pada mulanya, Garilon menolak untuk membenarkan pasukan Armorikus memasuki Arialun tetapi setelah diyakinkan oleh Artakus akan niat perjuangan mereka yang sama, mereka bersedia untuk berbincang. Artakus dibawa bertemu dengan Majlis Uralia, sebuah majlis yang bertanggungjawab mentadbir Arialun, yang dipimpin oleh Garilon dan disertai oleh 4 orang panglima Arialun iaitu Zardaron, Wellarik, Dirrak dan Skalol. Artakus memberi maklumat kepada mereka mengenai kehadiran pasukan tentera Morrok yang besar yang sedang mara ke arah Arialun dan mencadangkan kerjasama antara tentera Armorikus dan Arialun. Artakus juga memberi keyakinan kepada Arialun apabila memberitahu mereka akan kedatangan sejumlah besar tentera Armorikus dari Kolossus yang dipimpin oleh Atinius. Zardaron menentang dan memaksa ahli Uralia yang lain mengikut pendapatnya, tetapi melalui undian yang dijalankan, Uralia bersetuju membenarkan tentera Armorikus memasuki Arialun dan sekaligus bekerjasama menentang gerombolan tentera Morrok yang semakin hampir ke Arialun.

Kemasukan tentera Armorikus ke kota Arialun disambut dengan gembira oleh penduduk Arialun yang sebenarnya memang memerlukan sekutu untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan untuk mereka di kota itu, tetapi penentangan Zardaron tidak berakhir di meja Uralia. Zardaron telah menghantar orang kanannya, Laminon, untuk membunuh Artakus. Cubaannya gagal, dan perancangannya didedahkan di dalam Majlis Uralia. Zardaron tetap menafikan pembabitannya dan Laminon di dalam percubaan untuk membunuh Artakus. Zardaron seterusnya menggunakan pengaruhnya sebagai panglima utara Arialun untuk menyemai perasaan hasad dengki dan huru hara dan menyebabkan penduduk Arialun merusuh. Artakus bertambah risau memandangkan Atinius masih belum hadir bersama tentera Armorikus dari Kolossus. Namun rusuhan ini tidak berpanjangan apabila tentera Morrok mula menunjukkan diri di lapangan Iskariot, suatu lapangan yang amat luas di kaki bukit Irgonod, yang mana terletaknya Kota Arialun. Kehadiran Morrok sekaligus mendedahkan pengkhianatan Zardaron kepada Arialun. Zardaron secara sulit telah menghantar Laminon untuk membantu Morrok masuk ke Arialun dengan harapan dia akan menjadi pemerintah Arialun apabila Morrok berjaya. Namun Morrok yang dipimpin oleh Takhun dengan angkuhnya telah menolak secara terbuka dengan menghantar kembali mayat Laminon ke Arialun dan menyebabkan Zardaron bertempiaran lari diburu oleh penduduk Arialun.

Morrok mula menyerang Arialun dan penduduk Arialun dengan dibantu oleh tentera Armorikus pimpinan Artakus bertahan dalam satu pertempuran yang sengit. Menjelang malam, Morrok mula mengundurkan tenteranya untuk merancang strategi baru untuk mengempur Arialun. Peluang ini diambil oleh Arialun dan Armorikus untuk mengemaskan pertahanan kota bagi menghadapi serangan seterusnya dari Morrok. Perbincangan tergempar Uralia menyaksikan pertikaman lidah antara Dirrak, yang mahu bertahan di dalam kota dan Wellarik, yang mencadangkan supaya mereka keluar dan menyerang Morrok. Keputusan diambil untuk bertahan tetapi apabila bunyi pertempuran didengari dari arah perkhemahan Morrok, Artakus mengambil keputusan untuk keluar dan menyerang Morrok. Atinius telah tiba bersama tentera berjalan kaki Armorikus dan menyerang Morrok yang telah kehilangan banyak tenaga dari peperangan waktu siang di Arialun. Morrok tersepit di antara tentera Armorikus dari Kolossus dan tentera bersekutu Armorikus-Arialun dari Arialun. Kemenangan sekali lagi menjadi milik Aurora dan Morrok pimpinan Takhun yang sombong terkubur di lapangan Iskariot.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.