+ menu: books | gbook
 


Sinopsis Permata Aurorius

Di dalam dunia Aurora, keseimbangan adalah segala-galanya...

Rizal seorang remaja yang menjalani kehidupan biasa telah dijemput ke dunia Aurora, untuk menjalankan tanggungjawab yang tidak pernah difikirkannya. Kedatangannya ke dunia Aurora disambut oleh puak Armorikus yang diketuai oleh Atinius dan dibantu oleh seorang karman yang bernama Nazril. Daripada Atinius, Rizal tidak lagi dikenali sebagai Rizal tetapi sebagai Artakus, satu nama yang amat disanjung dan dinanti-nantikan oleh Armorikus untuk membebaskan mereka dari cengkaman penjajah bangsa Morrok yang zalim dan ganas. Daripada Atinius juga, Artakus belajar mengenai Aurora, yang dikongsi bersama oleh 5 puak, Armorikus, Argida, Jegadai, Jendai dan Inkatus. penjajahan Morrok telah menyebabkan perpecahan 5 puak ini dan Artakus adalah pemimpin yang dipercayai dapat menyatukan mereka semula daripada ramalan yang diberikan oleh kitab-kitab purba yang dinamakan kitab-kitab Id, dan menghalau Morrok keluar dari Aurora.

Namun, tujuan Artakus dijemput ke Aurora adalah lebih besar dari itu. Di malam sambutan yang diadakan untuknya oleh Armorikus, Artakus bertemu dengan Merkia, makhluk yang berkonsepkan cahaya siang yang sebenarnya bertanggungjawab membawa Artakus ke dunia Aurora. Merkia menerangkan bahawa Artakus dibawa bukan setakat untuk membebaskan Armorikus dan Aurora dari Morrok tetapi untuk membantu Merkia menentang Herakos, makhluk yang berkonsepkan kegelapan malam. Kewujudan Merkia dan Herakos walaubagaimanapun dianggap sebagai cerita-cerita lama di dalam kitab-kitab Id oleh penduduk Aurora. Melalui Merkia, Artakus mengetahui tentang rancangan Herakos yang menggunakan ramalan kitab-kitab Id untuk menguasai alam Aurora. Antara ramalan-ramalan itu ialah pertembungan antara Arasis (matahari) dan Osria (bulan), perpecahan 1 kepada 5 dan yang terpenting sekali ialah kemusnahan kunci keseimbangan alam Aurora iaitu permata Aurorius. Herakos telah berjaya menggunakan kerajaan Morrok sebagai alat untuk memecahkan Aurora kepada 5 puak yang berpecah. Dia juga telah berjaya menguasai permata Aurorius dan kini hanya menunggu saat pertemuan Arasis dan Osria yang berlaku beberapa musim sekali sebagai waktu yang sesuai untuk memusnahkan permata itu. Untuk menghalang Herakos, Artakus perlu menyatukan kembali 5 puak Aurora menjadi satu dan merampas permata Aurorius dari Herakos. Merkia mengurniakan Artakus sebilah pedang yang mempunyai kuasa Arasis yang diberi nama Arkus sebagai senjata menghadapi Herakos dan kuncu-kuncunya yang berasaskan kegelapan.

Kedatangan Artakus ke Aurora membawa semangat baru kepada puak Armorikus. Artakus sentiasa ditemani oleh Adonis, Esis dan Hortas. Artakus juga sering mengunjungi Laira dan ibunya Fera yang menjaga Artakus semasa dia mula-mula tiba di perkampungan Armorikus di lembah Takaryan yang akhirnya membibitkan percintaan di antara Artakus dan Laira. Artakus juga sentiasa ditemani seekor kuda putih yang menjadi lambang kehadiran Artakus di Aurora yang dinamakan Ilia. Secara tidak sengaja, Artakus menyelamatkan seekor jin yang bernama alkarambakalamatoozababusyka atau lebih dikenali sebagai babusyka daripada dimakan oleh seekor jin jahat yang bernama Don Diego Dikulgai. Sebagai untuk membalas jasa Artakus yang menyelamatkan nyawanya, Babusyka berjanji menjadi khadam Artakusuntuk selama-lamanya.

Perancangan awal Artakus mendapati bukanlah mudah untuk menyatukan kelima-lima puak Aurora disebabkan oleh kedudukan geografi masing-masing. Armorikus berada bahagian barat Aurora, Jegadai dan Jendai di bahagian Timur, Inkatus di sebelah utara dan Argida di bahagian selatan. Jalan keluar dari lembah Takaryan ditutup oleh Genting Kolossus yang mana terdapat sebuah kota yang dikuasai oleh tentera Morrok (kota ini ditawan di dalam suatu peperangan di mana seorang tentera dari puak Armorikus telah berpaling tadah kepada Morrok dan menyebabkan permusuhan yang berpanjangan antara Armorikus dan Argida). Menyedari bahawa untuk menyerang Morrok di dalam kota di genting itu dengan jumlah kekuatan yang kecil adalah suatu tindakan yang sia-sia, Artakus merancang untuk mengumpan Morrok keluar dari kota itu dan menghadapi mereka di kawasan terbuka. Artakus memimpin sekumpulan kecil tentera Armorikus dan memasang obor di sebuah bukit yang boleh dilihat dari genting Kolossus itu dengan tujuan memberi persepsi bahawa Armorikus sedang mengumpulkan tentera untuk menyerang Morrok. Dengan ini, Artakus berharap Morrok akan keluar dari Kolossus dan menyerang mereka di kawasan yang terbuka itu.

Malang menimpa apabila mereka diserang dan Artakus ditawan oleh tentera Morrok dan dibawa ke Kolossus untuk disoal siasat. Daripada soal siasat yang dijalankan, Artakus yakin bahawa mereka akan memakan jerat yang dipasang untuk mereka. Nasib menyebelahi Artakus apabila Babusyka datang menyelamatkannya dan Artakus selamat kembali ke tentera Armorikus untuk memberitahu mereka supaya bersiap sedia. Setelah menunggu beberapa hari, tentera Morrok akhirnya keluar dari Kolossus dan di lembah Urdakis, tentera Armorikus telah siap siaga menunggu mereka. Peperangan yang pertama sejak penjajahan Morrok itu berlaku dengan hebat dan dengan taktik yang bijak oleh Artakus, Armorikus berjaya mengalahkan Morrok yang mempunyai bilangan tentera yang jauh lebih ramai dan akhirnya meneruskan serangan ke Kota Kolosssus dan menawannya.

Selepas peperangan itu, Artakus dikunjungi oleh Merkia yang kelihatan semakin uzur dan membawa berita yang menggemparkan. Merkia memberitahu Artakus bahawa Herakos telah menyerangnya dan telah menjumpai cara untuk memusnahkan permata Aurorius dengan tidak perlu menunggu waktu Arasis bertemu Osria (Herakos menganggap dirinya sebagai Osria dan Merkia sebagai Arasis dan pertempuran antara mereka sudah dianggap oleh Herakos sebagai pertemuan antara Arasis dan Osria) dan Artakus diminta oleh Merkia supaya pergi ke Kota Arialun yang dikuasai oleh Morrok yang terletak di selatan Aurora dan mencuri permata itu yang disimpan di dalam kota itu. Dengan ditemani oleh Adonis (dan sekuntum bunga, Arianur yang dihadiahkan oleh Laira sebelum pemergiannya), Artakus mengembara di dunia yang begitu asing baginya. Dia terpaksa melalui berbagai halangan untuk tiba di Arialun. Antaranya ialah Paya Tozor yang digeruni kerana keadaannya yang sentiasa berkabus dan penghuninya ialah Orrok, jembalang yang gemar bermain teka teki dan akan memakan mangsanya yang tewas di dalam permainan teka tekinya. Dengan kebijakannya, Artakus berjaya mengalahkan Orrok dan meneruskan perjalan ke Arialun.

Mereka berjaya memasuki Arialun dengan menyertai rombongan pedagang yang sentiasa masuk ke Arialun untuk berniaga. Pada waktu malam seperti yang dirancang, mereka naik ke menara Gargola, yisyrak yang mentadbir Arialun. Tidak seperti dijangkakan, usaha mereka begitu mudah kerana tiada tentera Morrok yang menghalang mereka. Dipuncak menara, mereka menemui jawapannya. Gargola telah sedia menunggu mereka bersama-sama dengan 2 ekor jembalang kembar yang bernama Yarrak. Salah satu daripada jembalang itu mempunyai identiti yang lain; Babuskya. Di situlah. Artakus menyedari bahawa kedatangannya ke Arialun telah dorancang oleh Herakos. Herakos telah mengetahui kedatangannya ke Aurora dan menyedari bahaya yang dibawa oleh Artakus terhadap rancangan jahatnya. Babuskya telah dihantar untuk mengintip Artakus, kekalahan Morrok di Urdakis adalah disengajakan, Merkia yang datang bertemu Artakus pada malam selepas peperangan itu bukanlah Merkia yang sebenarnya tetapi Herakos yang berwajah seribu. Pertempuran sengit berlaku, Adonis terkorban apabila menyelamatkan Artakus dari serangan Yarrak, Yarrak pula terkorban apabila melihat bunga Arianur (mungkin kerana namanya disimpan di dalam bunga itu; salah satu rahsia jembalang iaitu menyimpan nama mereka di dalam entiti yang lain) dan Artakus terselamat apabila Gargola tidak sempat menyelamatkan dirinya dari terkena pancaran matahari.

contributed by: mr. x

 
 
 
© Saga Artakusiad™. 2003
Hak cipta terpelihara. Sebarang ciplakan adalah dilarang.